Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Friday 13 April 2012

Haruman Cinta - Bab 1



“Ibu, dia baru 25 tahun!” Aku dah mula rusing. Puas aku cuba pujuk ibu tetapi ibu tetap dengan keputusannya.
“Alah, kau tu tua sikit je. Lagipun apalah sangat dengan usia ni. Ramai je perempuan tua zaman sekarang kahwin dengan lelaki muda. Diorang hidup gembira lagi,” ibu dah bermula dengan hujah-hujahnya. Lagi bertambah rusing kepala aku. Semua alasan aku ditapis baik punya.
“Tapi yang bahagia tu semuanya berkahwin secara suka rela. Suka sama suka. Saling mengenali. Saling mencintai tapi bukan macam kes Harum ni,” aku masih lagi tak mahu mengalah.
Ini berkenaan dengan kebahagiaan masa depan aku, gerentilah aku perlu pertahankan. Ingat berkahwin tu hanya untuk sehari dua? Kalaulah perkahwinan tu memang ada tarikh luput, memang dah lama aku tamatkan zaman bujang ni.
“Bukan ke Harum kenal dia,” balas ibu kembali.
“Memanglah Harum kenal dia tapi Harum tak cintakan dia,” jawabku.
Aku rasa dah lebih 10 kali aku mengaku aku tak pernah cintakan dia, tapi aku tetap nak ucapkannya sekali lagi. Mana tahukan kalau ibu aku tiba-tiba terpukau dengan pengakuan ini dan terus capai telefon bercakap dengan bakal keluarga mertua aku untuk batalkan hasrat mereka hendak meminang aku.
Tapi mimpi hanya tinggal mimpi. Ibu langsung tak makan saman sebaliknya terus menyerang aku dengan hujah-hujahnya. Lebih teruk lagi dia gaulkan hujah-hujahnya dengan pengalaman makan garam yang dilaluinya pada zaman dahulu.
“Ibu dengan ayah kau dulu mana ada bercinta pun. Kenal pun tak. Jumpa pun masa akad nikah. Tapi bahagia aje sekarang. Nak kahwin tak semestinya bercinta. Lagipun tengoklah sekarang ni, baru berkahwin sebulan dua dah bercerai. Bercinta sampai 10 tahun tapi kahwin tak sampai 10 bulan dah bercerai. Cubalah contohi orang-orang dulu, tak payah bercinta. Kahwin aje dengan calon keluarga, gerenti hidup bahagia.”
Perghh! Tak tahan ayat terakhir tu. Aku menggaru kepala. Sebenarnya dah berbuih mulut aku menyenaraikan perbezaan antara zaman posmen berbasikal dengan zaman facebook ni pada ibu aku. Walaupun aku dah bagi jawapan yang paling tepat dan paling betul tapi ibu aku tetap menganggap zamannya adalah yang terbaik.
“Tak payahlah kau nak berdebat dengan ibu kau tu,” suara ayah mencelah. “Terima ajelah keputusan kami berdua ni. Kami ni dah tua, bila-bila saja boleh pergi.”
Bagaikan ada batu besar jatuh menghempap kepala aku bila mendengar ayah bersuara. Sayu sebentar hati aku. Kata-kata ayah buat aku terdiam. Aku faham, ayah nak sangat menimbang cucu. Siapa lagi yang boleh diharap kalau bukan aku yang merupakan anak tunggalnya.
“Ayah, Harum faham tapi ayah pun kena faham situasi Harum. Harum memang mengaku, Harum tak ada teman lelaki lagi buat masa sekarang ni. Kalau ibu dan ayah betul-betul nak Harum kahwin dengan pilihan keluarga, Harum reda tapi Harum harap bakal suami Harum tu biarlah orang yang lebih tua dari Harum,” tutur aku dengan penuh berhati-hati.
Bercakap dengan ayah perlu jadi skema sikit. Dengan kata lain, hormat. Lagipun ayah ada penyakit lemah jantung, aku tak nak ayah dapat heart attack disebabkan jawapan loyar buruk aku. Aku tak nak jadi anak derhaka.
“Kau ada calon? Kalau kau ada calon yang lebih tua dari umur kau, ayah terima aje,” kata ayah sambil bangun dari duduknya. Aku hanya memandang ayah mengatur langkah masuk ke dalam bilik.
Ah, ini yang aku tak suka ni. Kalau ayah kata macam tu dan terus masuk bilik maknanya memang aku kena kahwin jugaklah dengan pilihan keluarga! Tak nak!!!
“Ibu…,” aku menarik muncung.
“Hah, kau buatlah muncung panjang manapun keputusan kami muktamat,” tegas ibu.
“Dalam banyak-banyak lelaki dalam dunia ni, kenapa ibu pilih budak Haikal tu?”
“Bukan ibu yang pilih tapi mak Haikal yang pilih Harum dulu.”
“Hah?”
Aku makin tak faham!


Walaupun kepala aku tak gatal tapi jemari aku ni tetap nak garu juga kepala aku ini. Memang dah jadi satu tabiat semula jadi aku apabila tidak dapat mencari jalan keluar dengan masalah yang melanda sekarang ni. Kini, aku dah kehabisan idea hendak melepaskan diri. Ibu dah banyak kali cakap keputusannya muktamat. Ayah pula dah mula menarik muka dengan aku. Nampak sangat mereka nak aku berkahwin dengan pilihan keluarga.
Aku tak kisah sebab aku tak ada teman istimewa lagi tapi aku harap bakal suami aku tu seorang yang lebih tua dari aku. Bukannya orang yang lebih muda! Tak sesuai! Baru habis belajar pulak tu. Masih belum ada kerja lagi. Kalau kaya tak apalah, boleh aku tumpang sekaki habiskan harta keluarga dia. Aku sendiri pun tak tahu apa motif mak si Haikal ni nak masuk meminang aku.
Sebab aku pandai masak? Sebab aku pandai kemas rumah? Sebab dia tengok aku boleh jadi isteri yang bagus? Huh, mengarut! Semua tu aku tak reti buat. Yang aku reti, goreng telur, sepahkah bilik dan jadi anak yang manja. Malah, ibu pun dah banyak kali bagi nasihat suruh aku belajar memasak, belajar kemas rumah dan jangan jadi orang pemalas, kalau tak gerenti tak ada orang nak masuk meminang.
Kata-kata ibu tu memang boleh diterima dan disebabkan itulah sampai sekarang tak ada lelaki pun yang lekat kat aku. Aku buat macam tu bersebab. Sebabnya, kalau aku dah jumpa dengan bakal suami aku, barulah aku akan belajar jadi seorang isteri macam ibu aku tu. Tapi peliknya ada juga orang nampak ‘kelebihan’ aku ini.
Aku menghela nafas pendek sambil memandang rak buku yang penuh dengan novel-novel cinta. Membaca novel bukan hobi aku tapi kegilaan aku. Tapi aku tak sangka, kegilaan aku selama ini boleh jadi sebahagian daripada aku.
“Nampak gayanya, mulai esok aku akan melalui kehidupan seperti seorang heroin dalam novel. Tapi aku akan pastikan yang aku takkan jadi bahan sepak terajang atau maki hamun Haikal!”


“Jadi, namanya Haikal?” soal Tiara yang juga merupakan rakan satu tempat kerja dengan aku. Tiara antara rakan sekerja yang paling rapat dengan aku. Walaupun jawatan dia lebih tinggi dari jawatan yang aku sandang ni tapi aku bersyukur sebab Tiara langsung tak malu nak berkawan dengan orang yang hanya punyai kelulusan SPM macam aku ni.
“Kenapa kau tak pernah cerita pun tentang Haikal tu?” soal Tiara lagi.
“Buat apa aku nak cerita orang yang tak ada kena mengena dalam hidup aku,” jawabku selamba. Tapi memang betul pun. Haikal memang tak ada kena mengena dalam hidup aku. Muncul pun hanya sekali dua dalam hidup aku. Itupun dah buat aku maki hamun dia. Dari aku dapat lebih banyak dosa dengan maki hamun, lebih baik aku tutup buku pasal dia buat selama-lamanya. Tapi tak sangka pulak dia akan muncul sebagai calon bakal suami aku!
“Dia tu jiran aku. Selang berapa rumah dengan aku. Aku jarang sangat jumpa dia. Aku dapat tahu dia tu sambung belajar ambil Law kat oversea. Kat mana, aku tak tahu. Malas nak ambik tahu. Yang aku tahu dia dah habis belajar dan mungkin bulan depan dia balik sini,” aku menerangkan serba sedikit tentang Haikal kepada Tiara.
“Hebat betul bakal suami kau. Bakal peguam tu,” ujar Tiara sedikit kagum.
“Peguamlah sangat. Baru habis belajar, jadi peguamnya tak tahu lagi. Kau pun tahulah sekarang ni, belajar Law tapi akhirnya jadi kerani kat pejabat peguam. Itupun ada hati nak meminang anak dara orang yang lebih tua daripada dia!”
“Emm… yang part meminang tu aku pun pelik. Sepatutnya tunggulah stabilkan kerja dulu, barulah fikir nak jaga anak dara orang,” sokong Tiara.
“Entahlah. Aku tak tahu siapa punya idea nak jodohkan aku dengan dia. Nak kata dia sukakan aku, itu mustahil.”
“Kenapa pula?”
“Sebab dia pernah hina nama aku.”
Tiara mengangkat kening.
“Itu kisah 10 tahun yang lalu.”


Ya. Sepuluh tahun yang lalu. Ketika aku berusia 18 tahun. Ketika itulah aku berkenalan dengan Haikal buat pertama kali. Dia baru saja berpindah ke kawasan perumahan aku dan keluarganya menjemput jiran-jiran tetangga untuk majlis kenduri kesyukuran.
Tapi tengah hari sebelum kenduri itu berlangsung, loceng rumah aku berbunyi. Aku yang tengah berbongkang tidur kat ruang tamu terus berlalu keluar. Itupun setelah banyak kali loceng dibunyikan. Geram pun ada. Masa aku nak melakar peta dunia masa itulah ada aje orang kacau.
“Nak apa?!” marah aku sambil keluar.
“Awak Harum?” tanya lelaki itu teragak-agak.
“Awak ni siapa?”
“Saya Haikal. Saya baru pindah kat sini. Rumah saya kat….”
“Saya tak peduli siapa awak,” lantas aku memotong kata-katanya. “Awak nak apa sampai kacau saya nak tidur ni?”
“Err… kuali.”
“Hah? Kuali pun nak pinjam kat orang ke?”
“Kuali yang besar. Kat rumah saya tak ada kuali besar, jadi mak awak suruh saya datang sini mintak kuali tu kat anaknya yang bernama Harum,” kata lelaki itu dengan penuh skema.
“Nanti jap,” aku terus berlalu masuk dan keluar dengan bawak kuali besar yang selalu jadi rebutan jiran-jiran tetangga yang nak buat kenduri. Ibu pun satu, kalau dah tahu nak bersiap buat kenduri, bawaklah siap-siap kuali besar ni!
“Nah!” Lantas kuali besar itu aku hulurkan.
“Terima kasih,” ucapnya.
Aku malas nak layan dan terus berpatah untuk masuk ke dalam rumah.
“Awak!”
“Apa lagi?!”
“Betul ke nama awak Harum?” tanya lelaki itu.
“Ada masalah ke?”
“Saya tak ada masalah tapi mungkin awak ada masalah.”
Aku menggerut dahi. Entah yang budak ni nak cakap sebenarnya.
“Kenapa awak busuk sangat?” soalnya sebelum melarikan diri dengan kuali besar.
Mata aku yang mengantuk terus segar-bugar. Mujurlah tak ada seekor lipas pun yang lalu depan aku, kalau tidak dah lama aku pijaknya!

No comments:

Post a Comment