Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Monday 2 July 2012

Haruman Cinta: Bab 12




“Haikal,” panggil aku.
Perlahan-lahan lelaki di hadapan aku itu berpaling. Haikal memandang aku dengan riak wajah terkejut. Dia yang ingin turun ke tempat bas di bawah, terus berhenti melangkah. Dia mengukir senyuman lalu menghampiri aku.
“Harum, aku tak sangka kau berani datang,” kata Haikal.
“Haikal... aku....”
“Kenapa?”
“Aku... aku benci kau!!!” lantas aku pijak kakinya sekuat hati.
“Adui!” Haikal mengerang kesakitan.
“Huh, puas!” kataku sambil memeluk tubuh. “Tulah, lain kali kalau nak buat plot yang lebih dramatik, jangan sesekali buat aku rasa nak pijak lipas!”
“Sekarang baru aku tahu kenapa lipas-lipas sedunia takut dengan kau,” keluh Haikal yang masih lagi dalam kesakitan. Lawak Haikal langsung tidak mampu buat aku tertawa. Aku memandangnya serius. Geram pun ada. “Tapi kau datang jugakan?” Haikal mengenyit mata.
Aku mengetap bibir. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa aku boleh berada di sini. Sewaktu ayah pulang dari rumah Haikal, ayah memberitahu Haikal sudah pun bertolak ke Puduraya. Aku kecewa. Aku tak tahu kenapa tapi aku betul-betul kecewa. Tapi bila ayah beritahu Haikal akan bertolak ke Pulau Pinang pukul 10 pagi, terus aku pecut kereta ke sini.
Gilakan?
Jangan ditanya kenapa. Aku pun tak tahu kenapa aku boleh pecut kereta ke sini. Haikal bukan sesiapa bagi aku. Dia hanyalah jiran dan kawan saja. Dia bukan orang penting dalam hidup aku tapi aku mula menyedari kehadiran dalam hidup aku baru-baru ini. Jadi, aku fikir, walau apa pun dan walau ke mana pun dia hendak pergi, dia sepatutnya beritahu aku juga!
Satu taman perumahan tahu yang Haikal akan ke Pulau Pinang tapi hanya aku seorang saja yang tak tahu. Siap kena perli dengan ayah lagi bila ayah hairan aku tak tahu pasal hal ini. Mananya aku nak tahu kalau orangnya tak beritahu dan yang peliknya kenapa seorang pun tak beritahu aku? Huh, betul-betul aku tak puas hati. Macam ada komplot je antara Haikal dengan jiran-jiran tetangga.
“Nah!” Aku menghulurkan sebuah plastik kepadanya.
“Apa ni?” tanya Haikal.
“Peta negeri Pulau Pinang. Aku tahu radar dalam kepala otak kau tu dah berkarat, jadi aku sediakan peta ni. Senanglah kalau kau sesat nanti.”
“Sayang juga kau kat aku,” Haikal tersengih-sengih. “Tapi, kalah tetap kalah. Disebabkan kau kalah, kau kena terima sesuatu daripada aku.”
Aku mengerut dahi. Entah apa pula yang dia hendak bagi. Aku lihat dia membuka sebuah beg sandangnya dan mengeluarkan sesuatu. Gulp! Aku menelan air liur. Biar betul! Itu macam kotak cincin.
“Nah,” sebuah objek berbentuk segi empat yang kecil dihulurkan kepada aku. Aku masih lagi teragak-agak ingin mengambilnya sebaliknya pandang muka Haikal yang masih berlagak selamba. “Ambil ajelah,” Haikal terus meletakkan di tangan aku. Aku tak tahu hendak buat apa lagi.
“Haikal, ini...,” aku tak dapat habiskan ayat aku. Aku rasa terseksa. Kenapa mesti ini hadiahnya? Dan tiba-tiba aku rasa menyesal sebab datang menemuinya. Aku patut tahu semua ini sudah dirancang.
“Kenapa?” tanya Haikal.
“Aku tak boleh....”
“Ah, masa dah sampai. Aku turun bawah dulu. Nanti tertinggal bas pula. Jumpa lagi,” kata Haikal sebelum mengorak langkah ke pintu kaca yang tertutup rapat. Aku bagaikan disihir. Kaget dan memandangnya pergi. Tiba-tiba dia berpaling.
“Harum,” katanya dengan nada yang serius. Muka dia juga serius. Aku pula semakin cuak. “Boleh tak tolong jangan perasan sangat? Aku bukan hadiahkan cincin nikah,” kata Haikal sambil tersenyum sinis. Kemudian dia ketawa. Aku masih terpinga-pinga. Lantas aku buka kotak itu dan kelihatan terdapat satu objek yang diperbuat daripada kayu berbentuk segi empat di dalamnya.
Kemudian aku memandang Haikal dengan penuh pertanyaan. Haikal hanya tersenyum sebelum dia turun ke bawah. Aku menghela nafas lega. Tapi sekejap sahaja. Seterusnya aku rasa orang bodoh pun ada. Dah tahu perangai Haikal yang suka menyakat tapi masih lagi jatuh dalam perangkap dia.
Baru aku ingin membuka objek kayu yang tertutup itu, handset aku berbunyi. Daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa berlengah lagi aku terus menjawabnya.
“Kak Harum....” Nama aku disebut seiring dengan sok sek sok sek bunyi orang menangis tersedu-sedu. Tapi aku tak dapat mengecam orangnya.
“Siapa ni?”
“Mimi,” jawabnya dengan suara seduan.
“Mimi? Mimi mana?”
“Mimi.”
Masalah. Mimi mana pulak yang telefon aku. Aku langsung tidak dapat berfikir. Tiba-tiba aku teringat seseorang.
“Mimi Fazila... teman wanita Haikal tu?” soal aku.
“Mmm... Kak Harum... tolonglah Mimi.”
“Err... tolong apa?” Aku menggaru kepala. Entah sejak bilalah aku ada adik ni? Aku baru pertama kali jumpa Mimi Fazila dan aku langsung tak kenal bagaimana orangnya tiba-tiba hari ini dia telefon aku dan minta tolong? Lagi satu, mana dia dapat nombor telefon aku? Memang nampak gayanya aku kena tukar nombor telefonlah selepas ini.
“Haikal tolak cinta Mimi... waaa!!!” Lagi kuat aku dengar dia menangis.
Masalah betul!

~~~

Aku menghulurkan sehelai lagi tisu kepada Mimi Fazila. Gadis kecil molek yang pernah aku temui sewaktu menjemput Haikal di KLIA tempoh hari ini tidak henti-henti menangis sejak tadi. Seraya itu aku memandang sekeliling restoran KFC yang menjadi tempat pertemuan aku dengan Mimi Fazila. Menyesal pula aku suruh dia tunggu aku di restoran itu apabila aku dan Mimi Fazila menjadi perhatian pelanggan-pelanggan di situ.
Sudah puas aku memujuk Mimi Fazila supaya berhenti menangis. Aku cuba pujuknya dengan kata-kata sakti aku tetapi langsung tidak berjaya. Mimi masih terus menangis dan menangis sampai habis semua tisu yang aku bawa. Ini kalau aku tak berjaya pujuk lagi, memang parahlah. Ada yang jadi mangsa maki hamun aku nanti. Tapi, aku tak adalah sekejam itu.
“Kenapa? Mimi tak faham. Mimi dah buat yang terbaik untuk Haikal tapi Haikal tetap anggap Mimi ni macam adik dia. Mimi tak nak jadi adik dia. Mimi nak jadi isteri Haikal,” kata Mimi masih tersedu-sedu menangis.
Aku menggeleng. Inilah budak zaman sekarang. Ingat nak jadi isteri tu satu perkara yang senang? Baru cinta kena tolak sudah menangis macam budak kecik.
“Mimi, apa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin suatu hari nanti Mimi berjumpa dengan seseorang yang lebih baik daripada Haikal, siapa yang tahu. Lagipun tak semestinya kita sukakan seseorang, dia akan jadi jodoh kita. Kadangkala kita hanya mampu menyintai tapi itu bukan tiket untuk kita anggap kita mampu memiliki seseorang tu. Semua tu urusan Allah,” pujuk aku sebaik yang mungkin. Kalau tersilap pujuk memang menangis tidak henti-hentilah budak manja ini.
Walaupun aku bersimpati dengan Mimi Fazila tetapi dalam masa yang sama aku tabik dengan sikap Haikal yang berterus terang menolak cinta Mimi Fazila. Sebabnya aku juga pernah mengalami situasi seperti ini. Kisah cinta zaman sekolah dan kalau lelaki itu tidak tolak cinta aku, mungkin sekarang aku masih lagi terhegeh-hegeh dengan lelaki itu. Jadi, aku fikir, tindakan lelaki itu menolak cinta aku adalah satu keputusan yang tepat.
Cuma aku masih tidak faham, kenapa Haikal tolak cinta Mimi Fazila. Aku tak berani bertanya, takut Mimi akan bertambah sedih dan menangis tidak henti-henti.
“Haikal kata, dia dah jatuh cinta pada seseorang. Dah lama. Sebab tulah dia tolak cinta Mimi,” kata Mimi Fazila yang sudah berhenti menangis tetapi air matanya masih mengalir lagi.
Aku mengerut dahi. Terkejut dengan kata-kata Mimi Fazila. Macam dia tahu sahaja apa yang aku sedang fikir sekarang. Tapi inilah masa aku. Haikal mencintai seseorang? Siapa? Kenapa aku langsung tak tahu?
“Siapa?” tanya aku.
Mimi Fazila mengangkat bahu. “Mimi ingat Kak Harum tahu.”
“Akak manalah rapat sangat dengan Haikal tu. Makanan kegemaran dia pun akak tak tahu inikan pasal hal peribadi dia,” aku menjawab. Tapi itu betul. Mana tidaknya, Haikal seorang yang cerewet dalam segala benda. Itu saja yang aku tahu tentang Haikal.
Tapi aku masih pelik. Kalau Haikal sudah lama jatuh cinta dengan seseorang tapi kenapa awal-awal lagi dia tak membantah keputusan orang tuanya yang ingin jodohkan dia dengan aku?  Kenapa selepas Uzair muncul baru dia buat keputusan? Emm... mungkin dia sengaja tunggu masa yang sesuai untuk batalkan. Boleh tahan bijak jugak Haikal ini.
“Kenapa Kak Harum senyum?” pertanyaan Mimi Fazila mengejutkan aku.
“Hah? Bila?”
“Boleh tak Kak Harum tolong Mimi?” tanya Mimi.
“Tolong apa?” Aku masih ragu-ragu. Kalau setakat tolong temankan dia makan tak mengapa. Aku sanggup tapi kalau dia mintak aku tolong pujuk Haikal terima dia semula, tahulah aku hendak buat apa nanti.
“Tolong siasat, siapa kekasih Haikal.”
“Hah?”
“Tolonglah Kak Harum. Mimi takkan senang duduk selagi tak tahu siapa kekasih Haikal. Mimi janji, kalau Kak Harum beritahu Mimi siapa orangnya, Mimi takkan serang dia. Mimi cuma nak tengok apa yang membuatkan Haikal jatuh cinta padanya. Please.”
Mimi Fazila sudah buat muka kasihan. Aku pula hilang kata-kata. Nampaknya aku terpaksa bersetuju. Tapi belum sempat aku berkata-kata, meja kami didatangi oleh seorang lelaki. Aku mendongak dan terus tergamam apabila memandang wajah lelaki itu.
“Dah?” tanya lelaki yang tak dikenali itu kepada Mimi Fazila.
“Dah,” jawab Mimi Fazila seraya mengangkat punggung. “Terima kasih Kak Harum sebab sudi dengar luahan Mimi. Mimi mintak maaf kalau dah banyak menyusahkan Kak Harum tapi tolong Mimi buat kali terakhir ni. Ya?”
Aku bagaikan disihir. Terus mengangguk bersetuju.
“Mimi balik dulu,” kata Mimi sebelum meninggalkan aku seorang diri. Aku masih lagi terpinga-pinga. Lelaki yang pergi bersama-sama Mimi tadi, macam seiras seseorang. Lebih teruk lagi seseorang yang pernah aku suka semasa zaman sekolah dahulu.
Muhd Shahir. Mungkin lelaki itu sudah lupa siapa aku tapi mana mungkin aku lupa rupa lelaki itu. Itulah lelaki yang berani tolak cinta aku semasa zaman sekolah. Alasan dia mudah sahaja, dia tiada masa untuk melayan semua tu dan lebih pentingkan pelajaran.
Aku dahulu dengan aku sekarang memang jauh berbeza. Dahulu aku begitu agresif dalam bab cinta. Kalau aku sukakan seseorang itu, aku akan terus luahkan perasaan. Biarlah orang kata perigi cari timba ke, aku tak kisah. Yang penting, aku tak nak menyeksa diri dengan simpan perasaan cinta. Dan Shahir adalah cinta pertama aku. Tapi sejak dia tolak cinta aku, aku jadi seorang yang penakut. Sebab itulah apabila aku jatuh cinta dengan Uzair, aku hanya melihatnya dari jauh. Aku tahu cinta aku gerenti akan ditolak.
Tapi, kini sudah berubah. Aku sendiri tidak percaya apa yang aku alami baru-baru ini tapi aku percaya, inilah hikmahnya. Aku percaya ada sebab kenapa Tuhan mengatur perjalanan hidup aku seperti ini. Dan hikmah di sebalik aku datang memujuk Mimi Fazila yang kecewa apabila cintanya di tolak Haikal, aku dapat berjumpa dengan cinta monyet aku dahulu.
Harum, kau memang miang!

~~~

Selesai mandi, aku duduk di atas katil. Pada awalnya aku hendak mula membaca novel yang baru aku beli siang tadi tapi aku baru teringat akan hadiah yang Haikal beri. Lantas aku mencapai kotak segi empat yang pada mulanya aku anggap kotak cincin. Panas juga pipi aku bila dengar Haikal sindir aku siang tadi.
Kotak yang diperbuat daripada kayu itu aku buka penutupnya.
“Aik?” Aku terkejut apabila melihat segumpal kapas kecil ada di dalamnya. Tertanya-tanya, apa yang Haikal sedang bermain dengan aku sekarang. Kemudian, aku rapatkan hidung pada hadiah tersebut. “Busuk!!!”
Lantas aku menutupnya semula. Busuknya memang aku tak boleh gambarkan. Tapi anehnya kenapa bau itu macam aku pernah bau saja? Macam taik kucing pun ada. Kemudian aku membelek kotak kayu itu. Aku terjumpa satu perkataan yang tertulis 'Haruman pertama'.
“Apa benda ni?” tanya aku sendirian.
Tidak lama kemudian handset aku berbunyi. Lantas aku menjawabnya tanpa melihat siapa yang menelefon.
“Macam mana? Dah tengok hadiah tu?” soal satu suara. Aku yakin itu suara Haikal.
“Dah. Apa yang kau bagi tu? Busuk sangat.”
“Tahu pun busuk. Aku cakap kau tak percaya. Sekarang baulah sendiri.”
Aku mengerut dahi. Kurang faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Haikal tadi.
“Kalau kau nak tahu, itulah bau badan kau yang sebenar masa kita mula-mula jumpa dulu tu. Ingat tak masa pertama kali aku jumpa kau sebab nak pinjam kuali besar?”
Ligat kepala aku memproses kata-kata Haikal tadi. Ya. Aku ingat lagi pertemuan pertama kami berdua. Waktu tu Haikal datang sebab hendak pinjam kuali besar. Waktu itu juga aku baru bangun dari tidur. Jadi, bau dalam kotak itu adalah bau aku masa mula-mula dia jumpa aku? Oh tidak!
“Haikal yang bengong!!!”
Aku dengar dia ketawa.
“Menyesal aku datang jumpa kau tadi!”
Dia ketawa lagi.
“Bengong! Aku tak nak jumpa kau. Aku tak nak kawan dengan kau lagi!”
Aku terus tutup handset. Lantak. Aku nak merajuk dengan dia. Biarlah dia pujuk aku. Kalau dia pujuk aku pula, jangan haraplah aku hendak berbaik dengan dia. Biar dia rasakan. Ada ke patut dia bagi hadiah macam tu? Aku tak adalah sebusuk itu!
Tapi.... Aku merenung handset aku. Sunyi sahaja. Langsung tak berbunyi. Lama aku tunggu, tetapi Haikal langsung tidak telefon aku kembali. Aku jadi semakin geram! Serius. Aku sendiri tak faham kenapa aku perlu geram hanya disebabkan Haikal tidak telefon aku kembali.
“Oh, kau tak nak pujuk aku ya. Tak apa. Tak apa. Mulai hari ini, aku merajuk dengan kau sampai bila-bila! Huh!”
Aku terus bangun menutup lampu bilik. Handset aku sengaja letak bawah katil. Puas hati aku. Dalam pada itu, aku tekad, kalau aku jumpa Haikal suatu hari nanti, aku akan pijak kaki dia seperti mana aku pijak kaki dia siang tadi. Dan bermacam-macam lagi rancangan yang aku fikir hendak membalas dendam. Akhirnya aku tertidur...

~~~

Pagi Ahad. Pagi-pagi lagi aku tengok handset. Ada satu mesej. Aku tersenyum. Mesti daripada Haikal. Huh, aku menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya kembali. Aku tahu dia akan pujuk aku. Kenapa aku tahu? Sebab aku tahulah! Sekarang aku nak tengok macam mana dia pujuk aku. Itulah buat lagi kerja tak senonoh.
Aku pun segera membuka mesej itu. Bila buka sahaja senyuman aku terus mati.
-Morning tuan puteri. Saya minta maaf sebab beberapa hari ni saya sibuk dengan kursus. Jadi, apa kata hari ini kita pergi tengok wayang?- Uzair.
'Maaf tuan putera. Tak berminat.' Aku membalas mesej Uzair dengan perasaan bercampur baur.
“Haikal yang bengong!” Aku menahan geram. “Jaga kau. Aku doakan radar kau tak berfungsi dan kau sesat sampai ke rumah aku! Masa tu, tahulah aku nak buat apa!”
Nafas aku turun naik menahan marah. Nasib baiklah Haikal nun jauh di Pulau Pinang, kalau tidak memang aku sudah serang rumah dia. Lantaklah kalau jiran-jiran lain tengok. Aku tak kisah. Asalkan aku beritahu pada dunia ini yang lelaki itu ada masalah dengan hidungnya. Ada ke aku sebusuk itu? Hisy, sampai sekarang aku tak percaya bau badan aku macam bau taik kucing!
“Harum! Mari sarapan,” panggil ibu dari luar.
“Jap,” jeritku seraya dengan bunyi mesej masuk. Mesej daripada Uzair bertanyakan kenapa aku tidak mahu keluar. Aku tiada mood hendak membalas mesej Uzair. Biarkanlah lelaki itu tertanya-tanya lagipun aku sudah kata, dia perlu fikirkan cara macam mana hendak memikat aku. Setakat ajak tengok wayang, kucing belakang rumah aku ini pun tak layan.
Lantas kaki aku melangkah keluar dari bilik. Kelihatan ibu sedang menuang air kopi yang aku bancuh tadi di meja makan. Ayah seperti biasa, sudah duduk di meja makan sambil membaca surat khabar. Baru sahaja aku hendak duduk di tempat biasa aku duduk, mata aku terpandang satu kotak kayu yang lebih kurang sama dengan Haikal beri semalam. Di bawahnya terdapat sekeping kertas yang dilipat.
“Apa ni?” tanya aku kepada ibu.
“Hadiah daripada Haikal. Dia suruh ayah berikan pada kamu hari ni,” jawab ayah tanpa memandang aku. Matanya galak membaca surat khabar.
Aku mengangkat kening. Betul ke? Atau ini teknik Haikal hendak buat aku serang Pulau Pinang tu nanti. Kali ini aku teragak-agak hendak membukanya.
“Bukalah. Mana tahukan dia bagi cincin ke,” kata ibu.
“Hisy, mengarutlah ibu ni. Haikal ni sengaja nak cari pasal dengan Harum saja. Kalau ibu nak tahu, cuba ibu bau,” kata aku sambil membuka tutup kotak itu. Aku berikannya kepada ibu. Sambil itu aku sempat lagi menutup hidung. Biar ibu tahu perangai sebenar Haikal.
“Emm... wangi... bau apa ni?” tanya ibu.
“Hah?” Aku terkejut. Mustahil hidung ibu ada masalah. Lantas aku tarik dan dekatkan kotak kayu yang mengandungi segumpal kapas kecil itu pada hidung aku. Wangi!
Lantas aku membaca sekeping kertas yang disertakan. Aku membukanya. Tulisan Haikal itu aku baca.
-Haruman Pertama-
Ps 1: Ni baru betul.
Ps 2: Sila abaikan Haruman Pertama yang aku bagi. Itu haruman masa mula-mula menapak pergi rumah kau dan aku terpijak tahi kucing. Sorry ☺
Habis membaca nota itu, aku tak dapat menahan diri aku daripada tersenyum. Walaupun rasa dipermainkan oleh Haikal tetapi hati aku makin berbunga-bunga. Aku tak tahu apa yang sudah berlaku. Lantas aku mengorak langkah ke bilik.
“Nak ke mana tu?” tanya ibu.
“Nak bersiap. Uzair ajak dating hari ni,” jawabku dengan mood yang kembali ceria. 

8 comments:

  1. Erks..jeng3x.. Rasa cm harum ngn haikal jer ;) ai sukaAaaaaaaaa...
    Haikal suka harum ek... ;)

    ReplyDelete
  2. mula2 nmpk tajuk novel kat p2u rase mcm mls nak baca..haruman cinta??? sbb tajuk novel ln seme mcm gempak2 ..tp bila dah terbaca mmg citer ni best! dah tjatuh hati pd haruman cinta ni.. keep it up ... waiting next entry ..

    ReplyDelete
  3. Kelakar lar si Haikal ni. Memang sesuai dgn Harum walaupun dia muda tapi kenakalan dia terserlah. Sanggup dia pendamkan cintanya dlm hati dan mengalah semata-mata kerana Harum. Harap-2 Harum jatuh cinta dgn kenakalan dan keikhlas Haikal drpd Uzair tu. Suke sgt dgn Haikal... x sabar nk tggu n3 baru.

    ReplyDelete
  4. minat sungguh dgn mat loyar buruk ni.. pandai psycho cik harum clueless.. out of sight but never out of her mind.. waiting for both gentlemen's next move & pencinta yang ego tu.. bila dia nak buat appearance?

    ReplyDelete
  5. Hahaha..serius lawak si haikal ni,suka haikal Dgn harum..

    ReplyDelete
  6. Harum ngn spa sebenarnya ni????? Plisss nk harum ngn uzair

    ReplyDelete
  7. aduhai...haruman taik kucing rupe nye ahahahaa..

    ReplyDelete