Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Showing posts with label Haruman Cinta. Show all posts
Showing posts with label Haruman Cinta. Show all posts

Tuesday, 12 February 2013

Haruman Cinta: Bab 23




Aku melihat handset. Ada berpuluh panggilan tidak berjawab atau sengaja aku tak nak jawab. Mesej tak payah dikira. Setiap jam mesti ada sahaja mesej yang aku terima daripada Uzair. Naik muak aku baca mesej dia. Lagi aku nak muntah bila dia tukarkan nama aku jadi “Honey”, “sweetheart”, “babe” dan bermacam lagi yang buat aku rasa macam aku ni bukan manusia tapi makanan!
Inilah lelaki. Dia ingat perempuan dalam dunia ni sama ke? Mungkin cara itu berkesan sedikit bagi perempuan lain tapi bagi aku yang umur sudah hampir dekat angka 30, semua itu hanyalah sia-sia saja. Bukan panggilan macam makanan aku mahukan tapi aku mahu dia sedar dan menyesali apa yang dia buat terhadap aku.
“Tapi macam mana dia nak buktikan yang dia dah sedar dan dia kesal kalau kau tak bagi dia peluang bercakap?” soalan Haikal itu buat aku mati akal. Kenapalah dia suka sangat lontarkan persoalan yang terus buat aku hilang kata-kata.
“Itu masalah dia,” balas aku setelah menyedari aku sendiri tak dapat jawab soalan itu.
“Cik Harum, sekarang ni bukan masalah dia seorang tapi masalah kau juga,” balas Haikal di talian. Begang betul bila dia menangkan si Uzair.
Takkan dia tak faham situasi aku sekarang. Takkan dia tak tahu apa yang Uzair dah buat pada aku hari itu. Dia ada di situ. Dia nampak situasi itu. Tak perlu aku jelaskan lagi. Dia sepatutnya faham tapi aku pula yang tidak faham dengannya yang pertahankan Uzair.
“Ni, aku nak tanya? Yang kau menyebelahi dia tu kenapa? Bukan ke dia heret Mimi, teman wanita kau sekali? Kau tak rasa kita ni dipermainkan ke? Kau tak rasa macam mereka berdua ada hubungan ke?” Aku mula buat andaian.
“Tak,” jawab Haikal pendek. Ini yang aku rasa macam hendak pijak lipas!
“Kau memang tak ada perasan langsung!” Aku mendengus marah. Nasib baiklah Haikal sudah balik ke Pulau Pinang, kalau tidak memang sudah lama aku pergi redah rumahnya dan ketuk kepala dia yang tidak berfungsi dengan baik itu.
“Cik Harum... bagilah dia peluang,” kata Haikal dengan nada yang lembut. Serius. Bila dia bercakap dengan suara yang separuh romantik itu, darah aku yang makin memuncak tadi tiba-tiba turun mendadak. Aku seperti terpukau.
“Berikan 10 sebab kenapa aku perlu bagi dia peluang,” kataku masih ingin menunjukkan sedikit ego. Walaupun Haikal berjaya menurunkan suhu kemarahan aku tapi aku perlu keras sedikit. Biar dia tahu aku bukan perempuan yang mudah lembik dengan kata-kata.
“Kau tak perlukan 10 sebab untuk berikan dia peluang,” kata Haikal. “Lagipun, kau takkan tahu apa yang berlaku kalau kau tak beri dia peluang. Dia nak beritahu kau, Harum. Sepatutnya kau berada di sisi dia dan sokong dia,” kata Haikal seperti dia tahu sesuatu yang aku tak tahu.
“Apa maksud kau?”
“Beri dia peluang,” kata Haikal lagi.
“Haikal! Kalau kau tahu sesuatu lebih baik kau beritahu aku!”
“Lebih baik kau dengarnya daripada mulut Uzair sendiri,” Haikal masih lagi mengelak. Ini yang buat aku begang tahap hendak bakar lipas!
“Okey! Baiklah! Kalau kau tak nak cerita kat aku, tak mengapa. Aku dah mengantuk! Selamat malam!” Aku terus menamatkan perbualan itu.
Tidak lama aku letak handset, aku mendapat satu mesej daripada Haikal. Huh, entah apa pula dia hendak. Takkan nak pujuk aku dengan kata-kata nasihat yang entah apa-apa. Aku langsung tak ada mood hendak baca mesej dia jadi aku letak handset di tepi. Tiba-tiba aku terfikir, mungkin dia tahu aku merajuk dengan dia dan dia rasa tak sedap hati, jadi dia beritahu hal sebenar. Hah! Mungkin!
Jadi, aku terus capai handset aku kembali dan membaca mesej itu.
Selamat malam. Jangan mimpi strawberi besar tau! – Haikal.
“Haikal gila!!!” Terus darah aku naik bila baca mesej Haikal.
Aku tengah pening kepala dengan Uzair, dia boleh buat lawak bodoh yang buat darah aku naik mendadak. Arrghhh! Kenapalah dia ada kat Pulau Pinang?

***

Hari Sabtu. Hari yang begitu aman bagi aku sebabnya hari ini aku tak perlu pergi kerja dan berhadapan dengan Uzair. Hari ni juga aman sebab tak ada sesiapa yang boleh kacau aku sebab aku dah tutup handset sejak malam semalam dan dalam senyap juga aku cabut wayar telefon rumah. Minta-minta ayah dan ibu tak perasan yang wayar telefon sudah dicabut. Semua ini aku buat semata-mata untuk hidup aman tanpa ganggu daripada manusia yang bernama Uzair mahupun Haikal.
“Tak keluar dengan Uzair hari ni?” tanya ibu tatkala aku bergelak ketawa tengok cerita hindustan di televisyen. Aku baru saja dapat lupakan Uzair separuh hari ini, tiba-tiba ibu pula sebut nama Uzair. Aku kembali tension bila namanya disebut.
“Tak. Hari ni rehat,” jawab aku. Aku masih lagi belum beritahu apa yang sudah berlaku antara aku dengan Uzair. Biarlah dulu.
“Rehat ke bergaduh?” kata ibu hampir buat aku tersedak air liur. “Hah... betullah tukan? Bergaduhlah ni,” tambah ibu lagi. Pandai betul ibu meneka tapi tak semudah itu aku hendak mengaku.
“Mana ada. Kita orang memang tak ada plan nak jumpa hari ni. Ibu ni, janganlah fikir yang bukan-bukan.”
“Harum, ibu ni dah lama kenal kamu sampai ibu tahu apa yang tak kena. Kongsi dengan ibu, apa yang dah berlaku sampai kamu berdua bergaduh?” Ibu terus mendesak.
“Tak ada apalah, ibu. Harum dengan Uzair baik-baik saja.”
“Mmm... baguslah kalau macam tu,” akhirnya ibu mengalah hendak bertanya.
“Telefon rumah?” suara ayah bercakap dengan seseorang mengejutkan aku. Tambah lagi ayah ada sebut pasal telefon rumah. Terus jantung aku berdegup dengan pantas. Aku sekadar melihat ayah keluar dari bilik menghampiri telefon rumah.
Aku mula cuak apabila ayah mengambil telefon rumah dan ditekapkan ke telinganya. Bila dia rasa ada sesuatu yang tidak kena, dia mengangkat telefon itu sehinggalah dia dapat tahu punca sebenarnya.
“Patutlah, wayarnya tercabut,” kata ayah kembali mencucuk wayar itu.
Ibu pandang aku. Aku berpura-pura tidak tahu apa-apa. Kalau ibu tahu akulah yang cabut wayar itu gerenti kena soal tanpa henti. Kemudian, ayah menghampiri aku dan menghulurkan handsetnya membuat aku lagi menggelabah. Takkanlah Uzair telefon ayah aku. Setahu aku, dia mana ada nombor telefon ayah aku.
Tiba-tiba aku teringat peristiwa aku jatuh pengsan di tempat kerja. Uzair ada dapat panggilan daripada ayah pagi itu. Ah, sudah sah-sahlah dia tahu nombor telefon handset ayah aku! Cis, macam manalah aku boleh terlupa!
“Siapa?” tanya aku sebelum handset bertukar tangan.
“Haikal,” kata ayah.
Huh, Haikal lagi. Tak habis-habis dengan Haikal. Sana sini mesti Haikal. Aku bergaduh dengan Uzair, Haikal juga yang muncul. Aku tutup handset, cabut wayar telefon, Haikal juga yang bertindak telefon ayah aku. Ke mana perginya Uzair? Kenapa teman lelaki aku ini begitu lembab bertindak? Kenapa mesti Haikal yang perlu bertindak ini? Hisy, tak faham betul!
“Nak apa?” tanya aku yang sudah berlari masuk ke dalam bilik. Aku sengaja tidak mahu bercakap depan ayah dan ibu, nanti macam-macam spekulasi yang keluar. Janganlah mereka fikir aku dengan Haikal bercinta dalam diam. Nanti tak pasal-pasal mereka rancang hendak jodohkan kami lagi dalam senyap.
“Kau tutup handset?” tanya Haikal.
“Handset habis bateri. Aku malas nak cas,” jawab aku selamba.
“Dan cabut wayar telefon rumah?” soal Haikal lagi.
“Kau nak apa ni? Tak boleh ke kau bagi aku hidup dengan aman hari ni? Kau sepatutnya faham, kalau aku dah tutup handset dan cabut wayar telefon rumah, kau sepatutnya tahu yang aku tak nak diganggu. Takkan itupun aku nak beritahu?” Aku mula naik angin.
Tension sungguh kebelakangan ini. Hari ini, dengar nama Haikal pun dah buat aku tension seluruh badan. Kalau Haikal ada di hadapan aku memang aku baling dia dengan pasu bunga kat rumah aku ini.
“Kau tak hubungi Uzair?” soal Haikal.
Aku rasa macam mahu menjerit sekuat-kuatnya! Kenapalah budak ni tak faham-faham bahasa? Aku tak nak bincang pasal Uzair buat masa sekarang. Apatah lagi dengar nama Uzair. Tapi kenapalah Haikal ni masih mendesak aku? Apa tujuan dia yang sebenar? Sengaja hendak buat aku jadi gila? Huh, budak ini memang sudah melampau!
“Kalau kau telefon aku semata-mata nak tanya aku sama ada aku dah maafkan Uzair atau tak, lebih baik kau beri tumpuan pada hidup kau tu. Aku percaya, banyak lagi yang kau perlu fikirkan selain selesaikan masalah aku.”
“Harum, dengar dulu....”
“Aku tak nak dengar apa-apa lagi, Haikal. Kalau aku bagi peluang kau bercakap, aku pasti kau tentu akan sokong Uzair. Kadang-kadang aku tak faham dengan lelaki dalam dunia ni. Bila nak dapatkan perempuan punyalah bersungguh-sungguh sampai sanggup berkorban apa saja tapi bila dah jemu, dia tinggalkan begitu saja. Pujuk perempuan pun macam nak tak nak saja. Perlu ke aku bagi peluang kepada orang begitu?”
“Cik Harum...”
Sebelum Haikal meneruskan hujahnya, aku lantas bersuara, “Encik Haikal, berhentilah jadi penasihat cinta. Aku tak perlukan penasihat seperti kau yang langsung tak dapat pikat perempuan yang kau suka kemudian beralih pada perempuan yang... tak cukup matang dalam bercinta,” ujar aku dengan geram.
Aku dengar keluhan Haikal. Dia terasa dengan apa yang aku cakap? Kalau ya, biarlah. Itu memang tujuan aku sebenar. Lebih baik dia terasa. Semoga selepas ini dia tak kacau hidup aku lagi dengan bagi nasihat yang entah apa-apa.
“Baiklah Cik Harum. Aku tak nak bergaduh dengan kau,” kata Haikal.
Hah, tahu pun!
“Aku cuma nak sampaikan yang ibu kandung Uzair dah meninggal dunia pagi tadi. Kalau kau marahkan Uzair pun, janganlah kedekut nak sedekahkan Al-Fatihah dan doa kepada arwah ibunya.”
Tuttt... panggilan terus ditamatkan.
Aku terkesima. Aku sendiri tidak pasti apa yang aku dengar tadi. Betulkah apa yang dicakap oleh Haikal atau dia sengaja hendak takutkan aku? Tapi, bila difikir balik, ada ke orang sengaja lontarkan jenaka begitu semata-mata hendak pujuk orang yang merajuk?
Lantas aku mencapai handset aku dan mengaktifkannya. Aku hanya perlu tunggu selama lima minit dan kemudian berduyun-duyun mesej masuk dalam inbox aku. Menggigil tangan aku membuka satu demi satu mesej. Kebanyakannya mesej misscall dari beberapa nombor. Nombor telefon Tiara, Mimi Fazila, Haikal dan ada beberapa lagi yang aku tak pasti. Yang paling banyak sekali, miscall daripada Uzair!
Aku membaca mesej yang seterusnya. Mesej daripada Tiara membuatkan aku menggeletar seluruh badan; Harum, aku cuba call kau tak dapat. Aku call rumah kau pun sama. Aku tak tahu nak buat apa lagi. Aku tahu kau masih marah dengan Uzair. Aku cuma nak sampaikan, ibu Uzair sudah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Aku terduduk. Aku mula teringat peristiwa di Cameron Highland dulu. Dia pernah kata hendak pergi ke Kuantan dan tinggalkan aku begitu sahaja dengan Haikal.
“Awak, awak balik dengan Haikal. Saya dengan Mimi akan ke Kuantan sekejap,” suara Uzair ternyiang-nyiang di telinga aku. Tapi, apa yang aku tak faham. Aku pernah jumpa ibu Uzair. Masa itu aku tengok ibunya sihat lagi. Tak ada pula macam orang sakit. Apa dah berlaku sebenarnya? Takkan aku ditipu? Takkanlah dua orang itu sengaja hendak menipu aku dengan berita begini!
Tanpa buang masa, aku terus menghubungi Tiara sebelum banyak lagi persoalan-persoalan yang memeningkan kepala menganggu aku. Panggilan aku dijawab dengan hanya dua kali deringan.
“Harum! Kau pergi mana? Puas aku cuba hubungi kau!” suara Tiara macam orang yang lama tidak bercakap dengan aku pun ada.
“Aku tutup handset. Betul ke apa yang kau mesej tu?” aku pantas bertanya.
“Ada ke orang sengaja nak tipu-tipu pasal kematian orang?” Tiara menyoal aku kembali.
“Tapi... aku baru jumpa ibu dia....”
“Kau jumpa ibu tiri dia bukan ibu kandung dia,” Tiara pantas memotong kata-kata aku.
“Hah? Itu ibu tiri dia?” Aku tahu ini soalan yang bodoh. Apatah lagi aku bertanyakan tentang keluarga teman lelaki aku. Aku sepatutnya tahu dengan lebih lanjut tentang Uzair tapi inilah yang berlaku. Aku langsung tak tahu apa-apa tentang Uzair.
“Takkan kau tak tahu?” soal Tiara. “Yang kau jumpa tu ibu tiri Uzair. Ibu kandung Uzair tinggalkan Uzair masa kecil lagi.”
“Kenapa Uzair tak beritahu aku pun?” Aku semakin terasa. Macam macam aku rasa. Aku rasa macam tak berguna pun ada. Uzair banyak ambil tahu tentang aku dan keluarga aku dan aku pula, satu haram pun tak tahu pasal dia dan keluarganya.
“Mungkin dia tak nak kau risaukan dia kot,” kata Tiara mengagak.
Aku mengeluh. Semua perasaan benci aku terhadap Uzair hilang begitu sahaja apabila aku dapat tahu hal yang sebenar. Menyesal memang menyesal. Tapi sudah tak berguna nak menyesal sekarang. Kalaulah aku dengar cakap Haikal awal-awal lagi, pasti sekarang ini berada berada di sisi Uzair yang sedang bersedih.
“Aku tak tahu nak buat apa sekarang. Aku rasa macam orang tak berguna pun ada.”
“Sudahlah. Apa yang penting sekarang, aku nak kau tahu yang Uzair memang gila-gila risaukan kau. Bagi dia mesej pun tak apa asalkan dapat mengubat hatinya,” ujar Tiara cuba memujuk aku. “Sekarang ni dia masih di Kuantan. Aku baru dapat tahu yang ibunya dah dikebumikan tadi. Dia ada mesej aku yang dia akan bercuti selama seminggu sebab ada hal yang perlu diuruskan dan dia kirim salam kat kau. Kalau kau free, kau telefonlah dia. Dia memang tunggu panggilan daripada kau,” tambah Tiara lagi.
“Selepas apa yang aku dah buat? Serius Tiara, aku rasa macam tak berguna. Aku rasa macam tak layak jadi teman wanita dia apatah lagi isteri dia.”
“Harum, kau tak tahu apa yang berlaku jadi, jangan salahkan diri kau.”
“Tapi... aku patut dengar kata Haikal.”
“Haikal? Kenapa dengan dia?”
“Beberapa hari ni dia asyik desak aku supaya bagi Uzair peluang tapi aku tak dengar. Aku bergaduh dengan dia,” beritahu aku dengan perasaan begitu kesal. “Tapi, silap dia jugak sebab tak beritahu awal-awal. Kalau dia beritahu awal-awal bukan ke senang!”
“Pulak,” keluh Tiara. “Aku tak tahu macam mana Haikal boleh tahan dengan perangai kau,” tambah Tiara lagi.
“Apa pulak aku....”
“Tengok tu,” pantas Tiara memintas. Serta merta aku senyap. “Sekarang bukan masa nak bercerita tentang Haikal, Cik Harum. Call Uzair.”
“Nak buat apa?” soal aku. Aku tahu aku telah bertanya soalan yang begitu bodoh tapi aku tak dapat halang mulut aku daripada melontarkan soalan itu.
“Tentulah nak tanya keadaan dia. Walaupun kau bukan isteri dia tapi kau teman wanita dia. Kau tahu tak, jadi teman wanita pun ada tanggungjawab? Uzair sedang lalui saat-saat yang sukar dan tugas kau sekarang, tenangkan dia, beri dia kata-kata semangat supaya dia tahu dia tak keseorangan.”
“Oh...,” aku mengangguk faham. Apa boleh buat. Ini kali pertama aku berpacaran dengan lelaki. Sudah tentulah aku kaku hendak buat apa. “Tapi macam mana?”
“Call dia,” arah Tiara barangkali dia pun sudah fade up apabila aku asyik bertanya.
“Tapi... aku takut....”
“Kalau kau takut, mesej dia.”
“Nak cakap apa?”
“Harum!!!” Lantang suara Tiara memanggil nama aku.
“Aku tak tahu. Aku hilang idea ni,” aku cuba meraih simpati.
“Mesej dia, walaupun kau rasa bukan salah kau tapi minta maaf sajalah. Lepas tu ucapkan takziah dan harap dia dapat terima kehilangan tu,” kata Tiara.
“Kalau dia marah aku?”
“Harum! Buat saja!” tegas Tiara mengarah. Kecuk perut aku seketika. Aku tahu Tiara bukannya marah aku tapi bila sudah datang ketegasan Tiara, perut aku serta-merta boleh jadi kecut. “Tulah. Haikal cuba bagi nasihat, kau marah-marah dia. Tak nak dengar apa yang dia cakap. Lepas tu nak salahkan Haikal lagi. Lain kali cubalah dengar nasihat Haikal tu. Bukan mudah dia nak bagi nasihat kat orang yang dia...,” kata-kata Tiara tiba-tiba terhenti.
“Orang yang dia apa?” aku menyoal sambil tertanya-tanya sama ada Haikal dengan Tiara ini memang saling kenal ke? Kenapa aku rasa macam dua orang ini macam sekepala? Macam kedua mereka pernah bertemu tanpa pengetahuan aku.
“Tak ada apa. Pendek kata, kalau orang bagi nasihat tu fikir dengan mata akal bukan dengan mata hati. Kesian betul aku tengok dengan si Haikal tu....”
Haikal lagi.
“Yelah. Nanti aku minta maaf kat Haikal sekali.” Akhirnya aku mengalah. Kalau tak mengalah gerenti Tiara akan sebut nama Haikal banyak kali. Bukan aku tak tahu, dia tu memang peminat Haikal yang cute tu. Huh, cutelah sangat. Menyampah aku.

***

Akhirnya, selepas tulis, padam, tulis, padam lebih 20 kali, aku berjaya menghantar mesej kepada Uzair. Huh, itupun ambil masa hampir tiga jam hendak mengarang beberapa baris ayat. Nampak sangat aku memang aku yang bersalah. Tatkala aku tekan butang hantar, jantung aku berdenyut macam baru saja nampak hantu. Tubuh aku pula seram sejuk jadinya.
Mana tidaknya. Aku tidak pernah bercinta atau menjalinkan hubungan cinta dengan sesiapa. Jadi, bila berlaku situasi begini, aku rasa kekok pun ada. Nak tak nak bagi mesej pun ada tadi. Ada satu tahap aku rasa macam hendak biarkan terus perkara ini. Biar Uzair datang pada aku dan pujuk aku dan biar dia beritahu apa yang telah berlaku. Tapi, aku rasa tindakan itu memang melampau.
Aku ingat lagi ada satu novel cinta yang aku baca. Dalam novel tu suami isteri bergaduh disebabkan hal kecil tapi disebabkan sifat tolak ansur yang mereka tanam, mereka berbaik seperti biasa. Apa yang penulis cuba sampaikan dalam novel itu memang ada betulnya. Dalam perhubungan, saling bertolak ansur itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.
Sedang aku mengelamun, aku terperanjat apabila mendengar bunyi mesej masuk. Jantung aku jangan cakaplah. Macam hendak tercabut pun ada. Aku tarik nafas dan hembus dengan perlahan-lahan apabila nampak nama Uzair pada skrin handset. Jadi, mesej itu datangnya dari Uzair.
Setelah aku kembali tenang, aku membuka dan membaca mesej itu.
Can’t talk now. Malam nanti saya call. Please, jangan tutup handset lagi – Uzair.
Bila baca mesej Uzair, hati aku yang keras selama beberapa hari ini mula menjadi lembut macam tisu. Tanpa sedar air mata aku mengalir. Rupanya, beginilah perasaan apabila terlalu mencintai seseorang.

***

Malam yang seperti dijanjikan Uzair menghubungi aku. Menggeletar juga aku menjawab panggilan dia tapi mujurlah dia mulakan dengan mukadimah, ‘saya minta maaf’. Dia ucap saja kemaafan, aku terus jadi lembut macam tisu. Tapi sempat lagi aku marah dia dengan keegoan aku. Huh, baru aku tahu yang aku ini memang ada ego yang tinggi.
“Awak ni, jangan seksa saya macam ni boleh tak? Apa salahnya kalau awak beritahu hal yang sebenar pada saya masa di Cameron hari tu? Tak adalah saya nak tarik muka sampai beberapa hari dengan awak,” aku melontarkan segala yang aku tidak puas hati terhadap apa yang berlaku. Biar dia ingat dan tidak ulangi kesilapan begini.
“Saya tak sangka jadi sampai macam ni,” kata Uzair lembut. Suara dia yang lembut itu memang lagi mencairkan hati aku.
“Kenapa awak tak nak beritahu pasal arwah ibu kandung awak sakit?”
Kedengaran keluhan berat daripada Uzair. Dia macam berat sahaja hendak berkongsi masalahnya dengan aku.
“Nanti saya terangkan segalanya. Saya tak selesa kalau bercakap melalui handset macam ni,” ujarnya. Selama aku kenal dia, aku tahu Uzair tidak suka terangkan sesuatu melalui telefon. Malah dia juga bukannya kaki gayut. Dia lebih suka meluahkan sesuatu dengan berhadapan dengan seseorang itu.
“Mmm....”
“Saya kena selesaikan saki baki wasiat ibu sebelum balik ke Kuala Lumpur. So, take care yourself. Jangan banyak fikir sangat. Saya bukan pergi berfoya-foya dengan perempuan lain.”
“Macam perli saya saja.”
Uzair ketawa. Dengar dia ketawa, aku rasa seperti sudah melepasi satu fasa yang teruk. Alhamdulillah. Akhirnya aku dengan Uzair sudah berbaik. Bunga-bunga cinta sudah mekar kembali!!

***

Aku menarik muncung tajam. Konon-konon hendak protes tapi jelingan Tiara lagi buat aku kecut perut. Inilah parahnya bila dia sudah jadi penyokong Haikal. Setiap apa yang Haikal buat, mesti dia sokong sampai aku, kawan baik dia pun dia tidak kira. Begang betul. Tak pasal-pasal aku kena minta maaf dengan Haikal juga.
“Yelah. Yelah. Aku mesej dia,” kata aku sambil mengeluarkan handset.
“Aku tak nak kau mesej dia. Aku nak kau call dia,” kata Tiara. Boleh pula dia bagi syarat begitu. Apa sebenarnya yang dia hendak aku pun tak pasti. Aku syak, masa aku sedang bercakap dengan Haikal nanti, dia pasti akan rampas handset aku dan menggedik dengan Haikal. Pasti punya!
“Banyak cantik. Uzair pun aku bagi mesej saja masa minta maaf dengan dia. Kalau aku call Haikal itu dah lebihlah tu. Lagipun, aku takut aku naik darah bila bercakap dengan dia,” aku sengaja beri alasan.
Tiara menjeling tajam. Jelingan Tiara serupa macam singa betina yang tengah kelaparan dan bila-bila masa sahaja akan membaham mangsanya. Bila aku tengok jelingan Tiara tadi, terus aku berubah fikiran. Lebih baik aku ikut saja cakap dia. Kalau dia hendak menggedik, biarlah. Asalkan jangan kacau hidup aku selepas ini.
“Yelah. Aku call dia sekarang.”
Aku terus mencari nombor telefon Haikal dan menghubungi Haikal. Tapi panggilan aku disambut oleh seorang wanita atau lebih tepat lagi suara operator. Aku mematikan talian dan menghubungi nombor yang sama lagi. Seperti tadi, panggilan aku disambut oleh operator juga.
“Tak dapat hubungi,” beritahu aku kepada Tiara.
“Dia tutup handset ke?” soal Tiara.
“Entah.” Sekali lagi aku cuba hubungi Haikal tetapi operator telefon juga yang menjawab panggilan itu. Aku mula buntu. Kemudian, aku berkalih ke komputer di hadapan aku. Aku membuka facebook. Nasib baiklah komputer aku boleh buka laman web facebook di pejabat ini. Ini kerana facebook dan beberapa laman web lain sudah disekat oleh pihak IT. Hanya komputer pengurus dan setiausaha yang boleh mengakses laman web itu.
Walaupun boleh akses, aku jarang layan facebook pada waktu kerja. Lagipun memang aku tak minat laman sosial begini. Aku daftar facebook pun disebabkan terpaksa.
“Kau buat apa?” tanya Tiara.
“Tengok facebook dia,” jawab aku pendek.
“Dia ada facebook? Kenapa kau tak beritahu awal-awal? Ada gambar dia tak? Aku teringin nak tengok rupa dia. Please...,” rayu Tiara.
Datang sudah gedik minah ni. Aku menggeleng. Memang aku hendak tunjuk gambar Haikal padanya. Biar dia tahu betapa ‘cutenya’ si Haikal itu. Aku mencari-cari Haikal di Facebook tapi aku tak nampak sebarang status terkini dia.
“Ehh... kenapa Haikal tak ada?” tanya aku apabila meneliti senarai kawan facebook aku. Tiada kelibat Haikal kelihatan. “Dia dah buang aku ke?”
Ketika itu aku mula tidak sedap hati.
“Cuba cari betul-betul,” kata Tiara. “Mana tahukan dia tukar nama.”
Aku cuba mencari satu demi satu. Kawan facebook aku boleh dikira dengan jari, jadi memang tidak ada masalah untuk aku periksa seorang demi seorang daripada mereka.
“Tak ada juga....”
Aku pandang Tiara.
“Sah. Dia mesti merajuk dengan kau tu.”
Huh, ada aku kisah?

Sunday, 11 November 2012

Haruman Cinta: Bab 22


Kadangkala aku terfikir, adakah lelaki memang dilahirkan untuk membuat wanita seperti aku hilang arah? Hanya kerana Uzair tidak datang kerja, tidak telefon aku, tidak mesej aku... semua tu membuatkan aku hilang arah. Aku asyik termenung. Makan pun tak lalu. Mata pula asyik pandang handset. Lepas tu, mulalah mengacau hidup Tiara dengan bertanya macam-macam soalan pasal Uzair. Aku bernasib baik sebab aku kawan Tiara, jadi, dia banyak bagi nasihat berbanding memarahi aku seperti bekas-bekas teman wanita Uzair yang dulu.
“Dia memang selalu macam ni ke?” tanya aku kepada Tiara. “Aku bagi mesej tak balas. Aku telefon dia, operator pula yang jawab. Sudahlah masa kat Cameron dia buat hal. Tanpa sebarang alasan dia tinggalkan aku dengan Haikal kat sana. Nasib baik aku kenal Haikal tu. Kalau tidak aku lebih rela naik bas turun dari Cameron tu. Dan sekarang, dia tak datang kerja, tak telefon aku, tak mesej aku. Eee... aku rasa macam nak pijak lipas!”
“Bertenang. Tarik nafas... hembus...,” ujar Tiara di hujung talian.
Aku buat seperti yang dia suruh. Agak membantu juga tapi hanya untuk satu atau dua minit dan kemudian aku kembali seperti sedia kala. Marah. Mula nak maki hamun. Aduh, baru aku faham. Inilah rasanya bila dilamun cinta. Memang boleh jadi gila bila si lelaki buat perangai!
“Harum, ini sebahagian daripada ujian yang kau perlu tempuhi. Bertenang. Jangan terlampau ikut perasaan. Cuba jadi macam Harum yang dulu. Tak banyak fikirkan masalah walaupun ada masalah. Cuba fikir sesuatu yang menggembirakan supaya kau boleh lupakan tentang Uzair seketika,” kata Tiara sedikit membuat aku rasa bertenang.
“Apa yang patut aku buat?” Aku menyoal. Lebih teruk daripada orang hilang punca.
“Apa-apa saja.”
“Apa-apa tu apa?”
Aku dengar Tiara mengeluh. Aku tahu, aku dah menyusahkan Tiara tapi aku sendiri pun tak tahu kenapa aku tetap nak suruh dia fikir macam mana aku hendak lupakan tentang Uzair buat seketika.
“Novel... kaukan suka baca novel... apa kata kau....”
“Kalau aku baca novel dah sah-sahlah aku ingat si Uzair tu,” lantas aku memotong.
“Ye tak ye jugak,” balas Tiara.
“Tak apalah Tiara.” Aku mula rasa serba salah. Aku tak sepatutnya mengheret Tiara dalam masalah aku. Aku saja yang terlebih menggelabah. Aku saja yang fikir yang bukan-bukan. Mungkin Uzair betul-betul ada masalah sehingga dia tidak dapat menelefon aku. Mungkin dia ingin menelefon aku tapi dia risau masalah itu akan membebankan aku.
“Jangan banyak fikir sangat, Harum. Positif. Fikir positif,” pesan Tiara sebelum kami menamatkan perbualan petang itu.
Ya. Aku perlu berfikiran positif. Lagipun ini merupakan percintaan pertama aku. Yang real. Bukan bertepuk sebelah tangan seperti zaman cinta monyet dulu. Orang kata, bila dilamun cinta buat pertama kali, macam-macam perkara pelik akan kita buat. Contohnya, seperti sekarang. Asyik fikir yang bukan-bukan saja. Padahal tiada apa-apa pun.
Jadi, aku perlu kuat!
Tiba-tiba handset aku berdering. Aku lantas mencapainya dan berharap Uzair yang menelefon aku tetapi bila pandang nama pada skrin handset, aku mengeluh. Bukan Uzair tapi Rafidah, seorang kawan sekolah yang sudah bertahun lama tidak menghubungi aku.
Tanpa berfikir panjang, aku menjawab pangilan itu.
“Harum, kau free tak? Jom teman aku keluar. Aku dekat depan rumah kau dah ni!”
Tut! Talian terus dimatikan.

~~~

“Boleh tak lain kali kalau kau nak ajak aku keluar, jangan tiba-tiba telefon dan beritahu kau dah ada depan rumah aku?” pesan aku kepada Rafidah, wanita yang bertudung litup dan memiliki senyuman yang manis seperti selalu.
“Hahaha... aku pun tak tahu, sedar-sedar aku dah ada dekat kawasan rumah kau. Jadi, memandangkan kita dah lama tak jumpa, aku terus call kau,” kata Rafidah sambil memandu keretanya ke lebuh raya.
“Kita nak pergi mana?”
“I-City,” jawab Rafidah.
“Buat apa?”
“Tengok lampulah.”
“Dekat KL tak ada lampu ke sampai kita kena pergi i-City semata-mata untuk tengok lampu?”
“Ada tapi masalahnya lampu kat i-City lagi ceria! Kau pernah pergi ke?”
“Mana? I-City? Tak pernah terfikir pun nak pergi,” jawab aku selamba.
“Aku pun sama tapi baru-baru ni aku diaju soalan yang sama oleh seseorang. Bila aku jawab ‘tak’ kau tahu apa dia jawab?” Rafidah memandang aku sekejap sebelum memandang ke hadapan. Aku sempat menggeleng. “Dia kata, aku dah buat sesuatu pada diri aku yang menyebabkan aku rasa tension sangat-sangat. Dia kata lagi, bukan orang lain yang buat kita tension tapi cara kita layan diri kita sendiri yang buat kita rasa tension. So, dia sarankan aku pergi tempat yang boleh nyalakan lampu kegembiraan dalam diri aku dan dia cadangkan i-City.”
“Apa kena mengena tension dengan lampu di i-City? Aku syak orang tu mesti pekerja di sana ataupun dia dah melabur duit dia kat sana. Jadi, dia pun promote i-City kat kau. Macam iklan bergerak,” balas aku selamba.
“Harum... dia pelajar aku. Mustahil pelajar sekolah boleh melabur dalam projek besar macam tu. Kalau ada pun mungkin satu dalam sepuluh,” balas Rafidah.
“Pelajar sekolah?” Soal aku walaupun aku sudah sedia maklum yang Rafidah merupakan guru di sebuah sekolah di ibu kota. “Biar aku teka. Dia lelaki?”
“Macam mana kau tahu?” soal Rafidah yang nampak terkejut.
“Hanya lelaki yang lebih muda dari kita yang suka bagi cadangan yang kebudak-budakan,” komen aku yang sudah agak dari awal lagi.
“Ada lelaki yang muda dari kau bagi cadangan yang sama ke?” soal Rafidah.
Aku hanya mengangguk dan terbayang Haikal yang sedang menabik dada. Kononnya, apa yang dia beritahu itu adalah benar belaka.

~~~

“Aku masih tak faham kenapa ada orang sanggup menghabiskan duit dan masa semata-mata nak tengok lampu-lampu begini,” komen aku lagi apabila kebosanan melihat lampu-lampu indah di sekeliling aku.
Memang aku akui. Suasana malam itu begitu indah tetapi aku terasa ada sesuatu yang kurang. Lebih-lebih lagi apabila aku lihat pasangan kekasih berjalan seriringan sambil bergelak ketawa. Sedangkan aku berjalan berdua-duaan dengan Rafidah yang tak habis-habis menangkap gambar dengan kamera handsetnya. Cemburukah aku dengan mereka?
“Aku faham apa yang kau tengah fikir sekarang ni. Ya, aku setuju. Umur kita dah meningkat. Bila fikirkan kembali macam membuang masa berjalan-jalan di sini tapi aku nak bagi peluang pada diri aku untuk memahami kenapa ramai yang suka datang sini,” balas Rafidah sambil menghulurkan handsetnya kepada aku.
Ini tak lain tak bukan suruh aku tangkap gambar dia lagi. Huh, nampaknya hari ini aku akan jadi jurukamera tidak bertauliah. Tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya aku boleh lupakan Uzair buat seketika.
“So, siapa lelaki yang bagi cadangan yang kebudak-budakan tu?” soal Rafidah tiba-tiba.
“Seseorang yang tak ada kena mengena dalam hidup aku,” pantas aku menjawab. “Dan apa yang membuatkan kau nak ikut nasihat pelajar kau tu?” lantas aku kembali menyoal Rafidah.
“Aku dah bercerai,” Rafidah menjawab dengan cepat.
“Kau dah kahwin? Kenapa aku langsung tak tahu?” Jawapan Rafidah tadi memang benar-benar buat aku terkejut. Sumpah. Aku ingat dia masih single macam aku. Apatah lagi aku langsung tak ingat bila masa dia ajak aku ke majlis perkahwinan dia. Sudah tentulah aku terkejut bila dia beritahu dia sudah bercerai!
“Bukan kau seorang saja. Ramai yang tak tahu. Aku memang tak hebohkan sebab aku isteri kedua. Kau faham ajelah bila hidup bermadu. Lagi-lagi bila suami kita orang ternama,” ujar Rafidah yang langsung tak nampak kekesalan.
“Kau okey?”
“Aku dah puas menangis,” dia mengukir senyuman.
Terus aku kagum dengan dia. Dalam hal begini, dia masih boleh tersenyum. Padahal aku...
“Kau percaya tak? Selepas aku bercerai, baru aku sedar, yang aku dah banyak abaikan perkara-perkara penting dalam hidup aku. Aku berkahwin dengan dia disebabkan cinta. Demi cinta aku sanggup sisihkan keluarga dan kawan-kawan aku. Majlis perkahwinan kami dibuat secara tertutup. Bila aku jadi isteri dia, kami jarang boleh keluar bersama-sama. Walaupun dia suami aku, tapi aku dilarang sama sekali umumkan siapa suami aku. Lama-lama aku rasa macam... orang bodoh pun ada. Jadi, aku minta cerai. Dengan semudah tu, dia ceraikan aku. Kemudian, baru aku tahu yang dia sudah ada isteri ketiga.”
Ya Allah. Kawan jenis apakah aku ini? Aku langsung tak sangka kawan baik aku mengharungi semua ini seorang diri. Biarpun begitu, dia kelihatan tabah menghadapinya. Aku langsung tidak dapat menahan air mata yang sudah lama bertakung.
“Hei, kenapa kau pula yang menangis? Ini bukannya kisah sedih. Kau patut gembira sebab aku dah bercerai dengan orang yang tak hargai aku,” soal Rafidah melihat aku dengan wajah yang pelik. Pelik sangat ke kalau aku menangis? Jiwa aku memang sensitif. Baca novel cinta pun aku boleh menangis inikan kisah realiti kawan sendiri. Sudah semestinyalah aku sedih.
Rafidah tersenyum kelucuan.
“Sudah-sudah. Aku dah tak rasa menyesal lagi. Aku dah bebas. Kau patut gembira,” dia peluk aku macam aku pula yang baru bercerai. Selepas seketika, akhirnya Rafidah meleraikan pelukan. Aku melepaskan sedikit tawa apabila menyedari aku pula yang terlebih sedih padahal orang yang mengalaminya siap ketawa depan aku lagi.
Aku cemburu dengan ketabahan dia.
“Ini semua salah kau,” ujar aku sambil menyeka sisa-sisa air mata. “Lain kali kalau nak kahwin tu beritahulah aku. Aku bukannya paparazi yang akan sebarkan cerita pasal kau.”
“Aku tak nak bebankan orang lain dengan masalah aku. Setiap orang mesti ada masalah. Aku hormati kau sebagai kawan jadi, aku tak nak jadi kawan yang hanya akan menghubungi kawan bila ada masalah. Oleh tu, aku datang cari kau bila aku dah selesaikan masalah,” jawab Rafidah dengan senyuman manisnya.
“Rafidah, kaulah kawan yang paling aku sayang!!!” Aku tak dapat mengawal diri daripada memeluknya.
Rafidah. Sejak dari dulu sampai sekarang, dia sentiasa membantu aku memotivasikan diri sendiri. Dia juga selalu muncul disaat-saat aku perlukan seseorang. Secara tak langsung beri aku inspirasi untuk menghadapi hari-hari akan datang.
Terus aku terbayang wajah Tiara. Sejak beberapa hari ini, aku asyik menganggu hidup Tiara dengan meluahkan masalah aku kepadanya. Walaupun Tiara seperti tidak kisah tapi aku tetap rasa bersalah. Entah bagaimanalah dia mampu bertahan dengan kerenah aku yang tidak putus-putus asyik mengacau hidupnya dengan masalah aku.
“Harum, dah... cukup tu... kau dah buat aku tak boleh bernafas,” kata Rafidah yang cuba meleraikan pelukan aku.
“Sorry,” lantas aku melepaskan pelukan. “Kenapa?” soal aku apabila aku menyedari dia memandang aku lama.
“Seronok dapat jumpa kau semula,” jawabnya.
“Lain kali jangan menghilangkan diri dengan tiba-tiba,” jawab aku berseloroh.
Dia tersenyum. Aku turut mengukir senyuman. Kemudian, dia berpaling memandang lampu-lampu di hadapannya. Aku juga begitu. Aneh. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu indah.
“Apa pendapat kau tentang cadangan kebudak-budakan ni?” soal Rafidah.
“Kau patut bagi markah tambahan untuk dia,” jawab aku sedikit berlawak.
“Kau pun,” balas Rafidah turut menyokong.
 Aku sekadar tersenyum. Aku mencapai handset dan terus menangkap gambar keindahan lampu-lampu di hadapan aku. Selepas aku, aku terus menghantarnya kepada Haikal. Beberapa minit kemudian aku terima mesej daripada Haikal.
Cantik! Tapi sayang. Tiada senyuman sang bidadari di bawah keindahan lampu yang berwarna-warni ni – Haikal. L
“Mengada. Orang bagi betis nak peha,” rungut aku perlahan.
“Apa?” tanya Rafidah.
“Err... tolong tangkap gambar aku.”
Lantas aku beri handset aku kepada Rafidah. Tanpa menyoal, Rafidah menangkap beberapa keping gambar aku di bawah cahaya lampu-lampu sehinggalah aku puas dengan gambar yang ditangkapnya. Aku terus send gambar itu kepada Haikal. Kemudian, baru aku sedar Rafidah asyik memandang aku dengan wajah ‘aku tahu apa yang sudah berlaku’.
“Apa? Aku hanya bagi dia satu markah,” jawab aku yang kurang selesa dengan tenungan Rafidah.
“Kau patut berhati-hati bagi markah pada lelaki yang lebih muda dari kita. Kadangkala 1 markah boleh bertukar jadi 100 markah dan kalau betul 1 markah pun, lama-lama boleh capai 100 markah,” kata Rafidah dengan makna yang mendalam.
“Aku tahu apa yang aku buat.”
“Begitu juga aku,” katanya sambil menggodek bebutang handsetnya. Aku dapat agak apa yang dia sedang lakukan tapi aku tidak mahu tanya dengan lebih lanjut.
“Kadangkala, bila berkawan dengan lelaki yang lebih muda buat kita pun jadi muda. Aku teringin nak baling snowball. Care to join me?”
Aku memberinya senyuman setuju.

~~~

“Apa yang buat kau tiba-tiba sediakan sandwich untuk aku ni?” tanya Tiara yang pelik apabila menerima sarapan yang dibuat oleh aku sendiri pada pagi itu.
“Saja. Aku terlampau rajin pagi ni. Jadi, aku buat lebih untuk kau.”
Aku cuba menyembunyikan niat sebenar. Sejujurnya aku memang buat sarapan ini untuk Tiara. Bukan disebabkan aku terlampau rajin. Aku memang buat khas untuk dia sebab aku ingin berterima kasih kepada Tiara yang sanggup layan karenah aku.
“Emm... tapi aku tetap rasa mesti ada sesuatu yang tak kena ni,” Tiara masih tidak percaya.
“Mana ada apa-apa. Jangan risau, aku bukan datang nak mengampu atau minta tolong.”
“Betul?”
Aku mengangguk dengan penuh yakin.
“Atau... Uzair dah telefon kau?” teka Tiara.
Aku menghela nafas lemah. Kenapalah dia sebut nama Uzair. Bersusah payah aku baling snowball malam tadi untuk lupakan Uzair buat seketika tapi hari ni Tiara pula buka cerita pasal Uzair. Tak apalah. Layan ajelah.
“Tak. Perlu sangat ke dia telefon aku?”
“Harum... cara kau cakap tu....”
“Jangan risaulah. Aku tak apa-apa. Dia nak telefon aku atau tak, itu dia punya pasal. Aku dah malas nak fikir. Kalau dia ingat aku kat sini, kalau dia rasa aku ni masih teman wanita dia... dia tentu akan telefon untuk bertanya khabar. Kalau dia tak telefon, aku anggap... dia perlukan masa untuk sendirian,” jawab aku dengan tenang.
“Kau tak marahkan dia lagi?” soal Tiara.
“Marah. Aku sangat-sangat marah. Marah aku bukan tahap nak pijak lipas saja tapi aku nak bakar lipas tu. Tapi apa yang aku dapat kalau aku marah sampai ke tahap tu? Tak ada apa-apa bukan? Dia tetap tak call, tak mesej. Hilang macam tu saja. Jadi, cara yang terbaik adalah tunggu. Tunggu dia muncul kembali dan tunggu dia bersuara tapi malangnya dia hanya berdiri di belakang aku tanpa melakukan apa-apa,” ujar aku dengan penuh geram dan berpaling ke belakang.
Memang sejak dari tadi aku sedar kehadiran Uzair. Aku bukan ada kuasa untuk mengesan kehadiran seseorang tapi aku dapat kesannya dengan bau haruman yang selalu dipakainya. Mustahil aku tak dapat cam haruman Uzair.
Aku cuba bertenang. Senyuman aku ukir dengan penuh payah sekali. Kalau diikutkan hati memang aku tak teringin hendak tengok muka dia lagi. Tapi, orang kata jangan campur adukkan hal pejabat dengan hal peribadi. Jadi, aku perlu berani berhadapan dengannya.
“Selamat pagi Encik Uzair. Saya balik pejabat dulu,” kata aku terus mengatur langkah. Aku lalu di sebelah Uzair yang masih tercegat di muka pintu.
“Harum...,” panggilnya.
Langkah aku automatik terhenti.
“Lunch nanti you free tak?” Dari suara Uzair, aku dapat rasa dia macam serba salah. Dia seperti berharap aku dapat memberinya peluang. Tapi, jangan haraplah aku nak bagi dia peluang. Dia dah buat aku hampir gila memikirkanya, kini aku harap dia pula gila memujuk aku.
“Tengah hari ni saya dah janji nak makan bersama bos saya,” jawab aku selamba. Ini bukan alasan tapi memang aku perlu keluar dengan Shahir untuk berjumpa dengan pelanggan. Aku perasan wajah Uzair berubah. Cemburu?
Bagus! Rasakan!
“Tak ada apa-apa lagi? Kalau macam tu, saya balik dulu. Bos saya perlukan saya sekarang!” Aku terus mengatur langkah meninggalkan pejabat Uzair. Puas rasanya. Aku rasa macam akulah pemenang dalam permainan ini. Baru aku faham. Kenapa sesetengah perempuan suka tengok teman lelakinya cemburu. Rupanya, seronok juga cemburukan hati lelaki ni ya!

Thursday, 13 September 2012

Haruman Cinta: Bab 21




Isnin! Aku teramat tak suka hari Isnin. Hari Isnin memang banyak kerja yang perlu aku buat. Aku memang suka kerja yang banyak. Bila banyak kerja, aku akan kerja, kerja, dan kerja sampai tak ingat dunia. Tambahan lagi kerja boleh buat aku lupa apa yang dah berlaku. Aku lupa pasal Uzair. Aku lupa pasal Cameron Highland. Aku lupa pasal strawberi dan yang penting aku lupa pasal... oh memalukan!
“Bos ada nak apa-apa lagi ke?” Aku bertanya kepada Shahir yang dari awal pagi tadi dia asyik berkurung dalam pejabat menatap laptopnya. Aku sudah siasat. Dia bukan main facebook. Dia tengah pening kepala hendak buat kertas kerja untuk mesyuarat esok.
Shahir menggeleng tapi langsung tak pandang aku. Sibuk sangatlah tu.
“Kopi?” soalku lagi. Biasalah time macam ni dia mesti suruh aku buat air kopi.
Dia geleng. Geleng je?
“Err... jajan ke? Saya ada banyak strawberi....”
Shahir pandang aku. Pandangannya macam hendak terkam aku pun ada. Takut sebentar. Aku senyap. Tak lama kemudian dia menatap laptopnya kembali.
“Hah, almari bos bersepah. Saya tolong kemaskan,” tanpa berlengah aku terus melulu ke arah almari hitam yang penuh dengan fail-fail yang tidak disusun sempurna.
“Tak payah. Nanti aku susun,” balas Shahir.
“Tak pe bos. Saya tengah tak ada kerja dah ni. Semua kerja yang bos suruh buat dah settle tinggal nak tunggu feedback aje lagi.”
“Tak payah!” tegas Shahir. “Kau ni kenapa terlebih rajin sangat hari ni?”
“Err...,” terus aku hilang kata-kata.
Dia pandang aku semacam. Kemudian tersenyum.
“Jangan-jangan kau dengan Uzair...,” kata-katanya mati disitu.
“Apa?” Soal aku cuma berlagak selamba.
Kemudian dia membuat isyarat. Aku kurang faham isyaratnya. Dia berusaha lagi buat isyarat yang sama. Aku cuba tafsirkan lagi. Lenggok isyarat dia macam....
“Mengarut!” Pantas aku bersuara apabila memahami isyaratnya itu. “Bos nak saya kena panggang hidup-hidup dengan ayah saya ke? Lagipun saya bukan sebebas itu!”
Geram! Ada ke dia ingat aku dah ehem dengan Uzair masa bercuti di Cameron Highlands. Cantik sungguh dia punya imaginasi! Aku sula karang, baru tahu!
“Mana tahukan. Orang sekarang ni memang cukup berani...,” tambahnya dengan nada sinis.
Aku sendiri tertanya-tanya. Ini ke lelaki yang aku tangkap cintan zaman sekolah dulu? Sungguh aku tak percaya yang dia ni otak kuning rupanya! Sama spesies dengan Uzair!
“Itu orang lain. Bukan saya!” Aku masih pertahankan diri aku. Ini maruah aku sudah tentu-tentulah aku perlu pertahankan. Tapi bila cakap pasal maruah... arghhh!
“Habis tu?” soalnya.
“Apa?” soal aku kembali.
“Kenapa rajin semacam hari ni?” dia menyoal lagi.
“Saya memang rajin macam ni selalu. Takkan bos tak perasan?” balas aku selamba.
“Ye ke?” Dia pandang aku lagi. “Betul tak ada apa-apa berlaku?”
“Tak ada,” tegas aku.
“Kalau tak ada kenapa pipi kau merah semacam?”
“Hah?” Aku lantas berlari menghampiri cermin sedarhana besar yang tergantung di dinding pejabat bos aku dan melihat pipi aku melalui cermin itu. Normal. “Tak ada pun.” Aku pandang Shahir. Aku nampak Shahir tersenyum sinis seolah-olah sedang mengejek aku. Barulah aku tahu dia sengaja berkata sedemikian.
“Tak ada apa-apalah!”
Aku dah mula menggelabah. Lebih baik aku cabut dulu sebelum ditanya macam-macam lagi.

~~~

“Pelik,” kata Tiara tiba-tiba.
“Apa yang pelik?” soal aku seraya menyuap nasi ke dalam mulut.
Tiada jawapan daripada Tiara dan aku pun terus menikmati makanan tengah hari. Hari ini aku makan banyak sikit disebabkan aku perlu membakar tenaga yang banyak hari ini. Aku mula perasan Tiara masih tidak menjamah lagi nasinya. Aku pandang dia. Dia tenung aku. Apa pun aku memang tidak suka cara dia tenung aku.
“Ada sesuatu yang berlaku masa di Cameron Highlands ke selain hal kau dengan Uzair?” Tiara menyoal.
Gulp! Kenapa Tiara ni macam ahli nujum?
Tiara memang sudah sedia maklum tentang apa yang terjadi antara aku dengan Uzair di Cameron Highlands. Aku ceritakan dari A-Z kepada Tiara semasa berperap dalam bilik di sana. Memang aku tak boleh berahsia dengan Tiara sebab aku perlukan seorang kawan untuk meluahkan segala yang terbuku di hati aku dan Tiaralah orang yang sesuai.
“Tak ada apa,” jawab aku tenang.
“Betul tak ada apa-apa?” tanya Tiara lagi.
Aku tak menjawab sebalik mengeluh lemah.
“Tiara, aku dah buat sesuatu yang tak bermaruah,” kataku akhirnya.
Senyuman Tiara terukir cantik.
“Apa dah berlaku? Kau buat apa dekat Haikal yang cute tu?”
“Aku... Ah, ni semua salah Haikal. Kalaulah dia tak menyanyi dalam kereta....”

~~~
Imbas kembali malam tadi...


Engkaulah yang satu
Pujaan hatiku
Sucinya cintaku padamu
Sayangku
Hanya kau yang satu
Kasih dan rinduku...
Milikmu...

“Haikal! Tolonglah berhenti menyanyi. Tak sanggup aku dengar lagi dah!”
Telinga aku sudah tidak mampu menampung suara Haikal yang sumbang itu. Kalau dulu dia selalu melalak lagu kanak-kanak tapi hari ini dia bantai lagu rock kapak. Dari satu lagu ke satu lagu buat aku rasa macam hendak plaster saja mulut dia. Mujurlah dia sedang memandu sekarang, kalau tidak memang aku sumbat mulut dia dengan buah-buah strawberi yang aku beli tadi.
“Tadi kau mengadu aku asyik nyanyi lagu kanak-kanak, sekarang aku nyanyi lagu cinta kau suruh aku berhenti pulak,” balas Haikal yang sedang memandu itu.
“Kalau suara kau sedap tak apalah. Kau nyanyilah sebanyak mana yang kau suka, aku tak kisah tapi masalahnya suara kau tu macam katak tak cukup suara!”
“Adui, kau tahu tak, bila kau kata macam tu, kau buat hati aku lagi sakit. Tapi tak pe, aku dah siap hafal satu lagu untuk kau, terimalah lagu seterusnya ‘Lukamu Lukaku jua’!”


Tali yang cumalah sejengkal

Tak dapat kuhulurkan kepadamu
Cukuplah sekadar ku bertanya
Salahkah aku memikirkannya
Di kala kau dilanda duka
Aku datang bersama keikhlasan
Bukan terselit niat serong padamu
Balasannya juga ku terima
Dosa pun akan berlipat ganda
Jika ku tersalah pembawakan
Banyak sudah yang aku perhatikan
Ada yang tersembunyi di sebalik janji
Dan di mana adanya kemanisan
Di situlah ramai yang bertandang

Lukamu lukaku jua
Terhiris tak nampak mata
Sedihmu sedihku jua
Menusuk dalam jiwa
Lukamu lukaku jua
Tak sanggup ku melihatnya
Pedihmu pedihku jua
Biarlah ku bersama

Ya Allah. Lagu New Boyz pula dia hancurkan. Nampaknya aku memang dilahirkan untuk dengar Haikal melalak. Nasib baiklah aku reject dia awal-awal jadi suami aku. Kalau tidak mahu pecah gegendang telinga aku dengar dia menyanyi.
“Baiklah Haikal. Nyanyilah kau sepuas-puasnya. Yang penting sekarang, aku dah penat. Nak tidur!” kataku yang sudah tidak terdaya hendak bertekak dengan Haikal.
“Baiklah tuan puteri. Jangan lupa mimpikan patik ya!” balas Haikal.
Jangan harap. Kau sama sekali dilarang masuk dalam mimpi aku!
Apabila aku memejam mata, Haikal masih lagi meneruskan nyanyiannya. Aku cuba lelapkan mata. Walaupun aku agak mengantuk tapi aku tak boleh tidur disebabkan nyanyian sumbang Haikal. Namun, aku tak mampu hendak berbuat apa-apa. Aku cuba berada di duniaku sendiri. Lama kelamaan suara Haikal semakin tenggelam timbul.
Aku tahu, akhirnya aku berjaya lelapkan mata.
Tiada lagi suara Haikal kedengaran. Perlahan-lahan aku buka mata. Aku nampak sesuatu yang merah. Aku gosok mataku dan betulkan fokusku. Lama aku tenung sesuatu benda merah di hadapanku dan akhirnya barulah mata aku kembali fokus.
“Strawberi!” Aku menjerit keseronokkan apabila melihat buah strawberi yang banyak di hadapan aku. Tetapi seminit kemudian baru aku sedar yang aku berada di sebuah bilik yang penuh dengan strawberi.
Sekali lagi aku bersorak keseronokkan. Aku makan dan makan buah yang dapat aku sambar kiri dan kanan aku. Ah, sedapnya! Rasanya dua kali ganda sedap dari buah strawberi yang aku makan tadi. Manisnya tak terkata. Tetapi aneh, walaupun aku makan dengan banyak tapi aku masih lagi tidak kenyang-kenyang. Tak pernah aku rasa begini.
Sedang aku makan, tiba-tiba aku terpandang sesuatu yang besar.
Buah strawberi yang besar!!!
Sukar aku percayai. Kini, di hadapan aku terdapat satu buah strawberi yang sangat besar.
“Wah, ni makan sekali gerenti kenyang seribu tahun!”
Tanpa berlengah lagi aku terus berlari ke arah buah strawberi gergasi itu. Sampai sahaja di hadapan buah strawberi gergasi itu aku mendongak dengan mulut ternganga. Aku bagaikan orang kerdil sekarang. Lantas aku peluk buah strawberi itu tetapi tangan aku tak cukup panjang untuk peluknya. Aku mencium buah itu.
Sangat wangi!
“Makan dulu!”
Baru sahaja aku menganga mulut hendak makan, tiba-tiba tangan aku ditarik seseorang.
“Harum,” suara ayah kedengaran.
Aku berpaling. Memang ayah tapi macam mana ayah ada dekat sini?
“Dah, jom masuk,” arah ayah sambil tarik tangan aku.
“Strawberi...”
“Hah, strawberi ada kat ibu ni,” suara ibu pula kedengaran. Aku lihat ibu muncul dan pegang sebiji buah strawberi.
“Tak nak. Nak strawberi besar,” kata aku kembali menghadap strawberi gergasi yang masih lagi ada di hadapan aku.
“Harum...!” suara ayah agak tegas kali ini.
“Tak nak. Nak strawberi besar!” Aku protes. Aku rasa tangan aku ditarik kuat.
Tak bloleh! Aku tak boleh biarkan mereka pisahkan aku dengan strawberi besar. Aku berusaha melepaskan diri daripada pegangan ayah aku. Sebaik aku berjaya melepaskan diri aku terus berlari memeluk strawberi besar lalu menggigitnya!
Yeah! Aku berjaya!
Tapi... kenapa strawberi ni keras semacam saja?
“Ya Allah. Harum! Apa kamu buat tu? Kenapa gigit Haikal?” Suara ibu kedengaran lagi.
Haikal? Aku gigit Haikal?
Aku terus tersentak dan mula timbul dari lautan mimpi. Aku terus buka mata. Aku baru menyedari aku masih menggigit sesuatu. Bukan strawberi tapi tangan Haikal! Suasana agak sunyi. Perlahan-lahan aku melepaskan gigitan aku.
Aku blur. Aku tak tahu hendak buat apa. Malu memang teramat malu sampai aku tak tahu hendak beri reaksi apa. Hendak minta maaf? Tapi mulut aku tak mahu bersuara. Jadi, perlahan-lahan aku keluar dari kereta Haikal dan cabut masuk ke dalam rumah!

~~~

Sekarang...
Tiara ketawa besar. Rasanya sepanjang aku berkawan dengan dia, inilah kali pertama aku tengok dia ketawa sampai tak cukup nafas biarpun aku sudah habis bercerita 10 minit yang lalu. Aku tak tahu di mana lucunya. Setahu aku apa yang aku ceritakan tadi bukannya perkara yang lucu tapi memalukan.
“Perlu ke kau gelakkan aku sampai macam tu sekali?” Aku menarik muka masam.
“Sorry,” ucap Tiara sepatah. Kali ini dia cuba tahan gelak. “Ini pertama kali aku dengar kau buat sesuatu yang mengejutkan. Uzair tahu pasal hal ni?”
“Tak. Jangan beritahu dia atau sesiapa pun. Ini rahsia kita berdua. Kalau aku dapat tahu hal ni bocor, aku cari kau sampai ke lubang cacing!” Aku siap bagi amaran.
“Okey, you can trust me,” kata Tiara masih lagi tersengih-sengih.
“Jangan beritahu Uzair!” Aku memberikan amaran lagi.
“Ya. Aku tahu. Takkanlah aku nak khianati kawan aku sendiri. Jadi, lepas tu kau buat apa?”
“Buat apa lagi. Aku terus cabut lari masuk dalam rumahlah.”
“Haikal kata apa?” soal Tiara lagi.
Aku mengangkat bahu.
“Mak dan ayah aku suruh minta maaf pada Haikal tapi aku tak tahu macam mana nak berhadapan dengan dia. Nak tekan nombor telefon dia pun mengigil jari aku. Kesudahnya, aku biarkan saja.”
“Macam tu saja?”
“Habis tu? Lagipun bukan salah aku. Siapa suruh dia menyanyi sampai aku tertidur!” rungut aku. Aku tahu, rungutan aku itu teramatlah tak logik tapi itu sahaja yang dapat aku fikirkan sekarang. “Kenapa kau pandang aku macam tu?” soal aku apabila menyedari Tiara hanya senyap dan memandang aku dengan pandangan yang mencurigakan.
“Kau tak rasa ke... selepas apa yang terjadi... macam kau dengan Haikal memang ada jodoh?” kata Tiara.
“Hah, jangan nak mulakan.”
“Came on Harum, kau selalu baca novel cinta takkan kau tak dapat nak agak yang kau dengan Haikal memang ada jodoh.”
“Itu novel cinta. Ini realiti hidup aku. Sejak lahir lagi, perjalanan hidup aku bukan berlandaskan novel cinta dan Haikal cuma watak sampingan dalam hidup aku.”
“Kadangkala watak sampingan boleh jadi hero,” balas Tiara. “Aku masih tak faham. Dari apa yang kau cerita tentang Haikal, aku dapat rasa yang dia tu boleh tahan jugak tapi kenapa kau tolak pinangan Haikal?”
“Sebab dia lagi muda dari aku,” jawab aku pantas.
“Itu saja?”
“Aku tak suka lelaki yang lebih muda dari aku. Kalau dia tua dari aku... mungkin aku akan terima tapi... aku tetap akan pilih Uzair.”
“Kenapa?”
“Sebab dia tetap budak tak cukup umur bagi aku. Tak matang. Suka buat sesuatu yang menyakitkan hati orang. Orang suruh berhenti menyanyi lagi dia melalak. Huh, memang patut pun aku gigit dia malam tadi,” kata aku sambil berfikir sesuatu. “Ya, memang patut pun dia kena gigit. Jadi, aku tak perlu minta maaf dengan Haikal lagi. Itulah balasannya bila tak dengar cakap orang yang lebih tua. Padam muka!”
“Sekarang, aku tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang tak matang ni,” sindiran Tiara aku balas dengan jelingan tajam.