Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Tuesday 12 February 2013

Haruman Cinta: Bab 23




Aku melihat handset. Ada berpuluh panggilan tidak berjawab atau sengaja aku tak nak jawab. Mesej tak payah dikira. Setiap jam mesti ada sahaja mesej yang aku terima daripada Uzair. Naik muak aku baca mesej dia. Lagi aku nak muntah bila dia tukarkan nama aku jadi “Honey”, “sweetheart”, “babe” dan bermacam lagi yang buat aku rasa macam aku ni bukan manusia tapi makanan!
Inilah lelaki. Dia ingat perempuan dalam dunia ni sama ke? Mungkin cara itu berkesan sedikit bagi perempuan lain tapi bagi aku yang umur sudah hampir dekat angka 30, semua itu hanyalah sia-sia saja. Bukan panggilan macam makanan aku mahukan tapi aku mahu dia sedar dan menyesali apa yang dia buat terhadap aku.
“Tapi macam mana dia nak buktikan yang dia dah sedar dan dia kesal kalau kau tak bagi dia peluang bercakap?” soalan Haikal itu buat aku mati akal. Kenapalah dia suka sangat lontarkan persoalan yang terus buat aku hilang kata-kata.
“Itu masalah dia,” balas aku setelah menyedari aku sendiri tak dapat jawab soalan itu.
“Cik Harum, sekarang ni bukan masalah dia seorang tapi masalah kau juga,” balas Haikal di talian. Begang betul bila dia menangkan si Uzair.
Takkan dia tak faham situasi aku sekarang. Takkan dia tak tahu apa yang Uzair dah buat pada aku hari itu. Dia ada di situ. Dia nampak situasi itu. Tak perlu aku jelaskan lagi. Dia sepatutnya faham tapi aku pula yang tidak faham dengannya yang pertahankan Uzair.
“Ni, aku nak tanya? Yang kau menyebelahi dia tu kenapa? Bukan ke dia heret Mimi, teman wanita kau sekali? Kau tak rasa kita ni dipermainkan ke? Kau tak rasa macam mereka berdua ada hubungan ke?” Aku mula buat andaian.
“Tak,” jawab Haikal pendek. Ini yang aku rasa macam hendak pijak lipas!
“Kau memang tak ada perasan langsung!” Aku mendengus marah. Nasib baiklah Haikal sudah balik ke Pulau Pinang, kalau tidak memang sudah lama aku pergi redah rumahnya dan ketuk kepala dia yang tidak berfungsi dengan baik itu.
“Cik Harum... bagilah dia peluang,” kata Haikal dengan nada yang lembut. Serius. Bila dia bercakap dengan suara yang separuh romantik itu, darah aku yang makin memuncak tadi tiba-tiba turun mendadak. Aku seperti terpukau.
“Berikan 10 sebab kenapa aku perlu bagi dia peluang,” kataku masih ingin menunjukkan sedikit ego. Walaupun Haikal berjaya menurunkan suhu kemarahan aku tapi aku perlu keras sedikit. Biar dia tahu aku bukan perempuan yang mudah lembik dengan kata-kata.
“Kau tak perlukan 10 sebab untuk berikan dia peluang,” kata Haikal. “Lagipun, kau takkan tahu apa yang berlaku kalau kau tak beri dia peluang. Dia nak beritahu kau, Harum. Sepatutnya kau berada di sisi dia dan sokong dia,” kata Haikal seperti dia tahu sesuatu yang aku tak tahu.
“Apa maksud kau?”
“Beri dia peluang,” kata Haikal lagi.
“Haikal! Kalau kau tahu sesuatu lebih baik kau beritahu aku!”
“Lebih baik kau dengarnya daripada mulut Uzair sendiri,” Haikal masih lagi mengelak. Ini yang buat aku begang tahap hendak bakar lipas!
“Okey! Baiklah! Kalau kau tak nak cerita kat aku, tak mengapa. Aku dah mengantuk! Selamat malam!” Aku terus menamatkan perbualan itu.
Tidak lama aku letak handset, aku mendapat satu mesej daripada Haikal. Huh, entah apa pula dia hendak. Takkan nak pujuk aku dengan kata-kata nasihat yang entah apa-apa. Aku langsung tak ada mood hendak baca mesej dia jadi aku letak handset di tepi. Tiba-tiba aku terfikir, mungkin dia tahu aku merajuk dengan dia dan dia rasa tak sedap hati, jadi dia beritahu hal sebenar. Hah! Mungkin!
Jadi, aku terus capai handset aku kembali dan membaca mesej itu.
Selamat malam. Jangan mimpi strawberi besar tau! – Haikal.
“Haikal gila!!!” Terus darah aku naik bila baca mesej Haikal.
Aku tengah pening kepala dengan Uzair, dia boleh buat lawak bodoh yang buat darah aku naik mendadak. Arrghhh! Kenapalah dia ada kat Pulau Pinang?

***

Hari Sabtu. Hari yang begitu aman bagi aku sebabnya hari ini aku tak perlu pergi kerja dan berhadapan dengan Uzair. Hari ni juga aman sebab tak ada sesiapa yang boleh kacau aku sebab aku dah tutup handset sejak malam semalam dan dalam senyap juga aku cabut wayar telefon rumah. Minta-minta ayah dan ibu tak perasan yang wayar telefon sudah dicabut. Semua ini aku buat semata-mata untuk hidup aman tanpa ganggu daripada manusia yang bernama Uzair mahupun Haikal.
“Tak keluar dengan Uzair hari ni?” tanya ibu tatkala aku bergelak ketawa tengok cerita hindustan di televisyen. Aku baru saja dapat lupakan Uzair separuh hari ini, tiba-tiba ibu pula sebut nama Uzair. Aku kembali tension bila namanya disebut.
“Tak. Hari ni rehat,” jawab aku. Aku masih lagi belum beritahu apa yang sudah berlaku antara aku dengan Uzair. Biarlah dulu.
“Rehat ke bergaduh?” kata ibu hampir buat aku tersedak air liur. “Hah... betullah tukan? Bergaduhlah ni,” tambah ibu lagi. Pandai betul ibu meneka tapi tak semudah itu aku hendak mengaku.
“Mana ada. Kita orang memang tak ada plan nak jumpa hari ni. Ibu ni, janganlah fikir yang bukan-bukan.”
“Harum, ibu ni dah lama kenal kamu sampai ibu tahu apa yang tak kena. Kongsi dengan ibu, apa yang dah berlaku sampai kamu berdua bergaduh?” Ibu terus mendesak.
“Tak ada apalah, ibu. Harum dengan Uzair baik-baik saja.”
“Mmm... baguslah kalau macam tu,” akhirnya ibu mengalah hendak bertanya.
“Telefon rumah?” suara ayah bercakap dengan seseorang mengejutkan aku. Tambah lagi ayah ada sebut pasal telefon rumah. Terus jantung aku berdegup dengan pantas. Aku sekadar melihat ayah keluar dari bilik menghampiri telefon rumah.
Aku mula cuak apabila ayah mengambil telefon rumah dan ditekapkan ke telinganya. Bila dia rasa ada sesuatu yang tidak kena, dia mengangkat telefon itu sehinggalah dia dapat tahu punca sebenarnya.
“Patutlah, wayarnya tercabut,” kata ayah kembali mencucuk wayar itu.
Ibu pandang aku. Aku berpura-pura tidak tahu apa-apa. Kalau ibu tahu akulah yang cabut wayar itu gerenti kena soal tanpa henti. Kemudian, ayah menghampiri aku dan menghulurkan handsetnya membuat aku lagi menggelabah. Takkanlah Uzair telefon ayah aku. Setahu aku, dia mana ada nombor telefon ayah aku.
Tiba-tiba aku teringat peristiwa aku jatuh pengsan di tempat kerja. Uzair ada dapat panggilan daripada ayah pagi itu. Ah, sudah sah-sahlah dia tahu nombor telefon handset ayah aku! Cis, macam manalah aku boleh terlupa!
“Siapa?” tanya aku sebelum handset bertukar tangan.
“Haikal,” kata ayah.
Huh, Haikal lagi. Tak habis-habis dengan Haikal. Sana sini mesti Haikal. Aku bergaduh dengan Uzair, Haikal juga yang muncul. Aku tutup handset, cabut wayar telefon, Haikal juga yang bertindak telefon ayah aku. Ke mana perginya Uzair? Kenapa teman lelaki aku ini begitu lembab bertindak? Kenapa mesti Haikal yang perlu bertindak ini? Hisy, tak faham betul!
“Nak apa?” tanya aku yang sudah berlari masuk ke dalam bilik. Aku sengaja tidak mahu bercakap depan ayah dan ibu, nanti macam-macam spekulasi yang keluar. Janganlah mereka fikir aku dengan Haikal bercinta dalam diam. Nanti tak pasal-pasal mereka rancang hendak jodohkan kami lagi dalam senyap.
“Kau tutup handset?” tanya Haikal.
“Handset habis bateri. Aku malas nak cas,” jawab aku selamba.
“Dan cabut wayar telefon rumah?” soal Haikal lagi.
“Kau nak apa ni? Tak boleh ke kau bagi aku hidup dengan aman hari ni? Kau sepatutnya faham, kalau aku dah tutup handset dan cabut wayar telefon rumah, kau sepatutnya tahu yang aku tak nak diganggu. Takkan itupun aku nak beritahu?” Aku mula naik angin.
Tension sungguh kebelakangan ini. Hari ini, dengar nama Haikal pun dah buat aku tension seluruh badan. Kalau Haikal ada di hadapan aku memang aku baling dia dengan pasu bunga kat rumah aku ini.
“Kau tak hubungi Uzair?” soal Haikal.
Aku rasa macam mahu menjerit sekuat-kuatnya! Kenapalah budak ni tak faham-faham bahasa? Aku tak nak bincang pasal Uzair buat masa sekarang. Apatah lagi dengar nama Uzair. Tapi kenapalah Haikal ni masih mendesak aku? Apa tujuan dia yang sebenar? Sengaja hendak buat aku jadi gila? Huh, budak ini memang sudah melampau!
“Kalau kau telefon aku semata-mata nak tanya aku sama ada aku dah maafkan Uzair atau tak, lebih baik kau beri tumpuan pada hidup kau tu. Aku percaya, banyak lagi yang kau perlu fikirkan selain selesaikan masalah aku.”
“Harum, dengar dulu....”
“Aku tak nak dengar apa-apa lagi, Haikal. Kalau aku bagi peluang kau bercakap, aku pasti kau tentu akan sokong Uzair. Kadang-kadang aku tak faham dengan lelaki dalam dunia ni. Bila nak dapatkan perempuan punyalah bersungguh-sungguh sampai sanggup berkorban apa saja tapi bila dah jemu, dia tinggalkan begitu saja. Pujuk perempuan pun macam nak tak nak saja. Perlu ke aku bagi peluang kepada orang begitu?”
“Cik Harum...”
Sebelum Haikal meneruskan hujahnya, aku lantas bersuara, “Encik Haikal, berhentilah jadi penasihat cinta. Aku tak perlukan penasihat seperti kau yang langsung tak dapat pikat perempuan yang kau suka kemudian beralih pada perempuan yang... tak cukup matang dalam bercinta,” ujar aku dengan geram.
Aku dengar keluhan Haikal. Dia terasa dengan apa yang aku cakap? Kalau ya, biarlah. Itu memang tujuan aku sebenar. Lebih baik dia terasa. Semoga selepas ini dia tak kacau hidup aku lagi dengan bagi nasihat yang entah apa-apa.
“Baiklah Cik Harum. Aku tak nak bergaduh dengan kau,” kata Haikal.
Hah, tahu pun!
“Aku cuma nak sampaikan yang ibu kandung Uzair dah meninggal dunia pagi tadi. Kalau kau marahkan Uzair pun, janganlah kedekut nak sedekahkan Al-Fatihah dan doa kepada arwah ibunya.”
Tuttt... panggilan terus ditamatkan.
Aku terkesima. Aku sendiri tidak pasti apa yang aku dengar tadi. Betulkah apa yang dicakap oleh Haikal atau dia sengaja hendak takutkan aku? Tapi, bila difikir balik, ada ke orang sengaja lontarkan jenaka begitu semata-mata hendak pujuk orang yang merajuk?
Lantas aku mencapai handset aku dan mengaktifkannya. Aku hanya perlu tunggu selama lima minit dan kemudian berduyun-duyun mesej masuk dalam inbox aku. Menggigil tangan aku membuka satu demi satu mesej. Kebanyakannya mesej misscall dari beberapa nombor. Nombor telefon Tiara, Mimi Fazila, Haikal dan ada beberapa lagi yang aku tak pasti. Yang paling banyak sekali, miscall daripada Uzair!
Aku membaca mesej yang seterusnya. Mesej daripada Tiara membuatkan aku menggeletar seluruh badan; Harum, aku cuba call kau tak dapat. Aku call rumah kau pun sama. Aku tak tahu nak buat apa lagi. Aku tahu kau masih marah dengan Uzair. Aku cuma nak sampaikan, ibu Uzair sudah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Aku terduduk. Aku mula teringat peristiwa di Cameron Highland dulu. Dia pernah kata hendak pergi ke Kuantan dan tinggalkan aku begitu sahaja dengan Haikal.
“Awak, awak balik dengan Haikal. Saya dengan Mimi akan ke Kuantan sekejap,” suara Uzair ternyiang-nyiang di telinga aku. Tapi, apa yang aku tak faham. Aku pernah jumpa ibu Uzair. Masa itu aku tengok ibunya sihat lagi. Tak ada pula macam orang sakit. Apa dah berlaku sebenarnya? Takkan aku ditipu? Takkanlah dua orang itu sengaja hendak menipu aku dengan berita begini!
Tanpa buang masa, aku terus menghubungi Tiara sebelum banyak lagi persoalan-persoalan yang memeningkan kepala menganggu aku. Panggilan aku dijawab dengan hanya dua kali deringan.
“Harum! Kau pergi mana? Puas aku cuba hubungi kau!” suara Tiara macam orang yang lama tidak bercakap dengan aku pun ada.
“Aku tutup handset. Betul ke apa yang kau mesej tu?” aku pantas bertanya.
“Ada ke orang sengaja nak tipu-tipu pasal kematian orang?” Tiara menyoal aku kembali.
“Tapi... aku baru jumpa ibu dia....”
“Kau jumpa ibu tiri dia bukan ibu kandung dia,” Tiara pantas memotong kata-kata aku.
“Hah? Itu ibu tiri dia?” Aku tahu ini soalan yang bodoh. Apatah lagi aku bertanyakan tentang keluarga teman lelaki aku. Aku sepatutnya tahu dengan lebih lanjut tentang Uzair tapi inilah yang berlaku. Aku langsung tak tahu apa-apa tentang Uzair.
“Takkan kau tak tahu?” soal Tiara. “Yang kau jumpa tu ibu tiri Uzair. Ibu kandung Uzair tinggalkan Uzair masa kecil lagi.”
“Kenapa Uzair tak beritahu aku pun?” Aku semakin terasa. Macam macam aku rasa. Aku rasa macam tak berguna pun ada. Uzair banyak ambil tahu tentang aku dan keluarga aku dan aku pula, satu haram pun tak tahu pasal dia dan keluarganya.
“Mungkin dia tak nak kau risaukan dia kot,” kata Tiara mengagak.
Aku mengeluh. Semua perasaan benci aku terhadap Uzair hilang begitu sahaja apabila aku dapat tahu hal yang sebenar. Menyesal memang menyesal. Tapi sudah tak berguna nak menyesal sekarang. Kalaulah aku dengar cakap Haikal awal-awal lagi, pasti sekarang ini berada berada di sisi Uzair yang sedang bersedih.
“Aku tak tahu nak buat apa sekarang. Aku rasa macam orang tak berguna pun ada.”
“Sudahlah. Apa yang penting sekarang, aku nak kau tahu yang Uzair memang gila-gila risaukan kau. Bagi dia mesej pun tak apa asalkan dapat mengubat hatinya,” ujar Tiara cuba memujuk aku. “Sekarang ni dia masih di Kuantan. Aku baru dapat tahu yang ibunya dah dikebumikan tadi. Dia ada mesej aku yang dia akan bercuti selama seminggu sebab ada hal yang perlu diuruskan dan dia kirim salam kat kau. Kalau kau free, kau telefonlah dia. Dia memang tunggu panggilan daripada kau,” tambah Tiara lagi.
“Selepas apa yang aku dah buat? Serius Tiara, aku rasa macam tak berguna. Aku rasa macam tak layak jadi teman wanita dia apatah lagi isteri dia.”
“Harum, kau tak tahu apa yang berlaku jadi, jangan salahkan diri kau.”
“Tapi... aku patut dengar kata Haikal.”
“Haikal? Kenapa dengan dia?”
“Beberapa hari ni dia asyik desak aku supaya bagi Uzair peluang tapi aku tak dengar. Aku bergaduh dengan dia,” beritahu aku dengan perasaan begitu kesal. “Tapi, silap dia jugak sebab tak beritahu awal-awal. Kalau dia beritahu awal-awal bukan ke senang!”
“Pulak,” keluh Tiara. “Aku tak tahu macam mana Haikal boleh tahan dengan perangai kau,” tambah Tiara lagi.
“Apa pulak aku....”
“Tengok tu,” pantas Tiara memintas. Serta merta aku senyap. “Sekarang bukan masa nak bercerita tentang Haikal, Cik Harum. Call Uzair.”
“Nak buat apa?” soal aku. Aku tahu aku telah bertanya soalan yang begitu bodoh tapi aku tak dapat halang mulut aku daripada melontarkan soalan itu.
“Tentulah nak tanya keadaan dia. Walaupun kau bukan isteri dia tapi kau teman wanita dia. Kau tahu tak, jadi teman wanita pun ada tanggungjawab? Uzair sedang lalui saat-saat yang sukar dan tugas kau sekarang, tenangkan dia, beri dia kata-kata semangat supaya dia tahu dia tak keseorangan.”
“Oh...,” aku mengangguk faham. Apa boleh buat. Ini kali pertama aku berpacaran dengan lelaki. Sudah tentulah aku kaku hendak buat apa. “Tapi macam mana?”
“Call dia,” arah Tiara barangkali dia pun sudah fade up apabila aku asyik bertanya.
“Tapi... aku takut....”
“Kalau kau takut, mesej dia.”
“Nak cakap apa?”
“Harum!!!” Lantang suara Tiara memanggil nama aku.
“Aku tak tahu. Aku hilang idea ni,” aku cuba meraih simpati.
“Mesej dia, walaupun kau rasa bukan salah kau tapi minta maaf sajalah. Lepas tu ucapkan takziah dan harap dia dapat terima kehilangan tu,” kata Tiara.
“Kalau dia marah aku?”
“Harum! Buat saja!” tegas Tiara mengarah. Kecuk perut aku seketika. Aku tahu Tiara bukannya marah aku tapi bila sudah datang ketegasan Tiara, perut aku serta-merta boleh jadi kecut. “Tulah. Haikal cuba bagi nasihat, kau marah-marah dia. Tak nak dengar apa yang dia cakap. Lepas tu nak salahkan Haikal lagi. Lain kali cubalah dengar nasihat Haikal tu. Bukan mudah dia nak bagi nasihat kat orang yang dia...,” kata-kata Tiara tiba-tiba terhenti.
“Orang yang dia apa?” aku menyoal sambil tertanya-tanya sama ada Haikal dengan Tiara ini memang saling kenal ke? Kenapa aku rasa macam dua orang ini macam sekepala? Macam kedua mereka pernah bertemu tanpa pengetahuan aku.
“Tak ada apa. Pendek kata, kalau orang bagi nasihat tu fikir dengan mata akal bukan dengan mata hati. Kesian betul aku tengok dengan si Haikal tu....”
Haikal lagi.
“Yelah. Nanti aku minta maaf kat Haikal sekali.” Akhirnya aku mengalah. Kalau tak mengalah gerenti Tiara akan sebut nama Haikal banyak kali. Bukan aku tak tahu, dia tu memang peminat Haikal yang cute tu. Huh, cutelah sangat. Menyampah aku.

***

Akhirnya, selepas tulis, padam, tulis, padam lebih 20 kali, aku berjaya menghantar mesej kepada Uzair. Huh, itupun ambil masa hampir tiga jam hendak mengarang beberapa baris ayat. Nampak sangat aku memang aku yang bersalah. Tatkala aku tekan butang hantar, jantung aku berdenyut macam baru saja nampak hantu. Tubuh aku pula seram sejuk jadinya.
Mana tidaknya. Aku tidak pernah bercinta atau menjalinkan hubungan cinta dengan sesiapa. Jadi, bila berlaku situasi begini, aku rasa kekok pun ada. Nak tak nak bagi mesej pun ada tadi. Ada satu tahap aku rasa macam hendak biarkan terus perkara ini. Biar Uzair datang pada aku dan pujuk aku dan biar dia beritahu apa yang telah berlaku. Tapi, aku rasa tindakan itu memang melampau.
Aku ingat lagi ada satu novel cinta yang aku baca. Dalam novel tu suami isteri bergaduh disebabkan hal kecil tapi disebabkan sifat tolak ansur yang mereka tanam, mereka berbaik seperti biasa. Apa yang penulis cuba sampaikan dalam novel itu memang ada betulnya. Dalam perhubungan, saling bertolak ansur itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.
Sedang aku mengelamun, aku terperanjat apabila mendengar bunyi mesej masuk. Jantung aku jangan cakaplah. Macam hendak tercabut pun ada. Aku tarik nafas dan hembus dengan perlahan-lahan apabila nampak nama Uzair pada skrin handset. Jadi, mesej itu datangnya dari Uzair.
Setelah aku kembali tenang, aku membuka dan membaca mesej itu.
Can’t talk now. Malam nanti saya call. Please, jangan tutup handset lagi – Uzair.
Bila baca mesej Uzair, hati aku yang keras selama beberapa hari ini mula menjadi lembut macam tisu. Tanpa sedar air mata aku mengalir. Rupanya, beginilah perasaan apabila terlalu mencintai seseorang.

***

Malam yang seperti dijanjikan Uzair menghubungi aku. Menggeletar juga aku menjawab panggilan dia tapi mujurlah dia mulakan dengan mukadimah, ‘saya minta maaf’. Dia ucap saja kemaafan, aku terus jadi lembut macam tisu. Tapi sempat lagi aku marah dia dengan keegoan aku. Huh, baru aku tahu yang aku ini memang ada ego yang tinggi.
“Awak ni, jangan seksa saya macam ni boleh tak? Apa salahnya kalau awak beritahu hal yang sebenar pada saya masa di Cameron hari tu? Tak adalah saya nak tarik muka sampai beberapa hari dengan awak,” aku melontarkan segala yang aku tidak puas hati terhadap apa yang berlaku. Biar dia ingat dan tidak ulangi kesilapan begini.
“Saya tak sangka jadi sampai macam ni,” kata Uzair lembut. Suara dia yang lembut itu memang lagi mencairkan hati aku.
“Kenapa awak tak nak beritahu pasal arwah ibu kandung awak sakit?”
Kedengaran keluhan berat daripada Uzair. Dia macam berat sahaja hendak berkongsi masalahnya dengan aku.
“Nanti saya terangkan segalanya. Saya tak selesa kalau bercakap melalui handset macam ni,” ujarnya. Selama aku kenal dia, aku tahu Uzair tidak suka terangkan sesuatu melalui telefon. Malah dia juga bukannya kaki gayut. Dia lebih suka meluahkan sesuatu dengan berhadapan dengan seseorang itu.
“Mmm....”
“Saya kena selesaikan saki baki wasiat ibu sebelum balik ke Kuala Lumpur. So, take care yourself. Jangan banyak fikir sangat. Saya bukan pergi berfoya-foya dengan perempuan lain.”
“Macam perli saya saja.”
Uzair ketawa. Dengar dia ketawa, aku rasa seperti sudah melepasi satu fasa yang teruk. Alhamdulillah. Akhirnya aku dengan Uzair sudah berbaik. Bunga-bunga cinta sudah mekar kembali!!

***

Aku menarik muncung tajam. Konon-konon hendak protes tapi jelingan Tiara lagi buat aku kecut perut. Inilah parahnya bila dia sudah jadi penyokong Haikal. Setiap apa yang Haikal buat, mesti dia sokong sampai aku, kawan baik dia pun dia tidak kira. Begang betul. Tak pasal-pasal aku kena minta maaf dengan Haikal juga.
“Yelah. Yelah. Aku mesej dia,” kata aku sambil mengeluarkan handset.
“Aku tak nak kau mesej dia. Aku nak kau call dia,” kata Tiara. Boleh pula dia bagi syarat begitu. Apa sebenarnya yang dia hendak aku pun tak pasti. Aku syak, masa aku sedang bercakap dengan Haikal nanti, dia pasti akan rampas handset aku dan menggedik dengan Haikal. Pasti punya!
“Banyak cantik. Uzair pun aku bagi mesej saja masa minta maaf dengan dia. Kalau aku call Haikal itu dah lebihlah tu. Lagipun, aku takut aku naik darah bila bercakap dengan dia,” aku sengaja beri alasan.
Tiara menjeling tajam. Jelingan Tiara serupa macam singa betina yang tengah kelaparan dan bila-bila masa sahaja akan membaham mangsanya. Bila aku tengok jelingan Tiara tadi, terus aku berubah fikiran. Lebih baik aku ikut saja cakap dia. Kalau dia hendak menggedik, biarlah. Asalkan jangan kacau hidup aku selepas ini.
“Yelah. Aku call dia sekarang.”
Aku terus mencari nombor telefon Haikal dan menghubungi Haikal. Tapi panggilan aku disambut oleh seorang wanita atau lebih tepat lagi suara operator. Aku mematikan talian dan menghubungi nombor yang sama lagi. Seperti tadi, panggilan aku disambut oleh operator juga.
“Tak dapat hubungi,” beritahu aku kepada Tiara.
“Dia tutup handset ke?” soal Tiara.
“Entah.” Sekali lagi aku cuba hubungi Haikal tetapi operator telefon juga yang menjawab panggilan itu. Aku mula buntu. Kemudian, aku berkalih ke komputer di hadapan aku. Aku membuka facebook. Nasib baiklah komputer aku boleh buka laman web facebook di pejabat ini. Ini kerana facebook dan beberapa laman web lain sudah disekat oleh pihak IT. Hanya komputer pengurus dan setiausaha yang boleh mengakses laman web itu.
Walaupun boleh akses, aku jarang layan facebook pada waktu kerja. Lagipun memang aku tak minat laman sosial begini. Aku daftar facebook pun disebabkan terpaksa.
“Kau buat apa?” tanya Tiara.
“Tengok facebook dia,” jawab aku pendek.
“Dia ada facebook? Kenapa kau tak beritahu awal-awal? Ada gambar dia tak? Aku teringin nak tengok rupa dia. Please...,” rayu Tiara.
Datang sudah gedik minah ni. Aku menggeleng. Memang aku hendak tunjuk gambar Haikal padanya. Biar dia tahu betapa ‘cutenya’ si Haikal itu. Aku mencari-cari Haikal di Facebook tapi aku tak nampak sebarang status terkini dia.
“Ehh... kenapa Haikal tak ada?” tanya aku apabila meneliti senarai kawan facebook aku. Tiada kelibat Haikal kelihatan. “Dia dah buang aku ke?”
Ketika itu aku mula tidak sedap hati.
“Cuba cari betul-betul,” kata Tiara. “Mana tahukan dia tukar nama.”
Aku cuba mencari satu demi satu. Kawan facebook aku boleh dikira dengan jari, jadi memang tidak ada masalah untuk aku periksa seorang demi seorang daripada mereka.
“Tak ada juga....”
Aku pandang Tiara.
“Sah. Dia mesti merajuk dengan kau tu.”
Huh, ada aku kisah?

3 comments:

  1. best ,lama juga kan x ada n3 baru.

    ReplyDelete
  2. best..lamanya saya tunggu, baru teringat balik hari ni baru nak skodeng balik cerita ni.....mesti GP bz sangat2 tu lama tak update kan?
    waaaaaaaaaaa Haikal dah merajuk la

    ReplyDelete