Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Friday 13 April 2012

Haruman Cinta - Bab 3



Kalau boleh aku nak berpura-pura pengsan daripada menghadap muka singa betina yang tengah tengok aku macam tak sabar-sabar hendak terkam aje. Seram betul tubuh aku sejak Encik Uzair kenalkan aku dengan wanita yang bernama Lydia ini. Aku hulurkan tangan hendak bersalam pun, dia buat tak peduli. Nampak gaya lepas ni aku mesti jadi sasaran teman-teman wanita Encik Uzair macam Tiara pernah alami dahulu.
Kalau dulu, masa Tiara ceritakan bagaimana dia diminta berlakon jadi teman wanita Encik Uzair, aku cemburu sangat. Masa itu, aku fikir, kalaulah aku berada di tempat Tiara gerenti aku akan buat teman-teman wanita Encik Uzair yang gedik-gedik tu menyesal seumur hidup tapi sekarang, aku terus kelu lidah. Lutut aku pun hampir menggeletar. Entah apa ilmu yang Lydia amalkan sampai aku jadi takut dengan dia.
Aku dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Nak lari pun tak boleh. Silap aku juga sepatutnya aku bertanya awal-awal pada Encik Uzair ke mana dia nak bawak aku. Kalaulah dia cakap awal-awal nak mintak aku berlakon jadi kekasih dia, okey aku sanggup. Lagipun bila lagi nak jadi heroin macam dalam novelkan. Tapi masalahnya, Encik Uzair beritahu waktu nak masuk ke kandang singa. Mana sempat aku nak pakai perisai segala bagai.
“Jadi, dialah yang you cakap selama ni?” soal Lydia kepada Encik Uzair.
Lydia memandang aku dengan sekali jeling. Tajam pula tu. Dah sah, dia ni gerenti species watak antogonis dalam novel yang pernah aku baca. Sebijik. Sudahlah pakaian tak cukup kain, mekap tebal kalahkan badut sarkas. Okeh aku tipu. Mekap badut sarkas lagi over tapi aku tetap tak suka cara perempuan ni bermekap. Itu baru mekap, belum lagi bab rambut yang diwarnakan perang dan kuku yang turut diwarnakan merah. Aku suspek gerenti perempuan ni nak sorokkan tahi kuku yang selalu melekat kat kuku dia tu. Pastinya.
“Emm...,” balas Uzair di sebelah aku mengiakan pertanyaan Lydia.
“I tak tahu yang you ni ada cita rasa yang kolot,” kata Lydia sambil menjeling aku lagi.
Aku masih mendiamkan diri. Berdiam bukan disebabkan takut tapi sebab Encik Uzair dah pesan pada aku awal-awal lagi. Aku tak boleh lupa wajah Encik Uzair masa terangkan tujuan dia bawa aku ke sini. Muka dia dan cara dia bercakap macam dia memang ambil berat terhadap aku. Aku rasa macam dunia ini aku yang punya!
“Awak jangan risau, saya akan back up awak kat sana nanti. Apa yang awak perlu buat, duduk diam aje kat sebelah saya,” kata Encik Uzair sebelum kami masuk tadi.
“Tapi macam mana kalau dia cuba baling pinggan kat sana nanti?” soal aku sudah terbayang-bayang babak cakar mencakar antara aku dengan peminat fanatik Encik Uzair.
“Saya kata, saya akan lindungi awak,” jawab Encik Uzair serius.
Perghh! Muka Encik Uzair masa dia pandang aku macam seorang hero yang risaukan heroin aje. Sudahlah handsome giler. Kalau begini, kena baling dengan pinggan pun aku sanggup!
“I tahu you sengaja bawak perempuan kolot ni datang jumpa I, kan? Kononnya nak yakinkan I yang you dah ada orang lain dalam hati you. You ingat I bodoh?” soal Lydia yang dapat mengagak rancangan kami. “Dan you perempuan kolot, you ni memang tak ada maruah ye? Sanggup jadi bahan mainan orang macam dia ni. Muka saja nampak innocent tapi tak ada maruah!” tambah Lydia serang aku pula.
Aku pula, ada aku kisah? Kau nak cakap aku tak ada maruah pun cakap ajelah. Perempuan spesies macam ni kalau dah tak dapat tangkap lelaki handsome macam Encik Uzair mulalah meroyan tak tentu pasal. Tuduh orang tak ada maruahlah. Kolotlah. Lepas ni kalau nak tuduh aku tak ada dara, tuduhlah. Yang penting Allah itu Maha Mengetahui.
“Ini hal kita berdua yang you nak marah dia tak tentu pasal ni kenapa?” soal Encik Uzair seperti yang dijanjinya tadi.
“Dia memang patut pun kena marah. Came on lah Uzair, I dah lama kenal you. I tahu apa yang you suka dan apa yang you tak suka. Perempuan macam ni bukan taste you lah,” kata Lydia lagi sekali lagi memburukkan aku.
Aku hanya tenang. Perempuan yang suka memerasankan diri memang ada di mana-mana saja. Nasib baiklah Tiara pernah cerita spesies-spesies teman wanita Encik Uzair. Ada yang gediklah, ada yang manjalah, ada yang terlebih perasan cantiklah dan ada juga yang perasan dia lebih layak bersama Encik Uzair. Aku pun tak tahu macam mana Tiara handle mereka semua.
“Harum sayang,” panggil Encik Uzair lembut.
Aku di sebelahnya terkejut habis. Mana taknya, aku tak jangka Encik Uzair akan panggil aku dengan perkataan “sayang” di belakang. Perasaan aku tak payah katalah. Kalaulah aku boleh hentikan masa sudah lama aku lompat bintang kat situ. Cuma aku agak terkedu. Tak tahu hendak balas apa.
“You lapar ke?” soalnya seperti malas hendak melayan Lydia.
Aku menggeleng. Tadi memang aku lapar tapi lepas terima jelingan Lydia perut aku terus jadi kenyang. Alangkah seronoknya kalau setiap hari macam ni. Dapatlah aku kuruskan badan aku yang dah semakin berkembang pesat ini. Kalau situasi ini berulangan selama dua bulan, aku pasti, aku dapat bentuk badan aku masa zaman muda-muda dahulu.
Cis, cakap macam sekarang sudah tua aje!
“Huh, baguslah. Badan macam you memang patut diet sikit. Nanti kalau dah gemuk banyak penyakit,” balas Lydia seperti memerli.
Apakah? Aku tak faham masalah perempuan ni. Bagi nasihat? Tapi kenapa aku dengar macam memerli aje? Aku tahulah badan kau perfect slim. Dia ingat orang gemuk aje ke ada penyakit? Penyakit tu adalah ujian daripada Allah. Huh, itupun nak aku buka ceramah agama ke?
“Lydia, I tak tahu apa masalah you. I dah kata hati I dah berpunya tapi you tetap tak percaya. Bila I bawa orang yang dah berjaya tawan hati I you lagi tak percaya. You nak I buat apa lagi sampai you percaya? Kalau you tak percaya juga, hari ni juga I boleh bawa dia pergi jumpa tok kadi,” Encik Uzair cuba menyakinkan Lydia.
Aku dan Encik Uzair jumpa tok kadi? Oh, aku tak dapat bayangkan. Selama aku suka berangan-angan nak jadi teman istimewa Encik Uzair, aku tak pernah terfikir sampai hendak jumpa tok kadi.
“You ni!” tiba-tiba keluar suara gedik Lydia. “Apa kurangnya I ni. You tahukan I dah lama tunggu you. Sejak sekolah menengah lagi I ada hati dengan you tapi you langsung tak pandang I. Dulu you kata I gemuk, bertahun-tahun I berusaha turunkan berat badan sampai jadi macam ni. Lepas tu you kata I tak cantik, jenuh I make up muka I jadi cantik macam ni.”
Serius aku cakap, aku langsung tak rasa kesian pun dengan minah ni. Nak tergelak lagi adalah. Gigih betul turunkan berat badan hanya kerana seorang lelaki. Yang paling aku tak tahan ada ke patut dia cakap muka dia cantik dengan make up macam tu? Huh, aku rasa mata dia memang bermasalah. Dah macam badut sarkas aje aku tengok. Aku berusaha menyembunyikan senyuman.
Mahu saja aku minta diri ke tandas dan ketawa sepuas-puasnya di dalam sana. Tadi punyalah dia kutuk aku gemuklah. Kolotlah. Tapi dia jugak dua kali lima. Itulah orang tua-tua dulu pernah kata, kalau nak mengata orang tu cerminlah diri sendiri dulu.
“Anggap ajelah teknik you tak menjadi,” balas Encik Uzair selamba.
Perghh! Kalau aku jadi Lydia gerenti aku kecewa bertahun-tahun dengan komen Encik Uzair tadi. Memang selamba dan pedih gila. Umpama pisau tajam menikam jantung.
“Uzair…,” Lydia sudah mula menggedik. Rasa macam hendak bagi pelempang pun ada.
“Jom Harum sayang, kita layan diri pilih makanan. I dah lapar,” ajak Encik Uzair sambil bangun dari duduknya. Bagaikan robot, aku hanya mengikut Encik Uzair. Tanpa pedulikan Lydia, kami berdua ke bahagian lauk pauk disediakan. Terdapat banyak jenis lauk-pauk yang dihidangkan dan kebanyakannya adalah masakan melayu. Sudah nama restoran Seri Melayu, sudah tentu-tentulah menyediakan masakan tradisional melayu.
Sedang aku memilih lauk, aku ternampak Lydia sudah bangun dari duduknya dan hilang di sebalik pintu utama. Aku memberitahu Encik Uzair tentang Lydia tetapi Encik Uzair langsung tidak ambil peduli. Tengok Encik Uzair yang senyap, aku malas hendak ambil peduli juga.
Kemudian, kami berlalu ke meja tadi. Kali ini aku sedikit gemuruh apabila tinggal kami berdua sahaja di situ. Kalau tadi aku langsung tidak berasa gemuruh kerana adanya Lydia. Walaupun Lydia sangat menjengkelkan tetapi kehadiran dia tak buat aku rasa kekok bersama Encik Uzair. Kini bila dah berdua-duaan dengan Encik Uzair, nak suap nasi masuk dalam mulut pun aku dah rasa tak berdaya.
Cepatlah masa berlalu!
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran Lydia yang berdiri di sebelah aku. Bukan aku saja terkejut tapi Encik Uzair juga terkejut.
“Kenapa?” tanya Encik Uzair kepada Lydia yang sudah pandang aku semacam. Macam awal-awal aku berjumpa dengan dia tadi. Macam hendak terkam aku pun ada.
“Kunci tertinggal!” jawabnya kasar sambil mencapai kunci kereta yang terletak di atas meja. Dari tadi memang aku perasan akan kunci itu. Aku ingatkan hak milik Encik Uzair, tak sangka pula rupanya milik Lydia.
“Dan lagi, I sengaja tinggalkan kunci ni sebab ada sesuatu I nak sampaikan,” ujar Lydia.
Tiba-tiba Lydia mencapai gelas yang berisi air kosong milik aku dan dalam sekelip mata muka aku sudah basah. Aku terkejut. Ini sudah lebih. Dari tadi aku duduk diam aje. Tak ada langsung nak gedik-gedik sampai boleh menyakitkan hati dia tapi dia dah simbah aku dengan air. Sepanjang hidup aku, tak ada sesiapa yang pernah simbah aku dengan air. Malah, walaupun aku sering liat bangun sembahyang subuh, ibu langsung tak pernah simbah aku dengan air suruh aku bangun.
“Ini balasan kepada orang perampas seperti kau. Huh! Puas hati aku!” hambur Lydia tersenyum puas.
“Lydia!” tengking Encik Uzair kuat.
Suasana di restoran kini sunyi. Hanya muzik tradisional yang kedengaran kini. Kesemua pelanggan berhenti menikmati makanan tengah hari. Begitu juga dengan pekerja di situ yang berhenti membuat kerja mereka. Kini aku rasa macam sedang berada dalam drama bersiri pula!
“Harum, you tak apa-apa?” tanya Encik Uzair terus mendapatkan aku. Dia menggeluarkan sapu tangannya sambil mengelap muka aku yang masih basah. Namun, aku pantas menghalang perbuatannya.
“Saya boleh buat sendiri,” kataku.
Encik Uzair yang serba salah memberikan sapu tangannya. Tanpa berlengah lagi aku terus menyambutnya dan mengelap muka aku. Dalam masa yang sama aku dengar Encik Uzair dan Lydia bertikam lidah. Aku yang berada di antara mereka rasa macam hendak gam kedua mulut mereka aje.
Sudahlah aku kena simbah, lepas tu boleh pulak dua makhluk ini bertikam lidah di tempat awam ni. Hormatlah sikit masa makan orang lain. Aku mengeluh lemah. Selama lima minit aku tunggu tapi mereka berdua langsung tidak berhenti bergaduh. Dengan perlahan aku bangun dari tempat dudukku.
Aku melihat mereka berdua dari jauh. Tak puas hati. Aku dah bangun dari tempat duduk pun keduanya masih bergaduh lagi. Aku perlu lakukan sesuatu untuk hentikan drama percuma ini. Tanpa berlengah lagi, aku mengatur langkah ke sebuah meja yang terdekat.
“Maaf, boleh saya pinjam air ni?” soal aku kepada dua orang pelanggan restoran yang tidak jauh dari kawasan kejadian. Kedua mereka hanya mengangguk. Mungkin masing-masing pun blur dengan kejadian itu.
Tanpa berlengah lagi aku terus menghampiri Encik Uzair dan Lydia yang masih tidak kering idea bertekak. Sekali lagi mereka langsung tidak pedulikan aku walaupun aku sudah berdiri dekat dengan mereka sambil memegang dua cawan berisi air kosong.  Bengang dengan keduanya, lantas aku menyimbah air kosong itu ke arah mereka berdua.
Serentak itu keduanya berhenti bertikam lidah. Lydia hampir menjerit apabila menyedari dia pula yang kena simbah dan Encik Uzair pula terus tergamam. Barangkali dia tidak jangka aku akan simbahnya sekali.
“Dah habis?” soal aku yang sempat meletak kedua cawan ke meja sebelah. “Awak berdua ni harap saja handsome dan cantik tapi tak ada otak. Hal kecil macam ni pun takkanlah nak bertekak sampai ganggu semua orang dalam ni.”
Lydia hendak membalas tetapi aku pantas memotong kata-katanya.
“Cik Lydia, jangan jadi perempuan murahan. Kalau Encik Uzair tak pilih awak, itu maknanya dia tak suka awak. Awak tuduh saya tak ada maruah tapi bukaklah mata tu sikit. Awak terhegeh-hegeh dengan Encik Uzair tu kira bermaruah ke? Sanggup berkorban buat apa saja konon. Kalau awak sanggup berkorban demi cinta, itu tak bermakna awak patut bersolek macam badut dan pakai baju tak cukup kain. Ada banyak cara lagi awak boleh berkorban untuk cinta awak. Move on. Bukan Encik Uzair saja lelaki dalam dunia ini!” tegasku.
Terus buat Lydia terdiam. Aku sendiri tidak pasti. Dia terdiam disebabkan tersentap ataupun tengah beri ruang otaknya memproses maklumat. Lantak. Aku tak peduli. Kemudian pandangan aku berpaling ke arah Encik Uzair.
“Dan Encik Uzair, saya minta maaf sebab terpaksa bertindak kurang sopan. Saya hormat Encik Uzair bukan sebab Encik Uzair berjawatan tinggi dari saya tapi saya hormat sebab Encik Uzair lebih tua dan lebih berpelajaran dari saya. Sebenarnya perkara ni boleh diselesaikan dengan baik. Encik Uzair tak perlu heret saya ke sini dan suruh saya berpura-pura jadi kekasih sementara.
Sebagai lelaki Encik Uzair perlu berani berhadapan dengan perempuan. Kalau Encik Uzair betul-betul tak sukakan Cik Lydia, beritahu ajelah. Tak perlu jadi orang hipokrit dan ego. Kalau dia masih nak menggedik, itu masalah dia. Yang penting, jangan mempermainkan perasaan perempuan sebab kita hidup hanya sekali. Kalau kita ambil mudah dalam setiap tindak-tanduk kita, bukan mudah nak berpatah balik. Fikirkan. Saya balik dulu. Awak berdua boleh sambung bergaduh,” kataku menghabiskan syarahan. Itupun sudah buat aku getar lutut tapi aku puas.
Aku kembalikan sapu tangan Encik Uzair kepada tuannya. Baru aku ingin mengatur langkah, tiba-tiba aku terdengar satu tepukan. Kemudian, dua tepukan daripada salah seorang pelanggan di situ dan dalam masa yang singkat semua yang berada di situ bertepuk tangan. Aku tidak pasti apakah makna tepukan mereka tapi yang pasti sekarang aku perlu keluar dari restoran ini secepat mungkin.


Aku menghela nafas lega. Aku tak mahu pulang ke ofis. Jadi selepas beritahu aku ada hal kepada bos aku, aku terus berlalu ke KLCC yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari restoran tadi. Dalam perjalanan ke KLCC, aku juga mendapat panggilan daripada Tiara. Aku tidak segera menjawab panggilan itu. Aku tahu, pasti Encik Uzair suruh Tiara telefon aku. Barangkali hendak tanya ke mana aku menghilang.
Sebaliknya, aku menaip mesej dan hantar kepada Tiara. Mesej yang mengatakan aku selamat dan ingin bersendirian. Tidak lama kemudian, Tiara membalas mesej aku.
Okey. Kalau ada apa-apa terus telefon aku. Dan malam nanti kita jumpa kat tempat biasa! – Tiara.
Aku kembali menyimpan telefon bimbit dan berlalu masuk ke dalam KLCC. Walaupun aku tiada selera hendak menjamah sebarang makanan tetapi perut aku perlu makan sesuatu. Aku mengatur langkah ke Rotiboy. Makan Rotiboy pun jadilah. Asalkan perut aku tak masuk angin.
Selepas mendapatkan Rotiboy, aku berlalu ke kawasan Taman KLCC dan mencari tempat yang redup untuk berehat seketika. Tapi kebanyakan tempat strategik sudah ada orang. Mahu tidak mahu aku terpaksa duduk di bawah sinaran cahaya matahari. Mujrulah matahari pada tengah hari itu tidaklah terik sangat.
Sambil aku menikmati Rotiboy, sambil itulah aku melayan perasaan sendiri. Apabila terkenang kembali apa yang berlaku tadi, bermacam-macam aku fikir. Menyesal pun ada. Yelah, bukannya senang hendak keluar dengan Encik Uzair. Malah, aku baru aje fikir nak jadikan Encik Uzair sebahagian daripada rancangan aku gagalkan rancangan ibu dan ayah menyatukan aku dengan Haikal. Habis punah harapan aku!
Aku menghela nafas lemah sambil menyandarkan badan. Kepala aku mendongak memandang langit yang cerah. Melihat langit begitu membuatkan aku teringatkan kenangan lama. Masa itu aku baru sahaja terima keputusan SPM. Aku gagal satu subjek iaitu matematik.
Disebabkan takut dengan ayah, aku mengambil keputusan tak nak pulang ke rumah. Jadi, selepas pulang dari sekolah aku terus ke taman permainan berdekatan dengan rumah Haikal. Aku duduk di sebuah bangku dan bersandar sambil mendongak ke langit macam aku buat sekarang.


“Kau tahu kenapa langit tu tinggi?” tanya seseorang mengejutkan aku.
Aku terus memandang ke sebelah. Terkejut dengan kehadiran Haikal di sebelah aku. Entah bila dia duduk di sebelah aku pun aku tak tahu.
“Kau ni memang tak ada kerja lain ke selain terkejutkan orang?” balasku agak kasar.
“Tahu tak jawapannya?” soal Haikal lagi.
“Tak tahu dan tak peduli!”
“Nak tahu jawapannya?” dia menyoal lagi.
Aku senyap. Tak ada mood hendak melayan sesiapa sekarang ini.
“Kalau langit tu rendah, kita mesti akan sesak nafas,” katanya. Aku pun kurang pasti dengan teori itu maklumlah sains aku pun cukup makan aje.
“Tak percaya?” soalnya.
“Siapa yang nak percaya dengan cakap kau!”
“Nak aku buktikan?”
Aku memandangnya. Nak juga tahu macam mana dia boleh buktikan.
“Okey, sekarang kau anggap diri kau tu langit dan aku manusia. Dan jarak kita ni macam jarak tanah dengan bumi dan bila langit tu rendah sampai manusia dapat mengapainya,” perlahan-lahan dia mendekatkan diri. Makin lama makin dekat sehingga jarak muka kami hanya 2 inci sahaja. Sikit lagi bibir kami hampir bersentuhan tapi entah kenapa aku boleh rilek sahaja masa tu.
“Aku dah mula sesak nafas,” kata Haikal. “Kau?”
“Tak,” jawab aku jujur. Walaupun dia dekat begitu, aku masih lagi boleh bernafas dengan baik. Entah apa punya teorilah.
“Memanglah. Sebab bila aku dekat dengan kau, hanya aku saja yang akan bau badan kau yang busuk dan sebab tulah aku kata aku dah mula sesak nafas hahaha!” dia lantas bangun dan melarikan diri.
“Kurang asam!” aku menjerit kemarahan. “Mulai hari ini aku, Harum Atikah menyumpah Hakimi Haikal. Aku harap isteri kau nanti lebih busuk dari aku, huh!”

2 comments:

  1. Ahaks! Sbb kna sumpah tu la yg wt haikal p meminang tu.. Haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. mizz acu,
      haha... tapi Harum masih lagi tak sedar...

      Delete