Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Sunday 27 May 2012

Haruman Cinta - Bab 9


 
Bunga mawar merah. Bukan satu tapi sedozen. Bukan bunga palsu tapi bunga hidup. Malah masih segar lagi. Jantung aku sudah berdegup kencang. Perlahan-lahan aku menghampiri meja kerja aku. Sambil itu aku berdoa yang bunga itu bukan untuk aku. Minta-mintalah untuk Liyana ataupun Zana. Dia orang berduakan ramai peminat dekat tempat kerja aku ini. Mana tidaknya, kedua-dua mereka masih muda belia. Masih bergetah lagi. Apatah lagi dia orang berdua tu boleh dikatakan baru lagi. Mestilah ramai peminat.
“Kak Harum,” Zana terus mendapatkan aku. “Tahniah!”
Aku mengerut dahi. Jadi, bunga itu untuk aku?
Aku terus mendekati meja aku. Ada sekeping kad putih terselit pada bunga itu. Aku mencapai kad tersebut sambil Zana di sebelah tidak sabar hendak mengetahui isi di dalamnya. Aku dapat bunga, budak ni pula menggedik tidak tentu pasal. Tanpa perlu disuruh, aku buka kad putih itu dan baca isi di dalamnya.
Khas untuk Cik Harum,
I’m sorry for everything I done.
Your love,Uzair
Macam tu aje? Huh, dia ingat aku ini budak-budak ke yang senang-senang hendak terima maaf orang. Budak-budak pun belum tentu lagi akan maafkan orang macam dia ini. Buang masa saja.
Aku terus ambil bunga tadi dan memberinya kepada Zana yang masih berdiri di sebelah aku.
“Kenapa kak?”
“Buang,” kata aku sepatah.
“Hah? Tapi bunga ni cantik sangat. Lagi satu bunga ni daripada Encik Uzair,” kata Zana dengan penuh menggedik.
“Kalau macam tu anggap ajelah Encik Uzair bagi kat kau. Kau buatlah apa yang kau nak dengan bunga tu,” jawab aku. Malas hendak memikirkannya lagi.
“Betul? Zana simpan bunga ni ye,” tanpa sempat aku bersuara Zana sudah berlalu ke mejanya. Aku sekadar menggeleng. Jangan kau menggedik dengan Encik Uzair sudah. Dia tu lelaki gila talak. Ada ke lepas sakitkan hati aku dengan kata-kata hinaan, boleh pulak dia call dan beritahu sesuatu yang tidak masuk akal.
Pelik tapi inilah yang berlaku.

~~~

Malam semalam…
Mendengar sahaja nama Uzair, aku dapat rasa badan aku bertukar menjadi sejuk. Sama macam keadaan aku yang baru sahaja tengok filem hantu. Seram tak terkata. Terus lidah aku kelu. Perasaan aku pula macam batu. Otak aku lagilah langsung tak berfungsi. Aku betul-betul dah jadi macam patutng bernyawa.
“Harum?” panggil suara itu lagi.
Suaranya sangat lembut. Serius. Katalah aku gila. Katalah aku bodoh. Katalah macam-macam kat aku, tapi aku tetap kata suara Uzair tadi memang romantik gila. Bila dia sebut nama aku, aku rasa macam jantung aku yang terhenti tadi dengan kata-kata hinaan dia, tiba-tiba sahaja berdegup. Gilakah aku sekarang?
“Harum?” panggilnya lagi.
Aku sudah menggelabah. Tak tahu apa sudah jadi dengan diri ini.
“Harum, saya tahu awak masih marah saya…”
Tak boleh jadi ni. Kalau semua ini berterusan aku rasa, aku boleh jadi gila semula dengan Uzair. Apa yang perlu aku buat sekarang adalah letak telefon sekarang.
“… tolong jangan letak telefon,” pinta Uzair. Bagaikan kata-kata sakti, aku terus tidak jadi mematikan talian.
“Awak nak apa?” aku memberanikan diri bertanya. Itupun dengan suara bergetar. Tangan aku yang sedang pegang handset pun menggigil.
“Peluang,” jawab Uzair. Kali ini aku cuba menenangkan diri. Walaupun aku tidak faham penyakit apa yang sedang melanda aku sekarang, tetapi aku perlu bertenang. Hanya itu sahaja caranya untuk mengelakkan aku buat perkara yang bodoh.
“Peluang untuk sakitkan hati saya lagi?” balas aku.
“Saya tahu awak marah dan memang patut pun saya kena marah,” kata Uzair dengan nada sedikit kesal. Alahai, kenapalah hati aku ni cepat simpati?
“Kalau macam tu kenapa nak telefon saya lagi?” Aku sendiri pun tak tahu dari manakah kekuatan ini datang. Hati bukan main simpati lagi tapi lain pula yang keluar. Syabas Harum! Teruskan usaha anda!
“Sebab awak dah buat saya sukakan awak,” kata Uzair.

~~~

Sekarang…
“Dia cakap macam tu?” soal Tiara. Masuk kali ini sudah hampir 10 kali dia bertanya. Aku tahu, seperti aku, dia juga tidak percaya dengan apa yang aku ceritakan tadi. Tapi itu memang betul. Tiada tokok tambah. Perisa pun semuanya cukup. Itulah yang Uzair kata pada aku. “Kau biar betul,” tambah Tiara lagi.
“Apa gunanya aku buat cerita? Tak ada faedah pun,” jawab aku sambil menjamah roti bakar ketika makan tengah hari bersama Tiara. Hari ini aku langsung tak ada selera hendak makan. Bukan disebabkan pipi aku dah naik tembam tapi disebabkan perut aku pun masih lagi tidak percaya dengan kata-kata Uzair semalam.
“Bos aku ni dah gila ke?” soal Tiara.
“Aku baru saja nak tanya soalan tu,” balas aku.
“Isy, aku masih lagi tak percayalah.”
“Kalau kau tak percaya, kau tunggu ajelah wartawan-wartawan sambilan yang ada kat ofis kita tu nanti. Aku yakin lepas ni gerenti pasal bunga yang aku dapat dari Encik Uzair tu tersebar dengan meluas,” kata aku yang sudah kekeringan idea hendak membuktikan kata-kata aku tadi.
“Pasti ada kesilapan teknikal kat mana-mana,” tambah Tiara lagi. “Dia Uzair. Bos aku. Aku dah lama jadi setiausaha dan sudah masak dengan perangai dia. Apa dia suka dan apa yang dia tak suka semuanya aku tahu. Dan yang paling aku pasti, kau bukan taste dia.”
“Itulah yang aku tak faham. Jangan-jangan dia sengaja nak balas dendam tak?” soal aku. “Yelah, aku dah jatuhkan air muka dia depan orang ramai dan sekarang ni dia nak buat aku jatuh cinta dengan dia. Lepas tu dia tinggalkan aku macam dia buat kat perempuan-perempuan lain sebelum ini?”
“Itulah yang aku fikir,” kata Tiara sambil memetik jari. “Kau kena berhati-hati. Lelaki macam dia memang suka mempermainkan perasaan perempuan macam kau ni.”
“Jangan risau. Dia belum kenal siapa Harum Atikah yang sebenar. Kalau dia berani buat aku macam tu, aku akan pijak dia macam aku pijak lipas!”
Tiba-tiba handset aku berbunyi. Ada satu mesej masuk. Tanpa buang masa aku terus membacanya.
“Tiara, aku rasa aku nak pijak lipas jugak,” ujar aku selepas membaca mesej tersebut.
“Kenapa?” soal Tiara.
Aku tidak mampu hendak kata apa-apa dan terus menyerahkan handset aku kepada Tiara.
Cik Harum, tadi masa aku tengah kemas bilik, aku terjumpa dua tiga ekor lipas. Walaupun aku ni pencinta nyawa lipas-lipas sedunia tapi aku tak tetap tak suka dengan lipas yang bersarang kat gitar kapuk aku ni. Jadi, kalau kau rasa geram atau marah ke, silalah datang ke rumah aku ye – Haikal.
Selesai sahaja membaca Tiara terus tergelak terbahak-bahak. Apa yang kelakar pun aku tak tahu. Kelakar sangat ke mesej tadi? Kalau kelakar kenapa aku rasa macam hendak bagi penampar saja kat Haikal sekarang!
“Cutelah,” akhirnya Tiara bersuara.
Cute? Sah! Mesti ada wayar terbakar dalam kepala Tiara.

~~~

Aku mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 6.30 petang, tetapi bas yang aku tunggu-tunggu masih lagi belum sampai. Bila berlaku macam ini barulah aku terfikir hendak beli kereta sendiri. Susah kalau menumpang orang walaupun yang memandu itu ayah sendiri. Kalau ayah balik lewat, terpaksalah aku balik naik bas. Sudahlah sampai lambat. Sesak dengan orang ramai pulak tu. Dengan keadaan jalan yang sesak. Berdiri lagi.
Rasanya aku patut beli kereta. Ayah pun dah banyak kali memaksa aku beli kereta memandangkan aku sudah ada lesen. Tapi aku saja yang tidak masih lagi tak terbuka pintu hati. Banyak alasan yang aku bagi. Gaji tak cukuplah. Aku bukan kaki jalan. Tak nak sesakkan diri dengan urusan pinjam-pinjam duit ni.
Kena ambil lesen pun kena paksa. Itupun selepas ayah keluarkan kata-kata keramat dia. Aku masih ingat lagi. Mana boleh lupa. Disebabkan kata-kata keramat itulah, esoknya aku terus daftar kelas memandu.
“Kau ni sampai bila nak bergantung pada orang? Umur kau tu bukan 18 tahun tau. Ayah tak nak bila ayah dan mak kau tak ada nanti, kau terkontang-kanting tak tahu nak urus hidup kau. Kau tu dahlah tak ada adik-beradik. Jadi kau kena fikir dari sekarang. Berdikari. Jangan nak harapkan orang lain uruskan untuk kau.”
Pin!!!
Tiba-tiba aku tercampak keluar dari dunia lamunan apabila terdengar bunyi hon kereta yang kuat. Mujurlah aku tak penyakit melatah. Kalau tidak memang aku sudah bersilat dekat hentian bas itu. Bunyi itu kedengaran lagi. Aku memandang jalan raya yang sesak di hadapan. Disebabkan banyak sangat kereta aku tidak tahu kereta mana yang bunyikan hon. Entah siapalah yang tidak faham bahasa jalan raya. Sudah tahu jalan sesak lagi bunyikan hon. Kalau aku dapat tahu, sudah lama aku pergi kat kereta tu dan tendang pintu keretanya. Ingat eloklah perangai suka bunyikan hon masa jalan sesak!
Bunyi hon sekali lagi kedengaran. Kali ini lebih panjang dari tadi. Malah, buat darah aku makin berbuak-buak. Macam gunung berapi yang sedang tunggu masanya untuk meletup saja. Sekali lagi aku pandang sekeliling. Manusia-manusia yang sedang tunggu bas juga turut tidak selesa mendengar bunyi hon tersebut. Ada yang siap menyumbat telinga dengan jari tunjuk mereka.
“Kak, orang tu hon akak ke?” tanya seorang gadis di sebelah aku.
Aku tidak kenal kenal gadis itu tetapi aku tahu dia kerja bersebelahan dengan tempat kerja aku. Aku selalu juga nampak dia makan kat gerai yang selalu aku makan sebelah tempat kerja aku. Mendengar dia kata hon itu ditujukan kepada aku terus buat aku blur. Aku rasa aku duduk dekat hentian bas. Bukannya bawak kereta. Apa kes hendak hon aku pulak?
“Orang mana?” tanya aku sambil melilau memandang sekeliling. Tapi aku langsung tidak dapat mencari kereta yang membunyikan hon tadi.
“Itu,” gadis itu menunjuk ke arah kereta di hadapan aku.
Kereta sport. Warna merah. Aku rasa macam pernah tengok saja kereta itu dan lagi teruk aku rasa aku macam pernah duduk di dalamnya. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Bukankah itu kereta Uzair?! Apa dia buat kat sini? Dan apa hal dia hon aku?
Dari luar aku dapat melihat wajah Uzair. Dia memandang tepat ke arah aku dan mengarah aku masuk ke dalam keretanya. Aku panik. Tidak tahu apa yang harus aku buat. Macam dalam novel pula aku rasa. Tapi malangnya aku langsung tak rasa romantiknya hero dalam kereta itu. Rasa hendak tendang keretanya banyak kali adalah.
Tiba-tiba handset aku berbunyi. Aku nampak dari luar Uzair memegang handsetnya. Sah, tak lain tak bukan Uzair yang telefon aku. Aku ingin biarkan sahaja panggilan tersebut tetapi tangan aku seakan mendustai aku. Nak tak nak aku terus jawab panggilan Uzair.
“Naik kereta,” arah Uzair.
“Tak nak,” jawab aku. Aku terus tutup hanset.
Tidak lama selepas itu, dia menekan hon kereta. Kali ini panjang dan tidak henti-henti. Sampai orang di sekitar naik bengang pun ada. Tapi tiada satu pun daripada mereka yang berani menendang pintu kereta Uzair.
Aku pula berharap bas yang aku tunggu-tunggu sampai.
Tapi aku tak dapat bertahan lagi. Lantas aku bangun dan mengatur langkah masuk ke dalam perut kereta Uzair. Uzair di sebelah mengukir senyuman. Walaupun senyuman Uzair sudah buat aku cair tetapi ego aku tidak kurang sikit pun.
“Puas hati?” aku menjeling tajam.
“Macam tulah sayang.”
“Eee… geli!”
Padahal suka! Parah betul.

~~~

“Awak nak apa sebenarnya?” soal aku tidak puas hati. Macam mana hendak hati hendak puas kalau Uzair langsung tidak sentuh pun pasal hal semalam dan pagi tadi. Tertunggu-tunggu jugak aku kalau-kalau dia hendak beri penjelasan tapi alih-alih aku terpaksa dengar ceritanya tentang pengalamannya pergi ke luar negara.
“Saya nak awak,” kata Uzair berterus-terang. Tiada berkias-kias lagi dah.
“Tolonglah Encik Uzair. Saya tahu taste encik macam mana. Saya bukan dalam golongan perempuan macam tu,” aku cuba bercakap dengan bersopan santun.
“Itulah yang saya tak fahamnya. Awak bukan jenis perempuan yang saya idamkan tapi awak dah buat saya minat kat awak,” jawab Uzair tenang.
“Selain simbah air kat rumah awak, saya tak buat apa-apa yang buat awak minat kat saya,” balas aku.
“Itulah jawapannya.”
“Sebab saya simbah air?”
“A’hah,” jawabnya.
Aku masih lagi tidak percaya dengan jawapan yang diberi.
“Awak ni dah gila apa?”
“Ya. Saya dah gila. Saya gilakan awak.”
Memang gila.
“Saya pun tak tahu kenapa jadi begini,” ujar Uzair tiba-tiba selepas kami mendiamkan diri. Kali ini wajahnya serius. Langsung tidak nampak dia sedang bermain-main. “Sejak awak malukan saya depan orang ramai tu, awak dah tarik perhatian saya. Saya memang akui awak bukan gadis impian saya sebab tu saya sengaja buat awak benci saya.”
“Kata-kata semalam tu….”
“Saya seorang lelaki yang ego. Perempuan-perempuan yang saya kenali juga cakap macam tu. Ego saya tinggi. Jadi, sudah tentulah saya marah bila saya dimalukan. Saya nak balas dendam dan sebab itulah keluarnya kata-kata yang hina semalam. Lepas saya cakap tu, memang saya menyesal sangat. Walaupun saya ada ego yang tinggi, tapi saya tak suka menipu diri sendiri. So, saya terus capai telefon dan telefon awak malam tu.”
“Awak ada nombor telefon saya?”
“Tak, saya minta kat bos awak, Encik Alias. Sudah tentu dia ada nombor telefon awak, bukan.”
Tak guna. Bos aku ni memang tak boleh langsung simpan hak peribadi orang.
“Awak jangan marah Encik Alias. Dia tak tahu apa-apa. Saya cuma cakap nak bagi mesej sebab ucapkan tahniah pada awak tapi nampaknya dia dah tahu….”
“Tahu?” soal aku.
Uzair tidak bersuara, sebaliknya dia terus mencapai handsetnya. Disebabkan jalan raya agak sesak, jadi mempunyai masa untuk membelek handsetnya sebelum diserahkan kepada aku.
“Daripada Encik Alias,” ujarnya apabila handset bertukar tangan.
Aku tahulah. Kau tak payah nak berdalih dengan aku. Nak ucap tahniah konon. Kau ingat aku percaya dengan alasan kau? Nanti aku send no telefon dia. Lepas tu, jadi lelaki sejati. Jangan sia-siakan ‘isteri pejabat’ aku tu. Kalau aku tahu kau buat benda tak senonoh kat dia, bersiap sedialah untuk duduk kat unit rawatan rapi. – Alias.
“Isteri pejabat? Apakah?”
“Gelaran sweet yang dia bagi untuk pekerja kesayangan dia.”
“Hah?”
Uzair gelak. Aku tak tahulah apa yang melucukan dia tapi hati aku sejuk sangat bila nampak dia gelak. Aku rasa semua beban yang aku tanggung dua tiga hari ini hilang begitu sahaja.
“Ah, lega,” keluhnya.
Aku tak faham dengan maksud lega dia.
“Awak tahu tak, dua tiga hari ini hati saya langsung tak tenteram. Saya langsung tak dapat tidur walaupun saya dah luahkan perasaan saya pada awak semalam. Hari ni bila saya dapat cakap dengan awak, saya rasa lega. Tapi ada satu lagi yang saya perlu buat supaya saya rasa tenteram sepenuhnya.”
“Apa dia?” aku pun melayan ajelah.
“Jumpa dengan ibu bapa awak dan maklumkan kepada mereka tentang perasan saya pada awak.”
“Hah?!”
Ini. Buat. Aku. Sungguh. Terharu.

6 comments:

  1. alaaaa...kita suka kat Haikal sbb dia cute & cute & cute & cute & sgt2 cute.hahaha.
    Harum, teguhkan hatimu.Keraskan hatimu.Uzair tak serius tu.kahkahkah

    ReplyDelete
  2. haikal , uzair... 2-2 saya suka...alahaiiii...

    ReplyDelete
  3. Ohhhh tidakkkkkkkk!!walaupon haikal cm kerek nak gila.. Nak harum ngn haikal jugak.. Xmo la uzair. Cm ade agenda tesembunyi jerrr

    ReplyDelete
  4. Tentu Harum dah pening lalat sekarang nih. x tahu yg mana satu harus dipilih, Uzair dgn otak bekunya dan Haikal dgn kelakuan sweetnyer. Apa-2 x sabar nk tggu n3 baru... cepat sikit wat sambungan leh x?

    ReplyDelete
  5. Wowowowow....soooooo sweeeett

    ReplyDelete
  6. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ mua hàng mỹ từ dịch vụ order hàng mỹ hay nhận mua nước hoa pháp từ website nổi tiếng hàng đầu nước Mỹ mua hàng ebay ship về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete