Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Saturday 30 June 2012

Haruman Cinta: Bab 11




Haikal tidak berbohong. Malam itu dengan nada kecewa ayah beritahu yang rancangan nak jodohkan aku dengan Haikal dibatalkan. Aku tahu berita itu sepatutnya membuat aku gembira tetapi entah kenapa aku rasa seperti kehilangan sesuatu. Aku sendiri tidak pasti. Mungkin aku rasa bersalah kerana telah mengecewakan ibu dan ayah.
Aku sendiri tidak pasti adakah ini keputusan yang aku mahukan?
“Ayah bukannya nak memaksa Harum tapi ayah cuma risaukan Harum. Kalau ayah dan ibu tak ada nanti, siapa nak jaga Harum?” kata ayah dengan nada kecewa.
“Ayah…,” tiba-tiba dada aku menjadi sebak. Air mata aku sudah mula bertakung. Tinggal hendak jatuh saja lagi. “Harum minta maaf….”
“Tak mengapalah Harum. Ayah faham. Ayah terlampau mendesak. Ayah takut anak ayah seorang ni tak ada sesiapa nak rupanya ayah silap,” kata-kata ayah buat aku tergamam. Kemudian aku lihat ayah tersenyum. “Lain kali kalau Harum ada kekasih jangan sorok-sorok dengan ayah dan ibu lagi.”
“Hah?” aku tercengang. Bila masa pulak aku kata aku dah ada kekasih? Tiba-tiba aku teirngatkan Uzair. Mungkinkah ayah maksudkan Uzair? “Ayah, Harum dengan Uzair….”
“Ayah tahu. Budak tu dah cerita segalanya.”
“Hah?!”
“Dia datang rumah siang tadi masa Harum keluar dengan Haikal. Dia dah ceritakan semuanya pada ayah,” tambah ayah lagi. Aku masih lagi tidak percaya Uzair akan bertindak sejauh ini. “Walaupun ayah masih marah lagi dengan kata-kata dia malam tadi, tapi ini pertama kali ayah jumpa lelaki yang berani macam dia tu. Satu sikapnya yang ayah puji, dia berani hadapi kenyataan dan bila dia dah cipta masalah tu, dia tak lari dari masalah. Ayah izinkan Harum berkawan dengan dia tapi dengan syarat, pandai-pandailah Harum jaga diri dan nama keluarga.”
“Ayah…,” aku hilang kata-kata. “Ayah, Harum sayang ayah!” Aku terus peluk ayah.
“Ayah saja? Ibu tak sayang?” suara ibu pula mencelah.
Aku tersengih lalu aku menarik ibu dan memeluknya. Aku rasa lega. Beban yang aku tanggung selama ini hilang dengan tiba-tiba. Saat itu air mata kegembiraan mengalir di pipi. Aku gembira kerana dilahirkan dalam keluarga ini. Sangat gembira.

~~~

Hari Isnin. Aku kembali ke tempat kerja dengan mood yang ceria. Bila sampai saja ke meja aku, aku dikejutkan dengan kehadiran sejambak bunga mawar merah. Tidak perlu aku teka, aku tahu siapa yang menghantarnya. Zana di sebelah sudah senyum-senyum. Aku tahu makna senyuman dia.
“Kalau nak, ambillah,” kataku tanpa memandang Zana.
“Inilah budak-budak sekarang,” suara Kak Gayah kedengaran memecah kesunyian pagi dalam pejabat itu. “Dulu bukan main tergedik-gedik dengan lelaki tu tapi bila dah dapat tangkap dia pula main jual mahal.”
“Teknik, Gayah. Teknik perempuan zaman sekarang,” celah Kak Kamariah pula yang juga merupakan sahabat baik Kak Gayah. Aku yang mendengar hanya mampu memekakkan telinga sahaja. Kena perli dengan mereka berdua memang sudah jadi rutin harian aku tapi setakat ini aku tak pernah lagi cari gaduh dengan mereka.
Biarpun mereka sudah banyak kali buat hati aku sakit tapi aku tetap mendiamkan diri. Kalau diikutkan hati memang sudah lama aku serang mereka berdua tapi disebabkan aku seorang yang jenis tidak suka bermusuh dengan sesiapa, aku pekakkan telinga sahaja. Aku tidak tahu berapa lama mereka akan terus perli aku tapi aku harap suatu hari nanti mereka berhenti berbuat demikian.
Sebabnya, aku yakin aku tak bersalah. Sejak pertama kali aku jejak kaki ke tempat kerja ini, mereka sudah tarik muka dengan aku. Kalau ditanya, aku pun tak tahu jawapannya sebab aku jarang berbual dengan mereka. Tapi menurut cerita-cerita tak rasmi yang aku dengar, mereka tidak puas hati sebab aku lulus dalam sesi temu duga sehingga mengetepikan adik Kak Gayah yang dikatakan bersaing dengan aku untuk jawatan yang aku sandang ini.
Mendengar cerita tak rasmi itu membuatkan aku tergelak sampai tak cukup nafas. Jawatan Pembantu Tadbir pun hendak bergaduh sampai begitu sekali? Huh, aku semakin tidak faham dengan manusia-manusia sekarang. Mungkin disebabkan itulah keduanya selalu buat aku pening kepala dengan memberi aku kerja yang banyak masa awal-awal aku masuk.
Tapi sekarang sudah berubah. Semuanya berkat nasihat ibu yang suruh aku bertahan. Kata ibu, “Setiap apa yang berlaku, mesti ada hikmahnya. Jangan disebabkan kena buli dengan mereka Harum nak letak jawatan. Biarkan mereka. Allah itu Maha Adil.”
Ayah pula beri nasihat, “Alah, itu sikit saja. Ada lagi yang lebih teruk dari tu ayah pernah jumpa. Kalau kena buli sikit macam tu pun dah takut, baik duduk dalam gua.” Kata-kata ayah lagi membuat aku tersentap. Lebih tajam daripada kata-kata mereka berdua. Jadi, sejak hari itu aku pekakkan telinga saja.
Kini, setelah hampir lapan tahun aku bertahan, akhirnya kesabaran aku terbalas apabila aku dinaikkan pangkat dan ditukarkan jabatan. Jadi, beberapa hari lagi dari sekarang aku tidak lagi akan dengar kata-kata sindiran mereka. Walaupun bukan ini ending yang aku harapkan, tetapi sekurang-kurangnya tiadalah aku stress mendengar sindiran mereka.
Seperti sekarang. Aku mula stress.
Aku terus bangun ke pantri membancuh air untuk minuman pagi. Zana turut bersama mengekori aku ke pantri.
“Kenapa?” tanya aku kepada Zana yang seperti hendak berkata sesuatu.
“Err... kenapa Kak Harum tak suka Encik Uzair?” tanya Zana.
Aku terkejut dengan soalan Zana tadi. Tidak sangka dia berani tanya soalan begitu. Iyalah, aku bukannya rapat dengan Zana dan kalau aku jadi Zana pun aku takkan berani tanya soalan itu pada seseorang yang aku tak rapat. Walau bagaimanapun aku tetap bertenang.
“Zana suka Encik Uzair ke?” aku pula bertanya.
Zana mengangguk. Sekali lagi aku terkejut. Hebat betul budak-budak sekarang. Tiada lagi malu-malu kucing macam perempuan zaman dahulu.
“Kenapa?”
“Dia macam arwah abang Zana,” kata Zana tiba-tiba dengan sayu.
Aku ada dengar cerita tentang itu. Abang Zana meninggal dunia dalam kemalangan setahun yang lalu. Masa itu Zana masih lagi belum bekerja dengan kami tapi Zana sering kali menyebut tentang arwah abangnya. Kadangkala aku terpaksa memujuknya supaya jangan terlampau memikirkan orang yang sudah tiada. Tapi bila dia kata Uzair macam arwah abangnya, barulah aku faham kenapa Zana turut meminati Uzair dalam diam.
“Tapi dia tu kaki perempuan....”
“Tapi yang penting sekarang, dia dah jatuh cinta dengan Kak Harum,” potong Zana. Kata-kata Zana buat aku terdiam. Aku lihat Zana tersenyum. “Zana cuma sukakan Encik Uzair tapi Zana tak cakap Zana jatuh cinta pada Encik Uzair.”
“Oh...,” aku mengangguk. Nampaknya aku sudah salah faham.
“Kak Harum,” panggil Zana. “Berusaha!”
“Hah?”
“Zana percaya Kak Harum boleh buat Encik Uzair jadi lelaki sejati dan tinggalkan perangai kaki perempuan dia. Jadi, berusaha!” kata Zana sebelum berlalu keluar dari pantri.
Aku masih lagi terpinga-pinga. Lama kemudian aku tersenyum kelucuan.

~~~

“Jadi, Haikal dah tarik diri dan Uzair dah mula masuk line... tiba-tiba aku rasa kau ni macam heroin cerita cinta pula,” kata Tiara selepas aku menceritakan segalanya.
“Apa pendapat kau?” tanya aku tanpa mempedulikan suasana bising di kedai makan itu. Waktu rehat, biasalah.
“Tentang apa? Haikal tarik diri atau Uzair masuk line?” soal Tiara sambil meratah ayam. Sampai sekarang aku masih tidak faham dengan teknik diet Tiara. Nasi tak makan tapi ayam habis dibedalnya sampai dua tiga ketul.
“Tentang Uzairlah. Haikal buat apa.”
“Tapi aku suka dengan Haikal. Dia sangat cute,” komen Tiara buat aku rasa macam hendak memuntahkan makanan dalam mulut aku.
“Boleh aku tahu apa definasi cute kau tu?” tanya aku geram. “Kau belum jumpa dia lagi tapi kau dah kata dia cute. Aku tak faham apa yang Haikal dah buat dengan wayar-wayar dalam kepala kau.”
“Berapa lama kau kenal aku? Walaupun aku tak pernah jumpa lelaki tu tapi melalui cerita yang kau beritahu aku, aku boleh tahu macam mana orangnya.”
“Oh, aku lupa yang kawan aku ni seorang playgirl terkenal.”
“You know me,” kata Tiara dengan bangga.
“Uzair pula?” soal aku.
Tiara menarik nafas panjang. Aku tahu maknanya. Kalau Tiara seorang yang pandai menilai lelaki, aku pula seorang yang pandai menilai Tiara.
“Okey, aku beritahu hal yang sebenar. Lepas aku beritahu, terpulang pada kau nak terima atau tidak,” kata Tiara serba salah.
“Ada cerita yang aku tak tahu ke?”
“Aku buat keputusan tak nak beritahu kau selama ni sebab aku rasa kau tak perlu tahu tapi bila dah jadi sampai ke tahap ni dan bos aku pun macam dah gila bayang dengan kau sampai dia ganggu aku tidur semata-mata nak tanya, kau suka makan apa, jadi aku buat keputusan untuk beritahu kau,” tambah Tiara lagi.
Aku sekadar tersenyum. Sampai begitu sekalikah Uzair jatuh cinta dengan aku?
“Uzair bukanlah playboy sebenar. Dia playboy jadian. Dia seorang yang sangat-sangat setia dalam percintaan dan sanggup lakukan apa sahaja untuk orang yang dia sayangi. Dulu dia ada seorang teman wanita. Cinta pertama dia tapi malangnya dia dikecewakan.”
“Teman wanita dia ada lelaki lain?” celah aku.
“Tak. Teman wanita dia ada wanita lain. Dengan kata lain, lesbian.”
Aku terus menutup mulutku dengan tangan. Sungguh tidak sangka.
“Uzair dapat tahu dia rasa kecewa dan kau tahulah apa yang terjadi. Dia sering mengorat wanita dan akhirnya meninggalkan mereka bila mereka dah jatuh cinta dengannya. Bila dia buat macam tu dia puas sebab dapat balas dendam atas apa yang berlaku padanya. Tapi kalau kau tanya aku sama ada Uzair berniat tak baik pada kau, aku sendiri pun tak tahu.”
“Dia sukar dijangka,” balasku.
Tiara mengangguk. Setuju.
“Kau masih sukakan Uzair?”
“Aku tak tahu. Aku keliru sekarang sama ada nak terima dia atau tidak.”
“Haikal pula?”
“Budak tu lagilah tak ada langsung dalam senarai aku. Dia tu aku anggap macam adik dan kawan. Mustahil aku nak jadikan dia suami aku. Lagipun aku tak boleh bayangkan dia jadi suami aku.”
“Aku tetap rasa dia tu calon yang paling sesuai.”
“Malangnya bagi aku, dia orang luar yang tak ada kena mengena dalam hidup aku.”
“Jadi, kau kena buat keputusan dari sekarang,” kata Tiara sambil memuncungkan mulutnya.
Aku mengerut dahi. Seraya itu aku melihat kelibat Uzair masuk ke kedai makan itu seorang diri. Langkahnya menuju ke arah kami. Jantung aku mula berdegup kencang. Bukan disebabkan aku aku mengalami penyakit menggilai Uzair seperti dulu tapi disebabkan aku masih lagi tidak bersedia hendak berjumpa dengan Uzair. Apatah lagi di hadapan rakan-rakan ofis yang berada di sekitar. Mata mereka memandang ke arah aku.
“Hai Encik Uzair,” sapa Tiara seperti biasa.
“Tiara, boleh saya pinjam Harum sebentar?” tanya Uzair dengan penuh sopan.
Tiara pandang aku. Perlahan-lahan aku menggeleng.
“Okey,” kata Tiara tanpa teragak-agak.
Tiara! Aku hampir menjerit.
“Jangan risau. Encik Uzair takkan apa-apakan kau depan orang ramai,” kata Tiara separuh berbisik sebelum dia berlalu dari kedai makan itu. Aku hanya mampu memandang Tiara. Ingin sahaja kakiku mengekori Tiara tapi malangnya aku tidak mampu hendak berdiri.
Uzair duduk di hadapan aku. Tapi aku tak berani pandang muka lelaki itu.
“Saya minta maaf,” kata Uzair.
Perlahan-lahan aku mengangkat kepala menatap wajahnya biarpun jantung aku masih lagi berdegup kencang.
“Saya tahu saya dah rosakkan rancangan keluarga awak yang nak jodohkan awak dengan jiran awak,” sambung Uzair.
Ingin sahaja aku berkata, ‘Oh tidak Uzair, awak sudah menyelamatkan saya daripada memulakan babak kahwin paksa dengan lelaki yang saya tak pernah cintai!’ tapi aku tidak mampu hendak berkata apa-apa. Semuanya kerana aku masih lagi ragu-ragu dengan niat Uzair. Tapi jauh dari sudut hati aku mempercayai Uzair. Itu yang buat aku buntu sama ada hendak menerimanya atau tidak. Lagipun bukan setahun dia aku simpan perasaan terhadap Uzair tapi sudah lapan tahun dan sudah tentunya aku mengharapkan ending yang baik.
Aku perlu berfikiran positif. Mungkin kata-kata Zana tadi betul. Mungkin juga cerita Tiara tentang Uzair tadi pun betul. Dan mungkin aku patut beri peluang kepada Uzair untuk berubah.
“3 bulan,” aku mula bersuara.
“Ada apa dengan tiga bulan?” soal Uzair.
“Saya beri masa pada awak tiga bulan untuk tunjukkan yang awak benar-benar serius.”
“Saya memang serius,” kata Uzair.
“Encik Uzair, kalau awak suruh saya belah dada awak pun, saya takkan dapat tahu yang awak benar-benar serius atau tidak. Lagipun, bukan ke awak ni pandai pikat wanita, saya rasa itu tak jadi masalah, bukan?”
Uzair tersenyum. Aku tahu makna senyuman dia. Tapi itu tidak bermakna aku perlu menyerah perasaan aku bulat-bulat kepadanya. Walaupun aku sendiri ada perasaan pada Uzair tapi dalam hal ini aku juga ingin jadi seperti wanita lain. Aku ingin tahu isi hati Uzair. Adakah dia berpura-pura ataupun dia benar-benar menyintai aku. Kalau dia menyintai aku, aku ingin tahu sejauh manakah dia menyintai aku dan menghargai aku.
Jadi, tiada istilah teknik jual mahal.

~~~

“Tapi aku tetap rasa kau jual mahal,” kata-kata Haikal buat aku rasa hendak hempuk dia dengan balang air ni. Tak habis-habis nak cari pasal dengan aku. Mujurlah kau dilucutkan jawatan bakal suami aku, kalau tak memang aku dah larikan diri ke tempat yang jauh. Ah, silap aku juga sebab berkongsi dengan Haikal cerita ini. Aku sendiri pun tak tahu macam mana aku boleh tercakap hal aku dengan Uzair pada Haikal.
Ajaib sungguh.
“Lantak. Aku tak peduli,” balasku sambil kembali membasuh pinggan mangkuk yang kotor setelah habisnya kenduri doa selamat yang dibuat oleh keluarga Haikal.
Jiran-jiran tetangga yang datang memenuhi rumah Haikal tadi sudah pun beransur pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal hanya beberapa orang jiran-jiran yang menolong mengemas apa-apa yang patut. Aku pula dipaksa oleh ibu aku membasuh pinggan mangkuk. Nak tak nak terpaksalah aku menurut.
Masa itulah Haikal yang membawa pinggan mangkuk kotor ke dapur berbual dengan aku. Dan seperti disihir aku terberitahu hal Uzair kepada Haikal. Pada mulanya aku tidak melayan, tetapi Haikal bijak memainkan kata-kata sehingga aku terberitahunya. Pengajaran yang aku dapat, aku perlu jauhkan diri daripada bakal peguam ini. Kalau tak, habis semua rahsia-rahsia aku.
“Aku berani jamin, tak sampai sebulan kau gerenti dah jatuh hati padanya,” tambah Haikal lagi.
“Haikal, kalau kau tak nak tolong aku, pergi tolong kat depan sana,” aku mengelat.
“Aku tengah tolong kaulah ni,” katanya sambil menghulur pinggan kotor kepada aku. Aku menyambutnya dengan bengang. Nasib baiklah ini rumah dia, kalau tidak sudah lama aku baling dia dengan tulang-tulang ayam ini.
“Janganlah buat muka macam tu. Bagi muka sikit dekat aku hari ni. Lagipun bukannya selalu aku dapat jumpa kau dan mungkin lepas ni kita akan jarang jumpa kot,” kata Haikal.
“Baguslah kalau macam tu. Aman dunia aku,” balas aku tiada berperasaan.
“Kau yakin ke dunia kau aman?” tanya Haikal.
“Kenapa? Nak bertaruh?” aku mencabar.
“Aku cabar kau akan jumpa aku esok,” katanya lagi. Tersenyum sambil menggigit buah epal merah. Matanya agak nakal. Aku yang melihatnya rasa macam hendak bagi pelempang pula.
“Okey. Kalau aku menang kau nak bagi apa?”
“Aku sanggup memulakan kempen anti lipas bersama kau,” jawab Haikal.
Aku terus menyambung membasuh pinggan mangkuk. Malas hendak layan dengan karenah Haikal yang loyar buruk itu.
“Tapi... kalau kau kalah, ada ‘hadiah’ yang bakal kau terima,” tambah Haikal dengan senyuman meleretnya. Gerun pula aku mendengarnya.
“Macamlah aku takut sangat,” kata aku yakin.

~~~

Aku menguap kecil pagi itu. Sisa-sisa kepenatan menolong keluarga Haikal yang buat kenduri doa selamat masih lagi terasa. Nasib baiklah hari ini hari Sabtu. Cuti. Bolehlah aku merehatkan diri sepenuhnya. Aku capai handset aku. Tiada mesej.
Ini buat aku benar-benar dalam dilema. Aku takut kalau apa yang Haikal kata malam tadi betul-betul berlaku. Huh, memang betul pun dah berlaku. Aku sudah jatuh cinta pada Uzair sebelum Uzair pikat aku. Betullah apa yang Haikal kata. Ini teknik jual mahal.
“Kalau jual mahal pun apa aku peduli!” kataku cuba meyakinkan diri aku kembali. Ya. Apa aku peduli!
“Harum, bangun! Dah pukul berapa ni?!” suara ibu memanggil aku dari luar.
“Harum dah bangun!” balasku seraya mencapai tuala. Aku segera masuk ke dalam kamar mandi dan membersihkan diri. Selesai mengenakan pakaian, aku keluar dari bilik menuju ke dapur.
“Buat air,” arah ibu apabila nampak aku. Tanpa buang masa aku lakukan rutin harian aku setiap hari cuti. Buat air untuk sarapan pagi memang sudah tercatit dalam rutin harian aku. Aku buat air, sementara ibu memasak apa yang patut untuk sarapan.
“Ayah mana?” aku bertanya apabila aku tak jumpa kelibat ayah di hadapan.
“Pergi rumah Pak cik Hakim,” kata ibu.
“Buat apa? Ada lagi ke yang tak siap kemas ke?”
“Isy, kamu ni, mestilah nak jumpa Haikal.”
“Kenapa?” jantung aku sudah berdegup pantas. Takkanlah ayah sudah bertukar fikiran. Takkanlah ayah pergi ke sana nak suruh Haikal bertukar fikiran?
“Jumpa Haikal la sebelum budak tu pergi Pulau Pinang.”
“Hah? Bila? Kenapa?”
“Isy, takkan itu pun kamu tak tahu? Haikal dapat kerja kat Pulau Pinang. Pagi ni dia akan bertolak ke sana.”
Aku terdiam. Tergamam. Jadi, kenduri doa selamat semalam tu....
“Aku cabar kau akan jumpa aku esok.” Kata-kata Haikal malam tadi ternyiang-nyiang di telinga aku. Kini barulah aku faham, kenapa dia cabar aku. Cuma aku tak faham, macam mana dia yakin aku akan kalah dengan taruhan itu...

7 comments:

  1. Ai konfius skrg nak sokong siapa.. Haikal ke uzair.. Hermm
    Rasa cm haikal tu chumell jer ;p

    ReplyDelete
  2. rasa2nya haruni masih keliru dgn perasanya yg sebenar....kalaw di lihat daripada story ni..dari awal....ada kemungkinan hero sebenar cerita ni adalah haikal...biasalah....sik hero selalunya akanmuncul di pertengahan jalan cerita....itu pun hanya jangkaan saya je lah....

    ReplyDelete
    Replies
    1. kadangkala kita sendiri tak tahu siapa yang terbaik untuk kita. Begitu juga Harum. Terima kasih kerana mengikuti enovel ini :D

      Delete
  3. walau apa yang terjadi saya tetap sokong Haikal.
    Haikal chai yuk! Hahaha

    ReplyDelete
  4. garnet putih.... teruskan menulis.. :D

    ReplyDelete