Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Saturday, 21 April 2012

Haruman Cinta - Bab 6



Dengan jayanya aku dapat juga cuti sakit daripada doktor. Nasib baiklah doktor yang bertugas hari ni doktor yang merawat aku sejak kecil lagi. Sejak dulu lagi kalau aku sakit aku akan pergi ke klinik yang tidak jauh dari kawasan perumahan aku. Jadi, tak ada masalah untuk berinteraksi dengan doktor.
Aku pula tak payah nak berlakon sakit perut macam orang lain. Cakap ajelah stres dan perlukan rehat. Memang betul apa. Aku sekarang tengah stres dan perlukan rehat. Lagi-lagi masa doktor periksa tekanan darah aku. Siap pesan lagi jangan terlampau stres, nanti jatuh sakit. Dah tentulah aku tak nak jatuh sakit sebab aku muda lagi.
Tapi kegembiraan aku dapat MC tak berpanjangan. Semuanya gara-gara aku dapat panggilan daripada Encik Jimat Cermat. Silap aku jugak yang aku pergi jawab panggilan dia pun satu hal. Hah, terpaksalah terima hakikat yang MC aku dibatalkan.
“Saya tahu awak sengaja pergi jumpa doktor ambil MC. Ingat saya ni bodoh ke? Balik kerja cepat sebelum saya pecat awak!” kata Encik Jimat Cermat dengan mengugut.
Mahu tak mahu, aku terus bersiap pergi ke pejabat. Kalau diikutkan kena pecat pun tak apa sebab aku tak ada mood hendak bekerja di sana lagi. Aku bertahan dulu pun sebab Encik Uzair aje. Bila kejadian semalam berlaku, aku dah makin tidak bersemangat hendak bekerja. Tapi masalah pula kalau aku dipecat. Nak cari kerja baru pun susah.
Nak tak nak terpaksalah aku menghadap muka Encik Jimat Cermat. Waktu aku sampai ke pejabat aku terus menghampiri Kak Mariam yang baru sahaja melayan satu panggilan telefon.
“Bos ada?” aku bertanya dengan nada berbisik.
“Ada. Dia pesan kalau kau datang terus jumpa dia. Hati-hati, dia tengah bad mood tu,” balas Kak Mariam juga berbisik.
Aku menghela nafas panjang. Entah apa pula masalah bos aku hari ini. Nak cut cost lagi ke? Atau perbentangan potongan kos yang dia buat selama ini tidak mencapai persetujuan lembaga pengarah? Huh, masalah betullah dapat bos macam ni. Balik-balik yang jadi mangsanya aku jugak.
Aku terus mengorak langkah ke hadapan pintu bilik Encik Alias. Pintu bilik aku ketuk. Walaupun tiada arahan Encik Alias suruh aku masuk tapi aku menguak pintu pejabatnya.
“Err… bos cari saya ke?”
“Zana!” jerit Encik Alias hampir bingit kepala aku.
“Yes bos,” sahut Zana, pekerja yang baru sahaja masuk 4 bulan yang lalu dari tempat duduknya.
“Sini kejap!” panggil Encik Alias.
“Kejap.”
“Sini cepat!” jeritnya lagi.
“Ya. Ya,” terkocok-kocok Zana berlari masuk ke dalam bilik Encik Alias.
Kemudian Encik Alias mencapai cawan kesayangannya dan diberi kepada aku. Aku menyambut cawan yang berisi penuh air kopi. Nampak macam baru aje dibuat.
“Harum, saya nak awak ajar Zana macam mana nak buat air kopi. Entah apa yang diletak dalam air kopi tu sampai pelik rasanya. Zana, saya nak awak belajar buat air kopi. Kalau Harum tiba-tiba nak berhenti nanti, senang sikit saya,” kata Encik Alias masih lagi merenung komputernya.
Aku yang mendengarnya terus terdiam. Bermacam-macam aku fikir. Macam mana Encik Alias tahu aku baru berhasrat hendak berhenti? Mustahillah Tiara yang beritahu. Lagipun aku baru cadang saja, belum nekad lagi.
“Apa tunggu lagi? Pergi buat kopi untuk saya cepat!” tengking Encik Alias.
Bukan aku seorang saja yang terkejut. Zana pun terkejut juga. Tanpa berlengah lagi aku dan Zana berlalu ke pantri.
“Kak Harum,” panggil Zana takut-takut. “Kak Harum nak berhenti ke? Janganlah berhenti. Zana takutlah dengan Encik Alias tu. Tadi dah banyak kali dia tengking Zana sebab kopi yang Zana buat tak sama dengan kopi yang Kak Harum buat. Banyak kali tau Zana terpaksa buat kopi baru untuk dia tapi tetap sama. Dia tak suka jugak.”
Aku tersengih. Alah, baru kena tengking sikit dah hendak mengadu. Dulu, masa temu duga kata boleh tahan kena tengking semua. Tak ada masalah bekerja dengan bos yang kejam macam Encik Jimat Cermat tu. Tapi bila dah dapat kerja, kena tengking sikit pun nak mengadu. Inilah budak-budak hingusan lepasan universiti. Belajar pandai. Sampai dapat dekan tapi baru je kena tengking dah kecut perut.
“Okeh, sebelum tu akak nak rasa dulu air yang Zana bancuh ni,” aku malas hendak layan rungutan Zana sebaliknya terus mencapai cawan kecil dan menuang air kopi yang Zana buat tadi.
Aku rasa air kopi itu sedikit.
“Ya Allah, kau nak bagi bos kau dapat kencing manis percuma ke?” komen aku setelah mendapati air kopi yang dibuat begitu manis.
“Mana ada manis. Itu biasa aje. Zana buat untuk ayah Zana macam tu jugak,” jawab Zana.
“Itu untuk ayah Zana tapi ini untuk bos Zana,” aku mengeluh.
“Habis tu macam mana?” Zana kelihatan mula hendak menangis.
Hisy, ni yang aku malas ni. Baru kena tegur hendak menangis. Baru kerja 4 bulan. Belum lagi 8 tahun macam aku ini. Hari-hari kena maki hamun Encik Alias tu tak payah cakaplah.
“Alah, itu pun nak menangis ke? Benda sikit aje,” aku cuba memujuk walaupun aku pun jelik dengan perangai Zana. Perangai Zana mengingatkan aku perangai Mimi yang aku kenal semalam. Tapi nasib baiklah Mimi tu datang dari keluarga berada. Mungkin takkan mengalami situasi seperti ini.
“Kak Harum bolehlah kata macam tu sebab Kak Harum kan pekerja kesayangan Encik Alias,” rungut Zana lagi.
Pulak. Bila masalah pulak Encik Alias tabalkan aku jadi pekerja kesayangan dia? Setahu aku, aku ini pekerja yang selalu kena tengking aje. Jauh lagi pekerja kesayangan. Ini ke mentaliti pekerja zaman sekarang? Bila kena tengking aje dah dicop jadi pekerja kesayangan bos. Kalau macam tu, kau patut bersyukur sebab dah jadi pekerja kesayangan bos. Lepas ni biarlah bos tengking kau aje.
“Zana, akak nak nasihatkan sesuatu. Dalam bekerja, tak ada istilah pekerja kesayangan. Bos adalah ketua dan kita pekerja bawahnya. Bos tengok apa yang kita boleh buat. Tak bermakna akak pandai buat kopi untuk bos, akak dicop pekerja kesayangan. Bos tahu yang hanya akak seorang saja yang pandai buat kopi untuk dia, jadi tak payahlah mengata akak kat belakang. Akak tahu pasal tu. Kau orang mengata akak kat belakang dan cop akak jadi pekerja kesayangan bos. Tapi fikirlah balik, bos takkan panggil akak tanpa sebab,” aku meluahkan segalanya.
Zana terus terdiam.
“Akak nak tanya, pernah tak Zana terfikir nak belajar dengan akak macam mana nak buat kopi untuk bos?”
Perlahan-lahan Zana menggeleng.
“Hah, itulah masalahnya. Yang semua kat luar tu, semua tak pernah minta akak ajar diorang macam mana nak buat kopi. Jadi, logik tak kalau bos suruh akak buat kopi untuk dia?” soal aku lagi.
Zana mengangguk.
“Lepas ni jangan nak tuduh akak pekerja kesayangan bos. Bos tak pernah cop sesiapa sebagai pekerja kesayangan. Lagi-lagi bos yang cerewet macam Encik Alias tu. Yang penting, jangan jadi tunggul kat ofis ni. Jangan hanya tahu buat kerja sendiri aje. Belajar sikit buat kerja sampingan, macam bancuh kopi untuk bos,” kataku sambil mengukir senyuman.
Zana mengangguk dengan penuh bersemangat.
“Okey, pelajaran hari ini. Macam mana nak bancuh kopi untuk Encik Jimat Cermat. Dah sedia?” soalku kepada Zana.
“Sedia!”

~~~~

“Dia panggil kau kerja semata-mata sebab suruh ajar Zana bancuh kopi?” soal Tiara lagi.
Aku mengangguk lagi sambil memerhati orang ramai membanjiri gerai tepi jalan berdekatan dengan tempat kerja aku. Sekarang waktu rehat. Memang padanlah dengan orang ramai.
“Memang tak patut,” Tiara menggeleng.
“Hidup aku memang mencabar bukan?” soal aku.
“Sangat mencabar. Kalau aku, memang dah lama aku letak jawatan tapi aku tak galakkan kau letak jawatan.”
“Kenapa?”
“Sebab kalau kau letak jawatan, kau dah membazir 8 tahun kerja kat sini,” jawab Tiara.
“Tapi kalau aku terus bekerja kat sini aku pun aku akan bazirkan masa juga.”
“Jadi, kau tetap nak berhenti?” soal Tiara lagi.
Aku mengangkat bahu. Aku pun agak rusing memikirkannya.
“Atau bakal suami kau dah suruh kau berhenti kerja?” teka Tiara.
Bila Tiara menyebut bakal suami serta-merta aku teringatkan itu. Sangat memalukan! Aku tak dapat bayangkan Haikal mencapung aku masuk ke dalam bilik tidur. Anehnya! Macam mana aku boleh tak sedar!
“Harum?” panggilan Tiara membuatkan aku tersentak dan terus kembali ke alam nyata. “Kenapa dengan kau?”
“Err… tak ada apa-apa.”
“Macam mana dengan cerita kahwin paksa tu?” soal Tiara lagi.
“Aku tak nak cakap tentang tu. Aku boleh jadi rusing bila ingat perkara tu. Aku terserah ajelah kepada takdir. Kalau dah takdir aku kena kahwin dengan pilihan keluarga, aku harus terima,” jawab aku dengan nada pasrah.
Tapi sebenarnya aku sengaja hendak matikan aje topik kahwin paksa itu. Kalau disebut-sebut pastinya Tiara akan tahu apa yang sudah berlaku pada aku malam tadi. Walaupun Tiara itu kawan aku, tetapi kadangkala ada perkara yang kita tak patut kongsikan. Perkara yang mungkin membawa kepada fitnah. Bukan aku mengesyaki Tiara, tapi bagi aku biarlah hanya aku dan keluarga aku saja yang tahu tentang hal itu. Kalau tidak, mana aku nak sorok muka.
“Kau tahu gosip terkini?” tanya Tiara separuh berbisik. “Encik Azman, Pengurus Pemasaran dah letak jawatan.”
“Keputusan dia letak jawatan tak mampu ubah takdir aku kena berkahwin dengan lelaki yang lebih muda,” balas aku tidak ada mood hendak bergosip pada waktu ini.
“Ya,” Tiara turut menyokong. “Melainkan kalau kau dapat pikat pengurus baru yang akan masuk tak lama lagi. Aku dengar dia muda lagi. Lebih kurang macam baya kau je.”
“Dalam novel bolehlah tapi realiti…,” aku sekadar mengeluh panjang. Tak mampu hendak menghabiskan ayat tadi. Kalau dahulu aku berharap sangat dapat memiliki Encik Uzair walaupun dia seorang playboy tapi bila dah mengenalinya, indah khabar dari rupa. Dalam masa sehari aku terus reject Encik Uzair. Nasib baiklah Encik Uzair tak tahu yang aku pernah simpan perasaan padanya. Kalau tidak mana aku nak sorok muka aku ni!
“Emm… betul juga tapi macam mana….”
“Dahlah tu Tiara. Aku dah malaslah nak fikir tentang lelaki ni. Daripada fikir tentang lelaki lebih baik aku fikir tentang Encik Jimat Cermat tu.”
“Kenapa dengan dia?” soal Tiara.
“Dia nak jumpa aku lepas rehat nanti. Ni gerenti dia nak maki hamun aku sebab tipu dia ambil MC.”
Tiara ketawa. Tapi aku tak faham maksud ketawanya itu. Perli? Ah, aku tak ada masa hendak memikirkannya. Lebih baik aku fikir alasan yang relevan!

~~~~

“Dah fikir alasan yang relevan pasal MC tipu awak pagi tadi?” soal Encik Alias ketika aku melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan dia.
Serius aku cakap. Baru sahaja duduk, terus badan aku menggeletar kesejukkan. Padahal Encik Alias baru sahaja buk penyaman udara. Adui, kenalah aku dapat bos yang suka berjimat cermat ini. Aku faham, berjimat cermat tu satu perbuatan yang baik tapi ada juga keburukkannya. Buktinya seperti Encik Alias sekarang. Bila dia berjimat cermat, semua perkara yang berlaku dia akan jadi isu besar.
“Awak tahu tak perbuatan tu boleh menjatuhkan prestasi awak dalam department ni. Bukan saja department ni tapi seluruh syarikat. Ingat syarikat ni bayar awak untuk saja-saja ke?”
Dia dah mula dah. Aku sebagai pekerja yang buat silap ni redha ajelah. Lagipun memang silap aku juga. Dahlah semalam tiba-tiba ambil cuti setengah hari, hari ni pulak MC. Memang nampak benarlah tu menipunya. Memang dah nasib aku dapat bos yang cerdik dan berjimat cermat.
“Jadi, apa alasan awak?” soal Encik Alias lagi.
“Saya minta maaf. Lain kali saya tak buat lagi,” ayat skema yang dapat aku luahkan.
“Awak ada masalah ke?” soal Encik Alias.
Ada. Saya ada masalah. Masalah saya, saya kena kahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada saya dan lelaki yang saya puja selama ini, iaitu Encik Uzair dah mengecewakan saya. Perlu ke aku beritahu masalah aku ni? Tak perlukan. Bukannya Encik Jimat Cermat ni boleh tolong selesaikan masalah aku dengan formula jimat cermat dia. Jadi, kesimpulannya aku geleng ajelah.
“Wow, awak seorang manusia yang hebat. Semua orang ada masalah. Awak seorang saja tak ada masalah? Mmm… memang saya cemburu dengan hidup awak,” kata Encik Alias sambil bertepuk tangan.
Aik? Macam perli aku aje.
“Kenapa tak betul?” dia bertanya lagi.
“Bukan macam tu bos. Saya memang ada masalah tapi takkanlah masalah keluarga saya pun nak cerita dekat bos.”
“Hah! Tahu tak apa. Masing-masing ada masalah. Saya sendiri pun ada masalah kat rumah tapi ada saya campur adukkan masalah kerja dengan masalah peribadi? Ada saya pura-pura sakit, jumpa doktor, tipu doktor suruh keluarkan MC sebab tak nak pergi kerja?”
Perghh! Kata-kata bos amat tajam seolah-olah menikam jantung aku. Taubat lepas ni aku tak nak buat hal lagi dah. Biarlah apa yang terjadi, aku tetap akan pergi kerja menghadap bos yang cerewet ini.
“Saya minta maaf.” Itu saja yang mampu aku ucapkan. Dah memang salah aku sudah tentulah aku perlu minta maaf.
“Awak ingat dengan minta maaf boleh selesaikan masalah? Inilah manusia zaman sekarang. Bila dah buat salah, diorang hanya tahu minta maaf.”
Huhu… pedih! Pedih! Sudahlah tu bos. Tak sanggup nak dengar lagi dah ni.
“Nah,” Encik Alias menghulurkan satu sampul surat kepada aku.
Tergetar-getar tangan aku mengambil sampul surat yang dihulurkan. Apakah ini? Bermacam-macam andaian buruk yang aku fikir sekarang. Surat pemecatan akukah? Aku dipecat?
“Bukak dan baca kandungan surat tu.”
“Tapi bos, saya…”
“Aku kata bukak, bukak ajelah!” tengking Encik Alias.
Terus kecut perut aku.
Lantas aku membukanya dan mengeluarkan sepucuk surat di dalamnya. Menggigil tangan aku membuka kertas yang dilipat itu. Perasaan sedih sudah pun mengelubungi diri aku. Sah! Gerenti aku kena pecat. Kalau tak kena pun gerenti aku kena tindakan tatatertib. Kena keluar masuk ‘makhkamah kecil’. Waa… aku tak sanggup.
“Baca cepat. Saya nak dengar.”
Air mata yang bertakung terus menitik. Dengan mata yang berkaca, aku terus membaca kandungan surat itu. “Sukacita dimaklumkan bahawa pihak syarikat melantik Harum Atikah sebagai Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) bahagian Audit.”
Aku terdiam dan terus membaca secara senyap ayat seterusnya. Air mata kukesat dan sudah berhenti bertakung. Beberapa kali aku mengulangi setiap ayat yang tertulis dalam surat itu. Biar betul! Aku yang masih tak percaya lagi terus memandang Encik Alias.
Encik Alias tersenyum.
Biar betul! Aku naik pangkat?


4 comments:

  1. wahhh, naikk pangkat!!! skali haikal jd pengurus baruu.. konfem xaman hidup harum ni.. hahahah

    ReplyDelete
  2. begau pnye bos... menangis harum bce promote letter hahaa.. tragic sunggh,,

    ReplyDelete
  3. bestnyeee..nk lg blehh?hopefully Haikal yg jadi boss Hanum..tp..x kanlah kot..die kan peguam..maybe saingan Haikal kot..huhuhu

    ReplyDelete