Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Friday 3 August 2012

Haruman Cinta: Bab 18




Kata ibu, “Tulah, ibu dah kata, jangan pergi kerja tapi degil sangat. Tengok, apa dah jadi? Bukan ke dah menyusahkan orang lain?”
Ayah pula kata, “Lain kali buatlah lagi. Sampai masuk ICU pun tak apa.”
Tidak cukup dengan itu, Uzair menambah, “Awak tahu tak apa yang awak buat ni bukan saja kena kat awak saja tau tapi semua orang kena. Awak tak fikir ke betapa risaunya ayah dan ibu awak bila dengar berita awak dimasukkan ke dalam hospital? Awak tahu tak yang saya bagaikan orang gila bila dengar awak pengsan? Kalau awak tak sayang nyawa, kesianlah pada ibu bapa awak dan orang yang sayangkan awak.”
Aku tension!
Bangun saja daripada pengsan bukan belas kasihan yang aku dapat. Seharian kena nasihat percuma daripada ibu dan ayah. Uzair juga tidak ketinggalan memberikan khidmat percuma dia yang pedas belaka. Lagi pedas daripada nasihat ayah. Kesudahannya aku jadi sress.
Kesudahannya, aku kena tahan di hospital seharian. Esoknya balik rumah, satu hari aku kena leter dengan ibu. Aku yang tak berani membantah hanya mendiamkan diri sahaja. Telinga aku tadah dengar leteran ibu yang macam-macam. Aku lambat makan ubat pun salah. Aku baring pun salah. Aku keluar jalan-jalan dekat hadapan rumah pun salah. Pendek kata apa yang aku buat semuanya salah!
Kemudian, ayah balik kerja, macam-macam dia soal. Sudah makan ubat? Sudah makan? Kalau aku kata sudah pun ayah paksa aku pergi makan padahal perut aku memang tak boleh terima apa-apa lagi. Akhirnya aku muntahkan balik makanan yang aku telan. Semua itu tak tamat di situ. Ayah balik daripada masjid bawakan air ubat yang dibuat oleh salah seorang ustaz yang tinggal di kawasan rumah kami. Ustaz tu memang terkenal air ubat yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit pelik.
Sekali lagi aku tak mampu menolak. Aku turutkan sahaja. Malam pula, Uzair telefon bertanyakan keadaan aku. Jujur aku cakap, aku lagi bertambah stress bila dengar Uzair kata dia marah Tiara sebab benarkan aku memandu dalam keadaan demam. Akhirnya kami bergaduh. Aku terus tekan butang merah dan Uzair tak telefon aku kembali untuk tenangkan aku.
Lantas aku ambil peluang itu untuk menelefon Tiara. Tiara langsung tidak bersalah dalam situasi ini. Aku yang berdegil. Aku rela dimarah daripada mereka marahkan Tiara. Aku takut. Tiara satu-satunya kawan aku yang boleh aku percaya. Kalau aku hilang kawan seperti Tiara. Siapa lagi yang sanggup jadi kawan aku di pejabat? Ah, lupa! Bukan ke aku dah dipecat!
Harum!!!” jeritan Tiara di hujung talian membuat aku tersentak. Nada suara Tiara agak tinggi. Terus jantung aku berdegup kencang. “Kau macam mana? Kau okey? Demam kau dah baik? Aku risau sangat. Aku ingat nak telefon kau tapi aku tak nak ganggu kau. Takut kau masih lagi tak sihat tapi I miss you so much!!”
Aku terkedu. Tiara tak marah aku? Setelah apa yang aku dah buat dan setelah Uzair marah dia sebab benarkan aku pandu kereta dalam keadaan demam, dia tak marah? Malah risaukan aku lagi? Ini buat aku terus hilang kata-kata.
“Harum?” panggil Tiara.
Aku tidak menjawab, tetapi sebaliknya terus menangis dalam senyap. Kalau Tiara ada di hadapan aku memang sudah lama aku peluk-peluk dia.
Harum? Kenapa? Kau menangis?” soal Tiara. “Kalau menangis tu boleh membuat kau lega, menangislah sepuasnya.”
Dengar Tiara kata begitu lagi kuat aku menangis sehingga aku rasa sudah lama aku tak menangis sehebat begini. Ya. Selama ini air mata aku hanya untuk novel-novel sedih yang aku baca. Kini, buat pertama kali aku menangis kerana realiti yang berlaku di hadapan mata dan aku bersyukur kerana ada Tiara yang sentiasa menyokong aku di sisi.

~~~

Itu yang buat kau menangis?” soal Tiara selepas tangisan aku reda dan aku mula bercakap dengan Tiara. Aku dengar dia ketawa perlahan. “Don’t worry darling, aku kenal bos aku tu. Dia memang angin dalam bab macam ni. Tak ada apa-apalah. Setakat dengar dia berleter saja. Esok lusa okeylah tu,” kata Tiara sambil menenangkan aku.
“Tapi dia tetap marah kau... Ni bukan salah kau....”
Ya, salah si Gayah tu!” potong Tiara. “Kalau kau nak tahu lepas kau pengsan tu, satu ofis kecoh pasal kau dengan si Gayah tu. Menggigil jugak dia bila namanya naik ke lembaga tatatertib. Dengar kata alasan dia sakit perut tapi malangnya ada saksi nampak dia tengah bersenang lenang dekat departmen lain. Dia tu memang saja nak kenakan kau tapi tindakan dia memakan diri dia akhirnya.”
“Dari dulu lagi dia selalu cari peluang nak kenakan aku. Aku tak terkejut pun. Sebab tulah bila budak-budak tu terkial-kial aku terus hulurkan bantuan. Aku tahu, dia boleh salahkan aku sebab tak ajar betul-betul kalau Liyana dengan Zana tak boleh handle hal macam ni.”
“Lepas ni tahulah nasib dia. Dengar kata bukan saja Encik Alias dan bos aku saja yang mengamuk tapi bos kau dengan Dato’ Omar pun marahkan si Gayah tu. Memang tak amanlah hidup dia nanti lepas ni,” tambah Tiara lagi.
“Mesti Encik Alias kena jugak sebabnya Kak Gayah tu bawah dia,” aku mula risau.
Walaupun Encik Alias merupakan bos yang paling cerewet tapi aku tetap hormat dia. Sepanjang dia jadi bos aku dahulu, walaupun dia selalu buli aku dengan mengarahkan aku buat kerja-kerja diluar bidang kerja aku tapi aku perlu akui, kerana dia, aku mampu sampai ke tahap ini. Malangnya, aku sudah menghampakannya.
“Itu memang tak dinafikanlah. Aku dengar memang teruk dia kena hentam dengan bos baru kau tu. Bos baru kau memang dahsyat. Dalam beberapa hari ni memang huru-hara ofis dibuatnya. Kalau kau datang kerja nanti, aku harap kau jangan terkejut dengan sikap panas baran dia dan perubahan yang dia buat,” pesan Tiara lagi.
“Mujurlah. Aku bernasib baik agaknya.”
“Apa yang bernasib baik?”
“Aku takkan kembali ke sana.”
“Maksud kau?”
“Sebelum aku pengsan, aku ingat lagi... Encik Shahir datang jumpa aku dan dengan serta-merta dia pecat aku.”
“What!”

~~~

Aku dipecat.
Entah macam mana aku hendak beritahu kepada ibu dan ayah tentang berita ini. Puas aku cuba mencari ruang untuk beritahu ibu dan ayah tapi aku tak ada kekuatan hendak bersuara. Aku risau akan kesihatan ayah bila menerima berita ini. Begitu juga dengan ibu yang begitu menaruh harapan besar pada aku.
Serta-merta peristiwa silam kembali menghantui aku. Aku masih ingat lagi bagaimana keadaan ayah apabila mendapat tahu aku gagal satu matapelajaran dalam SPM. Aku masih ingat lagi bagaimana rupa ayah. Dia hilang harapan. Begitu juga dengan ibu yang risaukan masa depan aku. Dengan kegagalan aku, sudah tentulah aku langsung tak ditawarkan masuk universiti apatah lagi tingkatan 6.
Jadi, bermulalah pengorbanan ayah cuba mencari pekerjaan untuk aku. Ibu pula tak putus-putus sembahyang hajat mendoakan kesejahteraan aku. Akhirnya selepas banyak kali aku jalani temu duga, aku diterima kerja sebagai pembantu tadbir di syarikat yang aku bekerja sekarang (kini tak lagi). Semasa aku mula bekerja, masa itulah aku kerap kena buli tapi ibu tetap hulurkan aku semangat sehinggalah lapan tahun berlalu.
Kini, kalau mereka tahu aku dipecat, aku dapat bayangkan betapa hancurnya perasaan mereka. Mereka tak ada anak lain lagi yang boleh dibanggakan. Hanya aku seorang yang menjadi harapan mereka. Tapi, aku dah hampakan mereka... sekali lagi.

~~~

Hari ketiga yang juga merupakan hari terakhir aku dapat MC daripada hospital, aku terima satu bungkusan dari Pulau Pinang. Kalau dari Pulau Pinang, aku dapat teka daripada siapa dan apa bungkusan itu. Ia kerana bungkusan itu saiznya lebih kurang seperti kotak haruman yang diberi oleh Haikal. Sampai sahaja bungkusan itu di tangan, aku terus bukanya dan jangkaan aku tepat sama. Satu lagi kotak haruman.
Aku terus bukak dan bau haruman itu. Dengan mudah saja aku dapat teka. Itu haruman tomyam! Aku tersenyum. Aku rasa itulah senyuman pertama sejak aku bangun daripada pengsan. Haikal sungguh kreatif. Aku tak tahu macam mana dia boleh buat haruman yang serupa seperti ini. Aku tak fikir dia basahkan kapas itu pada kuah tomyam. Aku yakin, pasti dia pernah belajar mencipta haruman. Sebabnya, aku pernah menghidu haruman yang dia guna dan aku tak fikir itu salah satu haruman yang dibeli di pasaran.
Aku tak tahu apa motif dia berikan aku haruman ini tapi hadiah daripada Haikal ini sedikit membuat aku rasa lapang. Aku simpan kotak haruman itu di rak khas. Setakat ini, aku sudah terima dua haruman. Sepatutnya tiga tapi aku dah buang haruman tahi kucing, tak sanggup aku hendak simpan!
Aku memandang handset aku yang sudah aku tutup selepas berbual dengan Tiara malam tadi. Aku memang sengaja menutup handset. Salah satu sebabnya, aku sudah tak larat mendengar leteran Uzair. Hari ini aku ingin berehat.
Memandangkan aku telah menutup handset, tak ada cara lain lagi untuk berhubung dengan Haikal melainkan guna facebook. Lagipun Haikal memang pengguna aktif facebook. Cuma, sejak kejadian hari tu, aku jarang buka facebook dan tak tahu perkembangan Haikal. Walau apa pun, aku perlu mengucapkan terima kasih kepada Haikal atas pemberian dia.
Seperti biasa, bila aku buka facebook, banyak notification yang aku dapat. Yang request friend pun ada kurangnya tapi semua tu aku tak layan. Aku terus menjelajah wall aku. Memandangkan facebook aku ni memang tak aktif dan aku tak ramai kawan-kawan yang ada facebook, aku hanya menerima beberapa sapaan di wall. Antaranya rakan sekolah aku yang memberitahu dia sudah mengandung anak kedua. Aku balas dengan tahniah. Seorang lagi rakan sekolah aku menjemput aku ke majlis perkahwinan dia yang akan berlangsung dua minggu lagi di Sabah. Mustahil aku mampu pergi ke sana. Nak keluar dari KL pun kena soal siasat, inikan nak pergi ke Sabah. Aku terus berterus-terang.
Yang lain-lain pula, aku tak pasti apa yang mereka bualkan. Inilah yang aku tak suka dengan facebook. Perkara yang entah apa-apa ditag. Jadi, aku abaikan. Baru saja aku ingin menghantar mesej kepada Haikal, aku lihat ada satu notification. Daripada Haikal.
Lantas aku refresh balik wall aku. Satu gambar terpampang di wall aku. Gambar KLCC yang disinari lampu. Aku tersenyum. Serta-merta fikiran aku melayang mengingat kembali kejadian Haikal membawa aku ke KLCC.
“Setiap manusia juga memerlukan seseorang bukan sahaja untuk berkongsi kegembiraan tetapi marah, sedih, geram. Dengan cara itu, secara tidak langsung kita boleh membina jejambat macam KLCC tu. Kesimpulannya, kalau kau rasa nak luahkan sesuatu yang menyesakkan kepala, aku sentiasa akan berada di sisi kau.”
Dan kini, aku tahu, walaupun aku dibuli, walaupun aku dipecat, walaupun aku terpaksa dengar leteran orang, hanya satu yang aku percaya... aku tak keseorangan dalam dunia ini. Jadi, mulai esok, aku walau apa pun yang berlaku, walaupun aku akan melukai hati kedua ibu bapa aku, aku perlu harunginya.
Terima kasih Haikal!

~~~

Pagi-pagi lagi, aku bangun dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Aku tak beritahu ibu dan ayah pasal aku dipecat lagi. Aku plan nak beritahu mereka malam nanti. Buat masa ini, ada sesuatu yang perlu aku uruskan. Aku perlu ambil semua barang-barang aku dekat ofis. Dari rumah lagi, aku sudah terbayang-bayang akan kehadiran surat pemecatan aku di atas meja aku. Atau lebih teruk lagi tempat aku sudah diambil orang dan aku terbayangkan Kak Nana sedang duduk di tempat aku sekarang.
Aku menghela nafas panjang. Aku sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan walaupun aku ini mangsa keadaan. Aku melangkah masuk ke pekarangan tempat kerja aku dengan degupan yang kencang. Rasanya macam aku baru saja jejak ke rumah hantu. Seram sejuk seluruh tubuh aku. Harap aku tak pengsan buat kali kedua.
“Selamat pagi Harum,” sapa Encik Hamdan yang segak memakai baju polis bantuan. Aku membalasnya dengan senyuman. “Hati-hati jalan. Jangan pengsan lagi.”
Aku tersenyum lagi. Aku tak tahu sama ada itu kata-kata simpati ataupun memerli. Tanpa berfikir panjang aku terus berlalu ke jabatan pemasaran. Aku masuk sahaja ke dalam, semua pandang aku. Apa yang aku pelik cara mereka pandang aku. Macam baru saja pandang hantu. Sekali lagi tanpa pedulikan mereka aku berlalu ke bilik aku.
Aku lihat meja aku. Sama seperti mana yang aku tinggalkan tempoh hari. Aku memerhati dari atas hingga bawah. Pelik! Mana perginya surat pemecatan aku? Aku cuba cari di bawah meja. Mana tahukan terjatuh ke tapi tak ada langsung!
“Kau cari apa?” soal satu suara.
Aku terperanjat dan serentak itu kepala aku terhantuk meja. Aku mengerang perlahan. Terus jantung aku berdegup laju. Aku kenal suara itu. Perlahan-lahan aku bangun berhadapan dengan Shahir. Dia memandang aku tajam. Aku langsung tak berani pandang lama mata dia.
“Kenapa kau datang sini?” tanya Shahir agak tegas.
“Err... saya nak kemas... barang-barang saya,” jawab aku tergagap-gagap.
Shahir memandang tajam aku lagi. Jantung aku rasa macam hampir nak tercabut. Kemudian, dia menapak ke hadapan. Sedar-sedar sahaja tangannya berada di dahi aku.
“Kau mengigau ke?” soalnya selepas menarik tangannya dari dahi aku. “Lebih baik kau balik sekarang. Aku tak nak tengok muka kau dalam pejabat ni, faham?”
Aku mengangguk. Dia terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Tanpa berlengah lagi aku terus mencapai sebuah kotak dan memasukkan barang-barang aku ke dalamnya.
“Kau buat apa?” soal Shahir lagi di muka pintu.
“Err... kemas barang,” jawab aku yang redha.
Untuk apa? Aku suruh kau balik berehat lagi, bukan suruh kau kemas barang!” tegas Shahir.
“Hah?” Lagi aku bertambah tak faham sekarang. Bukan ke tadi dia baru saja halau aku?
“Apa hah hah? Balik sekarang. Aku bagi kau cuti minggu ni. Minggu depan kalau dah sihat baru datang kerja. Aku tak suka bekerja dengan orang yang sakit!”
“Tapi... bukan ke saya dah dipecat?” Aku memberanikan diri bertanya.
“Siapa yang pecat kau?”
“Err...,” perlahan-lahan aku menuding ke arah Shahir.
“Bila masa aku pecat kau pulak? Kau jangan nak buat fitnah!”
Aku semakin menggelabah. Mustahil aku bermimpi. Aku yakin! Sebelum aku pengsan memang Shahir dah pecat aku tapi kenapa ada versi lain pula. Aku cuba cubit lengan aku. Sakit. Jadi, aku tak bermimpi.
“Harum, aku kira sampai lima. Kalau kau tak berambus dari ofis aku, aku pecat kau betul-betul nanti. Satu... dua... tiga....” Tanpa buang masa aku terus berlari keluar dari pejabat itu. “Jangan datang kerja selagi kau tak sihat sepenuhnya!” jerit Shahir dari dalam.
Aku harap ada seseorang datang menjelaskan apa yang telah berlaku tadi!

5 comments:

  1. Erkss.. Haru betoi shahir ni ek.. Hmmm.. Haikal jugak yg sweeet ;)

    ReplyDelete
  2. Alahai sian dekat Harum baru lepas sedar dari pengsan dah kena bebel...#^_^

    ReplyDelete
  3. Cian kat Harum. Si Shahir ni mmg suka nk mengenakan Harum. Mungkinkah dalam hati Shahir masih ada taman utk Harum sbb itu dia bersikap sedemikian.

    Thanks to Haikal sbb sudi menjadi pendengar serta penasihat setia bt Harum, tak mcm si Uzair yg suka sgt membebel saja.

    ReplyDelete
  4. Shahir asa sayang buat Harum kot.... sebab tu bagi sambung cuti lagi...
    Uzair jangan banyak cakap bila orang yang kita sayang sakit ..... kalau nak bagi nasihat tunggu betul-betul baik ok....

    ReplyDelete