Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Friday 13 April 2012

Haruman Cinta - Bab 2



“Harum!!!” Sedang aku khusyuk buat kerja, aku dikejutkan dengan jeritan seseorang memanggil nama aku.
Sah. Itu tak lain tak bukan suara mesti suara Encik Alias. Hanya dia saja yang suka jerit memanggil pekerja-pekerja dia berbanding menggunakan telefon. Jimat kos katanya. Malah, dia juga mewajibkan pekerja-pekerja bahagian pentadbiran itu menjerit memanggil orang kat bahagian tu. Dilarang sesama sekali menggunakan telefon untuk telefon orang satu department.
Dan sebab itulah kami semua gelarkan dia Encik Jimat Cermat!
“Harum!” jeritnya lagi memanggil aku.
“Yes bos!” sahutku.
“Mana cawan saya?”
Aku menghela nafas lemah. Cawan? Dia menjerit panggil aku semata-mata nak tanya pasal cawan dia? Rasa macam nak bagi pelempang pun ada!
“Err… saya tak guna cawan bos,” balasku cuba mengawal diri.
“Kalau tak guna carilah cawan saya cepat! Saya ada meeting tengah hari nanti!” arah Encik Alias.
Aku mengerut dahi. Apa kena-mengena meeting dengan cawan? Kalau masuk meeting dah tentu-tentu ada orang sediakan cawan dengan air minuman sampai dua tiga jenis. Itu belum masuk makanan lagi. Isy, tak faham betul.
“Apa tunggu lagi? Cepat cari!” arah Encik Alias lagi sudah menginga.
Lantas aku bangun dari tempat duduk aku. Pergi ke pantri mencari-cari cawan kegemaran bos aku. Entah siapalah yang buat dajal dengan bos aku ni sampai sorok cawan dia. Puas aku mencari di pantri, aku berlalu ke ruang kerja.
Di bahagian pentadbiran ada seramai 15 orang pekerja. Tapi 15 orang umpama macam 15 tunggul kayu. Mana taknya, puas aku tanya pasal cawan bos aku, semua orang asyik buat kerja saja. Sibuk mengalahkan Perdana Menteri sampai aku tanya pun tak menjawab.
“Dah dapat ke belum?!” bos sekali lagi menjerit.
“Belum!” Aku terus mengatur langkah menghampiri bilik Encik Alias. Ini tak boleh jadi. Aku dah cari kat pantri tak ada. Aku jenguk satu demi satu meja kerja pekerja kat situ pun tak ada. Semua pakai cawan sendiri. Hanya satu bilik sahaja yang belum aku periksa lagi.
Bilik bos aku sendiri!
“Hah? Dah jumpa ke belum?” soal Encik Alias apabila nampak aku terus redah bilik dia yang bagaikan tongkang pecah itu.
Aku sendiri pun tak tahu macam mana dia boleh hidup dengan keadaan meja yang berselerak dengan kertas-kertas kerja. Keadaan almari yang tidak teratur susunan file di dalamnya. Walaupun aku aku ni penyepah tegar bilik aku sendiri tetapi aku akan pastikan aku kemas bilik setiap sebulan sekali.
Tanpa pedulikan Encik Alias, aku terus menggeledah biliknya. Sambil mencari sambil itulah aku merungut dalam hati. Kalaulah Encik Alias ni terima seorang setiausaha, bukankah senang hidup aku. Macam pengurus di bahagian lain. Setiap seorangnya ambil seorang setiausaha. Jadi, bilik diorang tak adalah macam bilik bos sekarang. Itulah, asyik fikir cut cost aje. Yang susahnya aku jugak! Mentang-mentanglah jawatan aku ni hanya Pembantu Tadbir.
“Awak tak payah cari dalam bilik saya. Saya dah cari tadi. Tak ada. Pergi tanya orang kat luar tu. Entah siapa yang curi cawan saya tu,” Encik Alias sudah mula membebel.
Aku senyap aje dan terus mencari.
“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Awak cari saja kat luar. Saya nak buat kerja ni pun susah,” kata Encik Alias dah mula tak senang nak buat kerja.
Ada aku peduli? Dahlah kerja aku tertangguh semata-mata nak mencari cawan dia. Adillah kalau aku kacau kerja dia sekali.
“Harum…,” panggil bos dengan lembut tapi tegas. Aku tahu dia tengah marah sekarang. Bos memanggil nama aku lagi. Aku meneruskan misi mencari cawan dan akhirnya aku ternampak sesuatu di atas almari.
“Hah, dah jumpa,” kataku sambil mencapai sebuah kerusi. Aku panjat kerusi itu dan mencapai cawan yang tersorok dalam almari yang penuh dengan fail-fail kerja.
“Macam mana cawan saya boleh ada atas tu?” soal bos macam akulah suspek utama menyembunyikan cawan kesayangan dia.
“Mungkin hantu dalam pejabat ni yang tak tahan tengok tempat kerja bos yang berselerak,” balasku selamba. Itu kira sopanlah.
“Dah. Tolong buatkan saya kopi panas. Jangan manis sangat. Kopi tu jangan pahit sangat. Sedang-sedang aje,” arah bos seperti sedang menghalau aku selepas dia menyedari sesuatu. Siapa lagi yang nak letak cawan kat atas almari tu kalau bukan dia sendiri!
Aku hanya menurut. Tapi baru saja beberapa langkah, nama aku dipanggil lagi.
“Harum, nanti tolong kemas meja saya,” ujar Encik Alias lembut.
Hah, kenapalah kau tak cari aje setiausaha? Kalau nak cut cost pun janganlah sampai menyusahkan hidup aku.
“Okey,” jawabku pendek. Aku terus mengatur langkah ke pantri. Selepas membasuh cawan bos, aku mula membancuh air kopi. Inilah kerja aku sebagai Pembantu Tadbir. Aku bekerja di sini sejak tamat SPM sebab aku tak berminat nak sambung belajar.
Kalau ditanya ilmu apa yang aku guna sampai aku boleh bertahan kerja dengan Encik Alias, aku hanya mampu cakap, “ilmu maki hamun dalam hati.” Itulah yang sebenarnya sebab kenapa aku masih bertahan kerja di bawah pengurus yang cerewet.
Kopi sudah siap dibancuh. Aku terus berlalu ke luar dan melihat bos aku tengah membelek-belek bungkusan yang mungkin baru saja sampai. Selalunya apa-apa sahaja bungkusan dari luar, abang posmen yang handsome akan hantar di pejabat pentadbiran.
“Rahim mana?” tanya bos kepada Kak Mariam yang menjaga bahagian operator telefon.
“Rahim pergi hantar barang Dato’ Omar kat luar,” aku pula menjawab sambil menghulurkan secawan air kopi.
Dia tanya Kak Mariam dah sah-sahlah orang tu tak tahu ke mana Rahim pergi. Asyik layan telefon yang berbunyi tak henti-henti saja. Bos ni pun satu. Sudahlah Rahim seorang saja budak penghantar surat kat pejabat ni. Semua kerja dia nak buat. Bila Rahim hilang saja tuduh budak tu curi tulang. Padahal budak tu tengah pening nak kena hantar document mana yang perlu di hantar dulu. Semua dokumen tertulis ‘urgent’ pula tu. Itulah cut cost lagi.
Dalam aku merungut, air kopi dah bertukar tangan. Tanpa berlengah lagi Encik Alias menghirupnya sedikit.
“Emm… sedaplah air ni Harum,” pujinya.
Sudah. Aku paling tak suka kalau dia puji aku.
“Harum, tolong hantar semua bungkusan ni kat production. Tolong ye,” pinta Encik Alias. Memang aku dah agak dah. Tapi tak mengapa. Nasib baiklah bos suruh hantar dekat bahagian Production. Yahoo! Seronoknya dapat pergi Production!


Ada beberapa sebab kenapa aku suka sangat berjalan pergi bahagian Production. Sebab yang pertama, Tiara bekerja di bahagian itu sebagai Setiausaha Pengurus Production. Sebab yang kedua, Pengurus Production ialah Encik Uzair. Sebab ketiga, Encik Uzair memang handsome giler dan masih lagi bujang! Dan Encik Uzair merupakan antara sebab kenapa aku masih bekerja di sini lagi. Demi Encik Uzair aku sanggup menghadap Encik Alias yang cerewet tu.
“Assalamualaikum cik setiausaha,” sapaku sambil menguak sedikit pintu pejabat Tiara.
“Waalaikumsalam,” jawab Tiara sambil menaip sesuatu pada kekunci komputernya. “Harum, masuklah,” pelawa Tiara tapi sebenarnya aku sudah melangkah masuk.
“Nah, semua bungkusan ni untuk bos kau,” ujarku menyempurnakan tugas aku terlebih dahulu. Aku menyerahkan sekeping kertas yang mengatakan bungkusan itu sudah diberi kepada Tiara untuk ditandatangan. Itu antara prosedur yang perlu dipatuhi. Kalau ada apa-apa berlaku seperti kehilangan barang, kertas itu akan menjadi bukti bahawa aku sudah melaksanakan tugas aku.
“Bos kau ada?” soalku sambil Tiara menurunkan tandatangan pada kertas itu.
“Ada,” kata Tiara menyerahkan kembali kertas tersebut. “Kau nak jumpa dia ke?” tanya Tiara lagi.
“Isy, tak adalah. Saja tanya hehe,” balasku sambil tersenyum kecil.
Aku dengan Tiara memang tidak ada apa-apa rahsia. Tiara memang tahu aku dah lama tangkap lentuk dengan Encik Uzair. Aku sendiri pun dapat banyak maklumat tentang Encik Uzair daripada Tiara. Cuma buat masa sekarang aku tak berani nak meluahkan perasaan aku kepada Encik Uzair.
Yelah. Siapalah aku ni? Hanya sekadar Pembantu Tadbir kepada bos yang cerewet. Dia pula manager. Berkelulusan tinggi. Manalah dia nak pandang orang macam aku. Aku hanya boleh tengok dia dari jauh saja.
“Dia tengah bergayut tu,” tambah Tiara dengan berbisik.
Aku mengangguk faham. Aku memang sudah sedia maklum yang Encik Uzair ni kaki perempuan. Setiap hari ada sahaja aku dengar keluhan daripada Tiara yang diganggu dengan teman-teman wanita Encik Uzair. Walaupun sedia maklum perangai Encik Uzair tapi aku tetap tak mampu membencinya. Macam ada sesuatu yang ada pada dirinya membuatkan aku bertambah sukakan dia.
Macam dalam novel, lelaki yang berstatus ‘bad boy’ itulah yang menjadi pujaan heroin. Macam itulah aku. Tapi malangnya aku bukan heroin.
“Tiara, I tak kira, you kena tolong I jugak!” Encik Uzair keluar dari biliknya dengan tergesa-gesa. Jantung aku hampir terhenti berdegup apabila melihat Encik Uzair berada di hadapan aku.
Aku terus kaget. Macam patung.
“Hai Harum,” sapanya mesra. “Maaf, saya tak tahu awak ada kat sini,” tambah Encik Uzair dengan senyuman. Serius. Senyuman dia mampu buat aku gila separuh hari!
“Kenapa bos?” tanya Tiara.
“You free tak lunch nanti?” tanya Encik Uzair kepada Tiara.
“I tak bolehlah bos. Dato’ Omar dah booking I awal-awal lagi pergi lunch dengan client dia,” balas Tiara.
Tiara dan Dato’ Omar. Jumpa client. Sangat klise bagi aku. Tapi sebagai kawan, aku diamkan sahaja perkara ini. Lagipun ini bukan kali pertama aku kenal Tiara. Dia memang banyak kenalan lelaki yang kaya-kaya termasuklah macam spesies Dato’ Omar yang gemar berpoya-poya dengan perempuan muda. Aku tak pasti Tiara ni mangsa ke berapa. Tapi baguslah tu, seorang playgirl dan seorang lagi playboy.
Cuma aku tak beberapa pasti sejauh mana Tiara dah pergi. Setakat yang aku tahu dia tak pernah masuk hotel dengan mana-mana lelaki. Itu Tiara yang beritahu. Yang selebihnya aku tak tahu dan tidak akan ambil tahu. Beginilah pengalaman kerja di sini. Bermacam-macam orang yang akan kita jumpa. Nak tegur, kesemua mereka ada otak. Pandai-pandailah diorang nak hidup.
“I ada masalah besar ni,” keluh Encik Uzair tidak keruan.
Aku lantas memberi isyarat kepada Tiara nak balik ke tempat aku. Tiara mengangguk faham. Tanpa berkata apa-apa aku terus mengangkat kaki. Kalau aku lebih lama di situ gerenti aku akan mati tak cukup udara.
“Harum.”
Terus langkah aku terhenti. Biar betul, Encik Uzair panggil aku? Huh, rilek Harum. Kau boleh hadapinya. Jangan gemuruh. Jangan nampak sangat kau sukakan dia. Kalau tak, punah masa depan kau nak intai dia dari jauh!
Aku menarik nafas panjang.
“Ya? Encik Uzair panggil saya?” soalku sambil cuba mengawal jantungku yang berdegup pantas. Kalau hari-hari macam ni, gerenti aku boleh dapat sakit jantung.
“Awak free lunch nanti?” tanya Encik Uzair.
Oh telinga, betul ke apa yang aku dengar tadi? Kau tak hantar isyarat yang salah kat otak aku,kan? Encik Uzair yang sekian lama aku puja tu nak ajak aku keluar makan rehat nanti? Aku nak pengsan. Tapi nanti jap. Kalau aku pengsan, tamatlah cerita ini.
“Err… free. Kenapa?” aku menyoal padahal itu soalan bodoh yang pernah aku tanya. Sudah tentulah dia nak ajak aku keluar makan. Bukan ke dalam novel selalunya macam ni?
“Kalau you free, I nak ajak you keluar makan.”
Dang! Rasa macam nak lompat bintang banyak kali. Tapi, rilek dulu. Bukan mudah nak keluar makan dengan jejaka idaman. Jangan tergesa-gesa. Mungkin aku perlu tolak pelawaan Encik Uzair. Orang kata, perempuan ni kena jual mahal sikit. Biar lelaki tu yang terkejar-kejar kita bukan kita yang terkejar dia.
“Err…,” aku berpura-pura teragak-agak ingin menjawab. Tekniklah katakan. Tapi Tiara di belakang Encik Uzair memberi isyarat supaya aku terima pelawaan bosnya itu. Aku mula panik. Tak tahu hendak buat keputusan.
“Okey, saya anggap awak terima. Lunch nanti tunggu kat kereta saya. Kita pergi lunch sama-sama,” kata Encik Uzair tiba-tiba membuat aku tergamam. Belum sempat aku berkata apa-apa, Encik Uzair terus berlalu keluar dari pejabatnya. Seminit kemudian, dia masuk kembali. “Jangan lupa tau. Kalau awak tak datang, saya redah ofis pentadbiran nanti,” sempat lagi dia mengugut!
Ah, macam mana ni? Aku baru nak jual mahal!


“Jual mahal tu teknik zaman 80an. Orang zaman sekarang ni, kau lambat tangkap, kau yang menangis tak berlagu.” Kata-kata Tiara tadi antara penyebab kenapa aku harus berada dalam kereta Encik Uzair sekarang. Sudahlah sekarang ni aku tengah pening kepala memikirkan tentang calon pilihan keluarga. Kalaulah aku dapat merapatkan sedikit jurang antara aku dengan Encik Uzair gerenti aku dapat yakinkan keluarga aku supaya batalkan rancangan mereka.
Ya! Aku harus berusaha!
“Saya nampak awak bersemangat tiba-tiba,” sapa Encik Uzair tiba-tiba membuatkan aku terus menggelabah. Terlampau over sangat sampai aku tak perasan yang jejaka idaman aku berada kat sebelah aku.
“Err… tak… tak ada apa-apa.” Aku dah mula mengelabah. Malu. Macam manalah aku boleh amalkan perkara pelik depan Encik Uzair! Tak boleh dibiarkan, aku perlu ubah topik!
“Mmm… Encik Uzair….”
“Panggil Uzair saja,” dia memotong.
Perghh! Aku rasa macam nak pengsan bila dengar dia cakap. ‘Panggil Uzair saja?’ Rasanya macam hati aku dah tumbuh bunga-bunga cinta. Siap berkembang mekar lagi. Harumnya seharum nama aku!
“Err… Uzair,” aku masih malu-malu hendak memanggil namanya. “Kita nak jumpa client ke?” aku menyambung sambil menahan degupan jantungku yang makin laju. Kalaulah Encik Uzair ada telinga Superman, gerenti dia akan gelakkan aku.
“Tak,” jawabnya sepatah. “Seperti yang saya cakap tadi, kita pergi lunch,” tambahnya sambil memandu masuk ke pekarangan sebuah restoran.
Restoran Seri Melayu. Ini bukan restoran biasa. Sepanjang aku kerja, tak sampai lima kali aku makan di restoran ini. Itupun sebab bos-bos besar belanja. Kalau aku nak pergi lunch kat sini pakai duit sendiri memang kirim salamlah.
“Err… sebelum tu,” kata Uzair setelah kami berdua keluar dari perut kereta. Dia terus menghampiri aku. Sekali lagi jantung aku yang sudah kembali normal tadi berdegup dengan pantas. “Sebelum kita masuk saya nak awak buat sesuatu untuk saya.”
Apakah? Aku sudah mula cuak. Orang kata kalau dah playboy tu memang playboy. Tiba-tiba sahaja aku jadi takut dengan Uzair. Mungkinkah…
“Buat apa?” aku memberikan diri bertanya. Kalau difikir, lagi berserabut kepala aku yang sememangnya dah berserabut.
“Kita datang sini bukan sebagai rakan sekerja,” kata Uzair.
Akhirnya aku menghela nafas lega. Ingatkan apalah tadi.
“Tapi sebagai kekasih.”
Aku terus mengangkat kepala dan memandang wajah Uzair yang sedang mengukir senyuman. Oh dunia, kenapa kau berpusing begitu cepat?

No comments:

Post a Comment