Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Sunday 11 November 2012

Haruman Cinta: Bab 22


Kadangkala aku terfikir, adakah lelaki memang dilahirkan untuk membuat wanita seperti aku hilang arah? Hanya kerana Uzair tidak datang kerja, tidak telefon aku, tidak mesej aku... semua tu membuatkan aku hilang arah. Aku asyik termenung. Makan pun tak lalu. Mata pula asyik pandang handset. Lepas tu, mulalah mengacau hidup Tiara dengan bertanya macam-macam soalan pasal Uzair. Aku bernasib baik sebab aku kawan Tiara, jadi, dia banyak bagi nasihat berbanding memarahi aku seperti bekas-bekas teman wanita Uzair yang dulu.
“Dia memang selalu macam ni ke?” tanya aku kepada Tiara. “Aku bagi mesej tak balas. Aku telefon dia, operator pula yang jawab. Sudahlah masa kat Cameron dia buat hal. Tanpa sebarang alasan dia tinggalkan aku dengan Haikal kat sana. Nasib baik aku kenal Haikal tu. Kalau tidak aku lebih rela naik bas turun dari Cameron tu. Dan sekarang, dia tak datang kerja, tak telefon aku, tak mesej aku. Eee... aku rasa macam nak pijak lipas!”
“Bertenang. Tarik nafas... hembus...,” ujar Tiara di hujung talian.
Aku buat seperti yang dia suruh. Agak membantu juga tapi hanya untuk satu atau dua minit dan kemudian aku kembali seperti sedia kala. Marah. Mula nak maki hamun. Aduh, baru aku faham. Inilah rasanya bila dilamun cinta. Memang boleh jadi gila bila si lelaki buat perangai!
“Harum, ini sebahagian daripada ujian yang kau perlu tempuhi. Bertenang. Jangan terlampau ikut perasaan. Cuba jadi macam Harum yang dulu. Tak banyak fikirkan masalah walaupun ada masalah. Cuba fikir sesuatu yang menggembirakan supaya kau boleh lupakan tentang Uzair seketika,” kata Tiara sedikit membuat aku rasa bertenang.
“Apa yang patut aku buat?” Aku menyoal. Lebih teruk daripada orang hilang punca.
“Apa-apa saja.”
“Apa-apa tu apa?”
Aku dengar Tiara mengeluh. Aku tahu, aku dah menyusahkan Tiara tapi aku sendiri pun tak tahu kenapa aku tetap nak suruh dia fikir macam mana aku hendak lupakan tentang Uzair buat seketika.
“Novel... kaukan suka baca novel... apa kata kau....”
“Kalau aku baca novel dah sah-sahlah aku ingat si Uzair tu,” lantas aku memotong.
“Ye tak ye jugak,” balas Tiara.
“Tak apalah Tiara.” Aku mula rasa serba salah. Aku tak sepatutnya mengheret Tiara dalam masalah aku. Aku saja yang terlebih menggelabah. Aku saja yang fikir yang bukan-bukan. Mungkin Uzair betul-betul ada masalah sehingga dia tidak dapat menelefon aku. Mungkin dia ingin menelefon aku tapi dia risau masalah itu akan membebankan aku.
“Jangan banyak fikir sangat, Harum. Positif. Fikir positif,” pesan Tiara sebelum kami menamatkan perbualan petang itu.
Ya. Aku perlu berfikiran positif. Lagipun ini merupakan percintaan pertama aku. Yang real. Bukan bertepuk sebelah tangan seperti zaman cinta monyet dulu. Orang kata, bila dilamun cinta buat pertama kali, macam-macam perkara pelik akan kita buat. Contohnya, seperti sekarang. Asyik fikir yang bukan-bukan saja. Padahal tiada apa-apa pun.
Jadi, aku perlu kuat!
Tiba-tiba handset aku berdering. Aku lantas mencapainya dan berharap Uzair yang menelefon aku tetapi bila pandang nama pada skrin handset, aku mengeluh. Bukan Uzair tapi Rafidah, seorang kawan sekolah yang sudah bertahun lama tidak menghubungi aku.
Tanpa berfikir panjang, aku menjawab pangilan itu.
“Harum, kau free tak? Jom teman aku keluar. Aku dekat depan rumah kau dah ni!”
Tut! Talian terus dimatikan.

~~~

“Boleh tak lain kali kalau kau nak ajak aku keluar, jangan tiba-tiba telefon dan beritahu kau dah ada depan rumah aku?” pesan aku kepada Rafidah, wanita yang bertudung litup dan memiliki senyuman yang manis seperti selalu.
“Hahaha... aku pun tak tahu, sedar-sedar aku dah ada dekat kawasan rumah kau. Jadi, memandangkan kita dah lama tak jumpa, aku terus call kau,” kata Rafidah sambil memandu keretanya ke lebuh raya.
“Kita nak pergi mana?”
“I-City,” jawab Rafidah.
“Buat apa?”
“Tengok lampulah.”
“Dekat KL tak ada lampu ke sampai kita kena pergi i-City semata-mata untuk tengok lampu?”
“Ada tapi masalahnya lampu kat i-City lagi ceria! Kau pernah pergi ke?”
“Mana? I-City? Tak pernah terfikir pun nak pergi,” jawab aku selamba.
“Aku pun sama tapi baru-baru ni aku diaju soalan yang sama oleh seseorang. Bila aku jawab ‘tak’ kau tahu apa dia jawab?” Rafidah memandang aku sekejap sebelum memandang ke hadapan. Aku sempat menggeleng. “Dia kata, aku dah buat sesuatu pada diri aku yang menyebabkan aku rasa tension sangat-sangat. Dia kata lagi, bukan orang lain yang buat kita tension tapi cara kita layan diri kita sendiri yang buat kita rasa tension. So, dia sarankan aku pergi tempat yang boleh nyalakan lampu kegembiraan dalam diri aku dan dia cadangkan i-City.”
“Apa kena mengena tension dengan lampu di i-City? Aku syak orang tu mesti pekerja di sana ataupun dia dah melabur duit dia kat sana. Jadi, dia pun promote i-City kat kau. Macam iklan bergerak,” balas aku selamba.
“Harum... dia pelajar aku. Mustahil pelajar sekolah boleh melabur dalam projek besar macam tu. Kalau ada pun mungkin satu dalam sepuluh,” balas Rafidah.
“Pelajar sekolah?” Soal aku walaupun aku sudah sedia maklum yang Rafidah merupakan guru di sebuah sekolah di ibu kota. “Biar aku teka. Dia lelaki?”
“Macam mana kau tahu?” soal Rafidah yang nampak terkejut.
“Hanya lelaki yang lebih muda dari kita yang suka bagi cadangan yang kebudak-budakan,” komen aku yang sudah agak dari awal lagi.
“Ada lelaki yang muda dari kau bagi cadangan yang sama ke?” soal Rafidah.
Aku hanya mengangguk dan terbayang Haikal yang sedang menabik dada. Kononnya, apa yang dia beritahu itu adalah benar belaka.

~~~

“Aku masih tak faham kenapa ada orang sanggup menghabiskan duit dan masa semata-mata nak tengok lampu-lampu begini,” komen aku lagi apabila kebosanan melihat lampu-lampu indah di sekeliling aku.
Memang aku akui. Suasana malam itu begitu indah tetapi aku terasa ada sesuatu yang kurang. Lebih-lebih lagi apabila aku lihat pasangan kekasih berjalan seriringan sambil bergelak ketawa. Sedangkan aku berjalan berdua-duaan dengan Rafidah yang tak habis-habis menangkap gambar dengan kamera handsetnya. Cemburukah aku dengan mereka?
“Aku faham apa yang kau tengah fikir sekarang ni. Ya, aku setuju. Umur kita dah meningkat. Bila fikirkan kembali macam membuang masa berjalan-jalan di sini tapi aku nak bagi peluang pada diri aku untuk memahami kenapa ramai yang suka datang sini,” balas Rafidah sambil menghulurkan handsetnya kepada aku.
Ini tak lain tak bukan suruh aku tangkap gambar dia lagi. Huh, nampaknya hari ini aku akan jadi jurukamera tidak bertauliah. Tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya aku boleh lupakan Uzair buat seketika.
“So, siapa lelaki yang bagi cadangan yang kebudak-budakan tu?” soal Rafidah tiba-tiba.
“Seseorang yang tak ada kena mengena dalam hidup aku,” pantas aku menjawab. “Dan apa yang membuatkan kau nak ikut nasihat pelajar kau tu?” lantas aku kembali menyoal Rafidah.
“Aku dah bercerai,” Rafidah menjawab dengan cepat.
“Kau dah kahwin? Kenapa aku langsung tak tahu?” Jawapan Rafidah tadi memang benar-benar buat aku terkejut. Sumpah. Aku ingat dia masih single macam aku. Apatah lagi aku langsung tak ingat bila masa dia ajak aku ke majlis perkahwinan dia. Sudah tentulah aku terkejut bila dia beritahu dia sudah bercerai!
“Bukan kau seorang saja. Ramai yang tak tahu. Aku memang tak hebohkan sebab aku isteri kedua. Kau faham ajelah bila hidup bermadu. Lagi-lagi bila suami kita orang ternama,” ujar Rafidah yang langsung tak nampak kekesalan.
“Kau okey?”
“Aku dah puas menangis,” dia mengukir senyuman.
Terus aku kagum dengan dia. Dalam hal begini, dia masih boleh tersenyum. Padahal aku...
“Kau percaya tak? Selepas aku bercerai, baru aku sedar, yang aku dah banyak abaikan perkara-perkara penting dalam hidup aku. Aku berkahwin dengan dia disebabkan cinta. Demi cinta aku sanggup sisihkan keluarga dan kawan-kawan aku. Majlis perkahwinan kami dibuat secara tertutup. Bila aku jadi isteri dia, kami jarang boleh keluar bersama-sama. Walaupun dia suami aku, tapi aku dilarang sama sekali umumkan siapa suami aku. Lama-lama aku rasa macam... orang bodoh pun ada. Jadi, aku minta cerai. Dengan semudah tu, dia ceraikan aku. Kemudian, baru aku tahu yang dia sudah ada isteri ketiga.”
Ya Allah. Kawan jenis apakah aku ini? Aku langsung tak sangka kawan baik aku mengharungi semua ini seorang diri. Biarpun begitu, dia kelihatan tabah menghadapinya. Aku langsung tidak dapat menahan air mata yang sudah lama bertakung.
“Hei, kenapa kau pula yang menangis? Ini bukannya kisah sedih. Kau patut gembira sebab aku dah bercerai dengan orang yang tak hargai aku,” soal Rafidah melihat aku dengan wajah yang pelik. Pelik sangat ke kalau aku menangis? Jiwa aku memang sensitif. Baca novel cinta pun aku boleh menangis inikan kisah realiti kawan sendiri. Sudah semestinyalah aku sedih.
Rafidah tersenyum kelucuan.
“Sudah-sudah. Aku dah tak rasa menyesal lagi. Aku dah bebas. Kau patut gembira,” dia peluk aku macam aku pula yang baru bercerai. Selepas seketika, akhirnya Rafidah meleraikan pelukan. Aku melepaskan sedikit tawa apabila menyedari aku pula yang terlebih sedih padahal orang yang mengalaminya siap ketawa depan aku lagi.
Aku cemburu dengan ketabahan dia.
“Ini semua salah kau,” ujar aku sambil menyeka sisa-sisa air mata. “Lain kali kalau nak kahwin tu beritahulah aku. Aku bukannya paparazi yang akan sebarkan cerita pasal kau.”
“Aku tak nak bebankan orang lain dengan masalah aku. Setiap orang mesti ada masalah. Aku hormati kau sebagai kawan jadi, aku tak nak jadi kawan yang hanya akan menghubungi kawan bila ada masalah. Oleh tu, aku datang cari kau bila aku dah selesaikan masalah,” jawab Rafidah dengan senyuman manisnya.
“Rafidah, kaulah kawan yang paling aku sayang!!!” Aku tak dapat mengawal diri daripada memeluknya.
Rafidah. Sejak dari dulu sampai sekarang, dia sentiasa membantu aku memotivasikan diri sendiri. Dia juga selalu muncul disaat-saat aku perlukan seseorang. Secara tak langsung beri aku inspirasi untuk menghadapi hari-hari akan datang.
Terus aku terbayang wajah Tiara. Sejak beberapa hari ini, aku asyik menganggu hidup Tiara dengan meluahkan masalah aku kepadanya. Walaupun Tiara seperti tidak kisah tapi aku tetap rasa bersalah. Entah bagaimanalah dia mampu bertahan dengan kerenah aku yang tidak putus-putus asyik mengacau hidupnya dengan masalah aku.
“Harum, dah... cukup tu... kau dah buat aku tak boleh bernafas,” kata Rafidah yang cuba meleraikan pelukan aku.
“Sorry,” lantas aku melepaskan pelukan. “Kenapa?” soal aku apabila aku menyedari dia memandang aku lama.
“Seronok dapat jumpa kau semula,” jawabnya.
“Lain kali jangan menghilangkan diri dengan tiba-tiba,” jawab aku berseloroh.
Dia tersenyum. Aku turut mengukir senyuman. Kemudian, dia berpaling memandang lampu-lampu di hadapannya. Aku juga begitu. Aneh. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu indah.
“Apa pendapat kau tentang cadangan kebudak-budakan ni?” soal Rafidah.
“Kau patut bagi markah tambahan untuk dia,” jawab aku sedikit berlawak.
“Kau pun,” balas Rafidah turut menyokong.
 Aku sekadar tersenyum. Aku mencapai handset dan terus menangkap gambar keindahan lampu-lampu di hadapan aku. Selepas aku, aku terus menghantarnya kepada Haikal. Beberapa minit kemudian aku terima mesej daripada Haikal.
Cantik! Tapi sayang. Tiada senyuman sang bidadari di bawah keindahan lampu yang berwarna-warni ni – Haikal. L
“Mengada. Orang bagi betis nak peha,” rungut aku perlahan.
“Apa?” tanya Rafidah.
“Err... tolong tangkap gambar aku.”
Lantas aku beri handset aku kepada Rafidah. Tanpa menyoal, Rafidah menangkap beberapa keping gambar aku di bawah cahaya lampu-lampu sehinggalah aku puas dengan gambar yang ditangkapnya. Aku terus send gambar itu kepada Haikal. Kemudian, baru aku sedar Rafidah asyik memandang aku dengan wajah ‘aku tahu apa yang sudah berlaku’.
“Apa? Aku hanya bagi dia satu markah,” jawab aku yang kurang selesa dengan tenungan Rafidah.
“Kau patut berhati-hati bagi markah pada lelaki yang lebih muda dari kita. Kadangkala 1 markah boleh bertukar jadi 100 markah dan kalau betul 1 markah pun, lama-lama boleh capai 100 markah,” kata Rafidah dengan makna yang mendalam.
“Aku tahu apa yang aku buat.”
“Begitu juga aku,” katanya sambil menggodek bebutang handsetnya. Aku dapat agak apa yang dia sedang lakukan tapi aku tidak mahu tanya dengan lebih lanjut.
“Kadangkala, bila berkawan dengan lelaki yang lebih muda buat kita pun jadi muda. Aku teringin nak baling snowball. Care to join me?”
Aku memberinya senyuman setuju.

~~~

“Apa yang buat kau tiba-tiba sediakan sandwich untuk aku ni?” tanya Tiara yang pelik apabila menerima sarapan yang dibuat oleh aku sendiri pada pagi itu.
“Saja. Aku terlampau rajin pagi ni. Jadi, aku buat lebih untuk kau.”
Aku cuba menyembunyikan niat sebenar. Sejujurnya aku memang buat sarapan ini untuk Tiara. Bukan disebabkan aku terlampau rajin. Aku memang buat khas untuk dia sebab aku ingin berterima kasih kepada Tiara yang sanggup layan karenah aku.
“Emm... tapi aku tetap rasa mesti ada sesuatu yang tak kena ni,” Tiara masih tidak percaya.
“Mana ada apa-apa. Jangan risau, aku bukan datang nak mengampu atau minta tolong.”
“Betul?”
Aku mengangguk dengan penuh yakin.
“Atau... Uzair dah telefon kau?” teka Tiara.
Aku menghela nafas lemah. Kenapalah dia sebut nama Uzair. Bersusah payah aku baling snowball malam tadi untuk lupakan Uzair buat seketika tapi hari ni Tiara pula buka cerita pasal Uzair. Tak apalah. Layan ajelah.
“Tak. Perlu sangat ke dia telefon aku?”
“Harum... cara kau cakap tu....”
“Jangan risaulah. Aku tak apa-apa. Dia nak telefon aku atau tak, itu dia punya pasal. Aku dah malas nak fikir. Kalau dia ingat aku kat sini, kalau dia rasa aku ni masih teman wanita dia... dia tentu akan telefon untuk bertanya khabar. Kalau dia tak telefon, aku anggap... dia perlukan masa untuk sendirian,” jawab aku dengan tenang.
“Kau tak marahkan dia lagi?” soal Tiara.
“Marah. Aku sangat-sangat marah. Marah aku bukan tahap nak pijak lipas saja tapi aku nak bakar lipas tu. Tapi apa yang aku dapat kalau aku marah sampai ke tahap tu? Tak ada apa-apa bukan? Dia tetap tak call, tak mesej. Hilang macam tu saja. Jadi, cara yang terbaik adalah tunggu. Tunggu dia muncul kembali dan tunggu dia bersuara tapi malangnya dia hanya berdiri di belakang aku tanpa melakukan apa-apa,” ujar aku dengan penuh geram dan berpaling ke belakang.
Memang sejak dari tadi aku sedar kehadiran Uzair. Aku bukan ada kuasa untuk mengesan kehadiran seseorang tapi aku dapat kesannya dengan bau haruman yang selalu dipakainya. Mustahil aku tak dapat cam haruman Uzair.
Aku cuba bertenang. Senyuman aku ukir dengan penuh payah sekali. Kalau diikutkan hati memang aku tak teringin hendak tengok muka dia lagi. Tapi, orang kata jangan campur adukkan hal pejabat dengan hal peribadi. Jadi, aku perlu berani berhadapan dengannya.
“Selamat pagi Encik Uzair. Saya balik pejabat dulu,” kata aku terus mengatur langkah. Aku lalu di sebelah Uzair yang masih tercegat di muka pintu.
“Harum...,” panggilnya.
Langkah aku automatik terhenti.
“Lunch nanti you free tak?” Dari suara Uzair, aku dapat rasa dia macam serba salah. Dia seperti berharap aku dapat memberinya peluang. Tapi, jangan haraplah aku nak bagi dia peluang. Dia dah buat aku hampir gila memikirkanya, kini aku harap dia pula gila memujuk aku.
“Tengah hari ni saya dah janji nak makan bersama bos saya,” jawab aku selamba. Ini bukan alasan tapi memang aku perlu keluar dengan Shahir untuk berjumpa dengan pelanggan. Aku perasan wajah Uzair berubah. Cemburu?
Bagus! Rasakan!
“Tak ada apa-apa lagi? Kalau macam tu, saya balik dulu. Bos saya perlukan saya sekarang!” Aku terus mengatur langkah meninggalkan pejabat Uzair. Puas rasanya. Aku rasa macam akulah pemenang dalam permainan ini. Baru aku faham. Kenapa sesetengah perempuan suka tengok teman lelakinya cemburu. Rupanya, seronok juga cemburukan hati lelaki ni ya!

5 comments:

  1. memang patut pun apa yang Harum buat sekarang....
    Uzair seolah-olah cuba mempermainkan hati Harum...

    ReplyDelete
  2. sokong sesngt Harum wat cam tu kat uzair...jgn dilayan kalu lelaki tk menghargai u Harum.jaga value kite tk yah terhegeh hegeh,jual mahal than tngk sape carik sape lak!!sori dek teremo akak neh hehe...

    ReplyDelete
  3. lama gila tggu sambungan :) padan uzair tu..

    ReplyDelete
  4. padan muka uzair... ingat harum tu tunggul? next entry please... kalau boleh jgn la lama2...

    ReplyDelete
  5. Lamanyaaaa....br ada n3...tima kasih ye cik writer :)

    ReplyDelete