Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Tuesday 17 April 2012

Haruman Cinta - Bab 5



“Terima kasih Kak Harum sebab sudi hantar Mimi,” ucap Mimi ketika di dalam kereta.
Aku sekadar mengukir senyuman. Bila masa pulak la aku ada adik perempuan? Dan lagi, aku tak kata pun nak hantar minah gedik ni. Dia yang terhegeh-hegeh suruh aku hantar dia balik. Nasib baiklah rumah dia dekat Kuala Lumpur kalau dekat Kuala Terengganu memang aku tinggalkan aje.
“Err… Kak Harum,” panggil Mimi dengan manja.
Sah. Mesti ada apa-apa ni.
“Boleh tak kita pergi makan? Mimi laparlah. Mimi teringin nak makan satay,” kata Mimi lagi.
Amboi, senang aje kau nak suruh-suruh aku ye. Ingat aku ni pemandu kau ke? Sudahlah aku kena membazirkan minyak, tenaga dan masa aku hantar kau. Sekarang kau nak suruh aku singgah makan satay? Huh!
“Tak bolehlah Mimi. Dah lambat dah ni. Nanti apa pula kata keluarga Mimi?”
Aku bagi alasan. Tapi memang betul pun. Kalau ada apa-apa berlaku pada Mimi, aku juga yang akan dipersalahkan oleh keluarganya sebab aku paling dewasa di antara mereka. Lagipun aku tengok gaya Mimi macam anak manja pun ada.
“Ala, bolehlah. Dari sana lagi Mimi mengidam nak makan!” Mimi merungut manja.
“Mengidam?” soal aku seraya menjeling memandang Haikal di sebelah aku.
Menyedari aku memandangnya, Haikal berdehem beberapa kali.
“Err… Mimi, betul apa yang Kak Harum kata tadi. Dah lewat malam ni, nanti mama dan papa Mimi risau pulak,” Haikal pula bersuara.
“Tapi, Mimi teringin nak makan satay,” rungut Mimi lagi.
Rasa macam nak bagi pelempang pun ada!
“Nanti bila-bila senang kita pergi makan ya. Kita ajak Kak Harum sekali. Suruh dia belanja,” tambah Haikal.
Serentak itu aku memandangnya. Sesedap hati aje suruh aku belanja!
“Betul? Janji ya!”
Aku sekadar mengukir senyuman. Jangan harap aku hendak berjanji. Kalau nak makan satay, kau makanlah sendiri. Pakai duit sendiri. Keluarga kau dah hantar kau belajar kat luar negara gerentilah diorang ada duit nak bagi kau makan satay.
Aku mengikut arahan GPS memasuki sebuah kawasan perumahan yang agak mewah dan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan. Boleh tahan juga keluarga Mimi ni. Mestinya bukan orang-orang biasa tinggal di sini. Memang bertuah betul Haikal dapat pikat perempuan kaya, cantik dan manja ini. Sah, kalau diorang kahwin nanti gerenti Haikal dapat jadi menantu kesayangan.
Sebelum masuk ke kawasan perumahan itu aku terpaksa melalui sistem keselamatan yang ketat. Pengawal keselamatan tidak bagi aku masuk dengan hanya cakap aku hendak hantar Mimi balik. Sebaliknya kami terpaksa parking kereta di luar pintu masuk sementara pengawal itu mengenal pasti tujuan aku dengan menelefon empunya rumah.
Haikal menemani Mimi Fazila berurusan dengan pengawal keselamatan. Sementara aku duduk dalam kereta sambil mengira detik. Sekarang sudah hampir pukul 12.30 tengah malam. Lepas ini aku perlu bawa Haikal pergi makan. Pastinya aku akan sampai rumah lewat.
Tidak lama kemudian, barulah kami dibenarkan masuk. Tapi pengawal keselamatan siap pesan lagi, jangan memandu laju lebih daripada 40 kilometer takut menganggu penghuni kawasan perumahan itu hendak tidur. Macam-macam!
Kurang dua minit aku memandu, akhirnya Mimi menyuruh aku memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah besar dan mewah. Melihat rumah Mimi membuatkan aku terfikir. Walau aku bekerja selama 50 tahun pun aku tetap tidak akan dapat membeli rumah semewah ini. Sah. Memang Mimi ini bukan sebarangan orang. Ibu bapanya mesti golongan berada ataupun golongan profesional.
Pintu pagar rumah Mimi terbuka secara automatik. Seorang wanita yang agak berusia melangkah keluar. Ketika aku mematikan enjin kereta Mimi telahpun keluar memeluk wanita itu. Begitu juga dengan Haikal yang sudah memunggah bagasi Mimi yang berwarna pink dan besar itu. Huh, nasib baiklah ayah beli kereta yang bonetnya besar. Itupun hanya muat barang-barang Mimi aje. Bagasi Haikal kebanyakannya sudah dipos, jadi Haikal hanya membawa sebuah bagasi kecil aje.
“Terima kasih Kak Harum sebab sudi hantar Mimi,” ucap Mimi.
Aku sekadar tersenyum sebelum kembali masuk ke dalam kereta. Enjin kereta aku hidupkan dan tanpa berkata apa-apa, aku terus memandu kereta pulang. Kini, hanya tinggal aku dan Haikal sahaja dalam kereta itu. Aku terus kelu hendak bersuara. Haikal juga.
“Kau nak makan apa? Tadi ayah kau beritahu, mak kau tak masak apa-apa hari ni, jadi dia suruh aku bawak kau pergi makan,” akhirnya aku bersuara.
“Aku teringin nak makan masakan kau,” jawab Haikal sudah mula ingin menyakat.
“Kalau kau teringin nak makan telur hangus boleh aje.” Kalau dia tahu menyakat aku pula tahu loyar buruk.
“Disebabkan aku rindu kat kau, telur hangus pun jadilah,” Haikal membalas dengan penuh dramatik. Rasa macam hendak lempang pun ada.
“Cepatlah. Aku dah mengantuk ni. Kalau kau tak nak makan, kita balik rumah aje.” Aku malas hendak bermain dengan Haikal. Sudahlah satu hari ini aku penat melayan karenah orang. Siang tadi karenah Encik Uzair, sekarang ni karenah Haikal pula.
“Yelah. Kau ni nak bergurau sedikit pun tak boleh. Kau berhenti ajelah kat mana-mana gerai yang penting gerai tu tak ada lipas!”
Serentak itu aku menjeling tajam. Macam perli aku aje ni.
“Apa? Aku seorang yang prihatin dengan nyawa-nyawa lipas sedunia.”
Arghh!! Aku malas nak layan!


Aku memberhentikan kereta di sebuah gerai makan. Walaupun jam sudah menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi, tetapi gerai itu tetap ramai dengan pelanggan. Orang-orang KL memang tak pernah kenal erti tidur.
Kadangkala pukul tiga empat pagi pun masih ada yang duduk melepak di gerai mamak. Esok pagi pergi kerja dengan tergesa-gesa. Lepas itu akan salahkan trafik jem. Huh, itulah pengalaman aku bekerja di bahagian pentadbiran. Nama aja bahagian pentadbiran tapi semua kerja yang sepatutnya kerja Sumber Manusia aku perlu jaga juga. Memang betul-betul kerahan tenaga betul Encik Jimat Cermit tu.
“Kau fikir apa?” sapa Haikal mematikan lamunan aku.
Sedar-sedar aje, makanan yang kami pesan tadi sudah sampai. Aku sendiri tidak pasti masa bila pelayan gerai itu hantar. Haikal sudah pun menikmati nasi goreng lada yang dipesannya. Tengok dia makan macam orang tak pernah makan selama sebulan.
Tapi aku faham. Cakaplah betapa seronoknya kehidupan di luar negara, tapi kita tetap akan rindukan tanah air sendiri. Terutamakan masakan di sini. Mungkin itu yang dilalui oleh Haikal.
“Kau tahu tentang rancangan kedua ibu bapa kita?” aku mula bertanya.
“Yang nak jodohkan kita berdua ke?” soal Haikal acuh tak acuh.
“Yalah. Kau fikir macam mana?” Apa punya soalanlah. Tapi lantaklah.
“Aku on aje.”
Hampir hendak tersembur nasi dalam mulut aku. Lantas aku mencapai air dan meneguknya. Perlahan-lahan aku tarik nafas dan hembus.
“Aku tak tahu kau ni gila atau mereng. Hey, ini tentang kahwin bukannya suruh jadi pengapit pengantin!”
“Kalau pengapit pengantin pun okey jugak.”
Sekarang aku teringin nak pijak lipas!
“Haikal!” Aku tendang kakinya. Tak dapat lipas, kaki pun jadilah.
“Sakitlah!” dia mengusup kakinya. “Kau tahu tak kaki aku ni lebih berharga daripada kaki Ronaldo? Kalau tak ada kaki ni macam mana aku nak tanggung kau lepas kita kahwin nanti?”
“Siapa kata aku nak kahwin dengan kau?”
“Kau yang kata.”
Aku mengerut dahi. Bila masa pulak aku terhegeh-hegeh hendak berkahwin dengan lelaki yang tak cukup matang ini?
“Tak ingat?”
Sekali lagi aku mengerut dahi. Ada sesuatu berlaku dengan memori aku ke? Rasanya aku tak pernah kata aku nak kahwin dengan dia. Atau dia yang berangan-angan jadi hero dalam novel? Ah, aku tak peduli yang penting, aku perlu selesaikan hal ni.
“Aku tak sukakan kau,” ujar aku.
Dia masih lagi makan nasi gorengnya yang tinggal separuh.
“Aku tak cintakan kau,” beritahu aku lagi.
Dia terus makan.
“Aku tak nak kahwin dengan kau,” kata aku lagi.
Nasi gorengnya sudah habis dimakan.
“Kau dengar tak apa aku cakap tadi?” aku sudah mula naik angin.
“Dengar. Kau cakap, kau sukakan aku. Kau cintakan aku dan kau nak kahwin dengan aku. Jadi, settle! Kalau boleh esok pun kita boleh nikah tapi kena booking tok kadi dulu. Kalau nak tahu, tok kadi adalah orang yang paling sibuk sekali kat Malaysia ni,” tambah Haikal dengan loyar buruknya.
“Haikal!” Kali ini aku tendang kerusi dia.
Tapi Haikal hanya ketawa.
“Malaslah nak cakap dengan kau!” Aku terus bangun dari duduk dan mula mengatur langkah. Nama aku dipanggil Haikal, tetapi aku berbuat tidak dengar. Merajuk.
Sumpah. Sepanjang aku hidup aku tak pernah merajuk dengan sesiapa. Tapi Haikal adalah orang pertama yang berjaya buat aku merajuk. Dan ini bukan pertama kali aku merajuk dengan Haikal.
“Harum,” panggil Haikal.
Aku terus berjalan ingin ke kereta. Sengaja aku cepatkan langkah. Kalau aku sampai ke kereta dulu, sempatlah aku tinggalkan Haikal sorang-sorang kat sini. Biar padan muka dia. Tiba-tiba aku terlanggar seseorang.
“Maaf,” ucapku sambil mendongak. Tiba-tiba badan aku keras macam batu.
Gulp! Encik Uzair!
Aku sudah tidak keruan. Encik Uzair yang bersama dengan seorang kawan lelakinya memandang aku. Kemudian, tanpa berkata apa-apa mereka berdua berlalu ke gerai sana. Encik Uzair masih marah pada aku lagi.
“Wei, kalau nak merajuk pun tolonglah bayar makanan tadi. Aku tak ada RM sekarang,” kata Haikal menghampiri aku.
Kemudian, baru aku perasan yang salah seorang pelayan sudah bercekik pinggang. Aku terus mencapai dompet dalam beg aku dan hulurkan RM50 kepada Haikal. Haikal kembali semula ke gerai itu sementara aku berlalu masuk ke kereta.
Aku langsung tak sangka akan terserempak dengan Encik Uzair di sini. Awal-awal pagi macam ni. Hilang terus mood aku. Tiba-tiba pintu kereta tempat aku dibuka oleh Haikal. Apa hal pulak ni? Nak cari pasal lagi ke?
“Keluar,” arah Haikal.
“Hah? Kenapa?”
“Tadi kau kata mengantuk. Takkan aku nak biarkan kau memandu kereta dalam keadaan mengantuk,” dia terus capai tangan aku dan membawa aku ke tempat duduk di sebelah pemandu. Kemudian, Haikal duduk di tempat aku tadi. Enjin kereta dihidupkan.
“Kau reti bawak kereta ke?” aku menyoal.
“Bawak kereta tak reti tapi pandu kereta aku reti,” dia sudah mula berloyar buruk dengan aku.
Aku menarik muka. Nak aku merajuk lagi ke?
“Jangan risaulah. Sebelum kau pandai memandu, aku dah pegang stereng dulu,” tambah Haikal.
Lantaklah. Aku tak ada mood hendak melayan dia lagi.
“Hei, takkan merajuk lagi. Came on lah, bagilah muka sikit kat aku yang baru balik ni.”
Aku menutup mata.
“Kenapa mengantuk ke? Nak tidur? Meh aku nyanyikan lagu.”
Haikal mula menyanyi.
“Anak itik tok wi mandi dalam kolam….”
Ya Allah, dia ingat aku ni budak sekolah tadika ke? Aku menutup telinga. Tak tahan mendengar suara sumbang dia itu.
“Kenapa tak best? Okey, aku tukar lagu.”
Air pasang dalam surut pukul lima
Nyonya bangun pagi siram pokok bunga
Tolonglah berhenti!!!
Rasa macam nak terjun dari kereta pun ada. Aku meletak kedua-dua belah tangan aku di telinga. Dari satu lagu ke lagu kanak-kanak yang lain aku dengar Haikal menyanyi. Lama kelamaan, suara Haikal semakin jauh. Seterusnya, aku sudah tidak dengar apa-apa lagi.


Aku menggeliat malas apabila mendengar jam loceng berbunyi. Lantas tanganku merayap menutup jam loceng di sebelah katilku. Perlahan-lahan aku membuka mata walaupun masih mengantuk lagi. Mana tak mengantuk. Semuanya gara-gara kena jemput Haikal di KLIA malam tadi.
Pap!
Aku terus bangun. Aku memandang sekeliling. Memang ini bilik aku dan katil yang aku baring sekarang adalah katil aku tapi macam mana aku boleh berbaring di sini? Aku cuba mengorek memori semalam. Kenapa aku tak ingat langsung aku sampai rumah?
“Mungkinkah…,” aku terus melulu ke luar dan mendapatkan ibu yang sedang bersiap menyediakan sarapan pagi.
“Hah? Dah bangun? Ibu baru aje nak kejut kamu. Pergi mandi cepat. Lepas tu sembahyang,” arah ibu seperti pagi-pagi yang lain.
“Ibu, apa dah berlaku semalam? Macam mana Harum boleh tidur dalam bilik?” aku terus menyoal. Rasanya malam tadi aku tak mabuk dan seumur hidup aku, aku tak pernah mabuk! Mabuk laut pernahlah.
Ibu mula senyum-senyum. Sah, mesti ada apa-apa yang sudah berlaku semalam.
“Tulah. Lain kali jangan tidur dalam kereta. Bukan ke dah susahkan Haikal. Nasib baik ada Haikal yang larat angkat kamu, kalau tak tidur dalam kereta ajelah jawabnya,” jawab ibu berseloroh.
“Err… apa ibu kata tadi? Ibu kata… Haikal yang….”
“Yelah. Siapa lagi,” cepat ibu menjawab.
“Ibu ni, kenapa tak kejutkan Harum. Arghh!” Aku terus berlari masuk ke dalam bilik. Rasa macam nak sembunyi dalam gua aje. Macam manalah aku boleh tak sedar langsung? Hisy, Haikal pun satu memang sengaja nak cari pasal dengan aku.
Tiba-tiba telefon aku berbunyi. Satu mesej baru telah masuk. Lantas aku membacanya.
Selamat pagi Cik Harum yang busuk. Tidur lena tak semalam? Aku mesej awal-awal pagi ni bukan sebab nak kejut kau bangun solat Subuh tapi aku nak beritahu, sumpah lepas ni aku tak nak menyanyi untuk kau lagi. Ada ke patut tidur sampai orang gerak pun tak bangun-bangun. Sudahnya terpaksa aku tunjukkan kegagahan aku depan bakal ayah dan ibu mertua. So, lepas ni jangan lupa turunkan berat badan ya. Nanti senang aku nak angkat kau masuk dalam bilik lepas kita kahwin nanti. – Haikal.
Kenapa aku rasa pipi aku macam terbakar? Arghh!! Kenapa semua ini harus terjadi pada aku? Aku terus mencapai selimut dan menutup seluruh tubuh aku. Tak kira. Hari ni nak MC jugak!

6 comments:

  1. hahahahaha.. sumpah haikal ni kelakar!! tp klakar menyakitkan hati :P
    sian harum.. asik2 dia yg kena..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaupun menyakitkan hati tapi itu jugak yang akan dikenang... opss, pecah rahsia :)

      Delete
  2. hahah..serius cerita ni kelakar.
    sambung2x..

    ReplyDelete
  3. best.. tak sabar nak tahu selanjutnya...

    ReplyDelete