Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Monday 16 July 2012

Haruman Cinta: Bab 14



“Apa ni? Ini bukan kes buli atau kes tak puas hati tapi dah kes dera kau tahu tak?” kata Tiara yang terkejut dengan kerja-kerja yang perlu aku siapkan. “Ini semua bukan kerja kau, kau tahu tak? Kerja kau cuma berkhidmat dengan pengurus saja.”
“Aku tahu tapi masalahnya bakal bos aku pun tak nampak batang hidung lagi, takkanlah aku nak goyang kaki kat sini?” Aku pula membalas sambil jari jemari aku lancar menaip sesuatu di komputer.
“Tapi, ini semua kerja pembantu tadbir. Kerja si janda berhias tu!” kata Tiara. Dia pula tidak puas hati.
“Hisy, suara tu perlahan sikit,” aku memberi amaran.
Nasib baiklah sekarang ni waktu rehat dan Kak Nana sudah keluar rehat. Kalau didengar oleh Kak Nana mesti perang mulut mereka berdua ni. Siapa yang tak tahu, Tiara dengan Kak Nana memang sudah lama berperang. Aku pun sudah lupa sebab apa mereka berdua berperang. Banyak sangat sebabnya. Jumpa sikit mesti ada perang mulut.
“Biar dia dengar. Kau pun satu, biarkan saja diri kena dera. Sekarang, kau tengok, aku tak ada kawan nak teman aku rehat!” rungut Tiara menarik muka masam.
“Alalala... takkan itu pun kau nak tarik muka dengan aku. Anggap sajalah aku tengah diet. Tengok badan aku dah naik dua kali ganda. Semua ni sebab Uzair asyik ajak aku keluar makan malam. Sekarang ni dia tengah bercuti, masa nilah aku nak dapatkan bentuk badan aku yang lama,” kata aku separuh bergurau.
“Yelah tu. Aku tengok badan kau macam biasa saja. Mana ada naiknya. Sengaja nak tunjukkan dia bahagia dengan Uzair sekarang,” kata Tiara masih lagi membuat muncung tajam.
“Bercakap pasal bos aku, aku tak percaya dengan apa yang dah berlaku sekarang. Dia dah jauh berubah. Tak macam dulu. Kalau tak, hari-hari aku terpaksa menipu teman-teman wanita dia. Setiap minggu ada saja perempuan baru telefon tapi sekarang ni, telefon aku aman tiba-tiba. Dunia aku juga aman dan aku tak perlu cipta alasan baru tiap kali angkat telefon. Honestly, aku tak tahu apa kau dah buat dekat bos aku, tapi aku percaya, dia bukan bermain-main dengan kau. Dia serius Harum.”
Aku sekadar tersenyum. Bukan sahaja Tiara kata begitu. Aku juga berfikiran begitu. Bila aku bersama Uzair, aku langsung tak nampak perangai lamanya. Kalau dulu, bila terserempak perempuan seksi jalan di sebelah, terus matanya galak memandang mereka tapi kini bila perempuan seksi atau cantik lalu, dia langsung tak pedulikan mereka. Dia betul-betul dah berubah. Walaupun aku bukanlah kenal Uzair yang lama tapi Uzair sekarang betul-betul macam hero dalam novel yang aku impikan. Aku harap, keputusan aku tepat kali ini.
“Tapi...,” aku bersuara. “Entah tiba-tiba aku rasa macam semua ni terlampau senang.”
“Maksud kau?”
“Aku dengan Uzair... macam terlampau cepat.”
“Mungkin Uzair seorang yang straight forward,” komen Tiara.
“Mungkin juga.” Aku setuju.
Sepanjang aku bersama Uzair, dia lebih suka berterus-terang. Katanya, cinta pertamanya gagal kerana berlaku ketidakkejujuran antara kedua pihak. Jadi, disebabkan hal itu dia lebih bersuka berterus-terang. Kalau dia suka, dia akan kata suka dan begitu sebaliknya. Mungkin sebab itu, hubungan aku dengan Uzair berkembang tanpa ada sebarang masalah.
Cuma hati aku tidak tenteram. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang akan berlaku antara kami berdua. Sesuatu yang menyebabkan aku akan kehilangan Uzair.

~~~

Aku menghempas tubuh ke atas katil. Enak memang tak terkata. Aku menggeliat malas, merenggangkan otot-otot yang kepenatan. Aku menghela nafas lemah sambil mata aku galak merenung siling bilik. Sudah dua minggu bekerja di tempat baru. Penatnya tidak terkata. Tambah lagi dengan tension dengan rakan kerja baru yang stok membuli orang saja. Kadangkala aku sendiri tak faham dengan manusia-manusia di sekeliling aku ini.
Lagi aku buat baik, lagi mereka pijak kepala aku. Kalau diikutkan hati memang sudah lama aku berperang tapi aku fikir juga, kalau aku berperang dengan mereka, siapa yang akan jadi tentera-tentera aku? Aku seorang diri. Mereka yang buli aku ramai. Sudah pastinya aku kalah. Aku hanya boleh berdoa, agar berlaku satu keajaiban.
Berhenti bermimpi Harum! Kau kena bangun dan hadapi realiti!
Suara hati aku berkata-kata. Ya. Aku perlu berhenti bermimpi dan hadapi realiti. Tapi sebelum tu, aku nak tidur sekejap. Aku menutup mata, cuba merehatkan minda sekali. Tapi baru sahaja aku rasa lapang, tiba-tiba handset aku berbunyi.
Kacau betul!
Dengan malas aku bangun mengambil handset dalam beg tangan. Selepas tengok nama pemanggil terus hati aku tumbuh bunga-bunga. Panggilan daripada Uzair. Terus aku menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,” ucap suara Uzair. Macam ustaz pula cara dia bagi salam.
“Waalaikumsalam ustaz,” jawabku tersenyum.
“Alhamdulillah. Tak sangka pula saya ada pangkat baru,” kata Uzair. “Tapi itu lebih elok daripada panggilan playboy jadian,” tambah Uzair.
“Kalau teringin nak kembali kepada playboy jadian, silakan. Saya tak kisah,” aku menambah.
“Harum, awak tahu kan saya dah taubat,” katanya.
“Emm... kalau saya belah dada awak, belum tahu saya tahu isi hati awak.”
“Macam tu pulak? Nak saya jumpa ayah awak sekarang bawak tok kadi sekali? Kita nikah malam ni.”
“Itu dah macam kena kes tangkap basah.”
“Habis tu awak nak saya buat apa?”
“Seorang kawan lelaki saya cakap, kalau wanita yang dia cintai sedang hadapi masalah, dia akan sokong temani wanita itu. Walaupun dia berada jauh beratus-ratus batu tapi dia tetap akan datang menyokong. Saya fikir bila saya ada masalah dengan kawan-kawan pejabat, awak akan beri sokongan tapi awak pula seronok pergi bercuti. Selama seminggu pula tu,” aku sengaja meluahkan perasaan walaupun sebenarnya aku hanya bergurau. Nak tahu apa reaksi dia.
“Kawan lelaki? Siapa tu?”
Aku tersenyum. Reaksi yang cepat.
“Adalah orangnya.” Aku sengaja nak buat nak cemburu.
“Then, cakap dekat kawan lelaki awak tu, saya Uzair, sangat tercabar tapi itu tak bermakna saya mengaku kalah. Kalau dia bersama dengan awak sepanjang seminggu ni, itu tak menggugat kedudukan saya sebab saya tahu saya pasti dapat memenangi hati awak, Harum,” kata Uzair dengan penuh yakin.
“Hoi, sudahlah tu. Geli aku dengar,” aku mendengar satu suara di hujung talian. Suara lelaki tapi aku tak dapat agak siapa orangnya. Tambahan pula aku memang tak kenal sangat dengan kawan-kawan Uzair. Bukan Uzair tak ada kawan tapi Uzair sengaja tak mahu kenalkan aku pada kawan-kawannya kerana menurut katanya, kebanyakan mereka adalah species buaya.
“Siapa tu?” soal aku.
“Bakal bos awak, Cik Harum.”
“Hah?!” aku terkejut. Otak aku terus blur. “Tipu!”
“Awak ingat saya sengaja ke ambil cuti selama seminggu dan tinggalkan awak keseorangan kat sana? Saya terpaksa korbankan cuti saya semata-mata nak jejak bakal bos awak yang buat hal tak nak masuk kerja.”
“Tipu!” aku tak percaya lagi.
“Wei, aku bukan tak nak masuk kerja tapi nak teman adik aku putus cinta!” suara itu kedengaran lagi.
“Hah, dengar tu Cik Harum. Bakal bos awak memang seorang yang penyayang. Sekarang, saya dah dapat tangkap dia dan dia akan masuk kerja minggu depan. Lepas tu, Cik Harum tak payah susah payah jadi kuli mereka lagi.”
Aku terkedu. Tak percaya. Jadi, Uzair yang dikatakan pergi bercuti selama seminggu sebab hendak cari bakal bos aku? Dia tahu aku kena buli dan dia sanggup korbankan cutinya semata-mata nak paksa bakal bos aku masuk kerja? Uzair kenal bakal bos baru aku? Huh, kusut otak aku!
“Awak kenal bakal bos saya ke?” aku mula bertanya.
“Dah tentulah kenal. Sayakan rapat dengan Dato’ Omar malah dah banyak kali saya lepak dengan dia sebelum ni,” kata Uzair. “Awak terharu?”
Aku terharu? Aku tengah blur sekarang! Bila difikir balik semuanya macam novel. Penuh dengan kebetulan. Aku tak sangka Uzair akan bertindak begitu sekali. Paksa bakal bos aku masuk kerja disebabkan aku kena buli dengan rakan sekerja aku? Ini bukan setakat terharu tapi rasa macam nak sorok muka saja. Entah apa bakal bos aku yang dikatakan panas baran tu kata nanti.
Ah, sudah!
“Harum?” panggil Uzair lagi.
“Awak ni dah gila ke?”
“Kenapa?”
“Uzair, dia tu bakal bos saya. Nanti apa pula dia kata? Saya perempuan gedik yang tak boleh berdiri dengan kaki sendiri dan mengharapkan bantuan lelaki? Arghhh! Mana saya nak letak muka?” Kini aku semakin tension.
“Ini cara saya.”
“Hah?”
“Awak selalu kata nak tengok macam mana saya pikat awak, ini cara saya. Bila saya dah jatuh cinta dengan seseorang, saya akan sentiasa lindunginya. Saya takkan benarkan sesiapa melukan hati awak lagi, Harum. Walaupun selama ni saya buat tak kisah dengan apa yang awak lalui di ofis tapi sebenarnya saya amat mengambil berat terhadap apa yang berlaku. Dan mulai hari ini, saya nak awak tahu, saya akan sentiasa lindungi awak walaupun terpaksa guna kuasa saya.”
Kata-kata Uzair membuat aku tergamam. Dan mulai saat itu, aku tahu, Uzair betul-betul serius dengan aku. Dia bukan lagi playboy jadian yang aku kenal dulu. Kini, dia sudah jadi seperti watak seorang hero dalam novel yang aku selalu baca.
Tapi, perlukah aku percayakan dia?

~~~

“Haiya Cik Harum, kau telefon aku malam-malam buta sebab nak tanya pasal tu ke?” Aku mendengar keluhan Haikal. Aku memang pelik. Tak, aku memang bodoh! Aku sendiri tak tahu kenapa aku boleh terdail nombor telefon Haikal dan tanya pendapat dia. Dan bila dia beri komen yang menyakitkan hati ini, barulah aku perasan, aku patut delete nombor telefon dia dari handset aku!
“Anggap sajalah aku tak pernah tanya. Dahlah, pergilah sambung tidur kau tu. Kau kacau aku tiap-tiap hari tak apa tapi bila aku kacau kau mulalah bagi komen yang menyakitkan hati!” balas aku terus menekan butang merah.
Handset aku campak ke tepi. Geram! Tak lama kemudian handset aku berbunyi. Nama Haikal tertera tapi aku tak menjawab panggilan Haikal. Merajuk! Biar dia tahu langit tu tinggi atau rendah. Berani betul dia buat aku sakit hati. Hah, itulah akibatnya. Lepas ni, aku takkan layan sebarang panggilan kau.
Selama tiga kali aku terima panggilan daripada Haikal tetapi aku tak jawab. Lepas itu, Haikal berhenti menghubungi aku. Aku juga tak menerima sebarang mesej pujuk rayu daripada Haikal. Jadi, aku anggap dia mesti dah sambung tidur.
 “Kenapalah aku bodoh sangat telefon dia? Kenapalah aku tak terus telefon Tiara? Ee... tak faham betullah!” aku mengeluh berat.
Sungguh! Aku tak faham. Entah kenapa aku rasa sejak akhir ini, tindakan aku tak mengikut arahan otak aku. Semuanya berlaku dalam aku separuh sedar. Sedar-sedar saja aku dah dengar suara Haikal yang menyakitkan hati.
Takkan Haikal bagi aku ubat guna-guna? Hisy, tak logik. Lagipun apa motif dia nak sihir aku? Bukankah dia ada orang yang dia suka? Aku menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya semula. Berusaha melapangkan fikiran aku. Ya. Aku tahu. Semua ini kerana aku terlampau stress dengan kerja.
Aku bangun dari katil dan berlalu ke bilik air mengambil air sembahyang untuk bersembahyang istikharah yang telah lama aku tak lakukan. Mudah-mudahan aku diberi petunjuk.

~~~

“Ibu rasa Uzair tu okey tak?” aku bertanya ketika menolong ibu sediakan sarapan pagi. Selalunya pagi-pagi sabtu begini, ayah lebih suka makan sarapan yang dibuat oleh ibu sendiri.
“Kenapa tanya ibu pulak?” tanya ibu.
“Tak delah. Nak minta pendapat ibu saja. Mana tahukan ibu tak minat....”
“Bukan ke ibu dah kata, ibu tak kisah asalkan Harum suka. Lagipun Harum juga yang nak tentukan kebahagiaan sendiri. Dah lupa?”
Aku tersenyum. Ya. Mana boleh aku lupa. Tapi, aku sendiri pun tak tahu. Aku patut gembira dengan perkembangan aku dengan Uzair tapi kenapa susah sangat aku hendak terima Uzair? Anehnya, bila dia bersama aku, aku rasa bahagia tapi dalam masa yang sama aku dapat rasakan yang Uzair bukan untuk aku.
“Ibu, malam tadi Harum buat sembahyang istikharah... nak minta petunjuk tapi...,” aku mengeluh.
“Itu je?” soal ibu. “Ibu ingat apalah tadi. Bukannya bermakna Harum sembahyang terus dapat petunjuk. Jangan putus asa. Berdoa banyak-banyak pada Allah,” nasihat ibu pendek. Aku mengangguk.
Selepas bersarapan aku mengambil keputusan untuk menghirup udara segar di taman tidak jauh dari rumah aku. Setibanya aku di taman, aku lihat beberapa orang sedang berjoging. Memang beginilah suasana pagi di kawasan perumahan aku sejak dahulu lagi. Tiap-tiap pagi terutama sekali hari bercuti, taman yang hanya sebesar padang bola penuh dengan penduduk sekitar melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
Dari bangku kayu di bawah pokok angsana ini aku hanya sekadar memerhati orang ramai bersenam di tengah-tengah padang. Beberapa kanak-kanak turut kelihatan berlari berkejaran dengan riang. Tiba-tiba aku terfikir, kalaulah aku diberi peluang, aku rela jadi kanak-kanak seumur hidup. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Kalau aku inginkan sesuatu, aku hanya perlu minta atau pun menangis. Gerenti permintaan aku akan dipenuhi.
Aku menghela nafas lemah. Aku hampir tak sedar yang aku sudah habiskan masa selama satu jam di taman. Itu pun aku hanya terperasan apabila matahari semakin meninggi dan sebahagian daripada pengunjung taman tadi sudah pun beransur pulang. Aku juga begitu.
Lantas aku bangun. Namun, baru sahaja aku hendak melangkah, kaki aku seakan digam apabila memandang seseorang tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku memandang lelaki yang memang aku kenal tapi mustahil.
“Haikal?”
Lelaki itu tersenyum. Itu memang Haikal! Tapi, apa dia buat dekat sini? Bukankah dia sepatutnya berada di Pulau Pinang?
“Apa kau buat kat sini?”
“Kau tak jawab panggilan aku. Aku terfikir nak bagi mesej tapi aku gerenti kau takkan baca mesej aku. Jadi, cara terakhir untuk pujuk kau adalah tempah tiket bas ke Kuala Lumpur.”
Aku tergamam. Tiada perkataan yang mampu aku ucapkan. Aku hanya memandang Haikal. Lama. Aku masih tak percaya, lelaki itu berada di hadapan aku sekarang.
“Hey, ini memang aku. Haikal. Kau bukan nampak hantu, jadi, jangan buat muka speechless macam tu. Bangun dan let’s talk.”
“Aku tak sangka sanggup datang ke sini dari Pulau Pinang.”
Haikal tersenyum.
“Kalau Uzair hero novel kau, aku pula angel yang comel yang selalu berada kat sisi kau,” balasnya spontan. Sekali lagi aku hilang kata-kata.

5 comments:

  1. Haikal terbaek!!
    Suka harum ngn haikal.. Cuma kesian skket ngn uzair... Da brubah cinta x menjadi plak yer

    ReplyDelete
  2. Hahaha. Cayalah Haikal. Sila cairkan lagi hati Cik Harum sehabis mungkin. I sokong u Haikal;)

    ReplyDelete
  3. oh..tacing dgn haikal ... :)) uzair pun same ...hurmm ..

    ReplyDelete
  4. garnet putih..u r a genius for putting haikal in harum's mind all the time. :)

    ReplyDelete
  5. Alamak, apa sudah jadi. Antara Uzair dan Haikal which one are the most. Susah nak cakap, Harum pun tengah pening kot.

    Mcm Haikal cakap, “Kalau Uzair hero novel kau, aku pula angel yang comel yang selalu berada kat sisi kau"
    Mak ai, boleh mereng kejap otak Harum nk cernakan apa yg Haikal ckpkan ni. Sy kat cni pun dh panas punggung, x tahu yg mana patut Harum pilih..Thanks GW,n3 kali ini mmg sweet sgt..

    ReplyDelete