Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Saturday, 14 April 2012

Haruman Cinta - Bab 4



“Kau simbah mereka berdua?” soal Tiara.
Aku mengangguk.
“Encik Uzair sekali?” soal Tiara lagi.
Sekali lagi aku mengangguk.
Kemudian Tiara melihat aku dengan penuh hairan. Aku faham renungan Tiara itu. Manalah dia nak percaya. Dari dulu lagi dia tahu aku memang puja gila-gila Encik Uzair. Walaupun betapa buruknya perangai Encik Uzair yang suka bertukar-tukar perempuan, aku tetap suka pada lelaki itu. Siap aku pertahankan lagi perangai Encik Uzair. Kononnya, bukan salah Encik Uzair saling bertukar perempuan. Semuanya salah perempuan yang gedik dan mata duitan yang ingin dekati Encik Uzair.
Tiara pula tidak setuju dengan pendapat aku. Bermati-matian Tiara suruh aku buka mata besar-besar dan lihat dunia ini dari sudut realiti. Encik Uzair bukan hero macam dalam novel yang aku baca atau dalam filem yang aku tengok. Tapi aku tetap berdegil. Dan hari ini Allah tunjukkan kepada aku. Yang mana mimpi dan yang mana realiti.
Dan aku bersyukur sebab dapat kembali ke dunia nyata.
“Kau tak payah buat muka macam tu,” balasku sambil meneguk sedikit air teh tarik yang aku pesan tadi. Restoran mamak yang selalu menjadi tempat aku lepak dengan Tiara meluahkan masalah masing-masing selama ini agak penuh dengan pelanggan pada petang itu.
Pada awalnya kami berjanji hendak berjumpa malam, tetapi petang tadi ketika aku sedang merenung masa depan dalam bilik, aku terima pesanan mesej dari Tiara yang menunggu aku di restoran ini. Tidak mahu hampakan Tiara, aku terus menyarung kasut ke sini. Sampai sahaja Tiara sudah tanya soalan bertubi-tubi.
“Aku tak sangka kau sanggup malukan lelaki yang kau puja selama ni,” kata Tiara separuh bersorak.
“Aku pun tak percaya,” balasku sambil mengeluh kecil.
“Kenapa?” tanya Tiara.
“Tiba-tiba aku takutlah.”
“Takut? Kenapa pula kau takut?”
“Yelah, mana tahukan Encik Uzair report kat bos aku pasal hal ni. Mau aku kena pecat,” aku meluahkan kerisauan aku.
“Ah, jangan risau. Bos aku tu lebih pentingkan imej dia. Mustahil dia akan mengadu hal ni kat sesiapa. Aku pun tadi sebab ternampak dia balik seorang diri. Pulak tu keluar pakai baju lain balik pakai baju lain. Aku tanya banyak pulak putar belit dia. Itu yang aku terus call kau,” kata Tiara.
“Aku ingat Encik Uzair yang suruh kau telefon aku.”
“Huh, dia tu. Jangan haraplah. Ego tinggilah katakan,” ujar Tiara.
Aku menghela nafas lemah lagi. Mungkin sudah nasib aku. Mustahil aku boleh buat Encik Uzair sukakan aku. Nasib baiklah aku sudah sedar sekarang.
“Tiara, aku rasa macam nak berhenti kerja ajelah.”
“Kenapa pula?” tanya Tiara.
“Yelah. Aku tahan kerja kat sana pun sebab Encik Uzair. Bila jadi macam ni, aku dah tak ada mood nak bekerja kat sana lagi.”
“Tapi kau nak kerja apa? Kau jangan ingat sekarang ni senang nak cari kerja. Apatah lagi dengan umur 28 tahun,” ternyata Tiara tidak bersetuju dengan keputusan aku.
“Mungkin jadi isteri sepenuh masa,” jawabku tiba-tiba teringatkan keputusan ibu dan ayah yang ingin kahwinkan aku dengan Haikal.
“Kau dah fikir masak-masak ke?” soal Tiara.
“Entahlah. Aku tak tahu nak buat apa sekarang.”
“Rileks,” nasihat Tiara. “Jangan bertindak terburu-buru. Buat masa ni kau pergi saja kerja macam biasa. Pedulikan Encik Uzair tu. Bos kau tu pun bukannya teruk sangat.”
Aku mengangguk. Ya. Mungkin aku patut cuba nasib dulu. Mungkin aku dapat kembalikan mood untuk bekerja di sana lagi. Walaupun aku sendiri tidak pasti macam mana tapi jawapan yang terbaik adalah tunggu dan lihat. Tapi ada sesuatu yang merusingkan aku sejak tadi.
“Tapi, aku rasa aku dah buat keputusan,” balasku teragak-agak.
“Apa dia?”
“Mungkin aku patut...,” belum sempat aku menghabiskan ayat, telefon bimbit aku berbunyi. Lantas tangan aku mencapai telefon bimbit yang diletak di atas meja. Perkataan “Rumah” tertera sebagai pemanggil. Tanpa berlengah lagi aku terus menjawab panggilan itu.
“Hah, kau kat mana ni?” tanya ibu.
“Dekat kedai mamak jumpa kawan,” jawabku.
Dilarang sama sekali sebut nama Tiara, kalau tidak balik nanti dapatlah syarahan panjang berjela dari ibu aku yang pantang dengar nama Tiara.
“Dah tak ingat nak balik ke?” soal ibuku macam memerli.
Aku melihat jam tangan. Lagi lima minit hampir pukul 7.00 malam. Memang patut pun ibu perli. Waktu macam ni selalunya aku dah berada kat rumah dan bersiap sedia hendak sembahyang Maghrib.
“Dah nak balik la ni,” jawabku.
“Cepat balik, ibu ada hal nak cakap ni,” balas ibuku terus matikan talian.
“Tiara, aku terpaksa balik dululah. Ibu aku dah bising.” Aku terus bangun dari duduk.
“Tapi kau belum habis cakap keputusan kau tadi,” balas Tiara cuba menghalang.
“Nantilah aku beritahu. Lagipun bukan penting sangat pun,” jawabku sebelum melangkah pergi. Tapi sebenarnya, aku pun tak pasti perlu ke aku beritahu Tiara.


“Hah? Kenapa Harum pulak kena pergi?” aku tak puas hati. Konspirasi apakah yang sedang melanda sekarang?
“Mak Piah dengan Pak cik Hakim tak boleh pergi. Tiba-tiba hari ni ada Ustaz Hamzah nak buat ceramah haji malam ni. Lagipun diorang kan akan naik haji tahun depan,” balas ibu yang sudah bersiap-siap memakai tudung untuk ke masjid yang terletak selang dua lorong aje dari rumah aku.
“Tapi, kenapa mesti Harum?” soal aku lagi. Ini memang tak masuk akal.
“Nak harapkan siapa lagi? Abang si Haikal tu kerja malam. Kakak dia pulak duduk jauh dari sini. Yang ada cuma Harum sorang saja,” beritahu ibu.
Alasan yang bijak tapi aku tetap berasa ragu.
“Tapi Harum mana pernah drive kereta sampai KLIA. Nak jalan ke sana pun tak tahu. Sudahlah malam,” aku memberi alasan. Gila suruh aku memandu pergi KLIA malam-malam buta jemput Haikal.
“Nah, ini GPS. Kau boleh guna GPS ni pergi KLIA. Gerenti tak sesat punya,” celah ayah sambil meletakkan satu kotak di atas meja. Mata aku membesar.
Biar betul. GPS ni nampak macam baru saja beli. Takkanlah ayah aku sanggup beli GPS untuk aku semata-mata nak paksa aku pergi jemput Haikal. Kalau ya, memang pantas betul tindakan ayah. Dalam dia senyap-senyap, sebenarnya dia dah atur rancangan yang baik punya.
“Hah, senang. Cepat bersiap. Haikal sampai sini pukul 11.00 malam. Nak memandu ke sana bukannya dekat. Takut nanti tak sempat,” arah ibu sambil menolak aku masuk dalam bilik. “Dan jangan lupa pakai cantik-cantik.”
Pap! Pintu terus ditutup.
“Apakah?” ujarku sendirian sambil cuba mentafsir sekali lagi. Memang sah! Aku dah kena masuk perangkap. Ini memang sengaja dipasang oleh kedua mereka supaya aku bersama dengan Haikal.
“Harum! Ibu dengan ayah nak pergi masjid sekarang. Jangan lupa ambil Haikal tau!” jerit ibu dari luar bilik aku.
Haikal lagi...
“Harum? Dengar tak?!” tanya ibu lagi.
“Ye. Harum tahu,” jawabku terpaksa.
Tak ada cara lain lagi selain menuruti permintaan kedua ibu bapaku. Tanpa berlengah lagi aku terus berlalu membuka almari baju. Selama lebih 15 minit aku berdiri di hadapan almari sambil merenung baju-baju di dalamnya.
Aku tak ada idea hendak pakai baju apa. Ibu pesan, pakai cantik-cantik. Takkanlah aku hendak pergi ke KLIA pakai cantik-cantik macam artis nak jejak karpet merah. Itu cari pasal namanya. Sudahlah Haikal tu jenis yang suka menyakat, kalau dia tengok aku pakai tak kena dengan tema gerenti dia ketawa tak henti-henti. Silap hari bulan, dia sanggup tahan teksi balik rumah. Bukankah itu namanya dah membazirkan masa, minyak dan tenaga ke sana? Huh, baik aku pakai yang simple aje.
Aku mencapai sehelai baju dan cuba dipadankan dengan tubuhku di hadapan cermin. Emm... tak sesuai. Ini bukan simple. Ini macam nak pergi ke pejabat aje. Baju itu aku campaknya ke katil dan mencapai sehelai lagi. Aku mengulanginya perkara yang sama beberapa kali sehinggalah aku perasan hampir semua baju dalam almari ini sudah aku keluarkan dan sekarang tengah berlonggok di atas katil.
“Ya Allah, apa kena dengan kau ni Harum? Kau bukannya nak jumpa putera raja dari kayangan tapi Haikal aje!” aku mengingatkan diri aku sambil kembali mencari baju yang sesuai di atas katil.
Aku mengambil setengah jam untuk mandi dan bersiap. Mandi itu wajib walaupun aku sudah mandi petang tadi. Sebabnya hidung Haikal memang sensitif dengan bau badan aku. Kalau dia merungut kata aku busuk lagi memang cari nahaslah dengan aku. Aku tinggalkan dia kat highway sorang-sorang baru tahu!
Aku memandang diri aku yang sudah lengkap berpakaian di hadapan cermin. Aku hanya mengenakan t-shirt putih berlengan panjang dan skirt labuh berwarna hitam. Orang kata fesyen tahi cicak. Tapi aku tak peduli. Yang penting, aku pakai baju. Lagipun aku memang buta fesyen. Itu memang tak dinafikan. Aku main pakai aje baju yang ada. Asalkan baju itu tidak seksi dan ikut tema.
Setelah bersiap, aku terus mencapai beg tangan. Baru beberapa tapak aku melangkah keluar dari bilik, aku kembali masuk ke dalam bilik. Ada sesuatu yang aku terlupa. Lantas aku berlalu ke meja solek dan mencapai sebuah botol minyak wangi yang dihadiahkan oleh Tiara masa hari jadi aku tahun lepas. Huh, jangan tak percaya, minyak wangi itu masih ada lagi. Semuanya disebabkan aku jarang menggunakannya. Kalau aku teringat hendak sembur minyak wangi, barulah aku guna. Sebab itulah bakinya masih banyak lagi.
Sembur minyak wangi memang wajib. Aku mula menyembur sebanyak yang mungkin. Dari atas sampai bawah aku sembur. Sah, kalau nyamuk bau pun gerenti dia akan pengsan! Tak payah guna penyembur nyamuk. Kemudian, aku masukkan minyak wangi itu ke dalam beg sebelum keluar. Bawak minyak wangi itu wajib juga. Aku akan pastikan aku akan sembur minyak wangi setiap masa sampai budak si Haikal tu menyesal tuduh aku busuk!
“Okey, pintu rumah dah kunci. Pintu pagar jugak. Handset dan lesen ada. Kad pengenalan pun ada. Minyak kereta ada. Minyak wangi pun ada. Signal dan lampu semua berfungsi. GPS dah diset ke KLIA, kalau salah jalan jugak aku tak tahu nak kata apa,” ujarku sambil memastikan semuanya sudah disediakan.
“Operasi menyambut bakal suami sudah bermula! Bakallah sangat...” ujarku sambil menceriakan diri. Tanpa berlengah lagi aku terus memandu kereta ke KLIA.


Aku mengerling jam di tanganku. Baru pukul 10.00 malam. Ada lebih kurang 1 jam setengah lagi kapal terbang Haikal akan mendarat. Oleh kerana GPS menunjukkan jalan yang senang dan betul dan keadaan jalan raya yang tidak sesak, aku sampai awal. Memandangkan aku sampai terlampau awal, aku mengambil kesempatan itu dengan melepak di restoran makanan segera Mc Donald.
Aku sempat memesan kentang goreng dan air kopi. Nasib baiklah aku sempat mencapai sebuah novel yang memang sentiasa berada dalam kereta aku. Dapat jugak aku memenuhi masa terluang dengan membaca novel. Jadi, aku tidaklah begitu bosan menunggu.
Baru sahaja aku ingin memulakan pembacaan, telefon bimbitku berbunyi. Panggilan daripada ayah. Ini mestinya tak lain dan tak bukan hendak bertanya sama ada aku sudah sampai atau belum. Tanpa berlengah lagi aku terus menjawab panggilan itu.
“Harum dah sampai dah,” jawab aku selepas memberi salam.
“Dapat cari tempatnya?” tanya ayah.
Entah apa punya soalan, kalau aku kata sudah sampai bermakna aku mestilah dapat cari tempatnya. Tapi, layan ajelah.
“Dapat. GPS yang ayah bagi tu memang membantu,” balasku sempat lagi memuji ketangkasan ayah aku membeli GPS.
“Ni, Pak Cik Hakim nak cakap ni,” kata ayah.
“Assalamualaikum Harum,” suara Pak Cik Hakim, ayah Haikal pula kedengaran.
“Waalaikumsalam.”
“Harum dah sampai ke?” soalan yang sama aku terima.
Sabar ajelah.
“Sudah. Pak cik jangan risau.”
“Haikal dah sampai?”
Patutkah aku jawab soalan itu?
Tapi Pak Cik Hakim macam dapat agak saja apa yang aku fikir kerana dia cepat-cepat tukar topik lain. Mungkin menyedari soalan itu agak tak sesuai ditanya selepas dia menyedari anaknya dijangka sampai pukul 11.00 malam nanti.
“Pak cik minta maaflah menyusahkan Harum. Sudahlah malam-malam kena memandu ke sana ambil Haikal.”
“Tak mengapa pak cik,” balasku. Patutnya aku nak cakap, ‘demi bakal bapak mertua memang saya sanggup buat apa saja,’ tapi lepas itu kenalah ceramah dengan ayah aku. Bukan aku tak tahu diorang tengah buat loud speaker sekarang ni.
“Kalau macam tu pak cik nak minta tolong satu lagi. Nanti kalau Haikal dah sampai, bawak dia pergi makan. Mak cik kau tu tak sempat nak masak tadi. Kesian pulak kalau budak tu balik dengan perut lapar.”
Perfect! Rancangan yang sempurna.
“Bolehkan?”
“Oh, boleh. Saya akan pastikan dia makan sebelum balik,” balas aku.
“Terima kasih banyak-banyak Harum. Pak cik doakan semoga Harum sihat selalu. Okeylah, itu aje pak cik nak cakap. Sekali lagi terima kasih.”
“Alhamdulillah pak cik. Sama-sama.”
Panggilan dimatikan.
Aku menghela nafas lemah.
Nampaknya aku perlu terima takdir aku. Aku memandang novel cinta yang tebal di hadapan aku. Merenung novel itu membuatkan aku teringat satu kenangan lama. Kenangan yang melibatkan Haikal. Aku sangka aku tak banyak kenangan dengan lelaki itu tapi rupanya boleh tahan juga. Selama ini aku saja yang tidak berusaha mengoreknya.


“Kau tak bosan ke hari-hari menghadap novel?” sapa satu suara di sebelah aku. Aku yang sedang duduk dibuaian bulat di halaman luar tersentak. Entah bila pula Haikal ini masuk kawasan rumah aku ini? Lepas tu tak malu duduk kat buaian hadapan aku pula tu.
“Aku lagi bosan menghadap muka kau hari-hari,” aku menjeling.
“Hah? Betul ke hari-hari kau pandang aku? Rasanya semalam aku tak jumpa kau langsung. Ohhh… aku tahu kau mesti curi tengok aku dari jauhkan? Kau suka kat aku ye?” Haikal sudah mula menyakat.
“Perasan betullah kau ni! Yang kau datang sini buat apa?”
“Kitakan berjiran apa salahnya kalau aku datang melawat jiran. Bukankah itu dapat merapatkan silatulrahim.”
Aku menghela nafas pendek. Inilah manusia, suka sangat mengambil kesempatan mengamalkan ilmu yang diberi. Memanglah amalan melawat ke rumah jiran tu dapat merapatkan silatulrahim tapi bukan dengan cara berdua-duaan dengan anak dara orang!
“Weh, aku tengok kau asyik baca novel, best ke?” tanya Haikal cuba berinteraksi dengan aku.
“Kalau nak tahu kau bacalah.”
“Okey, aku baca.”
Lantas dia merampas novel dari tangan aku.
“Hoi!”
“Kau suruh aku baca dan aku nak bacalah ni.”
Ada pula yang akan kena pelempang kuasa dua aku nanti.
“Oh maduku, oh racunku, kaulah cinta hatiku..,” ajuk Haikal.
“Apakah….” Sah. Budak ni memang kena hantar kat Hospital Tanjung Rambutan.
“Haikal, aku cintakan kau, kata Harum kepada Haikal dengan penuh romantis,” ajuk Haikal lagi dengan penuh gaya.
Ini dah lebih!
Aku terus rampas novel tadi dari tangan Haikal. Haikal ketawa terbahak-bahak. Bagus, dia buat lawak sendiri, dia ketawa sendiri. Aku patut telefon Hospital Tanjung Rambutan sekarang!
“Apalah faedah kau baca novel tu. Semua tu tipu belaka,” kata Haikal selepas puas ketawakan aku.
“Suka hati akulah yang kau sibuk kenapa?”
“Hidup aku memang sentiasa sibuk.”
Dia dah buat lawak bodoh. Sila ketawa.
“Kau tahu tak?” kata Haikal. Aku tak layan. Tapi dia tetap sambung, “Bila baca novel, kita akan berangan menjadi watak utama. Merasai perasaan sedih, gembira, susah payah watak. Kadangkala kita menangis, kadangkala kita ketawa dan kadangkala kita berasa geram.”
Aik? Bercerita pasal novel pula. Macam dia pernah baca novel aje. Tapi aku malas nak tanya. Buat tak tahu ajelah. Kalau dilayan gerenti menyakitkan hati.
Tiba-tiba dia menolak buku aku ke bawah membolehkan aku melihat wajahnya.
“Tapi aku harap, suatu hari nanti bila kau dah kenal cinta, jangan sesekali mengidamkan kisah cinta seperti kisah cinta dalam novel yang kau baca.”


Aku kembali dunia nyata. Apa yang sudah jadi dengan memori aku? Kenapa selama ini aku langsung tidak pernah teringat pun kisah ini. Kenapa tiba-tiba memori ini timbul semula? Rasanya macam baru sahaja bermimpi. Tapi aku pasti, ini bukan mimpi. Semua itu memang keluar dari mulut Haikal sendiri.
Ah! Rasa macam hendak menjerit saja.
Haikal! Siapa kau sebenar? Kenapa kau banyak muncul dalam kepala aku sejak akhir-akhir ini? Kalau ini berterusan, aku pasti, aku akan dilanda angau macam dalam novel tu.
“Harum dengan novel memang tak boleh dipisahkan,” sapa satu suara.
Aku kaget. Macam suara Haikal. Malah, macam real pulak suara tu.
“Jadi, kau dah jumpa dengan lelaki yang selalu pegang watak utama dalam novel tu?” soal suara itu lagi.
Perlahan-lahan aku berpaling. Hampir terkejut aku apabila melihat seorang lelaki tinggi lampai, berbaju t-shirt putih berlengan pendek dan berseluar jeans. Pakaiannya ringkas sahaja tetapi tetap terserlah kekacakkan lelaki itu.
“Haikal,” aku terus bangun dari duduk aku. Aku melihat jam. Macam mana aku boleh tak perasan sekarang dah pukul 11.30!
“Kau lambat. Penat aku tunggu kau kat bawah sana,” kata Haikal.
“Sorry, aku tak perasan langsung,” aku cuba berlagak tenang padahal… kenapa jantung aku berdegup kencang ni!
“Aku tengok kau ni tak berubah langsung dan…,” dia mendekatkan diri dengan badan aku. Hidungnya seperti cuba menghidu sesuatu. “…busuk macam biasa.”
Huh! Busuk ya? Aku terus membuka beg dan mengeluarkan botol minyak wangi. Tanpa berlengah lagi aku terus menyembur minyak wangi aku pada badan Haikal sehingga lelaki itu menjarakkan diri dari aku.
“Huh, itu padahnya cari pasal dengan aku.”
Aku tersenyum puas melihat dia sudah terbersin-bersin.
“Kau ni aku bergurau ajelah. Itupun nak ambil hati,” ujarnya sambil menutup hidungnya.
“Ada aku peduli?”
Sebentar kemudian dia mengukir senyuman. Perghh… senyumannya hampir menggetarkan jantung aku! Please stop it!
“Haikal, penat I cari you tadi,” sapa seorang gadis melulu mendapatkan Haikal.
Entah mana pula munculnya minah gedik ni? Aku memandang Haikal.
“Siapa dia?” tanya gadis itu sambil memaut tangan Haikal.
“Err… dia Harum,” Haikal mula memperkenalkan aku dengan teragak-agak.
“Ohh… dialah Kak Harum. Hai, Kak Harum. Haikal banyak cakap pasal Kak Harum.”
Sudah tentunya. Dia mesti akan cakap aku ni perempuan busuk sekali di dunia.
“Err…, kenalkan dia Mimi Fazila. Kawan aku di US,” Haikal memperkenalkan rakannya pula.
“Hai Kak Harum, saya Mimi Fazila, teman wanita Haikal,” kata Mimi sambil menghulurkan salam perkenalan.
“Ohhh… Mimi Fazila,” aku memandang Haikal.
Perlahan-lahan aku mengukir senyuman yang penuh kepura-puraan. Haikal kelihatan cuba melarikan pandangannya dari mata aku.
Kalau dah lelaki tu memang dasar buaya tembaga juga!

8 comments:

  1. Replies
    1. alia,
      bertungkus lumus menyambung ni :)
      nway, terima kasih kerana sudi luangkan baca karya saya.

      Delete
  2. Err.. Ni haikal mmg suka harum ke family plann niii.. Sian harum

    ReplyDelete
  3. jdoh harum ni dgn haikal ke dgn en.uzair?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harum pun tengah mencari Mr. Right dia. Pilihan dia Uzair tapi tak tahulah klu Haikal lebih menonjol... emm... wait for next entry :)

      Delete
  4. Replies
    1. mbai jocey,
      tq. bab 5 dah update :)

      Delete