Dengan jayanya aku
dapat juga cuti sakit daripada doktor. Nasib baiklah doktor yang bertugas hari
ni doktor yang merawat aku sejak kecil lagi. Sejak dulu lagi kalau aku sakit
aku akan pergi ke klinik yang tidak jauh dari kawasan perumahan aku. Jadi, tak
ada masalah untuk berinteraksi dengan doktor.
Aku pula tak payah nak
berlakon sakit perut macam orang lain. Cakap ajelah stres dan perlukan rehat.
Memang betul apa. Aku sekarang tengah stres dan perlukan rehat. Lagi-lagi masa
doktor periksa tekanan darah aku. Siap pesan lagi jangan terlampau stres, nanti
jatuh sakit. Dah tentulah aku tak nak jatuh sakit sebab aku muda lagi.
Tapi kegembiraan aku
dapat MC tak berpanjangan. Semuanya gara-gara aku dapat panggilan daripada
Encik Jimat Cermat. Silap aku jugak yang aku pergi jawab panggilan dia pun satu
hal. Hah, terpaksalah terima hakikat yang MC aku dibatalkan.
“Saya tahu awak sengaja
pergi jumpa doktor ambil MC. Ingat saya ni bodoh ke? Balik kerja cepat sebelum
saya pecat awak!” kata Encik Jimat Cermat dengan mengugut.
Mahu tak mahu, aku
terus bersiap pergi ke pejabat. Kalau diikutkan kena pecat pun tak apa sebab
aku tak ada mood hendak bekerja di sana lagi. Aku bertahan dulu pun sebab Encik
Uzair aje. Bila kejadian semalam berlaku, aku dah makin tidak bersemangat
hendak bekerja. Tapi masalah pula kalau aku dipecat. Nak cari kerja baru pun
susah.
Nak tak nak terpaksalah
aku menghadap muka Encik Jimat Cermat. Waktu aku sampai ke pejabat aku terus
menghampiri Kak Mariam yang baru sahaja melayan satu panggilan telefon.
“Bos ada?” aku bertanya
dengan nada berbisik.
“Ada. Dia pesan kalau
kau datang terus jumpa dia. Hati-hati, dia tengah bad mood tu,” balas Kak
Mariam juga berbisik.
Aku menghela nafas panjang.
Entah apa pula masalah bos aku hari ini. Nak cut cost lagi ke? Atau
perbentangan potongan kos yang dia buat selama ini tidak mencapai persetujuan
lembaga pengarah? Huh, masalah betullah dapat bos macam ni. Balik-balik yang
jadi mangsanya aku jugak.
Aku terus mengorak
langkah ke hadapan pintu bilik Encik Alias. Pintu bilik aku ketuk. Walaupun
tiada arahan Encik Alias suruh aku masuk tapi aku menguak pintu pejabatnya.
“Err… bos cari saya
ke?”
“Zana!” jerit Encik
Alias hampir bingit kepala aku.
“Yes bos,” sahut Zana,
pekerja yang baru sahaja masuk 4 bulan yang lalu dari tempat duduknya.
“Sini kejap!” panggil
Encik Alias.
“Kejap.”
“Sini cepat!” jeritnya
lagi.
“Ya. Ya,”
terkocok-kocok Zana berlari masuk ke dalam bilik Encik Alias.
Kemudian Encik Alias
mencapai cawan kesayangannya dan diberi kepada aku. Aku menyambut cawan yang
berisi penuh air kopi. Nampak macam baru aje dibuat.
“Harum, saya nak awak
ajar Zana macam mana nak buat air kopi. Entah apa yang diletak dalam air kopi
tu sampai pelik rasanya. Zana, saya nak awak belajar buat air kopi. Kalau Harum
tiba-tiba nak berhenti nanti, senang sikit saya,” kata Encik Alias masih lagi merenung
komputernya.
Aku yang mendengarnya
terus terdiam. Bermacam-macam aku fikir. Macam mana Encik Alias tahu aku baru
berhasrat hendak berhenti? Mustahillah Tiara yang beritahu. Lagipun aku baru
cadang saja, belum nekad lagi.
“Apa tunggu lagi? Pergi
buat kopi untuk saya cepat!” tengking Encik Alias.
Bukan aku seorang saja
yang terkejut. Zana pun terkejut juga. Tanpa berlengah lagi aku dan Zana
berlalu ke pantri.
“Kak Harum,” panggil
Zana takut-takut. “Kak Harum nak berhenti ke? Janganlah berhenti. Zana takutlah
dengan Encik Alias tu. Tadi dah banyak kali dia tengking Zana sebab kopi yang
Zana buat tak sama dengan kopi yang Kak Harum buat. Banyak kali tau Zana
terpaksa buat kopi baru untuk dia tapi tetap sama. Dia tak suka jugak.”
Aku tersengih. Alah, baru
kena tengking sikit dah hendak mengadu. Dulu, masa temu duga kata boleh tahan
kena tengking semua. Tak ada masalah bekerja dengan bos yang kejam macam Encik
Jimat Cermat tu. Tapi bila dah dapat kerja, kena tengking sikit pun nak
mengadu. Inilah budak-budak hingusan lepasan universiti. Belajar pandai. Sampai
dapat dekan tapi baru je kena tengking dah kecut perut.
“Okeh, sebelum tu akak
nak rasa dulu air yang Zana bancuh ni,” aku malas hendak layan rungutan Zana
sebaliknya terus mencapai cawan kecil dan menuang air kopi yang Zana buat tadi.
Aku rasa air kopi itu
sedikit.
“Ya Allah, kau nak bagi
bos kau dapat kencing manis percuma ke?” komen aku setelah mendapati air kopi
yang dibuat begitu manis.
“Mana ada manis. Itu
biasa aje. Zana buat untuk ayah Zana macam tu jugak,” jawab Zana.
“Itu untuk ayah Zana
tapi ini untuk bos Zana,” aku mengeluh.
“Habis tu macam mana?”
Zana kelihatan mula hendak menangis.
Hisy, ni yang aku malas
ni. Baru kena tegur hendak menangis. Baru kerja 4 bulan. Belum lagi 8 tahun
macam aku ini. Hari-hari kena maki hamun Encik Alias tu tak payah cakaplah.
“Alah, itu pun nak
menangis ke? Benda sikit aje,” aku cuba memujuk walaupun aku pun jelik dengan
perangai Zana. Perangai Zana mengingatkan aku perangai Mimi yang aku kenal
semalam. Tapi nasib baiklah Mimi tu datang dari keluarga berada. Mungkin takkan
mengalami situasi seperti ini.
“Kak Harum bolehlah
kata macam tu sebab Kak Harum kan pekerja kesayangan Encik Alias,” rungut Zana
lagi.
Pulak. Bila masalah
pulak Encik Alias tabalkan aku jadi pekerja kesayangan dia? Setahu aku, aku ini
pekerja yang selalu kena tengking aje. Jauh lagi pekerja kesayangan. Ini ke
mentaliti pekerja zaman sekarang? Bila kena tengking aje dah dicop jadi pekerja
kesayangan bos. Kalau macam tu, kau patut bersyukur sebab dah jadi pekerja
kesayangan bos. Lepas ni biarlah bos tengking kau aje.
“Zana, akak nak
nasihatkan sesuatu. Dalam bekerja, tak ada istilah pekerja kesayangan. Bos
adalah ketua dan kita pekerja bawahnya. Bos tengok apa yang kita boleh buat.
Tak bermakna akak pandai buat kopi untuk bos, akak dicop pekerja kesayangan.
Bos tahu yang hanya akak seorang saja yang pandai buat kopi untuk dia, jadi tak
payahlah mengata akak kat belakang. Akak tahu pasal tu. Kau orang mengata akak
kat belakang dan cop akak jadi pekerja kesayangan bos. Tapi fikirlah balik, bos
takkan panggil akak tanpa sebab,” aku meluahkan segalanya.
Zana terus terdiam.
“Akak nak tanya, pernah
tak Zana terfikir nak belajar dengan akak macam mana nak buat kopi untuk bos?”
Perlahan-lahan Zana menggeleng.
“Hah, itulah
masalahnya. Yang semua kat luar tu, semua tak pernah minta akak ajar diorang
macam mana nak buat kopi. Jadi, logik tak kalau bos suruh akak buat kopi untuk
dia?” soal aku lagi.
Zana mengangguk.
“Lepas ni jangan nak
tuduh akak pekerja kesayangan bos. Bos tak pernah cop sesiapa sebagai pekerja
kesayangan. Lagi-lagi bos yang cerewet macam Encik Alias tu. Yang penting,
jangan jadi tunggul kat ofis ni. Jangan hanya tahu buat kerja sendiri aje.
Belajar sikit buat kerja sampingan, macam bancuh kopi untuk bos,” kataku sambil
mengukir senyuman.
Zana mengangguk dengan
penuh bersemangat.
“Okey, pelajaran hari
ini. Macam mana nak bancuh kopi untuk Encik Jimat Cermat. Dah sedia?” soalku
kepada Zana.
“Sedia!”
~~~~
“Dia panggil kau kerja
semata-mata sebab suruh ajar Zana bancuh kopi?” soal Tiara lagi.
Aku mengangguk lagi
sambil memerhati orang ramai membanjiri gerai tepi jalan berdekatan dengan
tempat kerja aku. Sekarang waktu rehat. Memang padanlah dengan orang ramai.
“Memang tak patut,”
Tiara menggeleng.
“Hidup aku memang
mencabar bukan?” soal aku.
“Sangat mencabar. Kalau
aku, memang dah lama aku letak jawatan tapi aku tak galakkan kau letak
jawatan.”
“Kenapa?”
“Sebab kalau kau letak
jawatan, kau dah membazir 8 tahun kerja kat sini,” jawab Tiara.
“Tapi kalau aku terus
bekerja kat sini aku pun aku akan bazirkan masa juga.”
“Jadi, kau tetap nak
berhenti?” soal Tiara lagi.
Aku mengangkat bahu.
Aku pun agak rusing memikirkannya.
“Atau bakal suami kau
dah suruh kau berhenti kerja?” teka Tiara.
Bila Tiara menyebut
bakal suami serta-merta aku teringatkan itu. Sangat memalukan! Aku tak dapat
bayangkan Haikal mencapung aku masuk ke dalam bilik tidur. Anehnya! Macam mana
aku boleh tak sedar!
“Harum?” panggilan
Tiara membuatkan aku tersentak dan terus kembali ke alam nyata. “Kenapa dengan
kau?”
“Err… tak ada apa-apa.”
“Macam mana dengan
cerita kahwin paksa tu?” soal Tiara lagi.
“Aku tak nak cakap
tentang tu. Aku boleh jadi rusing bila ingat perkara tu. Aku terserah ajelah
kepada takdir. Kalau dah takdir aku kena kahwin dengan pilihan keluarga, aku
harus terima,” jawab aku dengan nada pasrah.
Tapi sebenarnya aku
sengaja hendak matikan aje topik kahwin paksa itu. Kalau disebut-sebut pastinya
Tiara akan tahu apa yang sudah berlaku pada aku malam tadi. Walaupun Tiara itu
kawan aku, tetapi kadangkala ada perkara yang kita tak patut kongsikan. Perkara
yang mungkin membawa kepada fitnah. Bukan aku mengesyaki Tiara, tapi bagi aku
biarlah hanya aku dan keluarga aku saja yang tahu tentang hal itu. Kalau tidak,
mana aku nak sorok muka.
“Kau tahu gosip
terkini?” tanya Tiara separuh berbisik. “Encik Azman, Pengurus Pemasaran dah
letak jawatan.”
“Keputusan dia letak
jawatan tak mampu ubah takdir aku kena berkahwin dengan lelaki yang lebih
muda,” balas aku tidak ada mood hendak bergosip pada waktu ini.
“Ya,” Tiara turut
menyokong. “Melainkan kalau kau dapat pikat pengurus baru yang akan masuk tak
lama lagi. Aku dengar dia muda lagi. Lebih kurang macam baya kau je.”
“Dalam novel bolehlah
tapi realiti…,” aku sekadar mengeluh panjang. Tak mampu hendak menghabiskan
ayat tadi. Kalau dahulu aku berharap sangat dapat memiliki Encik Uzair walaupun
dia seorang playboy tapi bila dah mengenalinya, indah khabar dari rupa. Dalam
masa sehari aku terus reject Encik Uzair. Nasib baiklah Encik Uzair tak tahu
yang aku pernah simpan perasaan padanya. Kalau tidak mana aku nak sorok muka
aku ni!
“Emm… betul juga tapi
macam mana….”
“Dahlah tu Tiara. Aku
dah malaslah nak fikir tentang lelaki ni. Daripada fikir tentang lelaki lebih
baik aku fikir tentang Encik Jimat Cermat tu.”
“Kenapa dengan dia?”
soal Tiara.
“Dia nak jumpa aku
lepas rehat nanti. Ni gerenti dia nak maki hamun aku sebab tipu dia ambil MC.”
Tiara ketawa. Tapi aku
tak faham maksud ketawanya itu. Perli? Ah, aku tak ada masa hendak
memikirkannya. Lebih baik aku fikir alasan yang relevan!
~~~~
“Dah fikir alasan yang
relevan pasal MC tipu awak pagi tadi?” soal Encik Alias ketika aku melabuhkan
punggung di kerusi berhadapan dengan dia.
Serius aku cakap. Baru
sahaja duduk, terus badan aku menggeletar kesejukkan. Padahal Encik Alias baru
sahaja buk penyaman udara. Adui, kenalah aku dapat bos yang suka berjimat
cermat ini. Aku faham, berjimat cermat tu satu perbuatan yang baik tapi ada
juga keburukkannya. Buktinya seperti Encik Alias sekarang. Bila dia berjimat
cermat, semua perkara yang berlaku dia akan jadi isu besar.
“Awak tahu tak
perbuatan tu boleh menjatuhkan prestasi awak dalam department ni. Bukan saja
department ni tapi seluruh syarikat. Ingat syarikat ni bayar awak untuk
saja-saja ke?”
Dia dah mula dah. Aku
sebagai pekerja yang buat silap ni redha ajelah. Lagipun memang silap aku juga.
Dahlah semalam tiba-tiba ambil cuti setengah hari, hari ni pulak MC. Memang
nampak benarlah tu menipunya. Memang dah nasib aku dapat bos yang cerdik dan
berjimat cermat.
“Jadi, apa alasan
awak?” soal Encik Alias lagi.
“Saya minta maaf. Lain
kali saya tak buat lagi,” ayat skema yang dapat aku luahkan.
“Awak ada masalah ke?”
soal Encik Alias.
Ada. Saya ada masalah.
Masalah saya, saya kena kahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada saya dan
lelaki yang saya puja selama ini, iaitu Encik Uzair dah mengecewakan saya.
Perlu ke aku beritahu masalah aku ni? Tak perlukan. Bukannya Encik Jimat Cermat
ni boleh tolong selesaikan masalah aku dengan formula jimat cermat dia. Jadi,
kesimpulannya aku geleng ajelah.
“Wow, awak seorang
manusia yang hebat. Semua orang ada masalah. Awak seorang saja tak ada masalah?
Mmm… memang saya cemburu dengan hidup awak,” kata Encik Alias sambil bertepuk
tangan.
Aik? Macam perli aku
aje.
“Kenapa tak betul?” dia
bertanya lagi.
“Bukan macam tu bos.
Saya memang ada masalah tapi takkanlah masalah keluarga saya pun nak cerita
dekat bos.”
“Hah! Tahu tak apa.
Masing-masing ada masalah. Saya sendiri pun ada masalah kat rumah tapi ada saya
campur adukkan masalah kerja dengan masalah peribadi? Ada saya pura-pura sakit,
jumpa doktor, tipu doktor suruh keluarkan MC sebab tak nak pergi kerja?”
Perghh! Kata-kata bos
amat tajam seolah-olah menikam jantung aku. Taubat lepas ni aku tak nak buat
hal lagi dah. Biarlah apa yang terjadi, aku tetap akan pergi kerja menghadap
bos yang cerewet ini.
“Saya minta maaf.” Itu
saja yang mampu aku ucapkan. Dah memang salah aku sudah tentulah aku perlu
minta maaf.
“Awak ingat dengan
minta maaf boleh selesaikan masalah? Inilah manusia zaman sekarang. Bila dah
buat salah, diorang hanya tahu minta maaf.”
Huhu… pedih! Pedih!
Sudahlah tu bos. Tak sanggup nak dengar lagi dah ni.
“Nah,” Encik Alias
menghulurkan satu sampul surat kepada aku.
Tergetar-getar tangan
aku mengambil sampul surat yang dihulurkan. Apakah ini? Bermacam-macam andaian
buruk yang aku fikir sekarang. Surat pemecatan akukah? Aku dipecat?
“Bukak dan baca
kandungan surat tu.”
“Tapi bos, saya…”
“Aku kata bukak, bukak
ajelah!” tengking Encik Alias.
Terus kecut perut aku.
Lantas aku membukanya
dan mengeluarkan sepucuk surat di dalamnya. Menggigil tangan aku membuka kertas
yang dilipat itu. Perasaan sedih sudah pun mengelubungi diri aku. Sah! Gerenti
aku kena pecat. Kalau tak kena pun gerenti aku kena tindakan tatatertib. Kena
keluar masuk ‘makhkamah kecil’. Waa… aku tak sanggup.
“Baca cepat. Saya nak
dengar.”
Air mata yang bertakung
terus menitik. Dengan mata yang berkaca, aku terus membaca kandungan surat itu.
“Sukacita dimaklumkan bahawa pihak syarikat melantik Harum Atikah sebagai
Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) bahagian Audit.”
Aku terdiam dan terus
membaca secara senyap ayat seterusnya. Air mata kukesat dan sudah berhenti
bertakung. Beberapa kali aku mengulangi setiap ayat yang tertulis dalam surat
itu. Biar betul! Aku yang masih tak percaya lagi terus memandang Encik Alias.
Encik Alias tersenyum.
Biar betul! Aku naik
pangkat?
wahhh, naikk pangkat!!! skali haikal jd pengurus baruu.. konfem xaman hidup harum ni.. hahahah
ReplyDeleteseronok hahaha
ReplyDeletebegau pnye bos... menangis harum bce promote letter hahaa.. tragic sunggh,,
ReplyDeletebestnyeee..nk lg blehh?hopefully Haikal yg jadi boss Hanum..tp..x kanlah kot..die kan peguam..maybe saingan Haikal kot..huhuhu
ReplyDelete