Haikal tidak berbohong. Malam itu dengan nada kecewa ayah beritahu yang
rancangan nak jodohkan aku dengan Haikal dibatalkan. Aku tahu berita itu
sepatutnya membuat aku gembira tetapi entah kenapa aku rasa seperti kehilangan
sesuatu. Aku sendiri tidak pasti. Mungkin aku rasa bersalah kerana telah
mengecewakan ibu dan ayah.
Aku sendiri tidak pasti adakah ini keputusan yang aku mahukan?
“Ayah bukannya nak memaksa Harum tapi ayah cuma risaukan Harum. Kalau
ayah dan ibu tak ada nanti, siapa nak jaga Harum?” kata ayah dengan nada kecewa.
“Ayah…,” tiba-tiba dada aku menjadi sebak. Air mata aku sudah mula
bertakung. Tinggal hendak jatuh saja lagi. “Harum minta maaf….”
“Tak mengapalah Harum. Ayah faham. Ayah terlampau mendesak. Ayah takut
anak ayah seorang ni tak ada sesiapa nak rupanya ayah silap,” kata-kata ayah
buat aku tergamam. Kemudian aku lihat ayah tersenyum. “Lain kali kalau Harum
ada kekasih jangan sorok-sorok dengan ayah dan ibu lagi.”
“Hah?” aku tercengang. Bila masa pulak aku kata aku dah ada kekasih?
Tiba-tiba aku teirngatkan Uzair. Mungkinkah ayah maksudkan Uzair? “Ayah, Harum
dengan Uzair….”
“Ayah tahu. Budak tu dah cerita segalanya.”
“Hah?!”
“Dia datang rumah siang tadi masa Harum keluar dengan Haikal. Dia dah
ceritakan semuanya pada ayah,” tambah ayah lagi. Aku masih lagi tidak percaya
Uzair akan bertindak sejauh ini. “Walaupun ayah masih marah lagi dengan
kata-kata dia malam tadi, tapi ini pertama kali ayah jumpa lelaki yang berani
macam dia tu. Satu sikapnya yang ayah puji, dia berani hadapi kenyataan dan
bila dia dah cipta masalah tu, dia tak lari dari masalah. Ayah izinkan Harum
berkawan dengan dia tapi dengan syarat, pandai-pandailah Harum jaga diri dan
nama keluarga.”
“Ayah…,” aku hilang kata-kata. “Ayah, Harum sayang ayah!” Aku terus peluk
ayah.
“Ayah saja? Ibu tak sayang?” suara ibu pula mencelah.
Aku tersengih lalu aku menarik ibu dan memeluknya. Aku rasa lega. Beban
yang aku tanggung selama ini hilang dengan tiba-tiba. Saat itu air mata
kegembiraan mengalir di pipi. Aku gembira kerana dilahirkan dalam keluarga ini.
Sangat gembira.
~~~
Hari Isnin.
Aku kembali ke tempat kerja dengan mood yang ceria. Bila sampai saja ke meja
aku, aku dikejutkan dengan kehadiran sejambak bunga mawar merah. Tidak perlu
aku teka, aku tahu siapa yang menghantarnya. Zana di sebelah sudah senyum-senyum.
Aku tahu makna senyuman dia.
“Kalau nak,
ambillah,” kataku tanpa memandang Zana.
“Inilah
budak-budak sekarang,” suara Kak Gayah kedengaran memecah kesunyian pagi dalam
pejabat itu. “Dulu bukan main tergedik-gedik dengan lelaki tu tapi bila dah
dapat tangkap dia pula main jual mahal.”
“Teknik, Gayah.
Teknik perempuan zaman sekarang,” celah Kak Kamariah pula yang juga merupakan
sahabat baik Kak Gayah. Aku yang mendengar hanya mampu memekakkan telinga
sahaja. Kena perli dengan mereka berdua memang sudah jadi rutin harian aku tapi
setakat ini aku tak pernah lagi cari gaduh dengan mereka.
Biarpun mereka
sudah banyak kali buat hati aku sakit tapi aku tetap mendiamkan diri. Kalau
diikutkan hati memang sudah lama aku serang mereka berdua tapi disebabkan aku
seorang yang jenis tidak suka bermusuh dengan sesiapa, aku pekakkan telinga
sahaja. Aku tidak tahu berapa lama mereka akan terus perli aku tapi aku harap
suatu hari nanti mereka berhenti berbuat demikian.
Sebabnya, aku
yakin aku tak bersalah. Sejak pertama kali aku jejak kaki ke tempat kerja ini,
mereka sudah tarik muka dengan aku. Kalau ditanya, aku pun tak tahu jawapannya
sebab aku jarang berbual dengan mereka. Tapi menurut cerita-cerita tak rasmi
yang aku dengar, mereka tidak puas hati sebab aku lulus dalam sesi temu duga
sehingga mengetepikan adik Kak Gayah yang dikatakan bersaing dengan aku untuk
jawatan yang aku sandang ini.
Mendengar
cerita tak rasmi itu membuatkan aku tergelak sampai tak cukup nafas. Jawatan
Pembantu Tadbir pun hendak bergaduh sampai begitu sekali? Huh, aku semakin
tidak faham dengan manusia-manusia sekarang. Mungkin disebabkan itulah keduanya
selalu buat aku pening kepala dengan memberi aku kerja yang banyak masa
awal-awal aku masuk.
Tapi sekarang
sudah berubah. Semuanya berkat nasihat ibu yang suruh aku bertahan. Kata ibu, “Setiap
apa yang berlaku, mesti ada hikmahnya. Jangan disebabkan kena buli dengan
mereka Harum nak letak jawatan. Biarkan mereka. Allah itu Maha Adil.”
Ayah pula beri
nasihat, “Alah, itu sikit saja. Ada lagi yang lebih teruk dari tu ayah pernah
jumpa. Kalau kena buli sikit macam tu pun dah takut, baik duduk dalam gua.” Kata-kata
ayah lagi membuat aku tersentap. Lebih tajam daripada kata-kata mereka berdua.
Jadi, sejak hari itu aku pekakkan telinga saja.
Kini, setelah
hampir lapan tahun aku bertahan, akhirnya kesabaran aku terbalas apabila aku
dinaikkan pangkat dan ditukarkan jabatan. Jadi, beberapa hari lagi dari
sekarang aku tidak lagi akan dengar kata-kata sindiran mereka. Walaupun bukan
ini ending yang aku harapkan, tetapi sekurang-kurangnya tiadalah aku stress
mendengar sindiran mereka.
Seperti
sekarang. Aku mula stress.
Aku terus
bangun ke pantri membancuh air untuk minuman pagi. Zana turut bersama mengekori
aku ke pantri.
“Kenapa?”
tanya aku kepada Zana yang seperti hendak berkata sesuatu.
“Err... kenapa
Kak Harum tak suka Encik Uzair?” tanya Zana.
Aku terkejut
dengan soalan Zana tadi. Tidak sangka dia berani tanya soalan begitu. Iyalah,
aku bukannya rapat dengan Zana dan kalau aku jadi Zana pun aku takkan berani
tanya soalan itu pada seseorang yang aku tak rapat. Walau bagaimanapun aku
tetap bertenang.
“Zana suka
Encik Uzair ke?” aku pula bertanya.
Zana
mengangguk. Sekali lagi aku terkejut. Hebat betul budak-budak sekarang. Tiada
lagi malu-malu kucing macam perempuan zaman dahulu.
“Kenapa?”
“Dia macam
arwah abang Zana,” kata Zana tiba-tiba dengan sayu.
Aku ada dengar
cerita tentang itu. Abang Zana meninggal dunia dalam kemalangan setahun yang
lalu. Masa itu Zana masih lagi belum bekerja dengan kami tapi Zana sering kali
menyebut tentang arwah abangnya. Kadangkala aku terpaksa memujuknya supaya
jangan terlampau memikirkan orang yang sudah tiada. Tapi bila dia kata Uzair
macam arwah abangnya, barulah aku faham kenapa Zana turut meminati Uzair dalam
diam.
“Tapi dia tu
kaki perempuan....”
“Tapi yang
penting sekarang, dia dah jatuh cinta dengan Kak Harum,” potong Zana. Kata-kata
Zana buat aku terdiam. Aku lihat Zana tersenyum. “Zana cuma sukakan Encik Uzair
tapi Zana tak cakap Zana jatuh cinta pada Encik Uzair.”
“Oh...,” aku
mengangguk. Nampaknya aku sudah salah faham.
“Kak Harum,”
panggil Zana. “Berusaha!”
“Hah?”
“Zana percaya
Kak Harum boleh buat Encik Uzair jadi lelaki sejati dan tinggalkan perangai
kaki perempuan dia. Jadi, berusaha!” kata Zana sebelum berlalu keluar dari
pantri.
Aku masih lagi
terpinga-pinga. Lama kemudian aku tersenyum kelucuan.
~~~
“Jadi, Haikal
dah tarik diri dan Uzair dah mula masuk line... tiba-tiba aku rasa kau ni macam
heroin cerita cinta pula,” kata Tiara selepas aku menceritakan segalanya.
“Apa pendapat
kau?” tanya aku tanpa mempedulikan suasana bising di kedai makan itu. Waktu
rehat, biasalah.
“Tentang apa?
Haikal tarik diri atau Uzair masuk line?” soal Tiara sambil meratah ayam.
Sampai sekarang aku masih tidak faham dengan teknik diet Tiara. Nasi tak makan
tapi ayam habis dibedalnya sampai dua tiga ketul.
“Tentang
Uzairlah. Haikal buat apa.”
“Tapi aku suka
dengan Haikal. Dia sangat cute,” komen Tiara buat aku rasa macam hendak
memuntahkan makanan dalam mulut aku.
“Boleh aku
tahu apa definasi cute kau tu?” tanya aku geram. “Kau belum jumpa dia lagi tapi
kau dah kata dia cute. Aku tak faham apa yang Haikal dah buat dengan
wayar-wayar dalam kepala kau.”
“Berapa lama
kau kenal aku? Walaupun aku tak pernah jumpa lelaki tu tapi melalui cerita yang
kau beritahu aku, aku boleh tahu macam mana orangnya.”
“Oh, aku lupa
yang kawan aku ni seorang playgirl terkenal.”
“You know me,”
kata Tiara dengan bangga.
“Uzair pula?”
soal aku.
Tiara menarik
nafas panjang. Aku tahu maknanya. Kalau Tiara seorang yang pandai menilai
lelaki, aku pula seorang yang pandai menilai Tiara.
“Okey, aku
beritahu hal yang sebenar. Lepas aku beritahu, terpulang pada kau nak terima
atau tidak,” kata Tiara serba salah.
“Ada cerita
yang aku tak tahu ke?”
“Aku buat
keputusan tak nak beritahu kau selama ni sebab aku rasa kau tak perlu tahu tapi
bila dah jadi sampai ke tahap ni dan bos aku pun macam dah gila bayang dengan
kau sampai dia ganggu aku tidur semata-mata nak tanya, kau suka makan apa, jadi
aku buat keputusan untuk beritahu kau,” tambah Tiara lagi.
Aku sekadar
tersenyum. Sampai begitu sekalikah Uzair jatuh cinta dengan aku?
“Uzair
bukanlah playboy sebenar. Dia playboy jadian. Dia seorang yang sangat-sangat
setia dalam percintaan dan sanggup lakukan apa sahaja untuk orang yang dia
sayangi. Dulu dia ada seorang teman wanita. Cinta pertama dia tapi malangnya
dia dikecewakan.”
“Teman wanita
dia ada lelaki lain?” celah aku.
“Tak. Teman
wanita dia ada wanita lain. Dengan kata lain, lesbian.”
Aku terus
menutup mulutku dengan tangan. Sungguh tidak sangka.
“Uzair dapat
tahu dia rasa kecewa dan kau tahulah apa yang terjadi. Dia sering mengorat
wanita dan akhirnya meninggalkan mereka bila mereka dah jatuh cinta dengannya.
Bila dia buat macam tu dia puas sebab dapat balas dendam atas apa yang berlaku
padanya. Tapi kalau kau tanya aku sama ada Uzair berniat tak baik pada kau, aku
sendiri pun tak tahu.”
“Dia sukar
dijangka,” balasku.
Tiara
mengangguk. Setuju.
“Kau masih
sukakan Uzair?”
“Aku tak tahu.
Aku keliru sekarang sama ada nak terima dia atau tidak.”
“Haikal pula?”
“Budak tu
lagilah tak ada langsung dalam senarai aku. Dia tu aku anggap macam adik dan
kawan. Mustahil aku nak jadikan dia suami aku. Lagipun aku tak boleh bayangkan
dia jadi suami aku.”
“Aku tetap
rasa dia tu calon yang paling sesuai.”
“Malangnya
bagi aku, dia orang luar yang tak ada kena mengena dalam hidup aku.”
“Jadi, kau
kena buat keputusan dari sekarang,” kata Tiara sambil memuncungkan mulutnya.
Aku mengerut
dahi. Seraya itu aku melihat kelibat Uzair masuk ke kedai makan itu seorang
diri. Langkahnya menuju ke arah kami. Jantung aku mula berdegup kencang. Bukan
disebabkan aku aku mengalami penyakit menggilai Uzair seperti dulu tapi
disebabkan aku masih lagi tidak bersedia hendak berjumpa dengan Uzair. Apatah
lagi di hadapan rakan-rakan ofis yang berada di sekitar. Mata mereka memandang
ke arah aku.
“Hai Encik
Uzair,” sapa Tiara seperti biasa.
“Tiara, boleh
saya pinjam Harum sebentar?” tanya Uzair dengan penuh sopan.
Tiara pandang
aku. Perlahan-lahan aku menggeleng.
“Okey,” kata
Tiara tanpa teragak-agak.
Tiara! Aku hampir
menjerit.
“Jangan risau.
Encik Uzair takkan apa-apakan kau depan orang ramai,” kata Tiara separuh
berbisik sebelum dia berlalu dari kedai makan itu. Aku hanya mampu memandang
Tiara. Ingin sahaja kakiku mengekori Tiara tapi malangnya aku tidak mampu
hendak berdiri.
Uzair duduk di
hadapan aku. Tapi aku tak berani pandang muka lelaki itu.
“Saya minta
maaf,” kata Uzair.
Perlahan-lahan
aku mengangkat kepala menatap wajahnya biarpun jantung aku masih lagi berdegup
kencang.
“Saya tahu
saya dah rosakkan rancangan keluarga awak yang nak jodohkan awak dengan jiran
awak,” sambung Uzair.
Ingin sahaja
aku berkata, ‘Oh tidak Uzair, awak sudah menyelamatkan saya daripada memulakan
babak kahwin paksa dengan lelaki yang saya tak pernah cintai!’ tapi aku tidak
mampu hendak berkata apa-apa. Semuanya kerana aku masih lagi ragu-ragu dengan
niat Uzair. Tapi jauh dari sudut hati aku mempercayai Uzair. Itu yang buat aku
buntu sama ada hendak menerimanya atau tidak. Lagipun bukan setahun dia aku
simpan perasaan terhadap Uzair tapi sudah lapan tahun dan sudah tentunya aku
mengharapkan ending yang baik.
Aku perlu
berfikiran positif. Mungkin kata-kata Zana tadi betul. Mungkin juga cerita
Tiara tentang Uzair tadi pun betul. Dan mungkin aku patut beri peluang kepada
Uzair untuk berubah.
“3 bulan,” aku
mula bersuara.
“Ada apa
dengan tiga bulan?” soal Uzair.
“Saya beri
masa pada awak tiga bulan untuk tunjukkan yang awak benar-benar serius.”
“Saya memang
serius,” kata Uzair.
“Encik Uzair,
kalau awak suruh saya belah dada awak pun, saya takkan dapat tahu yang awak
benar-benar serius atau tidak. Lagipun, bukan ke awak ni pandai pikat wanita,
saya rasa itu tak jadi masalah, bukan?”
Uzair
tersenyum. Aku tahu makna senyuman dia. Tapi itu tidak bermakna aku perlu
menyerah perasaan aku bulat-bulat kepadanya. Walaupun aku sendiri ada perasaan
pada Uzair tapi dalam hal ini aku juga ingin jadi seperti wanita lain. Aku
ingin tahu isi hati Uzair. Adakah dia berpura-pura ataupun dia benar-benar
menyintai aku. Kalau dia menyintai aku, aku ingin tahu sejauh manakah dia
menyintai aku dan menghargai aku.
Jadi, tiada
istilah teknik jual mahal.
~~~
“Tapi aku tetap rasa kau jual
mahal,” kata-kata Haikal buat aku rasa hendak hempuk dia dengan balang air ni.
Tak habis-habis nak cari pasal dengan aku. Mujurlah kau dilucutkan jawatan
bakal suami aku, kalau tak memang aku dah larikan diri ke tempat yang jauh. Ah,
silap aku juga sebab berkongsi dengan Haikal cerita ini. Aku sendiri pun tak
tahu macam mana aku boleh tercakap hal aku dengan Uzair pada Haikal.
Ajaib sungguh.
“Lantak. Aku tak peduli,”
balasku sambil kembali membasuh pinggan mangkuk yang kotor setelah habisnya
kenduri doa selamat yang dibuat oleh keluarga Haikal.
Jiran-jiran tetangga yang
datang memenuhi rumah Haikal tadi sudah pun beransur pulang ke rumah
masing-masing. Yang tinggal hanya beberapa orang jiran-jiran yang menolong
mengemas apa-apa yang patut. Aku pula dipaksa oleh ibu aku membasuh pinggan
mangkuk. Nak tak nak terpaksalah aku menurut.
Masa itulah Haikal yang
membawa pinggan mangkuk kotor ke dapur berbual dengan aku. Dan seperti disihir
aku terberitahu hal Uzair kepada Haikal. Pada mulanya aku tidak melayan, tetapi
Haikal bijak memainkan kata-kata sehingga aku terberitahunya. Pengajaran yang
aku dapat, aku perlu jauhkan diri daripada bakal peguam ini. Kalau tak, habis
semua rahsia-rahsia aku.
“Aku berani jamin, tak sampai
sebulan kau gerenti dah jatuh hati padanya,” tambah Haikal lagi.
“Haikal, kalau kau tak nak
tolong aku, pergi tolong kat depan sana,” aku mengelat.
“Aku tengah tolong kaulah ni,”
katanya sambil menghulur pinggan kotor kepada aku. Aku menyambutnya dengan
bengang. Nasib baiklah ini rumah dia, kalau tidak sudah lama aku baling dia
dengan tulang-tulang ayam ini.
“Janganlah buat muka macam tu.
Bagi muka sikit dekat aku hari ni. Lagipun bukannya selalu aku dapat jumpa kau
dan mungkin lepas ni kita akan jarang jumpa kot,” kata Haikal.
“Baguslah kalau macam tu. Aman
dunia aku,” balas aku tiada berperasaan.
“Kau yakin ke dunia kau aman?”
tanya Haikal.
“Kenapa? Nak bertaruh?” aku
mencabar.
“Aku cabar kau akan jumpa aku
esok,” katanya lagi. Tersenyum sambil menggigit buah epal merah. Matanya agak
nakal. Aku yang melihatnya rasa macam hendak bagi pelempang pula.
“Okey. Kalau aku menang kau
nak bagi apa?”
“Aku sanggup memulakan kempen
anti lipas bersama kau,” jawab Haikal.
Aku terus menyambung membasuh
pinggan mangkuk. Malas hendak layan dengan karenah Haikal yang loyar buruk itu.
“Tapi... kalau kau kalah, ada ‘hadiah’
yang bakal kau terima,” tambah Haikal dengan senyuman meleretnya. Gerun pula
aku mendengarnya.
“Macamlah aku takut sangat,” kata
aku yakin.
~~~
Aku menguap kecil pagi itu.
Sisa-sisa kepenatan menolong keluarga Haikal yang buat kenduri doa selamat
masih lagi terasa. Nasib baiklah hari ini hari Sabtu. Cuti. Bolehlah aku
merehatkan diri sepenuhnya. Aku capai handset aku. Tiada mesej.
Ini buat aku benar-benar dalam
dilema. Aku takut kalau apa yang Haikal kata malam tadi betul-betul berlaku.
Huh, memang betul pun dah berlaku. Aku sudah jatuh cinta pada Uzair sebelum
Uzair pikat aku. Betullah apa yang Haikal kata. Ini teknik jual mahal.
“Kalau jual mahal pun apa aku
peduli!” kataku cuba meyakinkan diri aku kembali. Ya. Apa aku peduli!
“Harum, bangun! Dah pukul
berapa ni?!” suara ibu memanggil aku dari luar.
“Harum dah bangun!” balasku
seraya mencapai tuala. Aku segera masuk ke dalam kamar mandi dan membersihkan
diri. Selesai mengenakan pakaian, aku keluar dari bilik menuju ke dapur.
“Buat air,” arah ibu apabila
nampak aku. Tanpa buang masa aku lakukan rutin harian aku setiap hari cuti.
Buat air untuk sarapan pagi memang sudah tercatit dalam rutin harian aku. Aku
buat air, sementara ibu memasak apa yang patut untuk sarapan.
“Ayah mana?” aku bertanya
apabila aku tak jumpa kelibat ayah di hadapan.
“Pergi rumah Pak cik Hakim,”
kata ibu.
“Buat apa? Ada lagi ke yang
tak siap kemas ke?”
“Isy, kamu ni, mestilah nak jumpa
Haikal.”
“Kenapa?” jantung aku sudah
berdegup pantas. Takkanlah ayah sudah bertukar fikiran. Takkanlah ayah pergi ke
sana nak suruh Haikal bertukar fikiran?
“Jumpa Haikal la sebelum budak
tu pergi Pulau Pinang.”
“Hah? Bila? Kenapa?”
“Isy, takkan itu pun kamu tak
tahu? Haikal dapat kerja kat Pulau Pinang. Pagi ni dia akan bertolak ke sana.”
Aku terdiam. Tergamam. Jadi, kenduri
doa selamat semalam tu....
“Aku cabar kau akan jumpa aku
esok.” Kata-kata Haikal malam tadi ternyiang-nyiang di telinga aku. Kini
barulah aku faham, kenapa dia cabar aku. Cuma aku tak faham, macam mana dia
yakin aku akan kalah dengan taruhan itu...
Ai konfius skrg nak sokong siapa.. Haikal ke uzair.. Hermm
ReplyDeleteRasa cm haikal tu chumell jer ;p
Dia lebih muda sebab tu dia comel :P
Deleterasa2nya haruni masih keliru dgn perasanya yg sebenar....kalaw di lihat daripada story ni..dari awal....ada kemungkinan hero sebenar cerita ni adalah haikal...biasalah....sik hero selalunya akanmuncul di pertengahan jalan cerita....itu pun hanya jangkaan saya je lah....
ReplyDeletekadangkala kita sendiri tak tahu siapa yang terbaik untuk kita. Begitu juga Harum. Terima kasih kerana mengikuti enovel ini :D
Deletewalau apa yang terjadi saya tetap sokong Haikal.
ReplyDeleteHaikal chai yuk! Hahaha
Teruskan menyokong :D
Deletegarnet putih.... teruskan menulis.. :D
ReplyDelete