Kata-kata Sakti

Cerita dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata. Langsung tak ada kena mengena dengan GP apatah lagi dengan sesiapa yang perasan. Untuk pengetahuan, entry yang GP letak di blog ni tidak diedit dengan sepenuhnya. (orang kata, malas nak edit hehe). So, kalau ada kesalahan ejaan, abjad, huruf atau apa sahaja yang pelik dibaca, sila abaikan. You know, auto correct memang suka cari pasal (salahkan auto correct pulak hehe).

Second, disebabkan GP pekerja sepenuh masa dan hanya ada masa untuk menulis selepas waktu ofis (itupun kalau tak penat) jadi GP hanya akan update entry seminggu dua kali.

And for the all of you yang baca Haruman Cinta, thank you very much (^_^).

Sunday 22 July 2012

Haruman Cinta: Bab 15




“So, sekarang ni kau nak tahu sama ada kau boleh percayakan cinta dia ataupun tidak?” soal Haikal setelah aku menceritakan kepadanya apa yang menganggu fikiran aku. Pada awalnya aku tak mahu berkongsi dengannya. Aku hanya ingin dengar pendapatnya sahaja tapi entah bagaimana aku boleh menceritakan apa yang telah berlaku dan apa yang terbuku dalam hati aku.
Malah, aku langsung tak sangka aku akan bercerita tentang soal hati dan perasaan aku terhadap orang yang hampir menjadi suami aku. Walaupun agak pelik dan agak tak masuk akal tapi anehnya, selepas aku meluahkan segalanya, hati aku sedikit lapang. Aku rasa macam sebahagian beban yang aku tanggung telah hilang.
“Dia playboy. Dia pernah hancurkan hati banyak perempuan. Aku takut, bila aku merelakan hati ni untuk mencintai dia dengan sepenuh hati....”
“... dia akan tinggalkan kau seperti mana dia hancurkan hati perempuan lain?” sambung Haikal.
“Yes!” Aku menjawab segera. “Kau sendiri tahu aku banyak baca novel. Aku tak nak alami apa seperti heroin dalam novel. Kalau boleh aku nak bercinta dengan seseorang tanpa ada sebarang masalah, lepas tu berkahwin dan ada anak. Aku tak nak wujud konflik yang boleh memecahkan kepala otak aku dan menghancurkan hati aku. Itu saja.”
“Pendek kata kau tak sanggup ambil risiko tu,” ujar Haikal.
“Ya, lebih kurang.” Aku menarik nafas panjang. “Aku takut, aku ambil keputusan yang salah.”
“Kalau kau tanya pendapat aku, aku lebih rela buat keputusan yang salah,” kata Haikal.
“Kenapa?” 
“Kita tak boleh kawal takdir kita, Harum. Walaupun kau rasa kau dah buat satu keputusan yang tepat, tapi hakikatnya, tak ada istilah keputusan yang tepat. Kadangkala kita memang ditakdirkan akan memilih keputusan yang salah dan kemudiannya kau akan faham kenapa Allah takdirkan kau memilih keputusan yang salah,” terang Haikal.
“Kau pernah buat keputusan yang salah?” soal aku.
“Pernah. Banyak kali dan juga baru-baru ni,” katanya.
“Kau menyesal tak lepas tu?”
Dia tersenyum. “Tentulah tak,” jawabnya.
“Kau buat apa sampai tersalah buat keputusan?” soal aku apabila tiba-tiba aku teringat kes Haikal menolak cinta Mimi Fazila. Aku agak mungkin ada kena mengena dengan hal ini.
“Nanti aku akan ceritakan kat kau. Sekarang, kita settle hal kau dulu,” kata Haikal.
Aku terdiam. Terkejut juga ada. Aku tahu, Haikal sanggup datang dari Pulau Pinang semata-mata kerana aku tapi aku tak sangka dia sanggup dengar luahan hati aku. Aku ingin bertanya, kenapa dia begitu baik melayan aku.
“Kenapa kau sanggup buat semua ni?” aku menyoal.
“Buat apa?” Haikal menjawab dengan soalan.
“Buat semua nilah. Pertama, kau sanggup datang dari Pulau Pinang semata-mata kerana nak pujuk aku dan sekarang kau tawarkan diri nak settlekan masalah aku. Sekarang, aku langsung tak dapat cari kebaikan yang kau dapat kalau kau tolong settlekan masalah aku ini.”
“Ada apa. Kalau aku dapat settlekan masalah hati dan perasaan kau ni, aku yakin kau takkan telefon aku malam-malam sampai ganggu mimpi aku yang indah-indah. Kau tahu tak, malam tadi aku baru saja bermimpi aku kahwin dengan perempuan idaman aku....”
“Kau nak aku merajuk dengan kau lagi ke?” Aku menjeling tajam.
“Okey, kita settle hal mimpi tu kemudian. Sekarang, dengar cakap aku,” katanya sambil memandang aku. “Kalau aku jadi kau, aku akan terima si... siapa nama lelaki tu?”
“Uzair!” beritahu aku. “dan, terima kasih atas nasihat kau. Aku kongsi masalah aku dengan kau sebab aku nak tahu apa pendapat kau tentang Uzair. Dia lelaki. Kau lelaki dan sudah tentu kau orang berdua faham antara satu sama lain....”
“Hold down... faham antara satu sama lain, bunyinya macam gay,” celah Haikal. “Walaupun dia lelaki tapi aku tak kenal dia secara dekat, jadi mustahil aku dengan dia boleh faham antara satu sama lain.”
“Habis tu, kenapa kau suruh aku terima Uzair?” aku menyoal.
“Sebab, kau takkan dapat jawapan yang sebenar kalau kau asyik mengelak diri daripada masalah,” jawab Haikal.
“Aku tak mengelak,” lantas aku menafikan.
“Cik Harum, kau tengah mengelak sekarang. Kalau tak, kau dah lama terima si... siapa lelaki tu?” soal Haikal lagi.
“Uzair!!!” Aku menjerit geram. Budak ni, memang betul-betul tak ingat ke atau pura-pura tak ingat. Lagi tension kepala aku melayan dia dari memikirkan masalah aku. “Kau boleh faham tak masalah aku sekarang ni?”
“Cik Harum, kau sukakan dia tak?” soal Haikal.
“Dahulu... ya tapi sekarang... tak tahu. Mungkin ya dan mungkin tak,” jawab aku. “Entah. Aku tak tahu,” tambah aku lagi.
“Kau perempuan pertama yang ada masalah hati dan perasaan sampai buat aku...,” kata-kata Haikal terhenti. Dia pandang aku dengan tajam. Pandangannya tiba-tiba buat aku gugup.
“Buat apa?” Aku memberanikan diri menyoal.
“Buat aku lapar,” jawabnya selamba. Aku tak terkata apa. Nak marah pun tak lalu. “Harum, kalau kau rasa terharu dengan aku yang sanggup datang dari Pulau Pinang semata-mata nak jumpa kau, boleh tak tolong masakan aku tom yam. Aku mengidam nak makanlah. Lepas makan nanti kita layan masalah kau lagi,” tambahnya dengan nada merayu. Macam budak-budak pun ada.
“Kau mengandung ke? Aku mana pandai masak tom yam. Goreng ikan pun tak pass lagi, inikan nak masak tom yam. Mengarut saja!”

~~~

Memang mengarut tapi yang mengejutkan, aku tetap buat perkara yang mengarut itu. Buat julung-julung kalinya aku memasak tom yam tapi sudah tentulah dengan bantuan ibu yang kusayang. Mustahillah aku boleh masak tom yam tanpa bimbingan dan memang tipulah kalau aku kata aku berjaya masak tom yam sendiri. Tapi, ibu tetap beri komen yang berbeza.
“Emm... sedap tom yam yang Harum masak,” komen ibu yang merasa sedikit tom yam yang diusahakan oleh kami berdua.
“Bukan Harum masaklah. Harum cuma tolong sikit-sikit je. Bahan-bahan tu semua ibu yang buat, Harum tolong kacau saja.”
“Ala, kira Harum buat la jugak. Bukan senang ibu nak rasa Harum masak. Lain kali buat lagi ya,” kata ibu.
Aku tidak menjawab. Buat lagi? Mampukah aku buat lagi tanpa bantuan ibu. Ini pun kalau tak kerana aku nak ucapkan terima kasih kepada Haikal, memang takkan terciptanya hari bersejarah ini.
“Haikal...”
 Aku merenung tom yam yang masih lagi di dalam periuk. Selama ini memang aku tak ada teman lelaki. Begitu juga dengan kawan lelaki. Tapi ini pertama kali seorang lelaki minta aku masakkan sesuatu untuk dia. Peliknya, orang itu adalah Haikal – yang pernah dipilih menjadi bakal suami oleh keluarga aku.
“Apa kamu tunggu lagi? Kaut tom yam tu masuk dalam bekas, lepas tu hantar kat rumah Haikal. Kesian pulak dia terpaksa tunggu lama-lama semata-mata nak makan tom yam,” kata-kata ibu mengejutkan aku dari lamunan.
“Hah? Harum ke kena hantar?”
“Habis tu siapa lagi?”
“Suruhlah ayah hantar. Harum penatlah.”
“Jangan nak buat perangai Harum,” suara ayah pula kedengaran. Aku lihat ayah baru saja masuk dapur. “Kesian Haikal tu datang dari jauh. Tulah, lain kali jangan pandai-pandai kacau anak teruna orang, sekarang ayah nak Harum pergi hantar tom yam tu. Ucap terima kasih pada Haikal,” tegas ayah.
Kalau ayah dah bertegas memang aku tak boleh bantah lagi. Tapi, bila masa aku kacau anak teruna orang? Nak saja aku beritahu ayah yang sebenarnya; Haikal yang asyik kacau anak daranya ini, tapi aku malas hendak membalas kata-kata ayah. Sebab aku tahu, aku gerenti akan kalah punya!
Aku pun dengan penuh cermat menceduk tom yam sedikit ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Baru sahaja aku hendak keluar rumah untuk menghantar tom yam pada Haikal, ayah bersuara.
“Jangan hantar saja, makan dengan mereka sekali. Ayah dah beritahu dengan Pak cik Hakim.”
“Hah?” Punyalah aku terkejut. “Tapi ayah....”
“Ayah suruh makan saja, bukan suruh jadi menantu dia orang,” tegas ayah.
“Yelah,” aku menjawab dengan paksa rela. Taubat lepas ni aku takkan kacau anak teruna orang lagi!
 ~~~

“Harum!”
Belum sempat aku memberikan salam, nama aku disapa oleh seorang wanita berumur dalam lingkungan 30an. Aku mengukir senyuman kepada Kak Imah, kakak Haikal.
“Masuklah. Mak dan abah tengah tunggu kat dalam tu,” kata Kak Imah sambil membuka pintu pagar untuk aku.
Aku semakin kekok. Mak dah abah tunggu kat dalam? Ini macam situasi hendak sambut menantu saja. Tapi redah sajalah. Dah nasib badan. Itulah, kacau lagi anak teruna orang. Inilah padahnya.
“Jemput masuk,” kata Kak Imah mempelawa aku masuk.
Aku hanya menurut. Masuk saja dalam rumah, aku lihat dua orang kanak-kanak sedang duduk main permainan yang berselerak dalam rumah. Nana dan Nini. Dua orang kembar yang juga merupakan anak Kak Imah.
“Harum,” sedang aku leka, aku disapa oleh mak Haikal atau jiran-jiran tetangga memanggilnya dengan gelaran Mak Piah. Nama sebenarnya, gerentilah aku tak tahu. Samalah dengan nama Kak Imah. Aku hanya panggil dia Kak Imah sebab awal-awal lagi dia dah suruh aku panggil dia dengan nama itu. Langsung tak beritahu nama betulnya.
“Ini... tom yam yang mak bagi,” kata aku sambil meletakkan bekas berisi tom yam di atas meja makan.
“Ala... susah-susah saja. Haikal ni memang macam perempuan mengandung. Tak habis-habis dengan mengidam dia. Kalau dah ada isteri, rasanya bukan isteri dia yang mengidam nanti...,” Mak Piah bersuara seperti membebel seorang diri. “Harum makan sini ye,” kata Mak Piah.
Aku sekadar tersenyum mengangguk. Mananya aku berani kata tak mahu. Ayah dah bagi arahan tadi suruh aku makan bersama. Kononnya hendak memastikan hubungan kedua-dua keluarga ini baik-baik sahaja selepas apa yang berlaku sebelum ini.
“Anak bongsu memang macam tu,” Kak Imah pula mencelah sekali gus mematikan lamunan aku. “Manja tak bertempat. Pergi minta orang lain masakkan tom yam pulak tu. Maaflah Harum, adik akak tu memang tak tahu malu. Dah besar panjang pun perangai macam budak tadika. Ni, akak nak nasihatkan Harum, lain kali jangan layan si Haikal tu.”
“Tak apalah kak, bukan Harum yang masak pun. Ibu yang masak, Harum tolong kacau saja,” aku menjawab. Tak perlu berdalih lagi. Kak Imah memang sudah sedia maklum dengan perangai manja aku kat rumah. Pernah sekali dia beri nasihat kepada aku supaya belajar memasak, kalau tak nanti duit hantaran kurang.
Aku hanya mampu tergelak. Masa tu aku baru saja habis SPM, sudah tentulah aku tak terfikir pun tentang hantaran dan begitu juga dengan sekarang. Dan apa aku peduli dengan duit hantaran? Asalkan pihak lelaki mampu bayar sudahlah. Lagipun siapalah aku nak letak duit hantaran tinggi-tinggi. Belajar pun setakat SPM, itu pun ada yang gagal. Nak kata cantik, tak adalah cantik macam Miss World tapi bolehlah. Orang kata, sedap mata memandang.
“Tapi Harum buat jugakan?” kata Kak Imah sambil tersenyum.
Aku tengok senyuman Kak Imah macam membawa maksud sesuatu sahaja. Seolah-olah Kak Imah sedang menguji aku tapi aku buat muka selamba. Aku nampak Mak Piah sedang sibuk menghidang makanan tengah hari di atas meja makan. Mengambil peluang itu, aku terus menolong Mak Piah. Sengaja hendak melarikan diri daripada Kak Imah. Takut nanti dia soal macam-macam sampai aku tak dapat jawab, memang cari nahas sajalah. Tambah lagi aku kenal bebenar dengan perangai Kak Imah teka sesuatu yang tak betul.
“Wahhh, tomyam!!”
Aku terkejut. Entah bilalah si Haikal ni berdiri di sebelah aku. Pulak tu, terus menjerit teruja bila nampak tomyam. Mujurlah aku tak ada lemah jantung.
“Hah, kau makan sampai habis tomyam tu. Kalau tak, akak simbah tomyam tu nanti,” kata Kak Imah dari ruang tamu.
“Ada orang cemburu sebab dia tak reti masak tomyam,” kata Haikal dengan nada memerli.
Aku mengerut dahi. Keliru sama ada Haikal sedang perli aku atau sesiapa.
“Bukan kaulah Harum. Tu, mak si kembar tu. Dia dah banyak kali masak tomyam tapi asyik tak jadi saja,” terang Haikal memandang aku. Dia tersenyum. Saat itu, aku terbau satu haruman lembut. Haruman yang tenang yang datang dari Haikal.
“Kau kenapa?” tanya Haikal sekali gus mengejutkan aku dari lamunan.
Aku tak tahu apa yang dah berlaku tapi sedar-sedar saja, aku mendapati jarak aku dengan Haikal hanya beberapa inci saja. Aku bukan sahaja dapat dengar nafasnya tapi juga dapat lihat wajahnya secara dekat. Aku lantas menjarakkan diri daripada Haikal.
“Err... tak ada apa-apa,” jawab aku cuba berlagak selamba.
“Tak faham betul dengan perempuan sekarang ni,” kata Haikal perlahan. Walaupun perlahan tapi aku boleh mendengarnya dengan jelas.
Huh. Aku menghela nafas lega. Nasib baiklah mak Haikal ada dekat dapur dan tak nampak apa yang sedang berlaku tadi. Kemudian, aku pandang ke arah Kak Imah. Kak Imah pandang aku. Dia tersenyum kemudian mengenyit matanya.
Ah, sudah! Apa kena dengan aku hari ni!

~~~

Selesai menikmati makan tengah hari bersama keluarga Haikal, aku menawarkan diri membasuh pinggan mangkuk sambil dibantu oleh Haikal. Kalau diikutkan hati memang hendak saja aku melarikan diri pulang ke rumah terus tapi macam ada satu aura yang menyuruh aku terus berada di sini. Alasan lain, aku tak nak mencemarkan nama baik ayah dan ibu. Nanti apa pula keluarga Haikal kata kalau aku terus tinggalkan rumah mereka selesai makan tanpa menolong kemas pinggan mangkuk yang belum dibasuh.
Nanti! Kenapa aku perlu fikirkan tentang apa yang mereka kata tentang aku? Aku bukannya bakal menantu mereka lagi. Aku hanyalah seorang jiran dan merangkap ‘kawan’ Haikal. Ah, aku memang banyak berfikir sejak kebelakangan ini.
Aku mengeluh lemah.
Tiba-tiba aku terasa ada satu tangan hinggap di dahi aku. Aku mendongak kepala dan terkejut apabila menyedari tangan Haikal di dahi aku.
“Apa ni?” Aku pantas menepis tangannya.
“Emm... tak demam. Kau ni kenapa hari ni? Macam orang tak cukup makan saja,” Haikal menyoal.
“Tak ada apalah,” aku terus menafikannya. “Lain kali jangan ambik kesempatan boleh tak?”
“Bila masa aku ambik kesempatan?”
“Tadi tu. Tiba-tiba saja pegang dahi aku.”
“Oh... aku cuma nak tahu kau okey atau tak. Lembik semacam saja buat kerja. Macam tak ikhlas,” balasnya dengan senyuman memerli. Aku membalas dengan jelingan. “Tapi, kalau nak dibandingkan dengan apa yang cuba buat kat aku tadi....”
Kata-kata Haikal terhenti. Sengaja. Tiba-tiba aku teringatkan peristiwa yang memalukan tadi. Aku dapat rasakan pipi aku semakin panas. Rasa macam hendak menyorok bawah singki pun ada.
“Kenapa muka kau merah?” tanya Haikal.
“Jangan nak mengarut,” aku cuba berlagak tenang.
Haikal tersenyum lagi dan terus membilas pinggan mangkuk yang sudah sudah aku sabun tadi.
“Anyway, thanks,” ucapnya tiba-tiba.
“Untuk apa?”
“Tomyam tu. Lain kali buat lagi ye,” ujarnya.
“Lain kali suruh teman wanita kau buat,” balas aku.
“Aku tak ada teman wanita. Kalau ada dah lama aku suruh dia buat dan aku takkan duduk di sebelah kau sekarang ni,” ujarnya.
“Bukan ke kau tinggalkan Mimi sebab dah ada teman wanita?” aku mula menyoal.
Aku lihat Haikal tiba-tiba berhenti buat kerja. Kemudian, dia memandang aku. Wajahnya serius.
“Apa kau cakap? Kau jumpa Mimi?”
Aku mengangguk.
“Bila?” Sekali lagi Haikal menyoal.
“Masa kau pergi Pulau Pinang bulan lepas.”
“Kenapa dia jumpa kau?”
“Dia nak luahkan perasaan putus cinta dia selepas kau tolak cinta dia. Kau betul-betul tolak cinta Mimi?” tanya aku.
“Dia ada beritahu apa-apa lagi?” Haikal menyoal lagi sekali gus mengetepikan soalan aku tadi.
“Dia beritahu kau tolak cinta dia sebab kau dah ada seseorang yang kau suka. Tapi aku tak sangka kau betul-betul ada teman wanita. Boleh aku tahu siapa dia? Oh ya, lagu Crush yang kau letak kat facebook kau hari tu untuk teman wanita kau ke?” Sekali lagi aku menyoal bertubi-tubi.
Soalan aku langsung tidak dijawab oleh Haikal sebaliknya dia terus menyiapkan kerja-kerjanya. Aku tak berani bertanya lagi selepas aku menyedari perubahan pada wajah Haikal. Serius. Aku tak suka lihat Haikal dengan mood begini.
“Sorry, aku tak patut tanya lebih-lebih.”
“Harum, aku cuma nak kata kau seorang yang bertuah,” kata Haikal.
Aku mengerut dahi.
“Menyintai seseorang dalam diam memang menyeksakan. Dia dah luahkan perasaannya pada kau dan kau pula memang mengharap cinta dia. Kalau kau masih lagi bermain tarik tali, aku takut, kau yang akan menyesal nanti.”
“Tapi macam mana kalau dia tipu....”
“Aku tak fikir dia penipu. Sejak pertama kali aku jumpa dia, aku tahu dia bukan main-main. Dia serius dan dia berani. Tak ramai lelaki yang akan berjumpa dengan ayah perempuan yang dia cintai untuk minta kebenaran berkawan tapi dia berani lakukan. Itu bermakna dia betul-betul serius,” tambah Haikal lagi. Kali ini kata-katanya serius. Dia bercakap bukan seperti seorang kawan lelaki memberi nasihat tapi lebih pada seperti seorang lelaki yang matang.
Ini, mungkin kali pertama aku lihat Haikal begitu serius dan matang dari usianya.

4 comments:

  1. Something fishing...
    Kalau tengok gaya diorang ni macam bercinta pula...#^_^

    ReplyDelete
  2. Alahaiii.. Sian haikal!
    Harum wif haikal pleaseeee.... Mst harumm pompuan yg haikal suka tu..

    ReplyDelete
  3. Menyintsi org dlm diam mg menyakitkan. Cian kat Haikal, sampai bila dia boleh bertahan.

    Cik Harum, baik pilih Haikal dari Uzair..

    ReplyDelete