Hari Ahad. Dan seperti biasa,
Uzair akan ajak aku keluar tapi seperti biasa, dia akan minta kebenaran
daripada ayah dahulu. Ayah pula tidak membantah. Mungkin kerana Uzair bercakap
dengannya terlebih dahulu. Kadangkala aku rasa macam anak dara tak cukup umur
pun ada tapi memandangkan aku masih lagi anak dara mereka, jadi aku fikir
tindakan Uzair minta kebenaran hendak keluar dengan aku pada ayah memang satu
tindakan yang tepat.
Haikal sudah balik awal pagi
tadi memandangkan tiket bas ke Pulau Pinang sudah habis pada waktu petang. Mahu
tak mahu, dia terpaksa keluar awal-awal pagi. Ayah menyuruh aku menghantar
Haikal ke Puduraya, atas alasan, kononnya, aku telah menyusahkan Haikal datang
dari jauh. Bagi aku, kalau ayah tak suruh pun, aku tetap akan hantar Haikal ke
sana atas dasar membalas jasanya. Tapi, Haikal pula membantah.
Waktu itu aku dapat rasakan
mood Haikal tak baik. Aku sendiri tak pasti kenapa dia tiba-tiba kurang mesra
melayan aku selepas aku bertanya pasal teman wanitanya. Aku yakin, mesti ada
sesuatu yang tak kena antara dia dengan teman wanitanya dan aku harap, mereka
bergaduh bukan disebabkan aku.
“Kenapa senyap saja?” tanya
Uzair di sebelah sekali gus mengejutkan aku dari lamunan. “Tak sihat ke?” soal
Uzair lagi.
“Tak ada apa-apa,” jawabku
cuba tersenyum. “Hari ni kita nak pergi mana?” Aku bertanya.
Sengaja ingin mengubah tajuk
perbualan. Kalaulah Uzair tahu aku sedang fikirkan masalah lelaki lain, entah
apa pula reaksinya. Sebabnya aku tengok Uzair memang kuat cemburu tapi cemburu
dia bertempat. Bila dia tak puas hati atau ada sesuatu yang tak kena, dia akan
soal aku sampai dia rasa dia dah terima mesej positif, barulah cemburu dia
hilang.
Ya. Betul kata Haikal, aku
patut bersyukur sebab dapat lelaki yang menyintai aku dengan jujur seperti
Uzair. Jadi, aku tak perlu ada rasa waswas lagi. Mungkin inilah masalah. Walau
apa pun setiap percintaan pasti ada risikonya dan aku perlu bersedia
menghadapinya mulai hari ini.
Tapi, macam mana aku nak
beritahu Uzair yang aku dah terima dia? Aku tak pernah ada pengalaman bercinta.
Menyintai orang adalah. Itu pun cinta monyet. Takkan aku nak beritahu, “Uzair,
saya rasa awak dah lulus. Awak dah buat hati saya terpikat pada awak. Jadi,
kita bercinta sekarang.” Agak pelik dan langsung tak romantik. Nak tak nak,
tunggu sajalah tindakan Uzair seterusnya. Apa yang penting, mulai hari ini
Uzair dah memiliki sebahagian dari hati aku.
“Harum, saya tengah bercakap
dengan awak. Awak dengar tak?” soal Uzair tiba-tiba sekali lagi mengejutkan
aku.
Ya Allah, aku ni kuat
mengelamun betul sejak akhir-akhir ini.
“Err... apa? Sorry, sejak
akhir-akhir ni saya letih sangat. Konsentrasi pun hilang entah ke mana.” Aku
memberikan alasan. Tapi itu memang betul. Beberapa minggu ini aku selalu kerja
lewat masa. Uzair pun sedia maklum dengan keadaan aku. Jadi, aku rasa alasan
itu agak kukuh.
“Kalau macam tu kenapa tak
beritahu awal-awal? Kita cancel sajalah hari ni,” dia bersuara.
“Tak nak!” Aku pantas
menghalangnya. “Saya okey. Tak ada apa-apa.”
“Pulak? Tadi kata letih. Saya
tak nak awak terlampau letih, nanti kalau awak sakit siapa yang susah?” nada
suara Uzair lembut. Hampir cair aku seketika.
“Letih tu memanglah letih tapi
saya tak fikir berehat kat rumah dapat hilangkan letih saya sekarang. Lebih
baik saya lepaskannya dengan keluar berjalan-jalan.” Aku memberi alasan lagi.
“Betul?” Uzair bertanya lagi.
“Betul. Duduk kat rumah boleh
buat saya stress.”
“Okey, jangan menyesal.”
“Setakat tengok wayang, buat
apa nak menyesal,” aku menjawab.
“Siapa kata kita nak tengok
wayang?”
Aku mengerut dahi.
“Habis tu?”
“Double date.”
“Double date?” Aku mengulang
sambil otak aku cuba memproses maklumat yang diterima. “Dengan siapa?”
“Adalah orangnya,” jawab Uzair
sambil tersenyum.
~~~
Sekarang baru aku tahu kenapa
Uzair suruh aku pakai seluar semasa dia ajak aku keluar tadi. Jawapannya aku
tahu selepas kaki aku melangkah masuk ke dalam pusat boling. Suasana di pusat
boling pada hari ahad agak penuh dengan remaja-remaja menghabiskan masa di hujung
minggu. Hanya sebahagian kecil saja aku lihat orang dewasa atau satu keluarga
turut beriadah di situ.
Aku diberitahu oleh Uzair
bahawa dia sudah membuat tempahan terlebih dahulu. Jadi, tiada masalah untuk
mendapatkan gelanggang untuk bermain. Dia juga sudah sediakan semuanya untuk
aku. Termasuklah membeli kasut untuk aku.
“Awak beli untuk saya?” Aku
memandangnya terkejut.
“Mmm. Kenapa? Tak muat ke?”
“Muat tak muat itu bukan
masalahnya tapi kenapa sampai nak beli kasut untuk saya? Walaupun saya tak selalu
main boling tapi saya tahu kasut boling juga turut disediakan.”
“Memanglah disediakan tapi
saya tak sanggup nak bagi awak pakai kasut bekas orang lain guna. Mana tahukan
ada bateria yang boleh baca maut ke atau orang tu ada HIV ke atau H1N1 ke... kita
mana tahu semua tu,” jawab Uzair memberikan alasan.
Aku terdiam. Bukan sebab
terharu tapi teringat akan kata-kata Haikal semalam.
“Lelaki, akan jadi amat
sensitif dengan keadaan sekeliling apabila dia menyintai seseorang. Mungkin kau
takkan perasan dan mungkin kau akan rasa rimas bila mereka terlampau ambil
berat terhadap kau nanti, tapi bila kau jumpa situasi begini, kau hanya perlu
tahu, dia betul-betul serius menjalinkan hubungan.” Itulah kata-kata Haikal
semalam.
Kata-kata itu masih lagi
ternyiang-nyiang di telinga aku seolah-olah Haikal berada di sebelah aku dan
berbisik di telinga aku. Aku harap kata-kata Haikal ini betul.
“Termenung lagi,” suara Uzair
sekali lagi mengejutkan aku. Sedar-sedar saja, Uzair sudah berdiri beberapa
meter dari aku.
“Sorry,” kataku sambil berlari
mendapatkan Uzair.
“Apa yang awak fikir
sebenarnya?” soal Uzair. “Fikir pasal kerja lagi ke?”
Aku hanya tersenyum. Lebih
baik jangan menjawab. Nanti entah apa-apa yang keluar dari mulut aku ini. Aku
perlu tukar topik sekarang!
“Tadi awak kata double date
tapi...,” aku memandang sekeliling. Tempat yang kami tempah tiada pula
kawan-kawan Uzair.
“Dia orang dalam perjalanan.
Biasalah time time macam ni memang jalan agak sesak,” kata Uzair. Jawapan Uzair
cukup buat aku mendiamkan diri. Sudah tak tahu hendak tanya soalan apa. Kalau
aku tanya, siapa yang Uzair jemput gerenti aku akan terima jawapan yang sama.
Jadi, lebih baik aku berdiam diri dan memakai kasut boling.
“Selalu main boling?” soal
Uzair.
“Adalah sekali sekala.”
“Dengan siapa?”
“Kawan sekolah ataupun dengan
Tiara.”
“Kawan sekolah tu lelaki ke
perempuan?” soal Uzair cuba menyelidik.
Mendengar soalan Uzair terus
buat aku tersenyum.
“Kenapa? Lucu sangat ke soalan
saya tadi tu?”
“Kalau saya jawab kawan
sekolah saya tu lelaki, awak nak buat apa?”
“Sekurang-kurangnya saya tahu perempuan
yang saya tengah usha sekarang ni pernah ada kawan lelaki ataupun boyfriend,”
jawab Uzair.
“Awak ingat saya ni tak laku
ke? Dulu, masa sekolah ramai yang nak couple dengan saya tapi saya tak layan.
Baru-baru ni pulak, keluarga saya nak jodohkan saya dengan anak jiran saya.
Saya rasa awak tahukan. Jadi, walaupun saya ni tak ramai kawan lelaki tapi saya
tetap ada peminat.”
Uzair mengangguk.
“Nampaknya, saya perlu belajar
tentang awak dengan lebih mendalam lagi.”
“Hal lepas, awak tak perlu
tahu sangat.”
“Kena jugak.”
“Kenapa?”
“Sebabnya, mana tahukan suatu
hari nanti, kawan lelaki awak masa sekolah dulu muncul kembali dalam hidup awak
dan cuba pikat awak... mestilah menggugat kedudukan saya, bukan?” ujar Uzair.
“Baru saya faham kenapa awak
layak pegang jawatan pengurus. Otak awak ni memang sentiasa fikir ke hadapan.
Sangat ke hadapan pula tu.” Aku memerli.
“Anggap sajalah saya ni banyak
pengalaman dalam hal begini.”
“Jangan risaulah, kawan-kawan
sekolah saya semuanya dah berumah tangga. Ada yang dah ada anak pun. Jadi,
kedudukan awak masih tak tergugat lagi,” balas aku memberinya harapan sedikit.
“Abang Uzair!” sapa satu suara
yang macam pernah aku dengar selama ini. Dari jauh aku lihat seorang gadis yang
mirip Mimi Fazila menghampiri Uzair. Bila dia hampiri Uzair baru aku pasti, itu
bukan mirip Mimi Fazila tapi memang Mimi Fazila!
“Mimi?” Aku mencelah inginkan
kepastian.
Mimi Fazila lihat aku dengan
wajah pelik. Aku yakin itu Mimi Fazila. Bukan sahaja muka, perangainya yang
gedik-gedik manja pun aku kenal lagi.
“Kak Harum!” Mimi terus
mendapatkan aku. Dia memeluk aku seperti terjumpa kawan yang terpisah lama.
Tapi memandangkan aku sudah sedia maklum dengan perangai Mimi yang suka peluk
orang, aku abaikan saja.
“Err... Mimi, akak tak boleh
bernafas,” kata aku cuba meleraikan pelukan Mimi.
“Oh, sorry. Mimi tak sangka
dapat jumpa akak kat sini. Akak buat apa kat sini? Dating ke?” soal Mimi
bertubi-tubi. Kemudian, dia pandang Uzair dan pandangnya balik ke arah aku
semula. “Akak kenal Abang Uzair? Oh my... jangan kata dialah perempuan yang
abang cakap hari tu!” Mimi yang nampak teruja tadi, bertukar terkejut pula.
“Mimi kenal Kak Harum?” soal
Uzair.
“Mestilah kenal. Dia...,”
tiba-tiba Mimi berhenti berkata. “Err... kawan kepada kawan Mimi,” akhirnya dia
bersuara. “Mimi tak sangka abang kenal dia.”
Uzair sekadar tersenyum.
“Mimi seorang saja ke? Abang
mana?” soal Uzair sambil memandang sekeliling seperti mencari seseorang.
“Dia pergi beli air tadi. Hah,
tu dia!” Mimi menuding jari ke arah seorang lelaki yang baru sahaja masuk ke
dalam pusat boling.
Mata aku langsung tak berkelip
memandang lelaki yang baru masuk tadi. Setiap langkahnya aku perhatikan
sehinggalah dia menghampiri kumpulan kami. Sama. Itulah lelaki yang aku jumpa
semasa di restoran KFC dahulu dan itu jugalah lelaki yang pernah bertakhta di
hati aku. Shahir!
Jadi, inilah double date!
“Abang! Abang!” panggil Mimi
di sebelah aku. “Mimi tak sangka, rupa-rupanya girlfriend Abang Uzair ni orang
yang Mimi kenal,” ujarnya sambil memeluk bahu aku.
Shahir, lelaki yang segak
walaupun hanya mengenakan t-shirt dan seluar sukan hanya mengangguk. Dari riak
wajahnya, aku yakin, dia tak kenal aku lagi.
“Siapa tu?” soal aku kepada
Mimi memandangkan Uzair dan Shahir sedang berbual.
“Abang Mimi,” jawab Mimi.
Sungguh kecil dunia ini
rupanya.
“Handsomekan?” soal Mimi.
Aku sekadar menghadiahkan
senyuman. Handsome tu memang aku sudah sedia maklum. Kalau tak, aku takkan
luahkan perasaan pada Shahir dulu. Ah, kini aku harap Shahir tak ingat siapa
aku. Kalau tak, mana aku nak campak muka nanti.
“Tapi, jangan main kayu tiga
ya,” kata Mimi di sebelah seperti memberi aku amaran supaya setia pada Uzair.
“Mengarutlah.”
“Harum,” panggil Uzair
memanggil aku. Dengan langkah berhati-hati aku bergerak ke sebelah Uzair. kenalkan. Ini Shahir. Bakal bos awak nanti.”
“Hah?”
“Kenapa? Terkejut?”
Sudah tentulah aku terkejut.
Siapa yang tak terkejut kalau dapat tahu cinta monyet aku dulu akan jadi bos aku nanti.
“Hai,” sapa Shahir agak kekok.
Sapaan yang tak mesra langsung. Tapi aku bersyukur kerana dia tak ingat aku
lagi. “Uzair,” sapa Shahir sambil memandang aku dengan tajam. “Sekarang baru
aku faham kenapa kau sanggup buat apa saja untuk teman wanita kau sampai
sanggup batalkan cuti aku,” tambah Shahir yang sudah memandang Uzair.
“Betul-betul!” sokong Mimi.
“Kalau Mimi jadi Abang Uzair pun, Mimi pasti buat perkara yang sama. Kak Harum
memang baik dan cantik, tak macam girlfriend Abang Uzair yang dulu-dulu. Eee...
tak kuasa nak melayan.”
“So, tolong jagakan Harum
untuk aku ya,” kata Uzair kepada Shahir.
“Sekarang, baru aku menyesal
nasihatkan kau cari girlfriend yang lebih normal. Bila dah dapat yang normal,
kau pula jadi tak normal,” keluh Shahir sambil berlalu memakai kasutnya. Dia
langsung tak pandang aku. Ini yang buat aku lagi takut.
~~~
Kami hanya bermain satu game.
Semua ini salah aku kerana Uzair sangka aku terlampau letih untuk bermain.
Menurutnya lagi, cara aku membuat lontaran seperti tak bermaya. Memang betul.
Aku sudah cuba untuk menumpukan perhatian tapi tumpuan aku terganggu dengan
pelbagai perkara dan satu-satunya adalah Shahir.
Bukan aku berharap aku dilayan
seperti permaisuri tapi aku cuma berharap Shahir tegur aku seperti mana dia
tegur Uzair dan Mimi. Ini, Shahir langsung tak tegur aku apatah lagi memandang
muka aku. Macam aku dah buat satu kesalahan besar yang tak boleh dimaafkan. Aku
yakin dia masih marah sebab Uzair kacau percutian dia dengan Mimi.
Suara Dato’ Omar yang
mengatakan Shahir seorang yang panas baran pula ternyiang-nyiang di telinga
aku. Ini menambahkan bebanan di fikiran aku. Akibatnya, aku langsung tak dapat
menumpukan perhatian dalam permainan ini.
“Kita makan dulu ya, lepas tu
saya hantar awak balik,” kata Uzair selepas kami keluar dari pusat boling. Shahir
dan Mimi sudah jalan bersama di hadapan.
Aku mengangguk. Tak berani nak
menolak permintaan Uzair walaupun aku rasa macam hendak pulang cepat. Aku tak
boleh tahan dengan situasi tegang begini. Lagi aku berada di sini, lagi aku
berfikir tentang keadaan aku di tempat kerja esok.
“Pasal boling tu, saya minta
maaf.” Aku bersuara memecah kesunyian antara kami berdua.
“Tak mengapa. Kita boleh main
lagi bila-bila masa.”
“Tapi Shahir....”
“Dia memang macam tu. Jangan
risaulah.”
Tapi aku risau juga.
Kami kemudiannya berlalu ke
bahagian food court memandangkan Mimi teringin sangat hendak makan ABC. Aku
patut akui. Mujurlah ada Mimi yang pandai menceriakan suasana. Kalau tidak,
rasanya mood aku lagi jatuh mendadak.
“Abang nak makan apa?” tanya
Mimi setelah kami duduk di meja yang kosong.
“Abang tak lapar. Mimi beli
sajalah apa yang Mimi nak,” kata Shahir.
“Okey. Jom,” Mimi menarik
Uzair.
Aku turut bangun tapi belum
aku ingin melangkah, Uzair menghalang aku.
“Biar saya saja yang beli.
Awak nak apa?”
“Tak apa. Saya boleh beli
sendiri.”
“Harum, awak tak beberapa
sihat hari ni. Saya tak nak awak pengsan pula. Beritahu saja awak nak apa, saya
belikan untuk awak,” kata Uzair tegas.
“Tapi....”
“Baik Kak Harum dengar cakap
Abang Uzair. Nanti kalau dia marah, memang menakutkan,” celah Mimi sambil
membuat mimik muka orang yang menakutkan.
“Hah, dengar tu,” sokong
Uzair.
“Belikan saja ABC jugaklah,”
akhirnya aku menurut.
“ABC sejuk. Saya takut awak
lagi bertambah sakit. Saya akan belikan bihun sup ataupun nasi.”
“Saya tak ada selera nak makan
nasi,” kataku.
“Okey, kalau macam tu bihun
sup. Settle,” tanpa memerlukan jawapan aku, Uzair telah pun bergerak
bersama-sama Mimi meninggalkan meja kami. Kini, hanya tinggal aku dan Shahir
sahaja. Berdua tetapi mampu buat dada aku sesak.
“Jadi, kaulah bakal setiausaha
aku?” soal Shahir mula bersuara.
Aku hanya mampu mengangguk.
“Aku tak tahu pula, bakal
setiausaha aku ni...,” dia memandang aku dengan tajam. Pandangannya buat aku
rasa macam dia sedang berdendam dengan aku. “... seseorang yang pernah luahkan
perasaan cinta pada aku,” ujarnya lagi.
Lantas aku pandang wajahnya.
Dia tersenyum. Aku terus hilang kata-kata. Aku tak sangka dia masih ingat lagi!
“Aku sengaja tak nak cakap
depan Uzair. Dia tu akan jadi bertambah tak normal kalau dia dapat tahu pasal
hal ni. Tapi, aku tetap nak cakap sesuatu.”
“Apa dia?”
“Hai Harum, kita berjumpa
lagi,” sapanya dengan senyuman mesra.
Ya Allah, permainan apakah
yang Kau sedang aturkan untuk hambamu ini?
Erkkss... Shahir ni saja wat2 garang dpn uzair je laaa..
ReplyDeleteJgn skrg dia suka kat harum plak sudahh.. ;)
Please jangan cakap Shahir pun ada perasaan dekat Harum...
ReplyDeleteshahir org ketiga tu yang jatuh cinta kat harum kan? ish ish..
ReplyDeleteOH NOOOO!
ReplyDeleteKita dah agak dah Shahir ni hero ke 3.
Haikal sila tabahkan hati hang nah. Takpa cek beri support sepenuhnya.Fighting:)
TIDAK!!!!
ReplyDeleteHabis kau Harum, semua lelaki yg ada kaitan dgn awk dh pun berada disekeliling. Ya mana akan jadi pilihan hati, itu kena tggu pulak kan? cian kat Haikal, makin susah nk dptkan gadis idaman dihati....
tu dia... sekali mai 3 sekali yg ..... now, really excited nak tau siapa pilihan harum sebenarnya... ni dh kira cinta bersegi2 ni... hehehehe...
ReplyDeletealamk cinta monyet dh ade dpn mate...kecoh la lps nie..sape la plihn cik Harum ye...
ReplyDeleteara