Kata ibu, “Tulah, ibu dah kata, jangan pergi kerja tapi degil
sangat. Tengok, apa dah jadi? Bukan ke dah menyusahkan orang lain?”
Ayah pula kata, “Lain kali buatlah lagi. Sampai masuk ICU pun tak
apa.”
Tidak cukup dengan itu, Uzair menambah, “Awak tahu tak apa yang
awak buat ni bukan saja kena kat awak saja tau tapi semua orang kena.
Awak tak fikir ke betapa risaunya ayah dan ibu awak bila dengar
berita awak dimasukkan ke dalam hospital? Awak tahu tak yang saya
bagaikan orang gila bila dengar awak pengsan? Kalau awak tak sayang
nyawa, kesianlah pada ibu bapa awak dan orang yang sayangkan awak.”
Aku tension!
Bangun saja daripada pengsan bukan belas kasihan yang aku dapat.
Seharian kena nasihat percuma daripada ibu dan ayah. Uzair juga tidak
ketinggalan memberikan khidmat percuma dia yang pedas belaka. Lagi
pedas daripada nasihat ayah. Kesudahannya aku jadi sress.
Kesudahannya, aku kena tahan di hospital seharian. Esoknya balik
rumah, satu hari aku kena leter dengan ibu. Aku yang tak berani
membantah hanya mendiamkan diri sahaja. Telinga aku tadah dengar
leteran ibu yang macam-macam. Aku lambat makan ubat pun salah. Aku
baring pun salah. Aku keluar jalan-jalan dekat hadapan rumah pun
salah. Pendek kata apa yang aku buat semuanya salah!
Kemudian, ayah balik kerja, macam-macam dia soal.
Sudah makan ubat? Sudah makan? Kalau aku kata sudah pun ayah paksa
aku pergi makan padahal perut aku memang tak boleh terima apa-apa
lagi. Akhirnya aku muntahkan balik makanan yang aku telan. Semua itu
tak tamat di situ. Ayah balik daripada masjid bawakan air ubat yang
dibuat oleh salah seorang ustaz yang tinggal di kawasan rumah kami.
Ustaz tu memang terkenal air ubat yang boleh menyembuhkan
penyakit-penyakit pelik.
Sekali lagi aku tak mampu menolak. Aku turutkan sahaja. Malam pula,
Uzair telefon bertanyakan keadaan aku. Jujur aku cakap, aku lagi
bertambah stress bila dengar Uzair kata dia marah Tiara sebab
benarkan aku memandu dalam keadaan demam. Akhirnya kami bergaduh. Aku
terus tekan butang merah dan Uzair tak telefon aku kembali untuk
tenangkan aku.
Lantas aku ambil peluang itu untuk menelefon Tiara. Tiara langsung
tidak bersalah dalam situasi ini. Aku yang berdegil. Aku rela dimarah
daripada mereka marahkan Tiara. Aku takut. Tiara satu-satunya kawan
aku yang boleh aku percaya. Kalau aku hilang kawan seperti Tiara.
Siapa lagi yang sanggup jadi kawan aku di pejabat? Ah, lupa! Bukan ke
aku dah dipecat!
“Harum!!!” jeritan Tiara di hujung talian
membuat aku tersentak. Nada suara Tiara agak tinggi. Terus jantung
aku berdegup kencang. “Kau macam mana? Kau okey? Demam kau dah
baik? Aku risau sangat. Aku ingat nak telefon kau tapi aku tak nak
ganggu kau. Takut kau masih lagi tak sihat tapi I miss you so much!!”
Aku terkedu. Tiara tak marah aku? Setelah apa yang
aku dah buat dan setelah Uzair marah dia sebab benarkan aku pandu
kereta dalam keadaan demam, dia tak marah? Malah risaukan aku lagi?
Ini buat aku terus hilang kata-kata.
“Harum?” panggil Tiara.
Aku tidak menjawab, tetapi sebaliknya terus
menangis dalam senyap. Kalau Tiara ada di hadapan aku memang sudah
lama aku peluk-peluk dia.
“Harum? Kenapa? Kau menangis?” soal Tiara.
“Kalau menangis tu boleh membuat kau lega, menangislah sepuasnya.”
Dengar Tiara kata begitu lagi kuat aku menangis sehingga aku rasa
sudah lama aku tak menangis sehebat begini. Ya. Selama ini air mata
aku hanya untuk novel-novel sedih yang aku baca. Kini, buat pertama
kali aku menangis kerana realiti yang berlaku di hadapan mata dan aku
bersyukur kerana ada Tiara yang sentiasa menyokong aku di sisi.
~~~
“Itu yang buat kau menangis?” soal Tiara
selepas tangisan aku reda dan aku mula bercakap dengan Tiara. Aku
dengar dia ketawa perlahan. “Don’t worry darling, aku kenal bos
aku tu. Dia memang angin dalam bab macam ni. Tak ada apa-apalah.
Setakat dengar dia berleter saja. Esok lusa okeylah tu,” kata Tiara
sambil menenangkan aku.
“Tapi dia tetap marah kau... Ni bukan salah kau....”
“Ya, salah si Gayah tu!” potong Tiara. “Kalau
kau nak tahu lepas kau pengsan tu, satu ofis kecoh pasal kau dengan
si Gayah tu. Menggigil jugak dia bila namanya naik ke lembaga
tatatertib. Dengar kata alasan dia sakit perut tapi malangnya ada
saksi nampak dia tengah bersenang lenang dekat departmen lain. Dia tu
memang saja nak kenakan kau tapi tindakan dia memakan diri dia
akhirnya.”
“Dari dulu lagi dia selalu cari peluang nak kenakan aku. Aku tak
terkejut pun. Sebab tulah bila budak-budak tu terkial-kial aku terus
hulurkan bantuan. Aku tahu, dia boleh salahkan aku sebab tak ajar
betul-betul kalau Liyana dengan Zana tak boleh handle hal macam ni.”
“Lepas ni tahulah nasib dia. Dengar kata bukan saja Encik Alias dan
bos aku saja yang mengamuk tapi bos kau dengan Dato’ Omar pun
marahkan si Gayah tu. Memang tak amanlah hidup dia nanti lepas ni,”
tambah Tiara lagi.
“Mesti Encik Alias kena jugak sebabnya Kak Gayah tu bawah dia,”
aku mula risau.
Walaupun Encik Alias merupakan bos yang paling cerewet tapi aku tetap
hormat dia. Sepanjang dia jadi bos aku dahulu, walaupun dia selalu
buli aku dengan mengarahkan aku buat kerja-kerja diluar bidang kerja
aku tapi aku perlu akui, kerana dia, aku mampu sampai ke tahap ini.
Malangnya, aku sudah menghampakannya.
“Itu memang tak dinafikanlah. Aku dengar memang teruk dia kena
hentam dengan bos baru kau tu. Bos baru kau memang dahsyat. Dalam
beberapa hari ni memang huru-hara ofis dibuatnya. Kalau kau datang
kerja nanti, aku harap kau jangan terkejut dengan sikap panas baran
dia dan perubahan yang dia buat,” pesan Tiara lagi.
“Mujurlah. Aku bernasib baik agaknya.”
“Apa yang bernasib baik?”
“Aku takkan kembali ke sana.”
“Maksud kau?”
“Sebelum aku pengsan, aku ingat lagi... Encik Shahir datang jumpa
aku dan dengan serta-merta dia pecat aku.”
“What!”
~~~
Aku dipecat.
Entah macam mana aku hendak beritahu kepada ibu dan ayah tentang
berita ini. Puas aku cuba mencari ruang untuk beritahu ibu dan ayah
tapi aku tak ada kekuatan hendak bersuara. Aku risau akan kesihatan
ayah bila menerima berita ini. Begitu juga dengan ibu yang begitu
menaruh harapan besar pada aku.
Serta-merta peristiwa silam kembali menghantui aku. Aku masih ingat
lagi bagaimana keadaan ayah apabila mendapat tahu aku gagal satu
matapelajaran dalam SPM. Aku masih ingat lagi bagaimana rupa ayah.
Dia hilang harapan. Begitu juga dengan ibu yang risaukan masa depan
aku. Dengan kegagalan aku, sudah tentulah aku langsung tak ditawarkan
masuk universiti apatah lagi tingkatan 6.
Jadi, bermulalah pengorbanan ayah cuba mencari pekerjaan untuk aku.
Ibu pula tak putus-putus sembahyang hajat mendoakan kesejahteraan
aku. Akhirnya selepas banyak kali aku jalani temu duga, aku diterima
kerja sebagai pembantu tadbir di syarikat yang aku bekerja sekarang
(kini tak lagi). Semasa aku mula bekerja, masa itulah aku kerap kena
buli tapi ibu tetap hulurkan aku semangat sehinggalah lapan tahun
berlalu.
Kini, kalau mereka tahu aku dipecat, aku dapat
bayangkan betapa hancurnya perasaan mereka. Mereka tak ada anak lain
lagi yang boleh dibanggakan. Hanya aku seorang yang menjadi harapan
mereka. Tapi, aku dah hampakan mereka... sekali lagi.
~~~
Hari ketiga yang juga merupakan hari terakhir aku dapat MC daripada
hospital, aku terima satu bungkusan dari Pulau Pinang. Kalau dari
Pulau Pinang, aku dapat teka daripada siapa dan apa bungkusan itu. Ia
kerana bungkusan itu saiznya lebih kurang seperti kotak haruman yang
diberi oleh Haikal. Sampai sahaja bungkusan itu di tangan, aku terus
bukanya dan jangkaan aku tepat sama. Satu lagi kotak haruman.
Aku terus bukak dan bau haruman itu. Dengan mudah
saja aku dapat teka. Itu haruman tomyam! Aku tersenyum. Aku rasa
itulah senyuman pertama sejak aku bangun daripada pengsan. Haikal
sungguh kreatif. Aku tak tahu macam mana dia boleh buat haruman yang
serupa seperti ini. Aku tak fikir dia basahkan kapas itu pada kuah
tomyam. Aku yakin, pasti dia pernah belajar mencipta haruman.
Sebabnya, aku pernah menghidu haruman yang dia guna dan aku tak fikir
itu salah satu haruman yang dibeli di pasaran.
Aku tak tahu apa motif dia berikan aku haruman ini tapi hadiah
daripada Haikal ini sedikit membuat aku rasa lapang. Aku simpan kotak
haruman itu di rak khas. Setakat ini, aku sudah terima dua haruman.
Sepatutnya tiga tapi aku dah buang haruman tahi kucing, tak sanggup
aku hendak simpan!
Aku memandang handset aku yang sudah aku tutup selepas berbual dengan
Tiara malam tadi. Aku memang sengaja menutup handset. Salah satu
sebabnya, aku sudah tak larat mendengar leteran Uzair. Hari ini aku
ingin berehat.
Memandangkan aku telah menutup handset, tak ada cara lain lagi untuk
berhubung dengan Haikal melainkan guna facebook. Lagipun Haikal
memang pengguna aktif facebook. Cuma, sejak kejadian hari tu, aku
jarang buka facebook dan tak tahu perkembangan Haikal. Walau apa pun,
aku perlu mengucapkan terima kasih kepada Haikal atas pemberian dia.
Seperti biasa, bila aku buka facebook, banyak notification yang aku
dapat. Yang request friend pun ada kurangnya tapi semua tu aku tak
layan. Aku terus menjelajah wall aku. Memandangkan facebook aku ni
memang tak aktif dan aku tak ramai kawan-kawan yang ada facebook, aku
hanya menerima beberapa sapaan di wall. Antaranya rakan sekolah aku
yang memberitahu dia sudah mengandung anak kedua. Aku balas dengan
tahniah. Seorang lagi rakan sekolah aku menjemput aku ke majlis
perkahwinan dia yang akan berlangsung dua minggu lagi di Sabah.
Mustahil aku mampu pergi ke sana. Nak keluar dari KL pun kena soal
siasat, inikan nak pergi ke Sabah. Aku terus berterus-terang.
Yang lain-lain pula, aku tak pasti apa yang mereka
bualkan. Inilah yang aku tak suka dengan facebook. Perkara yang entah
apa-apa ditag. Jadi, aku abaikan. Baru saja aku ingin menghantar
mesej kepada Haikal, aku lihat ada satu notification. Daripada
Haikal.
Lantas aku refresh balik wall aku. Satu gambar terpampang di wall
aku. Gambar KLCC yang disinari lampu. Aku tersenyum. Serta-merta
fikiran aku melayang mengingat kembali kejadian Haikal membawa aku ke
KLCC.
“Setiap manusia juga memerlukan seseorang bukan sahaja untuk
berkongsi kegembiraan tetapi marah, sedih, geram. Dengan cara itu,
secara tidak langsung kita boleh membina jejambat macam KLCC tu.
Kesimpulannya, kalau kau rasa nak luahkan sesuatu yang menyesakkan
kepala, aku sentiasa akan berada di sisi kau.”
Dan kini, aku tahu, walaupun aku dibuli, walaupun aku dipecat,
walaupun aku terpaksa dengar leteran orang, hanya satu yang aku
percaya... aku tak keseorangan dalam dunia ini. Jadi, mulai esok, aku
walau apa pun yang berlaku, walaupun aku akan melukai hati kedua ibu
bapa aku, aku perlu harunginya.
Terima kasih Haikal!
~~~
Pagi-pagi lagi, aku bangun dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja.
Aku tak beritahu ibu dan ayah pasal aku dipecat lagi. Aku plan nak
beritahu mereka malam nanti. Buat masa ini, ada sesuatu yang perlu
aku uruskan. Aku perlu ambil semua barang-barang aku dekat ofis. Dari
rumah lagi, aku sudah terbayang-bayang akan kehadiran surat pemecatan
aku di atas meja aku. Atau lebih teruk lagi tempat aku sudah diambil
orang dan aku terbayangkan Kak Nana sedang duduk di tempat aku
sekarang.
Aku menghela nafas panjang. Aku sudah bersedia dengan sebarang
kemungkinan walaupun aku ini mangsa keadaan. Aku melangkah masuk ke
pekarangan tempat kerja aku dengan degupan yang kencang. Rasanya
macam aku baru saja jejak ke rumah hantu. Seram sejuk seluruh tubuh
aku. Harap aku tak pengsan buat kali kedua.
“Selamat pagi Harum,” sapa Encik Hamdan yang segak memakai baju
polis bantuan. Aku membalasnya dengan senyuman. “Hati-hati jalan.
Jangan pengsan lagi.”
Aku tersenyum lagi. Aku tak tahu sama ada itu kata-kata simpati
ataupun memerli. Tanpa berfikir panjang aku terus berlalu ke jabatan
pemasaran. Aku masuk sahaja ke dalam, semua pandang aku. Apa yang aku
pelik cara mereka pandang aku. Macam baru saja pandang hantu. Sekali
lagi tanpa pedulikan mereka aku berlalu ke bilik aku.
Aku lihat meja aku. Sama seperti mana yang aku tinggalkan tempoh
hari. Aku memerhati dari atas hingga bawah. Pelik! Mana perginya
surat pemecatan aku? Aku cuba cari di bawah meja. Mana tahukan
terjatuh ke tapi tak ada langsung!
“Kau cari apa?” soal satu suara.
Aku terperanjat dan serentak itu kepala aku
terhantuk meja. Aku mengerang perlahan. Terus jantung aku berdegup
laju. Aku kenal suara itu. Perlahan-lahan aku bangun berhadapan
dengan Shahir. Dia memandang aku tajam. Aku langsung tak berani
pandang lama mata dia.
“Kenapa kau datang sini?” tanya Shahir agak tegas.
“Err... saya nak kemas... barang-barang saya,” jawab aku
tergagap-gagap.
Shahir memandang tajam aku lagi. Jantung aku rasa macam hampir nak
tercabut. Kemudian, dia menapak ke hadapan. Sedar-sedar sahaja
tangannya berada di dahi aku.
“Kau mengigau ke?” soalnya selepas menarik tangannya dari dahi
aku. “Lebih baik kau balik sekarang. Aku tak nak tengok muka kau
dalam pejabat ni, faham?”
Aku mengangguk. Dia terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Tanpa
berlengah lagi aku terus mencapai sebuah kotak dan memasukkan
barang-barang aku ke dalamnya.
“Kau buat apa?” soal Shahir lagi di muka pintu.
“Err... kemas barang,” jawab aku yang redha.
“Untuk apa? Aku suruh kau balik berehat lagi,
bukan suruh kau kemas barang!” tegas Shahir.
“Hah?” Lagi aku bertambah tak faham sekarang. Bukan ke tadi dia
baru saja halau aku?
“Apa hah hah? Balik sekarang. Aku bagi kau cuti minggu ni. Minggu
depan kalau dah sihat baru datang kerja. Aku tak suka bekerja dengan
orang yang sakit!”
“Tapi... bukan ke saya dah dipecat?” Aku memberanikan diri
bertanya.
“Siapa yang pecat kau?”
“Err...,” perlahan-lahan aku menuding ke arah Shahir.
“Bila masa aku pecat kau pulak? Kau jangan nak buat fitnah!”
Aku semakin menggelabah. Mustahil aku bermimpi. Aku yakin! Sebelum
aku pengsan memang Shahir dah pecat aku tapi kenapa ada versi lain
pula. Aku cuba cubit lengan aku. Sakit. Jadi, aku tak bermimpi.
“Harum, aku kira sampai lima. Kalau kau tak berambus dari ofis aku,
aku pecat kau betul-betul nanti. Satu... dua... tiga....” Tanpa
buang masa aku terus berlari keluar dari pejabat itu. “Jangan
datang kerja selagi kau tak sihat sepenuhnya!” jerit Shahir dari
dalam.
Aku harap ada seseorang datang menjelaskan apa yang telah berlaku
tadi!
NAK LAGI ....
ReplyDeleteErkss.. Haru betoi shahir ni ek.. Hmmm.. Haikal jugak yg sweeet ;)
ReplyDeleteAlahai sian dekat Harum baru lepas sedar dari pengsan dah kena bebel...#^_^
ReplyDeleteCian kat Harum. Si Shahir ni mmg suka nk mengenakan Harum. Mungkinkah dalam hati Shahir masih ada taman utk Harum sbb itu dia bersikap sedemikian.
ReplyDeleteThanks to Haikal sbb sudi menjadi pendengar serta penasihat setia bt Harum, tak mcm si Uzair yg suka sgt membebel saja.
Shahir asa sayang buat Harum kot.... sebab tu bagi sambung cuti lagi...
ReplyDeleteUzair jangan banyak cakap bila orang yang kita sayang sakit ..... kalau nak bagi nasihat tunggu betul-betul baik ok....