“Kita ni tak
mengganggu dia orang ke?” soal aku kepada Uzair yang memberhentikan
kereta di hadapan sebuah restoran makanan segera Mc Donald. Dari
dalam kereta aku sudah boleh nampak kelibat Haikal dan Mimi sedang
berbual di sebalik dinding kaca itu.
“Apa pula
menganggu. Mimi yang ajak kita bukannya kita berdua terhegeh-hegeh
nak kacau diorang berdua bercuti,” kata Uzair. “Lagipun ini
mungkin percutian bujang terakhir kita berdua,” tambah Uzair. Dia
tersenyum.
Lihat dia tersenyum,
buat pipi aku panas. Cepat-cepat aku buka pintu kereta dan melangkah
keluar. Kalau diteruskan mungkin boleh demam aku di situ. Baru-baru
ini, selepas aku membuat keputusan menerima lamaran Uzair, pipi aku
selalu sensitif. Kalau ibu cakap pasal kahwin, mulalah aku rasa
panas. Begitu juga dengan ayah atau sesiapa sahaja yang cerita pasal
kahwin. Tiba-tiba saja aku jadi pemalu. Macam perempuan zaman
dulu-dulu pun ada.
Ibu kata, malu
tandanya mahu!
Perghh!! Kata ibu
lagi buat pipi aku rasa macam nak meletup. Rupanya inilah perasaan
bila seseorang perempuan tu akan menamatkan zaman bujang. Itu baru
pipi. Belum lagi masuk hati. Rasanya bunga-bunga yang tumbuh dalam
hati ini macam sudah tak ada ruang lagi nak tumbuh.
“Wah, bakal
pengantin baru datang. Makin berseri-seri nampaknya!” kata Mimi
apabila aku dan Uzair menghampiri mereka. Aku tak dapat menahan bibir
aku daripada tersenyum.
Sebaik aku sampai ke
meja, Haikal bangun dan berlalu ke kaunter pesanan. Begitu juga
dengan Uzair. Aku dan Mimi duduk bersebelahan. Mimi tidak habis-habis
bertanya tentang aku dengan Uzair. Bila nak kahwin. Kahwin nanti nak
pakai baju warna apa. Siapa pengapit pengantin. Macam-macam lagi.
Padahal kedua-dua keluarga masih lagi berbincang mengenai hal ini.
“Akak baru je
jumpa keluarga Uzair. Tarikh belum bincang lagi. Banyak perkara nak
kena buat. Pertama, akak kena pergi kursus kahwin dulu. Itu yang
penting. Ingat kahwin ni set tarikh, panggil tok kadi dan nikah?”
“Bukan ke dalam tv
selalu macam tu?” soal Mimi.
“Itu dalam tv.
Diringkaskan. Kalau nak cerita dari A sampai Z memang banyak perkara
kena buat,” terang aku serba sedikit. Sejujurnya, aku pun terkejut
bila ibu senaraikan apa yang perlu dibuat. Tambah lagi aku perlu
merajinkan diri belajar memasak. Semakin lama jadual hidup aku
semakin padat.
“Ohhh... tapi Mimi
teringinlah nak pergi kursus kahwin. Senanglah nanti kalau Haikal
lamar Mimi mengejut macam Uzair buat pada Kak Harum,” kata Mimi.
Kebetulan Haikal dan Uzair datang membawa makanan yang dipesannya.
Haikal agak terkejut mendengarnya manakala Uzair tergelak.
“Kenapa?” soal
Mimi kepada Uzair.
“Dapur pun jarang
masuk, inikan pula nak kahwin. Jangan nak berangan,” kata Uzair.
“Tak mengapalah.
Mimi boleh belajar perlahan-lahan lagipun Haikal tak kisah kalau Mimi
tak pandai masak,” pantas Mimi membalas mempertahankan dirinya.
“Tak kisah?” aku
pula bersuara. “Kalau Mimi nak tahu, Haikal ni agak cerewet dengan
makanan. Cuma tengok, dia belikan untuk Mimi tapi dia tak beli
apa-apa untuk dirinya kecuali secawan kopi. Itu maknanya dia cerewet.
Dia tak suka makan fast food.”
Aku sengaja cuba
takut-takutkan Mimi.
“Betul ke?” soal
Mimi.
Haikal sekadar
tersenyum.
“Jangan dengar
cakap Kak Harum,” jawab Haikal cuba menafikannya.
“Habis tu kenapa
awak tak makan?” soal Mimi.
“Sebab abang tak
selesa memandu dengan perut penuh,” jawab Haikal dengan penuh
sopan.
Haikal lain bebenar.
Cara dia bercakap dengan Mimi lagi sopan daripada cara dia bercakap
dengan aku. Aku tak pernah tengok dia sesopan itu. Malah menggelarkan
dirinya “abang”. Wah, rasa macam diorang berdua ni macam suami
isteri pulak. Aku dan Uzair pula tetap gunakan “saya-awak”. Bunyi
macam budak-budak baru bercinta tapi nak buat macam mana? Dah sebati.
Itu lebih baik daripada guna gelaran “honey-baby”, “ayang-sayang”
dan macam-macam gelaran yang menggelikan.
“Tengok, dia
memang cerewet, bukan?” tegas aku tetap tak mahu mengalah.
“Sekurang-kurangnya
Mimi tahu sesuatu tentang abang Haikal,” kata Mimi yang cuba
bersikap positif. Aku lihat Haikal. Dia tersenyum seperti
mengetawakan aku. Aku menghadiahkan jelingan tajam. Sejujurnya, aku
sendiri tak tahu kenapa aku rasa macam tak puas hati saja dengan
pasangan ini!
~~~
Sepanjang perjalanan
ke Cameron Highland aku banyak mendiamkan diri. Bukan tak ada apa-apa
perkara yang perlu dibincangkan antara aku dengan Uzair. Banyak
sebenarnya nak dibincangkan terutamanya apabila kami berdua buat
keputusan untuk mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Tapi keadaan
aku tak membenarkan aku bercakap. Kepala aku terasa pening. Tekak aku
terasa loya. Uzair yang memandu juga tidak senang duduk bila melihat
keadaan aku yang lemah.
Sudah berkali kali
juga kami terpaksa menangguhkan perjalanan sebab aku mabuk. Apa boleh
buat ini kali pertama aku jejak kaki ke Cameron Highland. Aku tahu
jalan ke Cameron agak mencabar tapi aku tak tahu perut aku tak mampu
bertahan untuk sampai ke puncak. Bila aku beritahu yang ini kali
pertama aku jejak kaki ke Cameron, Uzair memang bantai gelak.
Tension pula aku
dengar dia gelak. Lagi buat aku rasa macam hendak muntah. Tapi bila
dia tengok aku menarik muncung panjang, barulah dia berhenti. Itupun
senyap-senyap dia masih ketawakan aku dalam hati. Aku sudah tentulah
malas hendak melayannya. Buang tenaga aku yang tinggal sikit saja.
Lebih baik aku cuba melelapkan mata supaya tidak mabuk.
Rasanya tak sampai
beberapa minit, Uzair mengejutkan aku. Bukak sahaja mata, aku sedari
kami berada di hadapan rumah tumpangan yang juga merupakan milik
keluarga Mimi Fazila. Aku seperti orang mabuk berjalan masuk ke dalam
bilik yang aku kongsi bersama Mimi Fazila. Seterusnya, aku hanya
ingat aku menghempas badan aku di atas katil yang empuk.
Sedar-sedar saja,
hari sudah gelap. Aku lihat jam, sudah pukul 10 malam. Aku tak tahu
berapa lama aku tertidur. Lantas aku mencapai handset untuk memberi
mesej kepada ibu. Tapi aku dapat beberapa mesej daripada Uzair yang
mengatakan dia sudah menelefon ibu bapaku dan beritahu bahawa kami
sudah tiba di Cameron Highland. Aku tersenyum keseorangan. Ini yang
membuatkan aku mula sayang dekat Uzair.
Kemudian aku baca
mesej Uzair seterusnya yang memberitahu dia menemani Mimi melawat
seorang kenalan mereka yang tinggal di sekitar itu. Barulah aku
sedari Mimi tiada dalam bilik itu. Selepas membalas mesej Uzair, aku
terus membersihkan diri.
“Laparlah pulak,”
kataku sendirian.
Tiba-tiba handset
aku berbunyi. Dengan pantas aku mencapainya dan berharap itu daripada
Uzair yang bertanya sama ada aku lapar atau tidak. Harap-harap. Tapi
bukan. Mesej daripada Haikal. Mesej bergambar pula tu. Tanpa berfikir
panjang aku terus membuka mesej itu dan terlihat gambar tomyam panas
yang masih lagi berasap!
Wake up sleeping
beauty! Jom makan! – Haikal.
Lihat saja gambar
makanan, aku terus keluar keluar. Dari bilik aku lagi, aku dah terbau
tomyam. Baunya... memang harum semerbak! Aneh. Aku sudah banyak kali
makan tomyam tapi aku tak pernah rasa tomyam tu seharum ini sampai
aku dapat jejak di mana ia berada! Langkah aku terhenti apabila aku
lihat Haikal di beranda luar.
“Aku ingat kau
pergi ikut Mimi dan Uzair,” aku menegurnya.
“Mimi ada ajak
tapi rasanya tak penting kot. Lagipun dia orang nak jumpa kenalan,”
jawab Haikal.
“Kau masak?” aku
bertanya. Aku tengok tomyam yang masih panas itu rasa macam hendak
telan semuanya. Begitu laparnya perut aku.
“Aku hanya akan
mengaku ini aku masak kalau kau puji tomyam ni sedap,” jawab Haikal
sambil tersenyum.
“Yelah tu!
Masalahnya, perut aku ni hanya nak makan. Tak kisah sedap atau tak,”
jawabku berseloroh.
Kami menikmati makan
malam dengan tenang. Angin malam di Cameron Highland, tomyam panas
yang teramat sedap dan air teh stroberi menjadi teman kami malam itu.
Sungguhpun begitu, aku tak banyak berbual dengan Haikal. Aku hanya
makan dan makan sampailah aku rasa perut aku sudah penuh. Peduli apa.
Aku memang betul-betul lapar. Mana tidaknya, aku hanya makan pagi.
Itupun apa yang aku makan keluar balik ikut mulut. Seterusnya aku
pengsan sampai malam. Memang patut pun aku makan banyak.
“Tak sia-sia aku
masak,” kata Haikal yang selesai mengemas meja dan membawa pinggan
mangkuk ke dapur yang turut disediakan di rumah tumpangan itu.
“Macamlah dia yang
masak,” balasku yang mengekorinya membawa sebahagian pinggan
mangkuk yang kotor ke singki. Tiba saja di dapur berkenaan, aku lihat
keadaan dapur yang seperti baru digunakan orang. Aku pandang Haikal.
“Kan aku dah
kata,” kata Haikal.
“Aku tak tahu pun
kau pandai masak tomyam dan kalau kau pandai, kenapa kau suruh aku
masakkan tomyam untuk kau hari tu?” Aku menyoal.
“Saja,” jawab
Haikal selamba.
“Huh, tak faham
betul dengan kau ni.” Aku malas hendak mengetahuinya dengan lebih
lanjut dan terus membasuh pinggan-pinggan mangkuk yang kami gunakan
tadi. Selesai mencuci, aku kembali menghampiri Haikal yang masih
duduk di beranda.
Aku duduk sahaja,
tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran seekor kucing putih
melompat ke atas meja. Bukan aku saja yang terkejut. Haikal pun
terkejut sama. Kucing itu mungkin milik rumah tumpangan ini sebabnya
ada loceng terikat di lehernya menandakan ia kepunyaan seseorang.
“Wah, comelnya!”
“Aku tak faham
kenapa perempuan suka sangat kata kucing tu comel,” kata Haikal
ketika aku membelai kucing itu.
“Kucing memang
comel dan kau tak boleh kata perempuan saja, lelaki pun ada yang akui
kucing tu comel cuma lelaki yang ego saja akan menafikannya,” balas
aku.
“Lelaki yang ego,
ya. Walaupun aku ada ego tapi aku tetap akan kata kucing tu tak
comel. Tengok muka kucing tu betul-betul. Dia sengaja buat muka
supaya orang nampak dia comel dan lepas tu dia akan cakar tangan
orang tu. Kau tengoklah sekejap lagi,” komen Haikal lagi.
“Haikal, kau takut
kucing, tak payah nak nafikannya,” balas aku.
Haikal mengeluh.
“Ya. Ya. Aku takut
dengan kucing. Sekarang suruh kucing tu pergi main jauh-jauh,”
akhirnya dia mengaku. Aku tersenyum kelucuan. Tapi, bila aku pandang
wajahnya entah kenapa aku rasa macam Haikal lagi comel daripada
kucing hah?
Sungguhpun begitu,
aku terus membelai kucing itu sehingga ia tertidur di riba aku.
“Tahniah,” kata
Haikal tiba-tiba.
“Untuk apa?”
“Akhirnya kau
jumpa juga hero yang kau nak,” katanya.
“Itu pujian atau
sindiran?” aku menyoal.
“Lebih pada
sindirian,” jawab Haikal.
“Sekurang-kurangnya
hero aku memang wujud.”
“Ya,” akhirnya
Haikal terpaksa mengakui.
“Kau dengan
Mimi... macam mana?” Aku pula mengambil peluang ini untuk menyoal
habis-habisan. Aku masih lagi tidak puas hati sejak aku dapat tahu
Haikal sudah kembali pada Mimi.
“Macam tu,”
jawabnya pendek. Satu jawapan yang bukan yang aku inginkan.
“Macam mana dengan
orang yang kau suka tu?” Aku terus bertanya.
“Tiada lirik lagu
yang sesuai buat kami,” jawab Haikal.
“Hah?” Aku
langsung tak faham dengan bahasa puitis Haikal. Kalau lawyer
berpuitis macam nilah rupanya. Aku yang penggemar novel cinta pun
langsung tak faham.
“Macam... kau tak
dapat mencari lirik lagu yang mampu gambarkan keadaan kau sekarang,”
terang Haikal.
“Serius aku tak
faham. Boleh tak kau cakap dengan gunakan bahasa melayu yang aku
faham?”
“Okey, apa lirik
lagu antara kau dengan Uzair?” Haikal menyoal.
“Tak ada lirik
lagu,” jawabku spontan.
“Tak ada?” soal
Haikal.
Aku mengangguk.
“Serius tak ada?”
Dia menyoal lagi. Kemudian dia pandang aku semacam. Pelik sangat ke
kalau aku kata tak ada lagu antara aku dengan Uzair? Aku bukannya
suka berpuitis!
“Kau kena dapatkan
satu lagu untuk gambarkan hubungan kau dengan Uzair,” cadangnya.
“Aku rasa tak
perlu. Aku dengan Uzair dah besar. Walaupun baru bercinta tapi bukan
macam budak-budak sekarang yang baru nak belajar bercinta. Cinta tak
perlukan lagu.”
“Bukan orang
bercinta saja yang perlukan lagu. Kadangkala lagu tu mengingatkan
kita tentang orang-orang di sekeliling kita. Macam... aku dengan
kau....”
“Kau dengan aku?”
Aku memandangnya pelik.
“Ya. Bila aku
jumpa kau, ada satu lagu yang sentiasa bermain di kepala aku.”
“Lagu apa?”
“Twinkle, twinkle,
little star,” Haikal mula menyanyi.
“Haikal, stop it!”
Tapi Haikal terus
menyanyi. Walau bagaimana aku cuba menyuruh dia berhenti, dia terus
menyanyi dan akhirnya aku sendiri terpaksa menadah telinga mendengar
dia menyanyi.
Twinkle, twinkle, little star.How I wonder what you are.Up above the world so high,Like a diamond in the sky.Twinkle, twinkle, little star.How I wonder what you are.
“Macam mana?
Terharu tak?” soal Haikal selepas dia habis menyanyi.
“Kalau aku terharu
maknanya aku memang dah gila.”
“Kalau macam tu,
aku akan menyanyi sampai kau gilakan aku,” jawab Haikal.
“Haikal, kalau kau
berani nyanyi lagi aku bagi kucing ni kat kau nanti!”
Baru sahaja dia
ingin menyanyi, tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran bunyi
enjin kereta yang dipandu Uzair masuk ke pekarangan rumah tumpangan
kami. Huh, nasib baik. Uzair, kau memang hero dan penyelamat aku!
Huhuhu. Tak mampu nak kata apa2. Rasa sebak pula bila Haikal wish tahniah utk Harum.
ReplyDeleteHaikal siap suruh memendam rasa.... kan elok berterus terang.... sendiri makan hati....
ReplyDeletesue : kadang2 kita nak luahkan tapi keadaan diri, situasi, perhubungan mampu membataskan. (eh, apasal ku rasa sedih sangat ni nak2 bila layan lagu kt blog GP baca entry ni)*menangis*
ReplyDeleteHaikal, Haikal, sampai bila nk pendamkan perasaan. Berterus-terang adalah jln terbaik, mungkin Harum pun sama tp dia juga cuba mengidakkan perasaan itu.
ReplyDeleteHarum, think before it too late..
Best...#^_^
ReplyDeleteWhy do i feel like uzair will ends up with mimi and haikal will ends up wz harum... I'm not psychic ok... Not do i hv telepathy ability.... Hahahaha....
ReplyDelete